Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 28 April – Warga Kerja Raya hari ini telah berhimpun untuk bersama-sama mendengar ucapan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR).

Dalam ucapannya, Dato’ Zohari menerangkan Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6% iaitu yang terbaik di ASEAN tahun lepas. Beliau juga menerangkan usaha Kementerian mendahulukan rakyat seperti program & projek pembinaan rumah, hospital, sekolah, jalan raya, pengangkutan awam dan keselamatan.

Turut disentuh adalah kesetiaan dan integriti penjawat awam dalam menjaga kerahsiaan maklumat penting, memelihara keselamatan negara dan usaha meningkatkan taraf LLM melalui program ‘Branding’ LLM bagi memastikan penglibatan pengurusan tertinggi dalam projek pembinaan.

Di akhir perhimpunan, Dato’ KSU menyampaikan sijil penghargaan kepada penyelaras SSR KKR dan Agensi di atas pengiktirafan KKR sebagai organisasi cemerlang dengan memperolehi 5 bintang dalam Penilaian Indeks SSR pada tahun 2015 dan Agensi KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

Turut hadir adalah Timbalan KSU Kementerian serta Pengarah-pengarah Agensi

1

PUTRAJAYA, 26 April 2016 – PUSPANITA Cawangan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah dianugerahkan tiga (3) anugerah berprestij di Majlis Anugerah Kecemerlangan PUSPANITA 2016 sempena Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Ke-34 di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri di sini.

Anugerah-anugerah telah disampaikan oleh YBhg. Puan Sri Datuk Rohani Abdullah, Yang DiPertua PUSPANITA Kebangsaan. PUSPANITA KKR telah berjaya merangkul kesemua Anugerah Cemerlang seperti kategori berikut:

I. Anugerah Cawangan Berprestasi Peringkat Cawangan.

II. Anugerah Ahli PUSPANITA Cemerlang di Peringkat Kebangsaan dianugerahkan kepada YBhg. Datin Sri Norita binti Ibrahim, Pengerusi PUSPANITA KKR.

III. Anugerah Ahli PUSPANITA Cemerlang di Peringkat Cawangan dianugerahkan kepada Puan Sabariah binti Bachik, Setiausaha PUSPANITA KKR.

Syabas dan tahniah diucapkan. Semoga komitmen cemerlang yang diberikan ini dijadikan contoh, ikutan serta memberi pengaruh positif ke arah kecemerlangan PUSPANITA Cawangan Kementerian Kerja Raya.

1

KOTA KINABALU, 24 April 2016 - Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini melancarkan majlis pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) di Papar, Sabah.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Y.A.B Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah, YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia dan Yang Berhormat Tan Sri Datuk Sri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Tmbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Infrustruktur Sabah.

Pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini membuktikan komitmen Kerajaan untuk memperkukuhkan lagi pembangunan infrastruktur di negara ini. Secara holistiknya, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini merupakan pelengkap usaha melengkapkan jaringan lebuhraya Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk pembinaan jalan raya yang lebih selamat dan selesa.

Apabila siap kelak, Projek Pan Borneo Sabah ini berupaya merubah lanskap infrastruktur dan menjadi jaringan perhubungan bandar-bandar utama Sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Kudat hinggalah ke Tawau. Selain itu, projek bernilai RM12.86 billion dan dijangka siap sebelum 31 Disember 2021 ini berupaya menjadi pemacu ekonomi setempat serta menyokong pertumbuhan industri-industri sedia ada dan baru. Sektor pelancongan termasuklah agro-pelancongan dijangka akan turut memperolehi spill over effect memandangkan produk-produk pelancongan ini akan dapat dihubungi dengan mudah oleh pelancong.

Sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini, projek ini akan dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui oleh tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP. Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) telah dilantik sebagai PDP untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan sokongan pakar industri, UEM MMC Joint Venture Sdn Bhd. Pihak PDP akan bertindak sebagai single point of accountability yang bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuhraya.

1

AMPANG, 19 April 2016 – Sebagai usaha mempromosikan Asean Skills Competition (ASC) ke-11 (ASC 2016) yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur, Malaysia bermula 23 hingga 28 September 2016, satu majlis Pelancaran dan Flag Off Promosi ASC 2016 telah diadakan bertempat di Stesen LRT Ampang.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang turut menyampaikan penghargaan kepada para penaja pertandingan. Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Richard Riot anak Jaem.

Pelbagai aktiviti promosi giat dijalankan dan pada hari ini ia melibatkan penampalan pelekat pada keretapi Transit Aliran Ringan (LRT) dan pada kereta promosi tajaan PROTON.

Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 September 2014 telah meluluskan Malaysia untuk menganjurkan ASC 2016, pertandingan kemahiran peringkat ASEAN yang dianjurkan setiap dua tahun bermula pada 1995 di mana Malaysia merupakan tuan rumah ketika itu.

ASC 2016 akan dianjurkan bersama dengan Karnival & Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK) dengan pengisian seperti demonstrasi kemahiran, konvokesyen, TVET International Conference, carian kerja, pameran dari Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta, jualan dan lain-lain. Sebanyak 25 bidang kemahiran bakal dipertandingkan pada ASC 2016 dan tujuh daripadanya yang berkait industri pembinaan akan dikelolakan oleh Kementerian Kerja Raya.

Sebanyak 10 Negara Asean termasuk Malaysia akan menyertai pertandingan ini dengan jumlah peserta seramai 266 orang yang terdiri daripada belia dibawah umur 22 tahun.

Penganjuran acara kemahiran terbesar ini merupakan kerjasama daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

1

SIBU, 17 April 2016 – Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak melalui model Project Delivery Partner (PDP) kini diteruskan dengan Pelancaran Fasa Keempat iaitu Jajaran dari Simpang Bintangor ke Simpang Julau dan Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua (Termasuk Jambatan Batang Rajang).

Perasmian pelaksanaannya telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak dengan disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof dan para pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri.

Pakej sepanjang 76.2 kilometer ini melibatkan naiktaraf jalan sedia ada dari dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) termasuklah pembinaan 2 persimpangan bertingkat, 79 hentian bas, 7 jejantas dan 46 pusingan-P atau U-turn dan satu hentian sebelah yang akan dibina di Julau. Jambatan Batang Rajang yang juga dikenali sebagai Jambatan Durin sepanjang 1.708 kilometer akan turut dinaiktaraf kepada 4 lorong untuk keselesaan pengguna jalan raya.

Jambatan ini merupakan antara jambatan yang terpanjang di Sarawak. Masalah kesesakan lalulintas oleh penduduk di bandar Sibu akan dapat diatasi dengan naiktaraf jalan sedia ada ini. Selain itu, persimpangan bertingkat akan dibina berdekatan Lapangan Terbang Sibu dan di Simpang Julau. Jajaran ini dijangka siap dibina sepenuhnya pada hujung tahun 2020.

Pembinaan jajaran ini akan meneruskan usaha kerajaan dalam mendokong legasi mantan pemimpin terdahulu dalam pelaksanaan Projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau lebih dikenali sebagai SCORE. Jajaran ini akan menyediakan kemudahan infrastruktur yang efisyen kepada daerah Tanjung Manis yang dibangunkan sebagai Bandar Raya Pelabuhan Industri Hab Halal yang dijangka dapat menjana pulangan ekonomi yang lebih baik.

Dalam majlis pelancaran pembinaan jajaran ini juga menyaksikan syarikat-syarikat milik anak jati Sarawak diberikan penganugerahan untuk melaksanakan kerja pembinaan jajaran ini. Sejak dilancarkan tahun lepas, sebanyak 75 syarikat konsultan Sarawak telah terlibat dengan projek ini.

Selain itu, Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU) yang dimiliki oleh warga Sarawak secara majoriti telah dilantik bagi menguruskan, melaksanakan proses tender bagi pakej-pakej dalam projek ini dan bertanggungjawab memastikan projek lebuhraya ini disiapkan pada jangka masa yang ditetapkan.

1

KUALA LUMPUR, 14 April 2016 – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) julung kalinya menganjurkan Konvensyen Usahanita Binaan (KUBINA) 2016 kali Ke-3 bertempat di MATRADE Kuala Lumpur bertemakan “Wanita Pemacu Kelestarian Negara”. Konvensyen telah berjaya menarik minat 600 penyertaan terdiri daripada usahanita dan wanita profesional.

Konvensyen ini adalah anjuran bersama Kementerian Kerja Raya dan LLM dengan usahasama rakan-rakan strategik iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Persatuan Syarikat- syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dan Pertubuhan Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM).

KUBINA 2016 menyediakan platform terbaik yang menghimpunkan usahanita dan wanita profesional bagi membuka ruang intelek dan diskusi yang aktif dan proaktif. Ia juga membuka peluang dan potensi perniagaan, mengembangkan budaya penerokaan ilmu serta menjadi tapak peserta bertukar idea dan rangkaian hubungan.

Antara penceramah yang dijemput adalah YB. Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Dato’ Noorizah Hj. Abdul Hamid, Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Berhad dan Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi Air Asia X Bhd.

Pada konvensyen ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin selaku Penaung KUBINA, telah membentangkan cadangan resolusi KUBINA 2016 yang menyentuh pengiktirafan kepada wanita dengan memberi markah bonus semasa penilaian tender kerja dan firma perundingan yang diterajui oleh wanita jika lulus semua peringkat penilaian, peruntukan dana bagi pelaksanaan resolusi dan mewujudkan anugerah khas bagi kontraktor binaan wanita terbaik yang berjaya mengekalkan kelestarian di dalam bisnes.

Majlis penutupan KUBINA 2016 telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof yang turut melawat pameran yang diadakan sempena KUBINA 2016 .

1

KUALA LUMPUR, 14 April 2016 – Bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2016, satu seminar peluang perniagaan ‘Incredible India’ telah dianjurkan oleh CIDB dan CIDB Holdings bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) telah sudi merasmikan seminar ini yang dihadiri peserta daripada dua Negara, Malaysia dan India bagi berkongsi ilmu terkini dan perkembangan semasa industri binaan rantau Asia. Negara India diwakili T.S. Tirumurthi, Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri KSU memaklumkan seminar ini membuka peluang para pelabur dan komuniti perniagaan Malaysia untuk menceburkan diri dalam projek pembangunan yang terdapat di India selain meneruskan status profesionalisme dan berkualiti dalam melaksanakan projek seperti yang dibuktikan oleh syarikat UEM, IJM, Sunway dan SCOMI.

Antara projek tersebut adalah projek jalan dan lebuh raya, industri air dan projek perumahan berskala besar. Turut bakal dibincangkan adalah dasar dan polisi yang akan diperkenalkan Kerajaan India dalam peluang pelaburan terus pihak luar ke dalam negara.

1

KUALA LUMPUR, 12 April 2016 - The Arena of Youth: My City 2050 (MC2050) merupakan pertandingan perancangan bandar yang diadakan bertujuan untuk melahirkan generasi industri pembinaan anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2016.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

Pertandingan ini dirangka khusus untuk para pelajar Malaysia berumur 15 hingga 17 tahun. Peringkat umur ini dilihat penting dimana idea dan pemikiran mereka untuk merancang pembangunan bandar tahun 2050 ini akan menentukan halatuju pembangunan yang akan diwarisi mereka.

Pertandingan ini juga merupakan satu pendekatan holistik dalam membangunkan kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal yang merupakan satu peluang melahirkan pelajar yang bakal memajukan negara melaui industri binaan.

Pertandingan ini melibatkan sekolah dibawah Yayasan PINTAR dan juga sekolah-sekolah antarabangsa. Sehingga 5 Februari lalu, 10 pasukan disenarai pendek dengan 8 dibawah PINTAR dan 2 sekolah antarabangsa. Semua pasukan ditugaskan untuk membentangkan rekabina model Bandar lestari tahun 2050 berdasarkan kawasan dalam Malaysia yang telah ditetapkan untuk setiap pasukan. Dana sejumlah RM1000 diberikan dalam persiapan binaan model dengan sebarang kos tambahan ditanggung oleh pihak sekolah.

1

KUALA LUMPUR, 12 April 2016 – Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2016 menjadi tahun ke 16 yang menghimpunkan pameran, sesi perkongsian ilmu dan idea inovasi para penggiat industri binaan telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya bagi pihak YAB Perdana Menteri Malaysia.

Program yang berlangsung selama lima hari bermula 11 hingga 15 April 2016 ini memfokuskan Produktiviti dalam Pembinaan, selaras dengan temanya ‘Driving Productivity in Construction’. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sebagai penganjur acara ini jelas memilih untuk menonjolkan teknologi terkini dan metodologi terbaik pembinaan dalam meningkatkan produktiviti.

Antara yang menjadi bahan utama pameran ICW2016 ini adalah Sistem Binaan Berindustri (IBS) melalui pameran Industrialised Building Systems Housing Expo di mana ia adalah teknologi yang berkait rapat dengan produktiviti. CIDB telah dan terus mempromosikan IBS sebagai teknologi yang berkualiti, selamat serta menjimatkan tenaga dalam pembinaan.

ICW2016 menghimpunkan 100 ruang pameran dan menjangkakan kehadiran 10,000 pengunjung dengan 10% daripadanya pengunjung luar negara. Antara program utama termasuklah Ecobuild Southeast Asia 2016 dan Construction Career Fair 2016. Beberapa pertandingan turut dirangka antaranya, My City 2050, Rebuild It Green, IEM Mechanical Design Competition dan lain-lain lagi.

1

Putrajaya, 11 April 2016 - YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Project Delivery Partner (PDP) untuk mengurus dan melaksanakan pembinaan 706 kilometer Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan merubah lanskap infrastruktur dan menghubung bandar-bandar utama di Sabah dengan lebih efisien, selesa dan selamat buat 3.74 juta penduduk di negeri itu.

Perjanjian ini melibatkan tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP. YBhg Dato’ Sri Zohari bin Hj Akob, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya mewakili Kerajaan Persekutuan, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti bin Wakiman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan YBrs. Tuan Ir. Shahelmey Yahya, Pengarah Urusan, Borneo Highway PDP Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian.

Turut menjadi saksi acara menandatangani perjanjian ini adalah YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan YBhg Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.

Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) yang telah dilantik sebagai PDP untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan bertindak sebagai “single point of accountability” yang akan bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuhraya dengan kadar kos yang berpatutan pada tempoh pembinaan yang dipersetujui oleh Kerajaan iaitu siap sepenuhnya sebelum 31 Disember 2021.

Sepanjang tempoh perlaksanaan projek lebuhraya ini, PDP akan bertanggungjawab melaksanakan projek ini berdasarkan Key Performance Indicator (KPI) yang telah dipersetujui.

Pakej pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini melibatkan jajaran Papar – Donggongon sepanjang 11.7 kilometer yang merupakan sebahagian daripada 706 kilometer jajaran Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang kebanyakannya akan dinaiktaraf kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) dengan piawaian R5, dijangka akan dilancarkan pada penghujung bulan April 2016.

Sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan dianggotai oleh wakil dari agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga bakal dibentuk untuk menyelaraskan perlaksanaan projek.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memantau, menyelaras dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul dalam pelaksanaan projek ini. Selain itu, Jawatankuasa ini juga akan memastikan penglibatan rakyat Sabah dalam projek ini dapat dimaksimumkan.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dijangka akan menjadi jalan penghubung strategik yang selamat serta memberi keselesaan perjalanan kepada pengguna jalan raya. Projek ini juga disasarkan akan memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi setempat, malah ia berupaya memacu Pembangunan Koridor Ekonomi di Sabah (Sabah Development Corridor) dengan akses dan rangkaian jalan raya yang lebih lengkap dan efisien.

Selain itu, projek ini dijangka akan memberi kesan positif kepada penduduk negeri Sabah melalui peluang-peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baru dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baru ekonomi.

Dengan termeterainya perjanjian Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini, ia membuktikan komitmen ‘Aku Janji’ Kerajaan Persekutuan untuk rakyat Sabah.