Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK, 16 OKTOBER 2016 : Pembinaan Jambatan Batang Sadong, Kampung Buloh, Samarahan, Sarawak adalah satu inisiatif kerajaan untuk memendekkan masa perjalanan dari daerah Asajaya / Sadong Jaya ke daerah Simunjan / Sebuyau. Jambatan ini juga adalah salah satu jambatan yang penting bagi melengkapkan jajaran jalan pesisir pantai di Negeri Sarawak.

Projek ini telah diluluskan lanjutan program walkabout YAB Perdana Menteri Malaysia di Negeri Sarawak pada tahun 2011. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM231 juta untuk projek ini dan telah mula pembinaan pada bulan Julai 2012 dan ianya akan dibuka kepada orang ramai pada hari yang bersejarah ini, 16 Oktober 2016.

Dengan siapnya jambatan ini, ia merupakan jambatan terpanjang di Negeri Sarawak dengan kepanjangan 1.48 kilometer. Lebar jambatan ini adalah 11.5 meter dan mempunyai 2 lorong 2 hala. Bagi memastikan keselamatan pengguna, Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya Sarawak telah menyempurnakan Road Safety Audit (RSA) untuk memastikan kesemua aspek daripada segi keselamatan telah disemak bagi memastikan keselamatan pengguna yang menggunakan jambatan ini.

Dengan siapnya jambatan ini, pengguna tidak perlu menggunakan perkhidmatan feri bagi pergerakan merentasi sungai ini. Disebabkan oleh lebar sungai ini dan trafik yang tinggi, masa menunggu boleh mengambil masa yang lama. Perkhidmatan feri ini juga dipengaruhi oleh keadaan cuaca; apabila arus sungai adalah laju, pergerakan merentasi sungai mempunyai risiko yang tinggi kepada pengguna.

1

KUCHING, 6 September 2016: Pelancaran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Pembinaan Tanah Gambut atau dikenali sebagai CREAM/CIDB Centre of Research Excellence Construction on Peat Soils (CoPS) akan menjadikannya pusat rujukan setempat (one-stop centre) bagi kajian tanah gambut di Malaysia.

Penubuhan CoPS ini adalah rentetan dari projek pembangunan Garis Panduan Pembinaan atas Tanah Gambut di Malaysia yang telah dilancarkan oleh YB Menteri Kerja Raya pada Oktober 2015 yang lepas.

Pada masa ini, pejabat sekretariat CoPS ditempatkan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Melalui CoPS ini, satu rangka kerja CoPS (Blueprint CoPS 2016-2020) telah dibangunkan sebagai perancangan strategik jangka panjang CoPS.

Projek lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Timur Barat antara cadangan kajian kes (case study) yang akan dijalankan bagi kajian permasalahan tanah gambut dan kelestarian pembinaan.

Perlancaran ini adalah bersempena dengan persidangan yang bertajuk Towards Sustainable and Resilience Construction in Malaysia dianjurkan oleh Construction Research Institute of Malaysia (CREAM).

1

KOTA KINABALU, 5 September 2016:  Penggiat industri pembinaan serta agensi yang berkaitan di negeri Sabah menyatakan sokongan padu terhadap pelaksanaan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dengan menandatangani Akujanji CITP pada hari ini. 

Sebanyak 77 organisasi telah menandatangani Akujanji di hadapan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, sempena  Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Menandatangani Akujanji CITP di peringkat negeri Sabah.

Akujanji yang ditandatangani hari ini menjadikan 232 jumlah Aku Janji CITP yang telah ditandatangani setakat ini di seluruh negara.

CITP adalah pelan pelaksanaan komprehesif industri pembinaan yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), bermatlamat untuk mewujudkan pembinaan industri yang berterusan di negara ini sekaligus mampu bersaing di arena antarabangsa.

Di dalam Majlis yang sama, Musa Aman turut menyampaikan Anugerah Pelatih Terbaik kepada 10 orang bekas Pelatih Akademi Binaan Malaysia Sabah yang menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa latihan dan juga di dalam kerjaya yang diceburi. Beliau juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Marinsun bin Lanun, Pemenang Pingat Emas di dalam bidang Wall & Floor Tiles, Pertandingan WorldSkills Malaysia.

Pada majlis tersebut, seramai 147 bekas pelatih ABM yang telah tamat latihan menerima sijil kemahiran masing-masing dalam bidang berimpak tinggi termasuk operasi jentera, pengimpalan dan “blasting and painting.”                                                    

Tujuan penubuhan Akademi Binaan Malaysia (ABM) adalah untuk melahirkan pekerja mahir dalam industri pembinaan. Sejak tahun 2010, sehingga kini enam (6) cawangan ABM di seluruh negara telah melatih seramai 253,247 belia dan pekerja mahir di dalam industri pembinaan. Di ABM Wilayah Sabah, sehingga kini jumlah belia dan pekerja binaan yang telah dilatih adalah seramai 57,430 orang.

1

KUALA LUMPUR, 1 September 2016: Unit Integriti Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan Mini Kempen Kesedaran Integriti Tahun 2016 yang bertujuan menyemarakkan semangat integrtiti dan menjadi platform terbaik dalam memupuk kesedaran dan kefahaman berkaitan isu-isu pematuhan dalam prosedur dan peraturan jabatan.

Moto mini kempen ini iaitu “Integriti Teras Peribadi”, memfokuskan mengenai pemantapan integriti yang perlu lahir dalam diri setiap warga Kementerian Kerja Raya kerana Integriti itu sendiri bermaksud akhlak, perangai atau tingkahlaku seseorang dalam apa keadaan termasuklah ketika menjalankan tugas seharian.

Ucapan perasmiannya telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan dalam ucapannya beliau mengingatkan hadirin bahawa integriti bukan hanya memfokuskan mengenai isu-isu rasuah, tatacara kewangan dan isu-isu tatatertib malahan ia juga meliputi segala aspek budaya kerja seperti menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan menjalinkan hubungan yang baik antara ketua jabatan, rakan sekerja dan juga kakitangan sokongan.

1

SHAH ALAM 29 Ogos 2016: Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, hari ini ‘turun gelanggang’ membonceng sendiri kenderaan dua roda bagi menyelami masalah yang dihadapi pengguna lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan, yang dikatakan masih belum diatasi.

Fadillah berkata, berdasarkan tinjauan tersebut, beliau dapati masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan agar lorong motosikal itu lebih selesa dan selamat kepada pengguna.

Katanya, antara yang perlu diper­tingkatkan adalah laluan antara Kuala Lumpur-Petaling Jaya yang sempit di kedua-dua hala.

“Daripada pengamatan saya, laluan di situ dibina mengikut standard lama iaitu lebarnya 2.5 meter sedangkan sebanyak 5,000 buah motosikal dianggarkan melaluinya pada satu-satu masa.

“Kalau mahu dilebarkan sehingga tiga meter, keluasan tanah di situ tidak cukup, jus­teru, kita sedang buat kajian bagaimana mahu mengatasi­nya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan bermula dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Universiti di Petaling Jaya hingga Shah Alam dan kemudiannya berpatah balik.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Akob; Ketua Pengarah Kerja Raya (JKR), Datuk Dr. Roslan Md. Taha; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md. Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abd. Hamid.

Tinjauan tersebut merupakan susulan daripada lawatan beliau ke laluan sama yang dibuatnya pada 2013.

Fadillah berkata, masalah utama lain yang perlu diberikan perhatian adalah banjir di beberapa lokasi di lebuh raya itu setiap kali berlaku hujan lebat, meskipun sudah diletakkan pam bagi mengepam air keluar.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kerja Raya akan memohon peruntukan sebanyak RM11 juta bagi membina jejambat untuk kegunaan motosikal di kawasan-kawasan yang kerap banjir.

“Masalah lain seperti te­rowong gelap, pokok tidak diselenggara, semak samun, kurang papan tanda dan pagar reput akan diperbaiki secara berterusan selepas ini,” ujarnya. - Utusan

1

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2016: Konvensyen Ukur Bahan Antarabangsa (QSIC 2016) telah diadakan bagi memperkasakan dan mengukuhkan profesion Juruukur Bahan dalam menghadapi persaingan global yang mencabar dan penuh persaingan.

Ini bersesuaian dengan tema Konvensyen tahunan kali ke-15 ini iaitu "Thriving amidst the storm". Ia telah diadakan selama dua hari dengan pengisian ilmiah seperti sesi perkongsian idea melalui ceramah penceramah profesional daripada dalam dan luar negara selain lawatan teknikal ke lokasi terpilih.

Turut diadakan adalah Malam Anugerah Lembaga Juruukur Bahan Malaysia yang mengiktiraf Ahli Lembaga Pengarah, penyampaian Pensijilan ISO 9001:2008 serta penyampaian 4 anugerah iaitu Anugerah Perdana kepada firma Perunding Cemerlang, Anugerah Inspirasi, Anugerah Elit dan Anugerah Emas yang disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof.

Konvensyen antarabangsa ini dianjurkan oleh Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJUBM), Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

1

PULAU PINANG, 18 Ogos 2016 : Seramai lebih 600 peserta dari 21 institusi seni bina di seluruh Malaysia dan dua daripadanya adalah dari luar negara akan menyertai “MATRA” 28th Architectural Student Workshop 2016 yang berlangsung dari 17 hingga 21 Ogos 2016. Program ini adalah anjuran Universiti Sains Malaysia (USM), di rasmikan oleh YB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membuka ruang kepada para pelajar dan ahli alam bina memperkukuh pengetahuan tentang dimensi yang berpotensi dalam menyumbang kepada penerapan elemen baru dalam seni bina seperti cahaya, bunyi, haba, aroma, kinetik, dan sebagainya. Ia juga bagi memahami hubung kait elemen-elemen ini dengan seni bina dan masyarakat sendiri.

Objektif utama bengkel ini adalah untuk mengemukakan isu-isu semasa dalam seni bina dan alam bina, memperbaiki kemahiran seperti pemikiran kritis, semangat berpasukan dan juga kemahiran seni bina dalam pelbagai senario. Memupuk esprit de corps dalam kalangan peserta dengan matlamat yang sama iaitu untuk memelihara persekitaran dan keperluan serta kemandirian manusia dan akhir sekali untuk mengukuhkan hubungan antara tokoh utama dalam bidang seni bina.

Tema kali ini pula dipilih ialah ‘matra’ yang berasal daripada perkataan sanskrit purba yang bermaksud ‘dimensi’. Ia bertujuan untuk menggambarkan usaha ahli-ahli industri alam bina dalam meneroka perspektif baharu dalam seni bina melalui penafsiran masing-masing. Logo “matra” pula diinspirasikan daripada simbol infiniti yang memberi maksud jutaan peluang untuk merungkai dimensi baru dalam segenap aspek seni bina. Bengkel seni bina ini merupakan pemangkin kepada pembangunan dan pakar alam bina di Malaysia. Manfaat paling ketara adalah bengkel ini akan meningkatkan taraf dan kualiti potensi graduan USM serta institusi lain yang terlibat. Bengkel ini telah berjaya merapatkan jurang antara pihak industri dan akademik setelah lebih 20 tahun.

Bengkel ini mewujudkan persekitaran dinamik yang menimbulkan cara komunikasi yang berkesan antara pihak industri dan ahli akademik serta merangsang kemahiran pemikiranyang kreatif dan inovatif.

12 pertandingan seni bina dipertandingkan dalam bengkel ini termasuklah pertunjukan fesyen, seni dinding, pentunjukan multimedia, persembahan, instagram, fotografi. Bengkel ini diharapkan dapat menjadi suatu platform bagi dimensi baru dan digunakan secara optimum agar membuahkan hasil yang memanfaatkan kepada alam bina negara.

1

MANJUNG, PERAK 6 Ogos 2016 : YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya bersama-sama YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak hari ini melancarkan program Jelajah dan Karnival FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya 2016 di Dewan Komuniti Bestari, Batu 10, Lekir, Manjung, Perak.

Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk menyerlah dan menyebarluas peranan sedia ada Jalan Persekutuan sebagai jalan utama kepada semua pengguna jalan raya di negara ini selain mengurus persepsi rakyat dengan memberikan perspektif positif (refreshing outlook) terhadap Jalan Persekutuan sebagai jalan utama dan bukannya jalan alternatif sebagaimana persepsi masyarakat kini.

Pada hari ini penguna jalan raya terutamanya Gen X dan Y perlu diperjelaskan bahawa Jalan Persekutuan bukannya jalan alternatif sebagaimana persepsi yang bermain diminda mereka. Sejak terbinanya Lebuhraya pertama iaitu Lebuhraya Utara Selatan pada tahun 1982 (E1 dan E2) ia sedikit menenggelamkan fungsi utama yang pernah dimainkan oleh Jalan Persekutuan sejak dahulu lagi.

Pengisian utama program ini ialah Jelajah FTRoadpedia dan Karnival FTRoadPedia. Acara jelajah yang bermula dari Sekinchan, Selangor hingga ke Lekir, Manjung, Perak ini disertai YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya, orang awam iaitu dikalangan Rakan KKR dan pihak media.

Acara ini bertujuan memberi peluang kepada peserta jelajah untuk melihat sendiri kualiti Jalan Persekutuan (FT 05) selain meninjau lokasi menarik yang terdapat di sepanjang jelajah termasuklah kawasan tarikan pelancong, lokasi makanan tempatan yang unik dan eksotik, penginapan, kawasan bersejarah dan rumah ibadat. Ini bertepatan dengan slogan program iaitu ‘Cipta Detik Indah Bersama’ dimana pengguna Jalan Persekutuan berpeluang untuk menjadikan perjalanan mereka sebagai satu memori manis dengan terdapatnya kemudahan berehat, beribadah dan berekreasi.

Selain itu juga Peserta konvoi Jelajah FTRoadpedia juga telah dibawa melawat dan diberikan taklimat mengenai kerja-kerja Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat: Kerja-Kerja Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT 05 (Tanjung Karang-Hutan Melintang, Selangor) dan (Teluk Intan-Kg. Lekir, Perak) iaitu salah satu usaha Kerajaan dalam meningkatkan kualiti pemanduan pengguna Jalan Persekutuan.

Selain itu, acara penting lain program ini ialah Karnival FT RoadPedia di Dewan Komuniti Bestari, Batu 10, Lekir, Manjung yang bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Pelbagai program dan aktiviti menarik telah dianjurkan, antaranya Taklimat Jalan Persekutuan, Pertandingan Melukis, Kuiz, Pameran dan lain-lain yang berhubungkait dengan Jalan Persekutuan.

1

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2016: Majlis Hari Raya Aidilfitri 2016 Kementerian Kerja Raya dan Agensi telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dan dihadiri 3000 pengunjung terdiri daripada warga kerja Raya dan jemputan khas bertujuan mengerat ikatan silaturahim selain menyemai semangat perpaduan sewaktu merayakan perayaan terbesar negara.

Majlis diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha KKR serta Pengurusan tertinggi Agensi dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Pada majlis tersebut juga turut disampaikan sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal warga Kerja Raya serta pemberian duit raya kepada Anak-anak Taska KKR. Pada tahun ini, juadah hari raya disediakan oleh setiap Bahagian dan Unit di KKR selain penglibatan Agensi dan Kelab.

1

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2016: Menyedari kepentingan terhadap kaedah yang betul untuk kerja pengalihan dan pemasangan semula utiliti di tapak projek, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Taklimat Garis Panduan Pengalihan dan Pemasangan Semula Utiliti dalam Pelaksanaan Program dan Projek Kerajaan Bilangan 1 Tahun 2016.

Garis Panduan ini bertujuan menggantikan Garis Panduan Pengalihan Dan Pemasangan Semula Kemudahan Utiliti Dalam Pelaksanaan Program dan Projek Kerajaan Bil. 2 Tahun 2010 yang dikeluarkan pada 1 November 2010.

Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Abd Aziz dari Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) bertempat di Dewan Tanjung, Kompleks Kerja Raya dihadapan pengurusan tertinggi Kementerian dan pegawai yang terlibat dengan projek Kementerian. Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Sri Zohari Haji Akob telah menyampaikan ucapan aluan.

Antara kandungan Garis Panduan ini ialah memberi penjelasan berhubung skop pematuhan, kaedah pembiayaan, kaedah pelaksanaan dan pemakaian prosedur kerja terkini bagi kerja-kerja pengalihan dan pemasangan semula utiliti di semua tapak projek di dalam rizab Persekutuan dan Negeri yang terlibat. Garis Panduan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2020 bagi tempoh RMKe-11.