Langkau ke kandungan utama
1

Projek Pan Borneo Sarawak Fasa ke-4 Jajaran Sibu, dilancarkan Perdana Menteri

SIBU, 17 April 2016 – Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak melalui model Project Delivery Partner (PDP) kini diteruskan dengan Pelancaran Fasa Keempat iaitu Jajaran dari Simpang Bintangor ke Simpang Julau dan Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua (Termasuk Jambatan Batang Rajang).

Perasmian pelaksanaannya telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak dengan disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof dan para pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri.

Pakej sepanjang 76.2 kilometer ini melibatkan naiktaraf jalan sedia ada dari dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) termasuklah pembinaan 2 persimpangan bertingkat, 79 hentian bas, 7 jejantas dan 46 pusingan-P atau U-turn dan satu hentian sebelah yang akan dibina di Julau. Jambatan Batang Rajang yang juga dikenali sebagai Jambatan Durin sepanjang 1.708 kilometer akan turut dinaiktaraf kepada 4 lorong untuk keselesaan pengguna jalan raya.

Jambatan ini merupakan antara jambatan yang terpanjang di Sarawak. Masalah kesesakan lalulintas oleh penduduk di bandar Sibu akan dapat diatasi dengan naiktaraf jalan sedia ada ini. Selain itu, persimpangan bertingkat akan dibina berdekatan Lapangan Terbang Sibu dan di Simpang Julau. Jajaran ini dijangka siap dibina sepenuhnya pada hujung tahun 2020.

Pembinaan jajaran ini akan meneruskan usaha kerajaan dalam mendokong legasi mantan pemimpin terdahulu dalam pelaksanaan Projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau lebih dikenali sebagai SCORE. Jajaran ini akan menyediakan kemudahan infrastruktur yang efisyen kepada daerah Tanjung Manis yang dibangunkan sebagai Bandar Raya Pelabuhan Industri Hab Halal yang dijangka dapat menjana pulangan ekonomi yang lebih baik.

Dalam majlis pelancaran pembinaan jajaran ini juga menyaksikan syarikat-syarikat milik anak jati Sarawak diberikan penganugerahan untuk melaksanakan kerja pembinaan jajaran ini. Sejak dilancarkan tahun lepas, sebanyak 75 syarikat konsultan Sarawak telah terlibat dengan projek ini.

Selain itu, Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU) yang dimiliki oleh warga Sarawak secara majoriti telah dilantik bagi menguruskan, melaksanakan proses tender bagi pakej-pakej dalam projek ini dan bertanggungjawab memastikan projek lebuhraya ini disiapkan pada jangka masa yang ditetapkan.

Tarikh Dan Waktu Acara