Langkau ke kandungan utama
0

Pemberian Tol Percuma Dan Persediaan Lebuhraya Plus Sempena Sambutan Aidilfitri 2024

Seremban, 28 Mac 2024 - Petang tadi Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2024 telah bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja iaitu pada 8 dan 9 April 2024 sebagai meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat beragama Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 April 2024 (Selasa) di mana Kerajaan perlu memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta.

Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim. Tol percuma oleh Kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia.

Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini, jumlah kenderaan dijangka meningkat di kesemua jaringan lebuh raya. Bagi para pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA.

Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian.

Kementerian Kerja Raya (KKR) turut memperkenalkan aplikasi aduan yang dikenali sebagai aplikasi MYJalan KKR berkonsepkan ‘No Wrong Door Policy’ di mana ia menerima semua jenis aduan berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur, termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaan KKR.

Aduan-aduan tersebut akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan segera.

Justeru, bagi memaksimumkan keberkesanan penggunaan kedua-dua aplikasi ini dengan lebih efisien, KKR dan PLUS telah mengintegrasikan aplikasi MyPLUS-TTA ke dalam aplikasi MYJalan KKR dan sebaliknya.

Para pengguna perlu memuat turun kedua-dua aplikasi ini dan kepada yang sudah muat turun perlu mengemaskini aplikasi-aplikasi tersebut bagi membolehkan penggunaannya.

Integrasi aplikasi ini hanya dilaksanakan pada setiap musim cuti perayaan sebagai satu usaha bagi mengurangkan kesesakan semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang melibatkan lokasi kesesakan kritikal untuk menambah kapasiti dan melancarkan aliran trafik.

Bilangan ini termasuk 3 lokasi baharu berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan Smart Lane semasa perayaan Tahun Baru Cina pada Februari yang lalu. Mengambil kira pandangan dan ulasan yang diberikan oleh pengguna lebuh raya semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lepas, LLM telah mengadakan sesi libat urus bersama syarikat konsesi dan mendapatkan pandangan daripada agensi seperti Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengenai penambahbaikan yang boleh diambil untuk pengaktifan Smart Lane seperti berikut :-

1. Pemasangan papan tanda peringatan pengaktifan Smart Lane di setiap sela 500 meter;

2. Pemasangan papan tanda amaran 200meter sebelum Smart Lane bermula dan berakhir;

3. Pemasangan lampu indikasi smart lane (blinking light) setiap 1 km; dan

4. Paparan Mesej Elektronik/Variable Message System (VMS) mudah alih untuk memaklumkan pengguna mengenai pengaktifan/penamatan operasi Smart Lane.

LLM dan syarikat konsesi akan melaksanakan advokasi bersama pengguna lebuh raya menerusi perkongsian video dan infografik bagi memberi kesedaran berkenaan Smart Lane dan akan terus memantau keberkesanan tindakan penambahbaikan ini.

Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.

Pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch 'n Go serta eWallet adalah mencukupi.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita