PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN SIAP SMK DALAT DAN SMK SEMOP MEMBERIKAN KEMUDAHAN PEMBELAJARAN YANG SELESA, MODEN DAN KONDUSIF | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN SIAP SMK DALAT DAN SMK SEMOP MEMBERIKAN KEMUDAHAN PEMBELAJARAN YANG SELESA, MODEN DAN KONDUSIF

DALAT – 8 Jun 2026 - Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Dua Projek Infrastruktur Pendidikan milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah siap sepenuhnya di SMK Semop dan SMK Dalat, Sarawak. Penyerahan kedua-dua projek ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan pelajar serta warga sekolah menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih selesa, moden dan kondusif.

Kedua-dua projek tersebut telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menerusi Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM37.76 juta. Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan demi meningkatkan kualiti pembelajaran dan kesejahteraan warga sekolah.

Projek pembinaan bangunan baharu 12 bilik darjah di SMK Semop, Daro yang bernilai RM10,556,995.00 telah berjaya disiapkan oleh KSB Global Sdn. Bhd. pada 16 Januari 2026, iaitu 164 hari lebih awal daripada jadual asal tanpa sebarang Lanjutan Masa (Extension of Time - EOT). Projek ini melibatkan pembinaan sebuah blok akademik yang menempatkan 12 bilik darjah lengkap beserta kemudahan sokongan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar dan guru.

Sementara itu, projek pembangunan semula bangunan gantian 18 bilik darjah di SMK Dalat yang bernilai RM27,198,398.14 telah berjaya disiapkan oleh Welfield Services Sdn. Bhd. pada 30 Disember 2025, iaitu 10 hari lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. Projek ini merangkumi pembinaan blok akademik yang menempatkan 18 bilik darjah, bengkel, makmal dan kemudahan pentadbiran sekolah. Selain itu, pelbagai fasiliti sokongan turut disediakan termasuk kantin, surau, sistem kumbahan moden serta menara tangki air berkapasiti tinggi bagi memastikan keselesaan dan kebajikan warga sekolah.

Kedua-dua projek ini dilaksanakan menggunakan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan sistem Industrialised Building System (IBS) bagi memastikan proses pembinaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkualiti dan teratur. Penggunaan teknologi moden ini turut menyokong penyediaan persekitaran sekolah yang lebih selamat, lestari dan memenuhi keperluan pembelajaran masa kini.

Kejayaan pelaksanaan projek secara Reka dan Bina ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan pendidikan, khususnya di Sarawak, melalui penyediaan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya tahan demi manfaat rakyat. Kementerian Kerja Raya (KKR) turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan kepada JKR Malaysia untuk melaksanakan projek ini sehingga berjaya disiapkan dan diserahkan sepenuhnya. Susulan penyerahan projek ini, JKR Malaysia akan terus memantau prestasi bangunan dan bekerjasama rapat dengan pihak kontraktor bagi memastikan semua tanggungjawab sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defects Liability Period – DLP) dilaksanakan dengan sempurna selaras dengan syarat kontrak serta peraturan yang berkuat kuasa

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4