PROJEK PEMBINAAN PUSAT REINTEGRASI BAGAN DATUK, PERAK BERNILAI RM123 JUTA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PROJEK PEMBINAAN PUSAT REINTEGRASI BAGAN DATUK, PERAK BERNILAI RM123 JUTA

Submitted by wmukk on 26 October 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pengarah Projek bagi Projek Pembinaan Pusat Reintegrasi Bagan Datuk, Perak (Reka dan Bina).

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Puan Ainah binti Mohd Soon.

Projek bernilai RM123 juta di bawah KDN ini merupakan inisiatif strategik dalam memperkukuh infrastruktur keselamatan negara, khususnya bagi menyokong pelaksanaan program pemulihan dan reintegrasi penghuni ke dalam masyarakat.

Dibangunkan di atas tapak seluas 66.367 ekar, pusat ini berkonsepkan agro penjara dan mampu menempatkan sehingga 400 orang prospek pada satu-satu masa. Projek ini mempunyai tempoh pelaksanaan selama 42 bulan dan dijangka siap pada Mei 2030.

Pembangunan pusat ini dijangka membantu mengurangkan kesesakan di penjara konvensional, selain menyediakan persekitaran pemulihan yang lebih kondusif, selamat dan bersepadu. Kemudahan kuarters kediaman kakitangan turut menyokong kecekapan operasi serta meningkatkan kesiapsiagaan anggota.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia kekal komited dalam memastikan pelaksanaan projek infrastruktur awam yang berkualiti, cekap dan berkesan demi menyokong agenda pembangunan negara serta aspirasi Kerajaan MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4