Langkau ke kandungan utama
0

Pengurangan Had Laju Jalan Persekutuan Dan Pemberhentian Kerja Penyenggaraan Tidak Kritikal Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024

Kuala Lumpur, 02 April 2024 – Selaras dengan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024, proses pewartaan telah dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi penurunan sementara had laju daripada 90km/j kepada 80 km/j di semua Jalan Persekutuan di Malaysia. Pewartaan ini berkuat kuasa mulai 8 hingga 14 April 2024.

Pengurangan sementara had laju selama seminggu ini merupakan antara langkah-langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil Kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

KKR juga telah memaklumkan kepada pihak konsesi Jalan Persekutuan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April 2024 supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan.

Bagi lebuh raya pula, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula dari 1 hingga 17 April 2024.

Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR serta pendekatan seluruh rakyat dan negara (whole nation approach) untuk semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutamanya di Jalan Persekutuan.

Tarikh Dan Waktu Acara