Langkau ke kandungan utama
0

Tiga Kementerian Jalin Kerjasama Strategik Merealisasikan Aspirasi MyJalan

Kuala Lumpur, 02 April 2024 – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menggerakkan satu jalinan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui pendekatan bersama antara Kerajaan dan Malaysia Madani dalam mencari titik kerjasama dan kolaborasi dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalanraya di Malaysia.

Libat urus tersebut telah diadakan di KKR semalam pada 1hb. April 2024 dan telah dihadiri oleh KKR yang diketuai oleh Menteri Kerja Raya YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pengangkutan YB Loke Siew Fook mewakili MOT, Timbalan Menteri, KPKT, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu mewakili KPKT. Turut hadir ialah pengurusan tertinggi ketiga-tiga kementerian beserta pegawai tertinggi agensi di bawah KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Penglibatan tiga Kementerian ini adalah kerana bidang kuasa berhubung jalan dan penguatkuasaan yang terletak di bawah kementerian masing -masing adalah saling berhubung kait dan memerlukan sinergi yang padu dalam mengatasi isu keselamatan jalan.

Sesi libat urus tersebut telah membincangkan jalinan kerjasama rentas kementerian dalam mencari mekanisme terbaik menangani isu kerosakan jalan raya yang terkait di bawah bidang kuasa kementerian masing-masing. Mekanisma ini akan diperhalusi sebelum tindakan strategik dilaksanakan di bawah payung Program MYJalan.  

Perkara utama lain yang turut dibincangkan dalam sesi libat urus ini termasuklah pengukuhan kerjasama antara kementerian bagi menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya yang diterima melalui aplikasi MYJalan.  Aplikasi ini telah diluncurkan oleh Perdana Menteri pada 24 Ogos 2023, yang bertindak sebagai pemudahcara kepada pengadu dengan menerima semua jenis aduan selaras dengan konsep 'No wrong door policy' aplikasi ini.

Sejak diluncurkan sehingga 29 Mac 2024, aplikasi ini menerima 13,391 aduan berkaitan pelbagai isu jalan raya dan statistik menunjukkan bahawa 26.51% adalah aduan jalan milik KKR manakala selebihnya iaitu 73.49% milik pelbagai pihak lain.  Justeru, sesi libat urus ini amat signifikan dalam memastikan aduan pengguna dapat diselesaikan dengan penglibatan serius pihak - pihak pemilik jalan yang lain demi memastikan keselesaaan dan keselamatan pemanduan rakyat.

Hasil perbincangan di antara KKR, MOT dan KPKT ini turut terarah kepada cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa bertindak yang terdiri daripada semua wakil pemilik jalan raya yang akan melaporkan status tindakan penyelesaian bagi aduan secara berkala.  Jawatankuasa ini juga akan memperhalusi setiap cadangan, isu dan cabaran yang telah dibentangkan oleh wakil setiap kementerian dan agensi pada sesi kolaborasi ini.

Sinergi pelbagai pihak ini membuktikan KKR terus komited dalam memperkasakan dan merakyatkan Program MYJalan sebagai satu agenda bersama di peringkat nasional.  Isu penyenggaraan jalan akan terus menjadi fokus KKR dalam mengurus infrastruktur awam negara kerana impaknya bukan sahaja dari segi aspek kewangan negara tetapi yang lebih utama adalah nyawa pengguna.

Tarikh Dan Waktu Acara