Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 25 November 2015 - Sejak tahun 2005, Hari Integriti Kebangsaan disambut pada 5 November setiap tahun bagi membudayakan integriti sebagai cara hidup dan amalan masyarakat Malaysia. Tarikh ini dipilih bersempena dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai landasan ke arah pemantapan etika dan integriti masyarakat. Justeru itu, buat julung kalinya Unit Integriti Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan Hari Integriti Kementerian Kerja Raya bertemakan “Amanah Tonggak Integriti” dan Wacana Ilmu berbentuk forum dengan tajuk yang sama.

Hari Integriti ini dianjurkan dengan tujuan memupuk kesedaran di kalangan anggota di Kementerian dan Agensi-agensi lain di bawahnya mengenai keperluan dan kepentingan membina nilai-nilai murni dan berintegriti. Sebagai usaha ke arah mewujudkan warga yang berintegriti, Kementerian turut mengambil inisiatif dengan melancarkan program Rakan Integriti yang dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya.

Program ini adalah untuk mewujudkan jaringan kerjasama di antara Unit Integriti dengan Rakan Integriti bagi membangunkan warga KKR yang berkualiti unggul. Turut diadakan pada majlis tersebut ialah pembacaan Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam yang diketuai YBrs. Tuan Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 24 November 2015 - Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia Gabungan Wilayah Tengah, Timur, Utara dan Selatan Tahun 2015 telah diadakan penuh gemilang di Pusat Dagangan Dunia Putra bagi meraikan 309 orang graduan. Mereka menerima Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) masing-masing dalam 11 bidang kemahiran dan merupakan graduan daripada Program Belia, Personel dan Customised. Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya yang turut menyampaikan ucaptama perasmian majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dikenalpasti sebagai salah satu teras utama dalam Rancangan Malaysia Ke–11 (RMK–11) dalam usaha negara mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP). Justeru, usaha Kementerian ini melahirkan tenaga mahir pembinaan ini melalui Akademi Binaan Malaysia selaras dengan dasar Kerajaan iaitu menghasilkan para graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Untuk memastikan graduan ABM kekal relevan di dalam industri pembinaan, silibus atau kaedah latihan telah ditambah baik dengan mekanisma baru latihan melalui penggunaan teknologi simulator dalam bidang kimpalan atau welding dan pemanduan jentera berat atau plant operation. Selain itu, beberapa kursus terbaru turut diwujudkan bagi memenuhi kehendak pasaran seperti Program Habitat Technician dan Mechanical Fitter yang berkaitan dengan industri petroleum dan gas manakala program Solar Panel Installation untuk meningkatkan kecekapan penyedia perkhidmatan solar PV tempatan.

Kesemua standard program ini dibangunkan dengan kerjasama pihak industri seperti PETRONAS, INSTEP dan SEDA bagi memastikan ia menepati keperluan dan kehendak industri berkenaan. Akademi Binaan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1997 memainkan peranan penting di dalam mengeluarkan pekerja mahir tempatan untuk berkhidmat dalam sektor pembinaan negara. Sejak daripada awal penubuhannya sehingga kini, jumlah pelatih yang telah dilahirkan oleh ABM mencapai 270,011 orang daripada Program Belia dan Personel.

1

PUTRAJAYA, 20 November 2015: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini meraikan ulang tahun ke 20, selepas ditubuhkan pada tahun 1995 untuk memberi kepimpinan yang efektif dan memperkukuhkan industri pembinaan melalui pendaftaran kontraktor dan tenaga mahir, dan menyediakan latihan peningkatan kemahiran. Menteri Kerja Raya YB Dato’ Sri Fadillah Bin Yusof telah menyampaikan ucaptama pada jamuan yang berlangsung di Putrajaya Marriott dan dalam ucapannya beliau menyingkap penubuhan CIDB dengan menyatakan pada 7 Julai 1994 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia atau Akta 520 telah diluluskan di Parlimen dan CIDB ditubuhkan bagi menyelia industri pembinaan negara dan kontraktor yang menjalankan projek-projek swasta.

Pada majlis makan malam meraikan ulangtahun tersebut, seramai 65 pemimpin industri telah menerima Anugerah Fellowship atas peranan besar dan sumbangan mereka dalam membangunkan industri pembinaan dan kepada negara. Majlis tersebut dilengkapi dengan pelancaran buku coffee table bertajuk Leading Construction Transformation bagi memperingati sejarah dan pencapaiaan CIDB. Turut diraikan ialah lapan petugas CIDB yang menerima anugerah khidmat 20 tahun manakala 12 lagi menerima penghargaan untuk khidmat selama 15 dan 10 tahun. Secara umumnya, industri pembinaan Malaysia dijangka menyumbang kira-kira 5.5 peratus atau RM36.3 bilion kepada ekonomi negara serta berpotensi memberi peluang pekerjaan dianggarkan sebanyak 9.5 peratus daripada tenaga kerja negara.

1

KUALA LUMPUR, 20 November 2015 – Peranan dan usaha pasukan Bilik Gerakan Bencana (BGB) yang berpusat di Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia terus dihargai dan diiktiraf pihak pengurusan atasan Kementerian Kerja Raya (KKR) apabila mereka diraikan dalam satu majlis bersempena Perhimpunan Bulanan KKR. Pasukan BGB ini telah berperanan sebagai pusat penyaluran maklumat kepada orang awam sewaktu bencana banjir dan kejadian tanah runtuh yang melanda negara bermula November 2014 hingga Februari 2015 yang lalu dan telah beroperasi selama 24 jam sehari dengan keanggotaan mencecah 200 orang kakitangan.

Sijil penghargaan telah disampaikan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya yang turut menyampaikan ucapan mewakili Menteri Kerja Raya. Dalam majlis itu juga, turut disampaikan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) kepada dua orang penerima yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam tugas diamanahkan serta aktif dalam penglibatan dan sumbangan di luar tugas rasmi yang boleh mengharumkan nama organisasi dan negara. Penerima PPC Tahun 2015 ialah Encik Ir. Haji Ismail bin Abd Rahman, dari Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, JKR dan Encik Khairul Walid bin Mohamed dari Pejabat Menteri Kerja Raya. Para penerima menerima pingat, sijil simpanan premium bernilai RM1000 dan sijil penghargaan.

1

SEGAMAT, 15 November 2015 - Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya telah mengenal pasti Jalan Persekutuan FT23 menghubungkan Bandar Muar, Tangkak dan Segamat serta pekan-pekan kecil seperti Jementah, Sagil dan lain-lain untuk dinaiktaraf dibawah RMK10. 

Sehubungan itu, sebanyak RM330juta telah diperuntukkan dibawah RMK10 untuk pakej 1B dan Pakej 2 yang bermula dari pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Segamat sehingga pekan Jementah melibatkan kerja-kerja melebarkan jalan daripada dua kepada empat lorong.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof sewaktu melakukan tinjauan berkata, pakej 1B dan pakej 2 projek menaik taraf yang melibatkan jarak 21.9 kilometer (km) kini 98 peratus siap. Terdapat tujuh pakej untuk keseluruhan projek ini dan peruntukkan sedang dimohon untuk baki lima pakej bagi pelaksanaan jajaran berjumlah 63.7 km ini.

Turut hadir sewaktu tinjauan ialah Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Adanan Mohamed Hussain dan Pengarah Kerja Raya negeri Johor, Ir. Asri Arjan.

Penaiktarafan jalan ini kelak akan dapat mengurangkan masa perjalanan, mengelakkan dari terputus hubungan semasa musim banjir dan memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna.  Selain itu ia bakal menjadi pemangkin kemajuan ekonomi bagi Johor Utara terutama di Daerah Muar, Ledang dan Segamat. 

1

BENTONG, 12 November 2015 – Satu kejadian banjir lumpur telah berlaku pada petang 11 November 2015 di KM52.4 Lebuhraya KL-Karak dan telah menjejaskan laluan sepanjang 2 kilometer dan terpaksa ditutup. Sehubungan itu satu lawatan turun padang oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah diadakan hari ini. YB Menteri Kerja Raya turut diberi penerangan berhubung kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh ANIH Berhad.

Terdahulu beliau membuat tinjauan udara kawasan kejadian dengan menggunakan helikopter. Lawatan kerja tersebut turut dihadiri pihak media bagi melihat sendiri situasi sebenar yang berlaku seterusnya membetulkan persepsi orang ramai berhubung kejadian tersebut yang telah tersebar atau viral di media sosial. Sidang media berhubung kejadian telah diadakan di tapak lapangan. Disebabkan kejadian tersebut, pihak Kementerian Kerja Raya mengeluarkan satu kenyataan media bagi memaklumkan penutupan Lebuhraya KL-Karak dan menasihati orang ramai supaya menggunakan jalan alternatif.

Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh pakar cerun dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, banjir lumpur biasanya berlaku di kawasan tadahan yang agak besar dan pencetusnya ialah hujan lebat yang telah mencairkan tanah kemudian mengalir turun ke lebuhraya.

1

BENTONG, 12 November 2015 – Satu kejadian banjir lumpur telah berlaku pada petang 11 November 2015 di KM52.4 Lebuhraya KL-Karak dan telah menjejaskan laluan sepanjang 2 kilometer dan terpaksa ditutup.  Sehubungan itu satu lawatan turun padang oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya telah diadakan hari ini.

YB Menteri Kerja Raya turut diberi penerangan berhubung kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh ANIH Berhad. Terdahulu beliau membuat tinjauan udara kawasan kejadian dengan menggunakan helikopter.

Lawatan kerja tersebut turut dihadiri pihak media bagi melihat sendiri situasi sebenar yang berlaku seterusnya membetulkan persepsi orang ramai berhubung kejadian tersebut yang telah tersebar atau viral di media sosial. Sidang media berhubung kejadian telah diadakan di tapak lapangan.

Disebabkan kejadian tersebut, pihak Kementerian Kerja Raya mengeluarkan satu kenyataan media bagi memaklumkan penutupan Lebuhraya KL-Karak dan menasihati orang ramai supaya menggunakan jalan alternatif.  

Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh pakar cerun dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, banjir lumpur biasanya berlaku di kawasan tadahan yang agak besar dan pencetusnya ialah hujan lebat yang telah mencairkan tanah kemudian mengalir turun ke lebuhraya.

1

SHAH ALAM, 4 November 2015 - Sebagai agensi Kerajaan yang bertanggungjawab untuk memastikan keupayaan usahawan-usahawan binaan Bumiputera dipertingkatkan dari masa ke semasa, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Simposium Kontraktor dan Usahawan Bahan Binaan Bumiputera 2015.

Matlamat utama adalah untuk melahirkan kontraktor dan usahawan bahan binaan Bumiputera yang lebih berdaya saing hingga ke peringkat antarabangsa.  Ini selaras dengan Teras ke-4 Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) iaitu Memperhebatkan Keusahawanan dan Perniagaan Bumiputera dan perluasan jaringan perniagaan di antara penggiat Bumiputera dalam industri binaan. PEB adalah Agenda Nasional yang dilancarkan YAB Perdana Menteri Malaysia pada     14 September 2013.

Turut dilancarkan julung kalinya pada simposium ini adalah Pelancaran ‘Blue Pages’: Direktori Usahawan Bahan Binaan Bumiputera oleh YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara serentak dengan majlis penutup simposium ini. ‘Blue Pages’ ini bertujuan untuk mempromosikan produk keluaran usahawan binaan Bumiputera dan bertindak sebagai pemangkin kepada usahawan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan di dalam industri binaan.

Blue Pages’ ini mengandungi maklumat 473 usahawan bahan binaan Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kerja Raya melalui BPKU. Antara maklumat yang dinyatakan di dalam ‘Blue Pages’ adalah seperti nama syarikat, alamat, nama Pengarah Urusan, alamat emel, nombor telefon dan senarai produk. ‘Blue Pages’ ini disasarkan kepada penggiat industri binaan seperti kontraktor, pemaju dan perunding, agensi Kerajaan, ‘Government Link Companies’ (GLC), Syarikat – syarikat Konsesi Lebuhraya dan Bangunan Persekutuan dan Badan – Badan Profesional Industri Binaan.

Terdahulu, bersempena dengan simposium ini, telah diadakan Malam Pengiktirafan Kontraktor Bumiputera Berprestasi Tinggi (KBBT) pada 3 November 2015 yang diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada 22 orang kontraktor gred G7 Bumiputera berprestasi tinggi yang dipilih sebagai kontraktor yang berdaya saing dan berkemampuan untuk menjalankan sebarang projek kerajaan mahu pun swasta.

Simposium yang diadakan pada 3 dan 4 November 2015 dan bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) ini menyasarkan seramai 1,000 kontraktor Bumiputera (Gred G1 – G7) dan 50  usahawan bahan binaan Bumiputera dari seluruh negara.

Antara pengisian simposium ini adalah pembentangan-pembentangan kertas kerja oleh tokoh terkemuka antaranya YBhg. Dato’ Dr. Ismail Bin Alias, Mantan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, YBhg. Dato’ Husni Bin Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), En. Zhariff Bin Zainul, Ketua Jabatan Perhubungan Hal Ehwal Bumiputera Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd dan Prof Dr. Rozainun Bin Hj.  Abd Aziz, Dekan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

1

SHAH ALAM, 3 November 2015 - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menganjurkan Malam Pengiktirafan Kontraktor Bumiputera Berprestasi Tinggi (KBBT).

Majlis ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada 22 orang kontraktor gred G7 Bumiputera berprestasi tinggi yang dipilih sebagai kontraktor yang berdaya saing dan berkemampuan untuk menjalankan sebarang projek kerajaan mahu pun swasta.

Selain itu penganjuran majlis ini adalah bertujuan menyediakan pangkalan data senarai Kontraktor Bumiputera untuk rujukan,mengenalpasti kontraktor Bumiputera tulen yang kompeten dan berprestasi tinggi dari segi pengurusan, kewangan dan teknikal, meningkatkan bilangan kontraktor Bumiputera yang berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan, meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam sektor pembinaan dan mengurangkan bebanan kewangan Kerajaan akibat projek sakit/mansuh.

Kumpulan sasar untuk untuk pengiktirafan KBBT adalah kontraktor bumiputera gred G2 hingga G7, berdaftar dengan CIDB dan BPKU melebihi 5 tahun serta memperolehi score CIDB sekurang-kurangnya 3 bintang.

Penilaian dilakukan mengikut Negeri menggunakan Borang Penilaian KBBT.  Seterusnya proses inspektorat Pengurusan Projek dilakukan ke atas syarikat tercalon sebelum Pengesyoran dan Laporan dibawa ke Jawatankuasa Induk Kontraktor Bumiputera Berprestasi Tinggi (JKIKBBT) untuk penilaian akhir dan diangkat kepada Jawatankuasa Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (JPEB) untuk penganugerahan KBBT.

Anugerah pada malam ini disampaikan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya. Majlis ini diadakan bersempena program Simposium Kontraktor dan Usahawan Bahan Binaan Bumiputera 2015.

Simposium yang diadakan pada 3 dan 4 November 2015 dan bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) ini menyasarkan seramai 1,000 kontraktor Bumiputera (Gred G1 – G7) dan 50  usahawan bahan binaan Bumiputera dari seluruh negara.

1

KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2015 - Bagi tahun 2015, sebanyak 5 anugerah dipertandingkan bersempena Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya 2015. Anugerah tersebut adalah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang telah diadakan pada 27 Oktober 2015 lalu. Anugerah ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori pengurusan dan kategori teknikal.

Manakala anugerah-anugerah lain yang telah dipertandingkan adalah seperti Anugerah Inovasi ICT, Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan, Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat dan Anugerah Inovasi Pengurusan Projek.

Johan KIK Kategori Pengurusan dimenangi oleh kumpulan PRISMA daripada Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah manakala johan kategori teknikal pula ialah kumpulan INSPIRA daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Bagi Anugerah Inovasi ICT, ia disandang Bahagian Teknologi Maklumat, JKR Malaysia, Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan dan Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat dimenangi Unit Audit Dalam, KKR, manakala Anugerah Inovasi Pengurusan Projek dimenangi oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Malaysia.

Tema Hari Inovasi KKR pada tahun tahun ini adalah ‘Inovasi Memacu Produktiviti’.  Pelbagai program inovasi diadakan bagi melahirkan idea-idea inovatif dan kreatif di kalangan warga Kementerian Kerja Raya. Bersempena dengan Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya 2015, empat program inovasi telah diaturkan iaitu Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif, Pameran Inovasi, Ceramah Inovasi dan Anugerah Inovasi.

Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya telah diadakan sejak tahun 2010 bagi menggantikan Hari Kualiti yang telah diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1987. Hari Inovasi diadakan  pada setiap tahun selaras dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berasaskan inovasi dan kreativiti.