Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Menandatangani Perjanjian Project Delivery Partner (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah

Putrajaya, 11 April 2016 - YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Project Delivery Partner (PDP) untuk mengurus dan melaksanakan pembinaan 706 kilometer Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan merubah lanskap infrastruktur dan menghubung bandar-bandar utama di Sabah dengan lebih efisien, selesa dan selamat buat 3.74 juta penduduk di negeri itu.

Perjanjian ini melibatkan tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP. YBhg Dato’ Sri Zohari bin Hj Akob, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya mewakili Kerajaan Persekutuan, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti bin Wakiman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan YBrs. Tuan Ir. Shahelmey Yahya, Pengarah Urusan, Borneo Highway PDP Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian.

Turut menjadi saksi acara menandatangani perjanjian ini adalah YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan YBhg Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.

Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) yang telah dilantik sebagai PDP untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan bertindak sebagai “single point of accountability” yang akan bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuhraya dengan kadar kos yang berpatutan pada tempoh pembinaan yang dipersetujui oleh Kerajaan iaitu siap sepenuhnya sebelum 31 Disember 2021.

Sepanjang tempoh perlaksanaan projek lebuhraya ini, PDP akan bertanggungjawab melaksanakan projek ini berdasarkan Key Performance Indicator (KPI) yang telah dipersetujui.

Pakej pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini melibatkan jajaran Papar – Donggongon sepanjang 11.7 kilometer yang merupakan sebahagian daripada 706 kilometer jajaran Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang kebanyakannya akan dinaiktaraf kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) dengan piawaian R5, dijangka akan dilancarkan pada penghujung bulan April 2016.

Sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan dianggotai oleh wakil dari agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga bakal dibentuk untuk menyelaraskan perlaksanaan projek.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memantau, menyelaras dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul dalam pelaksanaan projek ini. Selain itu, Jawatankuasa ini juga akan memastikan penglibatan rakyat Sabah dalam projek ini dapat dimaksimumkan.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dijangka akan menjadi jalan penghubung strategik yang selamat serta memberi keselesaan perjalanan kepada pengguna jalan raya. Projek ini juga disasarkan akan memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi setempat, malah ia berupaya memacu Pembangunan Koridor Ekonomi di Sabah (Sabah Development Corridor) dengan akses dan rangkaian jalan raya yang lebih lengkap dan efisien.

Selain itu, projek ini dijangka akan memberi kesan positif kepada penduduk negeri Sabah melalui peluang-peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baru dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baru ekonomi.

Dengan termeterainya perjanjian Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini, ia membuktikan komitmen ‘Aku Janji’ Kerajaan Persekutuan untuk rakyat Sabah.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita