PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO SABAH PERLU SIAP MENGIKUT JADUAL DAN PATUH TATAKELOLA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO SABAH PERLU SIAP MENGIKUT JADUAL DAN PATUH TATAKELOLA

Submitted by wmukk on 30 October 2026

KOTA KINABALU - Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan komitmen untuk memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dilaksanakan mengikut jadual dengan pematuhan terhadap tatakelola dan syarat kontrak yang ditetapkan. 

Usaha ini penting bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan mampu menyokong pembangunan sosioekonomi negeri. 

Komitmen tersebut ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bil. 10/2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Zainudin Aman.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kerajaan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Ridhwan Roger Linus; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, YBhg. Datuk Khairus Masnan Abdul Khalid; serta Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Zul Hadi Ahmad.

KKR mengambil serius penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) serta hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan pelaksanaan projek ini. 

Setiap kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani melalui langkah penambahbaikan segera, khususnya dalam aspek pengurusan projek, pemantauan kemajuan kerja dan pematuhan tatakelola.

Bagi Fasa 1A, kemajuan fizikal projek direkodkan pada 89.54% berbanding 96.32% yang dijadualkan. Sehubungan itu, KKR telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan kontraktor berkaitan mengemukakan pelan pemulihan (recovery plan) yang realistik dan berkesan dengan segera. 

Pelan ini perlu merangkumi langkah memperkukuh keupayaan di tapak melalui penambahan jentera, tenaga kerja serta waktu operasi bagi mempercepat pelaksanaan kerja. KKR turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap prestasi pelaksanaan projek yang tidak mencapai sasaran. 

Tindakan kontraktual yang tegas, termasuk penguatkuasaan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (Liquidated Ascertained Damages, LAD), akan diambil sekiranya kontraktor gagal memenuhi obligasi dan sasaran yang ditetapkan mengikut peruntukan kontrak.

Dalam masa yang sama, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran pelaksanaan, termasuk isu ketersediaan tapak dan pengalihan utiliti. 

KKR komited untuk memastikan setiap tindakan pemulihan dilaksanakan secara berkesan, dengan pemantauan rapi dan pematuhan tatakelola yang telus, demi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya untuk manfaat rakyat Sabah.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5