Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

RAWANG, 11 JANUARI 2017: Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Ab. Aziz Bin Kaprawi telah mengadakan lawatan kerja ke Plaza Tol Rawang, Lebuhraya Utara Selatan.

Program yang dianjurkan oleh pihak PLUS Malaysia Berhad ini bertujuan untuk memperkenalkan sistem yang dinamakan sebagai Weigh In Motion (WIM) yang mampu mengukur berat kenderaan yang memasuki lebuhraya. Sistem tersebut mampu mengesan kenderaan yang melebihi muatan.

Berat sesuatu kenderaan yang melalui jalan raya adalah penting dalam memastikan ia mematuhi keupayaan jalan raya tersebut untuk menampung beban sepertimana direka bentuk mengikut piawaian jalan raya. Lebihan muatan kenderaan merupakan antara punca berlakunya kerosakan struktur jalan raya.

1

RAWANG, 9 JANUARI 2017: Pembukaan jalan keluar-masuk di Persimpangan Bertingkat Kuang Sistem telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof pada hari ini. Jalan keluar-masuk ini menyediakan laluan yang lebih mudah dan cepat dari Kuala Lumpur ke Kundang serta kawasan sekitarnya di utara Selangor.

Melalui laluan dari Plaza Tol Rawang Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), jarak dan masa perjalanan dari ibu negara akan dikurangkan kira-kira 10 km atau 15 minit. Jalan keluar-masuk ini juga akan menyediakan laluan sambungan terus ke tapak pembangunan Gamuda Gardens iaitu kawasan pembangunan bercampur seluas 810 ekar.

Jalan keluar-masuk baru ini akan memberikan kesan berganda kepada ekonomi penduduk tempatan kerana laluan sambungan yang lebih mudah ini menarik lebih banyak pelaburan dan pembangunan baru di kawasan berkenaan.

Jalan keluar-masuk yang terletak betul-betul di Persimpangan Lebuhraya LATAR, PLUS dan GCE iaitu Persimpangan Bertingkat Kuang Sistem ini juga akan mendorong lagi pembangunan pesat di kawasan sekitar Kundang dan meningkatkan tahap sosio-ekonomi penduduk.

Gamuda Land telah mengambil inisiatif untuk membangunkan Gamuda Gardens yang bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan tersebut di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baru kepada penduduk tempatan.

Dengan jalan keluar-masuk baru tersebut juga pembangunan Gamuda Gardens dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM10 bilion turut merancang sebuah hab perniagaan yang akan merangsang pertumbuhan pesat di seluruh kawasan utara Selangor.

1

BENTONG, 5 JANUARI 2017: YB Menteri Kerja Raya dan YB Menteri Pengangkutan Malaysia merasmikan pelancaran Projek Central Spine Road Bentong Bypass, Pahang sepanjang 28.5km berdasarkan faktor kesesakan lalu lintas.

Projek ini yang telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dengan kos yang diluluskan sebanyak RM578.25 juta. Keperluan projek ini adalah selaras dengan keadaan semasa trafik yang kian meningkat saban tahun dan Kerajaan merasakan telah tiba masa untuk memberikan komitmen bagi melaksanakan jajaran Bentong Bypass. Projek ini dibahagikan kepada tiga (3) Seksyen Pembinaan iaitu Seksyen 5C1, Seksyen 5C2 dan Seskyen 5D yang telah dimulakan secara berperingkat mulai November 2015 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11).

Skop projek Bentong Bypass ini ialah membina jalan baru empat lorong dua hala dengan piawaian JKR R5 sepanjang 28.5km. Bentong Bypass merupakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT08 sedia ada yang dapat memberikan keselesaan kepada pengguna dan mengurangkan kesesakan lalu lintas seterusnya menjimatkan masa perjalanan. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Projek Central Spine Road yang bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang sepanjang 350km, dibahagikan kepada enam (6) pakej utama iaitu:

Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan (47km)

Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan (59km)

Pakej 3: Gua Musang ke Kg. Relong, Kuala Lipis, Pahang (92.5km)

Pakej 4: Kg. Relong, Kuala Lipis ke Raub, Pahang (50km)

Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang (54km)

Pakej 6: Bentong ke Simpang Pelangai, Pahang (47.5km )

Pada masa ini keutamaan kerajaan adalah untuk melaksanakan sebahagian Pakej 3 iaitu dari Mentara ke Kampung Seberang Jelai, Pahang (kawasan kemalangan) sepanjang 61.15km berdasarkan faktor keselamatan dan juga sebahagian Pakej 5 iaitu dari Kampung Asap ke Kampung Sertik. Sebahagian jajaran Pakej 3 iaitu dari Kampung Kubang Rusa ke Kampung Seberang Jelai, Pahang sepanjang 41.35km telah pun siap dilaksanakan.

1

LAHAD DATU, 19 DISEMBER 2016 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini merasmikan majlis pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran baharu iaitu Jalan Pintas Lahad Datu. Majlis turut dihadiri YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran baharu Jalan Pintas Lahad Datu dengan kos pembinaan sebanyak RM165 juta ini melibatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya baharu empat lorong dua hala (dual carriageway) sepanjang 7 km. Terdapat juga kerja-kerja pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Sepagaya sepanjang 32 meter yang mana telah mengambil kira kriteria seismik atau gempa bumi. Jajaran yang baharu ini akan bermula dari Batu 6, Jalan Silam dan berakhir di Simpang POIC (Jalan Segama).

Laluan ini apabila siap kelak, akan memendekkan jarak dan masa perjalanan kepada pengguna dari Tawau ke Sandakan atau Sandakan ke Tawau dari 17 km kepada 7 km sahaja tanpa melalui bandar Lahad Datu dan seterusnya akan mengurangkan kesesakan lalulintas serta memberikan keselesaan kepada penduduk di sekitar bandar Lahad Datu.

Hasilnya, penduduk Lahad Datu akan menikmati satu laluan jalan raya yang baharu yang akan membuka kawasan-kawasan baharu dan akan merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat. Seterusnya, ianya bukan sahaja akan memudahkan urusan pasaran dan logistik bagi industri kecil dan sederhana penduduk di daerah Lahad Datu yang terkenal dengan hasil pertanian seperti koko dan kelapa sawit dan perikanan, malahan ia juga akan membantu memperbaiki jaringan infrastruktur dan logistik bagi industri-industri yang difokuskan di bawah wilayah koridor Sabah Economic and Investment Authority (SEDIA) antaranya seperti Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) oleh Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) yang telah dilantik sebagai rakan pelaksana projek untuk memastikan pelakasanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan berdasarkan petunjuk prestasi utama (key performance indicator – KPI) yang dipersetujui Kerajaan.

1

MIRI, 18 DISEMBER 2016: Lapan (8) pakej yang dilancarkan ini merupakan sebahagian daripada sebelas (11) pakej jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang kini sedang giat dilaksanakan di pelbagai kawasan di Negeri Sarawak. Pakej-pakej tersebut adalah seperti berikut:

i. Sematan ke Jambatan Sungai Moyan dengan panjang 95 km;

ii. Persimpangan Pantu ke Batang Skrang dengan panjang 89 km;

iii. Batang Skrang ke Jambatan Sungai Awik dengan panjang 68 km;

iv. Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor dengan panjang 64 km;

v. Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip dengan panjang 64 km;

vi. Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu dengan panjang 65 km;

vii. Persimpangan Bakun ke Sungai Tangap dengan panjang 77 km; dan

viii. Persimpangan Sungai Tangap ke Pujut Link Road dengan panjang 80 km.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Kerajaan senantiasa memastikan bahawa setiap proses lantikan kontraktor yang dibuat dilaksanakan secara telus melalui proses tender. Prosedur penilaian tender tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Tender dan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang diterajui oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan dianggotai oleh pegawai-pegawai teknikal daripada kementerian/agensi Kerajaan Persekutuan. Kaedah tender tersebut jelas berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan di mana keseluruhan Work Package Contractor (WPC) yang dilantik adalah memenuhi kriteria pengalaman kerja, kemampuan teknikal dan kewangan yang mencukupi serta di kalangan syarikat milik penuh atau majoriti warga Sarawak.

Kerajaan amatlah mengalu-alukan penglibatan masyarakat tempatan Sarawak di dalam pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini. Dengan lebih ramai warga Sarawak terlibat secara langsung dan tidak langsung – bukan sahaja sebagai kontraktor dan perunding bahkan juga pembekal serta vendor, merangkumi rantaian nilai projek (value chain); lebih ramai rakyat Sarawak akan dapat meningkatkan kepakaran teknikal, pengetahuan dan pengalaman mereka melalui technology and knowledge transfer. Kontraktor bumiputera warga Sarawak daripada kelas B hingga F juga tidak dilupakan di mana projek ini telah memperuntukkan sebahagian kerja untuk mereka di antaranya pembinaan Kawasan Rehat dan Rawat, hentian bas, lay-by, road furniture dan jejambat pejalan kaki.

Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini bakal memperkukuh dan memperluaskan jaringan jalan raya sedia ada dari Telok Melano, Sematan seterusnya ke bandar-bandar lain di Sarawak seperti di Lundu, Kuching, Bau, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarataok, Sarikei, Sibu, Selangau, Tatau, Bintulu, Bakun Junction, Miri, hinggalah ke Mengkalap-Merapok/sempadan Sindumin. Ianya juga bakal merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan dengan menghubungkan pusat-pusat perindustrian contohnya di kawasan perindustrian Kuala Baram dan Piasau di Miri dengan pelabuhan dan hab ekonomi - Sarawak Corridor of Renewal Energy (SCORE) di Negeri Sarawak. Selain daripada segi penyediaan infrastruktur yang lebih baik, projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak akan menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat di Negeri Sarawak.

1

KOTA SAMARAHAN, 18 DISEMBER 2016: Pembinaan Jambatan Batang Sadong, Kampung Buloh, Samarahan, Sarawak adalah satu inisiatif kerajaan untuk memendekkan masa perjalanan dari daerah Asajaya / Sadong Jaya ke daerah Simunjan / Sebuyau. Jambatan ini juga adalah salah satu jambatan yang penting bagi melengkapkan jajaran jalan pesisir pantai di Negeri Sarawak.

Projek ini telah diluluskan lanjutan program walkabout YAB Perdana Menteri Malaysia di Negeri Sarawak pada tahun 2011. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM231 juta untuk projek ini dan telah mula pembinaan pada bulan Julai 2012 dan ianya telah dibuka kepada orang ramai pada 16 Oktober 2016 dan telah dirasmikan pada hari yang bersejarah ini oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Dengan siapnya jambatan ini, ia merupakan jambatan terpanjang di Negeri Sarawak dengan kepanjangan 1.48 kilometer. Lebar jambatan ini adalah 11.5 meter dan mempunyai 2 lorong 2 hala.

Bagi memastikan keselamatan pengguna, Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya Sarawak terlebih dahulu telah menyempurnakan Road Safety Audit (RSA) untuk memastikan kesemua aspek daripada segi keselamatan telah disemak dan diperbetulkan bagi memastikan keselamatan pengguna yang akan menggunakan jambatan ini.

Dengan siapnya jambatan ini, pengguna tidak perlu menggunakan perkhidmatan feri bagi pergerakan merentasi sungai ini. Disebabkan oleh lebar sungai ini dan trafik yang tinggi, masa menunggu boleh mengambil masa yang lama. Perkhidmatan feri ini juga dipengaruhi oleh keadaan cuaca; apabila arus sungai adalah laju, pergerakan merentasi sungai mempunyai risiko yang tinggi kepada pengguna.

1

KUALA LIPIS, 15 DISEMBER 2016: YB Menteri Kerja Raya hari ini merasmikan pembukaan jajaran Projek Central Spine Road (CSR), Seksyen 3H (Skop Tambahan): Kampung Kechur ke Kampung Seberang Jelai. Projek ini yang panjangnya 350km bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang dibahagikan kepada enam (6) pakej utama iaitu:

Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan (47km)

Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan (59km)

Pakej 3: Gua Musang ke Kg. Relong, Kuala Lipis, Pahang (92.5km)

Pakej 4: Kg. Relong, Kuala Lipis ke Raub, Pahang (50km)

Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang (54km)

Pakej 6: Bentong ke Simpang Pelangai, Pahang (47.5km )

Keutamaan kerajaan pada masa ini ialah untuk melaksanakan sebahagian Pakej 3 iaitu dari Mentara ke Kampung Seberang Jelai, Pahang (kawasan kemalangan) sepanjang 61.15km berdasarkan faktor keselamatan dan juga sebahagian Pakej 5 iaitu dari Kampung Asap ke Kampung Sertik serta Bentong Bypass, Pahang sepanjang 28.5km berdasarkan faktor kesesakan lalu lintas.

Pakej 3 yang melibatkan jajaran dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang terbahagi kepada 10 seksyen. 2 Seksyen iaitu dari Mentara ke Kampung Kubang Rusa dalam pembinaan manakala 4 seksyen iaitu dari Kampung Kubang Rusa ke Kampung Seberang Jelai, Pahang sepanjang 41.35km telah pun siap.

Bagi tujuan perasmian pada hari ini, jajaran yang telah siap adalah Seksyen 3H skop tambahan iaitu dari Kampung Kechur ke Kampung Seberang Jelai, Pahang sepanjang 3.85km. Seksyen ini telah dimulakan pada 8 Oktober 2014 dan baru sahaja disiapkan pada 7 Oktober 2016 dengan kos pembinaan sebanyak RM59.5 juta. Sebahagian jajaran tersebut di Pakej 3 iaitu dari Kampung Kubang Rusa ke Kampung Seberang Jelai, Pahang sepanjang 41.35km telah pun siap dibina.                            

Skop projek ini ialah membina jalan baru 4 lorong 2 hala sepanjang 3.85km, iaitu 3.05km menggunakan teknologi Continuosly Reinforced Concrete Pavement (CRCP) yang diyakini lebih tahan lama dan dapat mengurangkan kos penyenggaraan dalam tempoh jangka panjang, membina sebuah jambatan, 2 vehicular box culvert dan 1 smart vehicular box culvert.

Projek CSR merupakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT08 sedia ada yang dapat memberikan keselesaan & keselamatan kepada pengguna, seterusnya menjimatkan jarak dan masa perjalanan pengguna. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

 

 

1

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2016: Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan bersempena Minggu Inovasi KKR 2016 bagi meraikan para pemenang pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2016 yang telah berlangsung pada 25 Oktober 2016.

YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah sudi menyampaikan anugerah kepada semua pemenang. Johan KIK kategori Teknikal telah dimenangi Kumpulan USE dari Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dengan Projek; Gangguan Bekalan Elektrik – RCCB Trip Berulang manakala Johan kategori Teknikal pula dimenangi oleh Kumpulan DUO daripada Cawangan Kontrak & Ukur Bahan (CKUB), Jabatan Kerja Raya dengan Nama Projek; Kelewatan Penyediaan Dokumen Kontrak Perjanjian Projek Pembinaan Kerajaan.

Johan Anugerah Inovasi ICT pula disandang oleh Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Kerja Raya dengan Nama Projek: Sistem Permohonan Pembangunan Dan Mendirikan Struktur Iklan Di Dalam Rizab Jalan Persekutuan (Sistem E-Site), manakala Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat dimenangi Unit Audit Dalam, Kementerian Kerja Raya.

Selain daripada KIK dan Hari Inovasi, turut diadakan program Bicara Inovasi yang menampilkan Ustaz Don Daniyal dan Saiful Nang dan dipengerusikan oleh moderator Tuan Haji Shahnon Mohamad dari Unit Komunikasi Korporat KKR.

1

KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2016: Cawangan Pengurusan Psikologi, BPSM telah menganjurkan Hari Psikologi KKR 2016 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dengan bertemakan “Kesejahteraan Minda Melahirkan Warga Berprestasi Tinggi”.

Tujuan program ini adalah untuk memfokuskan kepada pencaknaan maksud kesihatan mental kepada warga Kerja Raya. Program ini juga berteraskan kepada kepentingan kesihatan minda dan mental untuk memastikan warga kerja raya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Pelbagai acara di atur antaranya ceramah berhubung wad psikiatri dan rawatan pesakit mental. Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Sri Zohari Haji Akob telah merasmikan program ini dalam satu majlis yang turut mengadakan sesi pentauliahan AKRAB KKR 2016 dan penganugerahan AKRAB Unggul 2016.

1

SEMENYIH, 19 OKTOBER 2016: Persimpangan Bertingkat Eco Majestic di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) yang dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof hari ini, bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pengguna, malah bakal memacu aktiviti dan pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.

Dibina dengan kos kira-kira RM50 juta, persimpangan bertingkat Eco Majestic, Lebuhraya LEKAS ini akan menjadi laluan baru ke Bandar Eco Majestic. Ia akan membantu aliran trafik sepanjang Jalan Semenyih dan memendekkan masa perjalanan ke pusat bandar Kuala Lumpur. Pembukaan persimpangan ini juga turut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Rinching dan Beranang.

Persimpangan Bertingkat Eco Majestic, Lebuhraya LEKAS ini dilengkapi dengan plaza tol berkapasiti 12 lorong iaitu 6 lorong keluar dan 6 lorong masuk. Selain itu, plaza tol di persimpangan bertingkat ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, tandas awam dan kawasan meletak kenderaan. Plaza Tol di persimpangan bertingkat Eco Majestic akan beroperasi secara sistem tol tertutup.

Plaza tol telah dipasang sistem kutipan tol secara Kelas Pelbagai (Multi class), khusus TnGo, mod campuran iaitu TNG & RFID (Radio Frequency Identification) dan khusus RFID untuk kedua-dua arah. Sistem Kutipan Tol menggunakan RFID ini menjadikan LEKAS sebagai Lebuhraya yang pertama memasang sistem RFID ini (peralatan di lorong). Walaubagaimanapun, sistem RFID ini belum siap sepenuhnya dan tidak akan digunakan secara rasmi pada pembukaan persimpangan ini.