Langkau ke kandungan utama
1

Perasmian Persimpangan Bertingkat Eco Majestic, Lebuhraya Lekas

SEMENYIH, 19 OKTOBER 2016: Persimpangan Bertingkat Eco Majestic di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) yang dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof hari ini, bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pengguna, malah bakal memacu aktiviti dan pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.

Dibina dengan kos kira-kira RM50 juta, persimpangan bertingkat Eco Majestic, Lebuhraya LEKAS ini akan menjadi laluan baru ke Bandar Eco Majestic. Ia akan membantu aliran trafik sepanjang Jalan Semenyih dan memendekkan masa perjalanan ke pusat bandar Kuala Lumpur. Pembukaan persimpangan ini juga turut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Rinching dan Beranang.

Persimpangan Bertingkat Eco Majestic, Lebuhraya LEKAS ini dilengkapi dengan plaza tol berkapasiti 12 lorong iaitu 6 lorong keluar dan 6 lorong masuk. Selain itu, plaza tol di persimpangan bertingkat ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, tandas awam dan kawasan meletak kenderaan. Plaza Tol di persimpangan bertingkat Eco Majestic akan beroperasi secara sistem tol tertutup.

Plaza tol telah dipasang sistem kutipan tol secara Kelas Pelbagai (Multi class), khusus TnGo, mod campuran iaitu TNG & RFID (Radio Frequency Identification) dan khusus RFID untuk kedua-dua arah. Sistem Kutipan Tol menggunakan RFID ini menjadikan LEKAS sebagai Lebuhraya yang pertama memasang sistem RFID ini (peralatan di lorong). Walaubagaimanapun, sistem RFID ini belum siap sepenuhnya dan tidak akan digunakan secara rasmi pada pembukaan persimpangan ini.

Tarikh Dan Waktu Acara