Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Pelancaran Projek Jalan Pintas Lahad Datu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah

LAHAD DATU, 19 DISEMBER 2016 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini merasmikan majlis pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran baharu iaitu Jalan Pintas Lahad Datu. Majlis turut dihadiri YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran baharu Jalan Pintas Lahad Datu dengan kos pembinaan sebanyak RM165 juta ini melibatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya baharu empat lorong dua hala (dual carriageway) sepanjang 7 km. Terdapat juga kerja-kerja pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Sepagaya sepanjang 32 meter yang mana telah mengambil kira kriteria seismik atau gempa bumi. Jajaran yang baharu ini akan bermula dari Batu 6, Jalan Silam dan berakhir di Simpang POIC (Jalan Segama).

Laluan ini apabila siap kelak, akan memendekkan jarak dan masa perjalanan kepada pengguna dari Tawau ke Sandakan atau Sandakan ke Tawau dari 17 km kepada 7 km sahaja tanpa melalui bandar Lahad Datu dan seterusnya akan mengurangkan kesesakan lalulintas serta memberikan keselesaan kepada penduduk di sekitar bandar Lahad Datu.

Hasilnya, penduduk Lahad Datu akan menikmati satu laluan jalan raya yang baharu yang akan membuka kawasan-kawasan baharu dan akan merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat. Seterusnya, ianya bukan sahaja akan memudahkan urusan pasaran dan logistik bagi industri kecil dan sederhana penduduk di daerah Lahad Datu yang terkenal dengan hasil pertanian seperti koko dan kelapa sawit dan perikanan, malahan ia juga akan membantu memperbaiki jaringan infrastruktur dan logistik bagi industri-industri yang difokuskan di bawah wilayah koridor Sabah Economic and Investment Authority (SEDIA) antaranya seperti Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) oleh Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) yang telah dilantik sebagai rakan pelaksana projek untuk memastikan pelakasanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan berdasarkan petunjuk prestasi utama (key performance indicator – KPI) yang dipersetujui Kerajaan.

Tarikh Dan Waktu Acara