Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KAJANG, 10 Mac 2016 : Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengadakan Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Kajang Utama hari ini yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya. Persimpangan Bertingkat Kajang Utama ini merupakan inisiatif pihak kerajaan untuk memudahkan perjalanan penduduk sekitar kawasan tersebut yang rata-ratanya merupakan pengguna Lebuhraya SILK.

Melalui peruntukan RMK10 yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan, kos projek sebanyak RM22.4 juta yang merangkumi kos pembinaan dan perundingan telah dibelanjakan bagi perlaksanaan projek ini. Pembinaan projek yang dipantau oleh LLM ini telah dimulakan pada awal 2014 dengan mengambil masa tempoh pembinaan selama 24 bulan dan telah siap pada akhir Januari 2016.

Pada masa kini, penduduk di sekitar Taman Kajang Utama terpaksa melalui Persimpangan Jalan Reko, Lebuhraya SILK untuk ke Bandar Kajang atau ke arah Semenyih / Sg. Long. Manakala perjalanan dari Bandar Kajang ke Taman Kajang Utama perlu melalui pusingan-u di Leburaya SILK. Penduduk terpaksa melalui perjalanan yang lebih jauh dan berhadapan dengan kesesakan di sekitar Persimpangan Jalan Reko pada setiap hari terutamanya pada waktu puncak iaitu pagi dan petang.

Dengan adanya jalan sambungan ini, ia dijangka akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Persimpangan Jalan Reko dan dapat menyuraikan kepadatan trafik sedia ada. Dalam keadaan trafik yang lancar, tempoh masa perjalanan untuk ke Kajang Utama dari arah Kajang dan Putrajaya dapat dijimatkan sehingga 5 minit dengan pengurangan jarak perjalanan sebanyak 4 kilometer (km). Manakala bagi perjalanan dari Kajang Utama menghala ke arah Semenyih dan Sungai Long tempoh perjalanan dapat dijimatkan sehingga 8 minit dengan jarak perjalanan 4 km lebih pendek.

Pembukaan persimpangan ini secara tidak langsung dapat memberi banyak manfaat kepada hampir 25,000 pengguna lebuhraya di kawasan sekitar. Antara penduduk sekitar yang bakal mendapat manfaat daripada persimpangan ini adalah penduduk di Taman Kajang Sentral, Taman Kajang Utama, dan Taman Seri Mewah serta kawasan pembangunan baru iaitu Bandar Kajang 2.

Persimpangan ini mula dibuka kepada lalu lintas bermula jam 10 malam pada 10 Mac 2016. Dengan pembukaan persimpangan ini, adalah diharapkan penduduk sekitar dapat menggunakan kemudahan yang telah disediakan ini dengan baik dan perjalanan trafik semakin lancar.

1

KUALA LUMPUR, 1 Mac 2016 – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Cawangan Kejuruteraan Geoteknik, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah berkerja sama dengan Road Engineering Association of Malaysia (REAM) menganjurkan Seminar on Geotechnical Earthquake Engineering in Malaysia selama dua hari bermula hari ini.

Seminar yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay ini telah berjaya menghimpunkan seramai 350 peserta yang terdiri daripada jurutera, kontraktor, perunding dan pakar akademik dari dalam dan luar Negara bagi membincangankan topik yang berkaitan kejuruteraan geoteknik.

Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, dalam ucapan perasmiannya memberikan penghargaan atas usaha pihak penganjur yang telah berusaha membawa pakar yang bakal membentangkan kertas kerja untuk dikongsi bersama peserta bagi mewujudkan kesedaran dan pengetahuan kepada topik yang penting kepada negara dalam menghadapi bencana gempa bumi seperti yang pernah melanda Ranau, Sabah pada Jun 2015.

1

KUCHING, 29 Februari 2016: Seramai 107 graduan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sarawak daripada tujuh kategori/tred pembinaan telah diraikan sebagai mengiktiraf pencapaian mereka yang telah menamatkan latihan kemahiran masing-masing dalam satu Majlis Gradusi ABM Sarawak bertempat di Hotel Waterfront, Kuching.

Pada majlis tersebut, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof telah sudi menyampaikan anugerah kepada 7 orang graduan pelatih yang cemerlang daripada setiap kategori bidang latihan. Mereka ini dipilih berdasarkan hasil kerja yang ditunjukkan semasa sesi latihan setanding dengan apa yang dipelajari, selain mempunyai keyakinan diri dan daya saing yang tinggi.

Pada majlis yang sama turut diadakan Majlis Menandatangani Akujanji CITP oleh 33 penggiat industri pembinaan Sarawak yang bertujuan menyediakan dan melahirkan tenaga mahir dalam sektor pembinaan menerusi Program Perintis yang diadakan.

Lima buah syarikat kontraktor tempatan telah bersetuju menyertai Program Perintis ini di mana para pelatih yang terpilih akan diberi pendedahan dan peluang merasai pengalaman sebenar industri binaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar. Kursus yang ditawarkan melalui program ini adalah architectural drafting, operasi kren bergerak dan pendawaian gred 2.

1

KUALA LUMPUR, 17 Februari 2016 : Seramai 78 Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) telah sebulat suara bersetuju memberi komitmen ke atas pencapaian Sifar Pothole jalan raya di Malaysia. Bagi merealisasikan komitmen ini, satu Aku Janji telah disediakan dan diserahkan kepada YB Menteri Kerja Raya dalam satu majlis ringkas sejurus selepas Mesyuarat POSKAB di Kompleks KKR2.

Timbalan Pengerusi Jurutera Daerah, Ir. Haji Mohd Isa bin Sulaiman telah mewakili kesemua 78 JD menyerahkan Aku Janji tersebut kepada YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya sambil disaksikan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha KKR.

Terdahulu, Para JD JKR telah membuat semakan tentang pothole di Jalan-jalan Persekutuan dan Negeri yang terdapat sejak Januari 2016 sehinggalah 6 Februari 2016. Sebanyak 1268 pothole di Jalan-jalan Persekutuan dan 1044 pothole di Jalan-jalan Negeri telah ditemui dan diambil tindakan segera dalam tempoh 24 jam dengan menampal lubang-lubang tersebut dengan cold mix sejajar dengan KPI KKR.

Dari segi peratusan, sebanyak 55% penemuan pothole datang daripada Jalan Persekutuan manakala 45% datang daripada Jalan Negeri. Oleh itu, satu dokumen telah disediakan sebagai rekod dan ini akan dijadikan format pemantauan dan audit sifar pothole oleh kesemua JD.

Serentak dengan itu juga, kempen #zeropothole telah dilancarkan di semua medium rasmi media social KKR dengan bantuan semua admin media social agensi dan JKR negeri. Adalah menjadi harapan agar sasaran Sifar Pothole ini tercapai mulai tahun 2016 dan tahun-tahun seterusnya demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

1

KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI 2016 – Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mendapat pendedahan tentang gaya amalan hidup sihat untuk menjaga keseimbangan kesihatan minda dan fizikal melalui program Well for Life KKR. Pengurusan dari segi aspek pemakanan juga turut diserapkan untuk memberi pendedahan yang serius kepada warga KKR akan kebaikan mengurangkan tahap kalori dalam pemakanan harian.

Sesi program dimulakan dengan penyampaian ceramah yang bertajuk “Mental Health” oleh Dr Yasmeen Farouk Mohamed, seorang pemegang PHD Sains Bioteknologi berkelulusan dari New Zealand dan juga seorang penulis buku kesihatan tempatan. Sesi kedua diteruskan dengan pendedahan tentang cara pemakanan yang lebih berkesan oleh seorang konsultan diet online yang pertama di Malaysia, Mohd Hisyammudin Lois yang memulakan sesi ceramah beliau dengan bermain ukulele secara bersahaja.

Aktiviti diteruskan lagi dengan aktiviti kecergasan yang dikendalikan oleh Qhal Isnariah dan Gillian yang merupakan antara konsultan yang terlibat dengan program kecergasan “ Jom Kurus” yang mendapat sambutan ramai di seluruh negara.

Selain itu, warga KKR turut berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta mendapat urutan refleksologi di samping mendapat khidmat nasihat perlindungan insurans dari CIMB serta menyertai kempen derma darah. Pelbagai booth pameran produk kesihatan turut dibuka. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) turut mengadakan pameran barangan tiruan yang terdapat di dalam pasaran negara.

1

KUCHING, 4 Februari 2016 : Satu program Jelajah Pan Borneo Sarawak (LPBS) Menteri Kerja Raya bersama pasukan Media Sarawak telah diadakan selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Februari 2016.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pihak Media mengenai cabaran dan realiti pembinaan jajaran Pan Borneo Sarawak agar persepsi sebenar dapat diwujudkan melalui peranan media sebagai penyalur maklumat kepada rakyat.

Jelajah ini bermula dari Sematan hingga ke Miri dengan jarak sejauh 746 kilometer dimana sepanjang jelajah ini pihak media turut dibawa melihat kemajuan kerja projek LPBS ini melalui taklimat di beberapa lokasi terpilih antaranya, Jalan Kuching-Serian, Mile 10-15, KM 591-3 (Batang Mukah – Sungai Buluh) serta tapak projek Persimpangan Nyabau – Bakun yang merupakan tapak kick off project yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 31 Mac 2015.

Pembinaan LPBS ini bakal memberikan kesan dan impak positif kepada tahap sosial dan ekonomi rakyat Sarawak.  Ia bakal menaiktaraf jalan raya persekutuan di Sarawak kepada 4 lorong dua hala dalam fasa satu pembikinannya bermula tahun 2016 hingga 2021.

1

SEREMBAN, 2 FEBRUARI 2016 – Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, menyertai Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia yang telah merasmikan pelancaran Kempen Kesedaran Kalori di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Lebuh Raya Malaysia, (arah selatan), Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam ucapan aluan sempena pelancaran kempen itu Fadillah menyatakan bahawa KKR sentiasa bersedia untuk mengadakan kerjasama strategik dengan KKM khususnya dalam usaha untuk membawa rakyat Malaysia ke arah taraf kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera. Kesedaran pengguna lebuhraya ketika menikmati makanan di R&R sepanjang lebuhraya mengenai kandungan kalori makanan dan minuman merupakan satu langkah proaktif untuk mendidik rakyat memberi keutamaan terhadap kesihatan mereka.

Kempen ini bertemakan slogan “Kawal Kalori,Cegah Obesiti” mendapat kerjasasama pelbagai pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan beberapa syarikat konsesi yang lain dengan memaparkan slogan ini di Variable Message System (VMS) di lebuhraya-lebuhraya di Malaysia.

Dengan kempen kesedaran seperti ini, para pengunjung di R&R akan mendapat informasi kalori yang lebih lanjut sebelum memilih makanan dan minuman mereka di mana kalori yang diperlukan bagi seorang lelaki dewasa adalah sebanyak 2000 kalori manakala bagi seorang perempuan dewasa pula adalah sebanyak 1500 kalori untuk sehari.

Dalam sidang media selepas itu, Fadillah memberi nasihat kepada semua pengguna lebuh raya semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina (TBC) agar sentiasa mengikuti makluman dan arahan daripada LLM dan Syarikat Konsesi lebuhraya mengenai jadual perjalanan untuk mengelakkan kesesakan semasa cuti TBC pada 8hb dan 9hb Februari ini.

1

SEREMBAN, 1 Februari 2016 : Pengguna Lebuhraya LEKAS kini boleh menikmati perjalanan yang lebih selesa apabila keseluruhan jajaran lebuh raya sepanjang 44.3 kilometer (km) diterangi cahaya lampu bermula dari Kajang dan berakhir di Paroi. Ini kerana projek pemasangan lampu untuk baki 25 km telah berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, iaitu pada 31 Disember 2015.

Majlis perasmian penyempurnaan lampu jalan ini telah dirasmikan bersama oleh YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia dalam satu majlis ringkas di Plaza Tol Setul, Lebuhraya LEKAS malam tadi.

Projek pemasangan lampu jalan bernilai RM16 juta ini melibatkan 549 batang tiang lampu LED yang jimat tenaga dan mesra alam. Kos pemasangan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi Lebuhraya LEKAS. Syarikat konsesi IJM turut mengumumkan pemberian ‘ang pow’ berupa diskaun tol dan pemberian kad Touch ‘n Go’ di lebuh raya kendalian sempena perayaan Tahun Baru Cina 2016.

Dalam majlis yang sama, tetamu kehormat turut melancarkan kempen keselamatan sempena Tahun Baru Cina 2016. Dijangkakan akan berlaku peningkatan trafik semasa musim cuti ini, umpamanya di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 1 di mana kadar peningkatan trafik adalah dianggarkan sebanyak 30%.

Dalam ucapan YB Menteri Kerja Raya yang dibacakan Timbalan Menteri Kerja Raya, beliau turut mengumumkan arahan henti kerja (stop order work) di semua lebuh raya kecuali bagi kerja-kerja kritikal sahaja bermula dari 1 Februari 2016 sehingga 14 Februari 2016. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama empat (4) hari iaitu pada 6 Februari dan 7 Februari 2016 serta 13 Februari dan 14 Februari 2016.

1

SAMARIANG, KUCHING, 30 Januari 2016 : Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama CIDB, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Negeri Sarawak, PKMM, PERKOBF Sarawak telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat (CSR) Samariang, Kuching dan Latihan Kemahiran Personel Binaan.

Seramai kira-kira 500 orang gabungan kontraktor Bumiputera (Gred G1-G7) dan penduduk Kampung Samariang, Kuching telah menjalani latihan praktikal membaikpulih dan menaiktaraf TASKA dan Balai Raya. Antara pembaikan kecil yang dibuat adalah membaiki kebocoran dan kerosakan-kerosakan kecil, menggantikan peralatan asas yang rosak serta disusuli dengan latihan praktikal mengecat bangunan TASKA.

Program ini merupakan satu pendekatan serampang dua mata dalam melaksanakan Program Pembangunan Kapasiti Kontraktor Bumiputera dan pada masa yang sama dapat melaksanakan satu bentuk khidmat sosial (CSR) daripada kontraktor Bumiputera kepada masyarakat. Ia juga merupakan satu pendekatan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) di antara BPKU dan ABM serta agensi-agensi Kerajaan lain dalam mengoptimumkan penggunaan sumber aset dan peruntukan kerajaan.

Perasmian program telah disempurnakan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya yang mewakili Menteri Kerja Raya. Turut hadir ialah YB Puan Hajah Sharifah Hasidah bte Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri N.7 Samariang. Program ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Residen Kuching, Pejabat Daerah Kuching, Pusat Khidmat DUN N.7 Samariang, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk Kampung Samariang, Kuching.

1

MELAKA, 27 Januari 2016 – Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa telah membuat lawatan kerja ke tapak Projek Pusat Kecemerlangan Teknologi Nasional Malaysia, Jabatan Kerja Raya (PKTNM) bertempat di Lot PT3287, Mukim Taboh Naning, Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka. Lawatan itu turut disertai oleh Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan beberapa tetamu jemputan khas yang lain.

Sempena lawatan ini, KSN telah diberikan taklimat mengenai kemajuan projek oleh Dato' Ir. Dr. Hasnul bin Mohamad Salleh,Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan).

Projek bernilai RM 240 juta yang masih dalam pembinaan namun telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 19% lebih awal dari jadual sebenar yang ditetapkan. Projek yang mempunyai keluasan sebesar 462,683 kaki per segi ini akan menjadi pusat latihan kemahiran bagi anggota-anggota Jabatan Kerja Raya. Projek pembinaan pusat ini merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, perpustakaan, pusat pengajian, makmal penyelidik inovasi, makmal latihan dan simulasi, infrastruktur ICT dan komunikasi, dewan serbaguna, pusat pengurusan fasiliti yang mempunyai kemudahan penginapan, kemudahan am serta kemudahan sukan dan rekreasi. PKTNM dijangka mampu melatih seramai 30 ribu orang pegawai dan kakitangan teknikal JKR dari seluruh negara.