Langkau ke kandungan utama
1

Pembukaan Jajaran Projek Central Spine Road, Seksyen 3h (Skop Tambahan) Kampung Kechur Ke Kampung Seberang Jelai, Pahang

KUALA LIPIS, 15 DISEMBER 2016: YB Menteri Kerja Raya hari ini merasmikan pembukaan jajaran Projek Central Spine Road (CSR), Seksyen 3H (Skop Tambahan): Kampung Kechur ke Kampung Seberang Jelai. Projek ini yang panjangnya 350km bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang dibahagikan kepada enam (6) pakej utama iaitu:

Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan (47km)

Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan (59km)

Pakej 3: Gua Musang ke Kg. Relong, Kuala Lipis, Pahang (92.5km)

Pakej 4: Kg. Relong, Kuala Lipis ke Raub, Pahang (50km)

Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang (54km)

Pakej 6: Bentong ke Simpang Pelangai, Pahang (47.5km )

Keutamaan kerajaan pada masa ini ialah untuk melaksanakan sebahagian Pakej 3 iaitu dari Mentara ke Kampung Seberang Jelai, Pahang (kawasan kemalangan) sepanjang 61.15km berdasarkan faktor keselamatan dan juga sebahagian Pakej 5 iaitu dari Kampung Asap ke Kampung Sertik serta Bentong Bypass, Pahang sepanjang 28.5km berdasarkan faktor kesesakan lalu lintas.

Pakej 3 yang melibatkan jajaran dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang terbahagi kepada 10 seksyen. 2 Seksyen iaitu dari Mentara ke Kampung Kubang Rusa dalam pembinaan manakala 4 seksyen iaitu dari Kampung Kubang Rusa ke Kampung Seberang Jelai, Pahang sepanjang 41.35km telah pun siap.

Bagi tujuan perasmian pada hari ini, jajaran yang telah siap adalah Seksyen 3H skop tambahan iaitu dari Kampung Kechur ke Kampung Seberang Jelai, Pahang sepanjang 3.85km. Seksyen ini telah dimulakan pada 8 Oktober 2014 dan baru sahaja disiapkan pada 7 Oktober 2016 dengan kos pembinaan sebanyak RM59.5 juta. Sebahagian jajaran tersebut di Pakej 3 iaitu dari Kampung Kubang Rusa ke Kampung Seberang Jelai, Pahang sepanjang 41.35km telah pun siap dibina.                            

Skop projek ini ialah membina jalan baru 4 lorong 2 hala sepanjang 3.85km, iaitu 3.05km menggunakan teknologi Continuosly Reinforced Concrete Pavement (CRCP) yang diyakini lebih tahan lama dan dapat mengurangkan kos penyenggaraan dalam tempoh jangka panjang, membina sebuah jambatan, 2 vehicular box culvert dan 1 smart vehicular box culvert.

Projek CSR merupakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT08 sedia ada yang dapat memberikan keselesaan & keselamatan kepada pengguna, seterusnya menjimatkan jarak dan masa perjalanan pengguna. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

 

 

Tarikh Dan Waktu Acara