Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

TAWAU, 28 Mei 2016 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini merasmikan majlis pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan. Majlis turut dihadiri Y.A.B Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan ini akan dimulakan dengan pakej pertama iaitu melibatkan jajaran sepanjang 5 km dari KM43 di Pekan Tawau hingga ke KM48 di Bulatan Check-Point Semporna Tawau yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan daripada dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway). Pakej ini dijangka akan mula dibina pada awal Jun 2016 manakala pakej-pakej pembinaan seterusnya dirancang akan dimulakan secara berperingkat pada tahun 2017 hingga 2018.

Laluan ini apabila siap kelak, berupaya mentransformasikan ekonomi penduduk setempat terutamanya kepada penduduk bandar dan luar bandar Tawau. Ianya dapat dilihat dari aspek peningkatan kemudahan jaringan infrastruktur bagi urusan pasaran dan logistik untuk industri kecil dan sederhana penduduk di daerah Tawau. Dalam masa yang sama, ia turut menyokong jaringan infrastruktur dan logistik bagi industri-industri yang difokuskan di bawah wilayah koridor Sabah Economic and Investment Authority (SEDIA).

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berupaya memberi impak kepada perubahan lanskap infrastruktur serta sosio-ekonomi di negeri Sabah dan dalam masa yang sama projek ini juga akan menjadi jalan penghubung yang strategik dan lebih efisien terutamanya dalam menghubungkan bandar-bandar utama Sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Kudat, hingga Tawau. 

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) oleh Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) yang telah dilantik sebagai rakan pelaksana projek untuk memastikan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan berdasarkan petunjuk prestasi utama (key performance indicator –KPI) yang dipersetujui oleh Kerajaan. 

1

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2016: Seramai 824 orang warga Kerja Raya dari Kementerian dan Agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah diraikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015.

Majlis ini telah diadakan di Pusat Konvensyen CIDB dan penyampaian anugerah telah disampaikan Menteri Kerja Raya, Timbalan Menteri, Ketua-ketua Agensi dan Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian. Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dalam ucapannya pada majlis tersebut menyeru agar semua warga KKR untuk memberi perkhidmatan sebaik mungkin dan jadikan setiap pelanggan adalah tetamu VIP yang sangat penting tanpa mengira siapa mereka.

Persepsi yang baik atau buruk adalah bermula dari kaedah ataupun cara menyampaikan perkhidmatan. Biasanya, pelanggan yang datang telah mempunyai ekspektasi tersendiri terhadap perkhidmatan yang bakal diterima dan pengalaman yang signifikan akan terus diingati dan diwar-warkan. Justeru, semua warga perlu melaksanakan tugas melebihi dari ekspektasi awal pelanggan selaras dengan tema majlis iaitu ‘Kecemerlangan Melangkaui Ekspektasi’.

1

KUALA KRAI, 16 Mei 2016: Nasib mangsa banjir di Kelantan yang kehilangan kediaman akibat bencana yang melanda akhir Disember 2014 lalu kini terbela apabila proses penyerahan Rumah Kekal Banjir (RKB) Kerajaan Persekutuan kini telah dilakukan secara berperingkat.

Dalam satu majlis penyerahan RKB di Kampung Baru Karangan, Mukim Manjor, Kuala Krai, seramai 40 orang penduduk teruja dan bersyukur apabila menerima rumah baharu yang dibina dibawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan replika kunci rumah tersebut telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya.

Turut bersama-sama hadir di Majlis tersebut ialah YB Dato’ Ramzi Ab Rahman, ADUN Dabong dan Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Sri Zohari Haji Akob.

Kementerian Kerja Raya melalui JKR diberi tanggungjawab membina rumah kekal baharu di empat (4) Jajahan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang. Sehingga kini, sebanyak 966 buah rumah telah dikenalpasti untuk dibina oleh JKR di negeri Kelantan iaitu 776 buah di Kuala Krai, 148 buah di Gua Musang, 30 buah di Tanah Merah dan 12 buah di Machang.

Semua rumah di Jajahan Gua Musang, Machang dan Tanah Merah telah siap sepenuhnya dengan jumlah 563 buah rumah. Sebanyak 349 buah di Jajahan Kuala Krai masih dalam pembinaan dan daripada jumlah ini 261 buah dibina JKR (jangka siap Jun 2016) dan bakinya 88 buah dibiayai serta dibina dua NGO/Yayasan secara tanggungjawab sosial korporat di atas tapak yang disediakan Kerajaan.

Manakala baki sebanyak 54 buah masih di dalam urusan mendapatkan tapak/tanah oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan juga pentadbiran Kerajaan Negeri.

1

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2016: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya memperolehi Persijilan Semula Amalan 5S untuk tahun 2016 yang juga merupakan tahun ketiga berturut-turut.

Perkara ini dimaklumkan oleh juruaudit daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) yang melakukan Audit Pematuhan Persekitaran Berkualiti 5S di Zon-zon KKR dan juga setelah meneliti dokumen pihak urusetia. Juruaudit tersebut ialah Encik Abdul Majid Ibrahim, Encik Andra Syahrizal Mohamad dan Encik Kamaruddin Mohamad.

Sewaktu sesi ulasan penemuan audit, pihak MPC menyatakan hasil tinjauan mendapati tahap pemahaman warga amat baik terhadap tiga aspek 5S yang diaudit iaitu amalan, ilmu dan dokumentasi.

Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Sri Zohari Haji Akob telah sudi mempengerusikan mesyuarat pembukaan audit manakala Tuan Haji Mohd Jais Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian Pengurusan Fasiliti telah mempengerusikan mesyuarat penutup yang bertempat di Bilik Mesyuarat Melati, Kompleks Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 28 April – Warga Kerja Raya hari ini telah berhimpun untuk bersama-sama mendengar ucapan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR).

Dalam ucapannya, Dato’ Zohari menerangkan Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6% iaitu yang terbaik di ASEAN tahun lepas. Beliau juga menerangkan usaha Kementerian mendahulukan rakyat seperti program & projek pembinaan rumah, hospital, sekolah, jalan raya, pengangkutan awam dan keselamatan.

Turut disentuh adalah kesetiaan dan integriti penjawat awam dalam menjaga kerahsiaan maklumat penting, memelihara keselamatan negara dan usaha meningkatkan taraf LLM melalui program ‘Branding’ LLM bagi memastikan penglibatan pengurusan tertinggi dalam projek pembinaan.

Di akhir perhimpunan, Dato’ KSU menyampaikan sijil penghargaan kepada penyelaras SSR KKR dan Agensi di atas pengiktirafan KKR sebagai organisasi cemerlang dengan memperolehi 5 bintang dalam Penilaian Indeks SSR pada tahun 2015 dan Agensi KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

Turut hadir adalah Timbalan KSU Kementerian serta Pengarah-pengarah Agensi

1

PUTRAJAYA, 26 April 2016 – PUSPANITA Cawangan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah dianugerahkan tiga (3) anugerah berprestij di Majlis Anugerah Kecemerlangan PUSPANITA 2016 sempena Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Ke-34 di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri di sini.

Anugerah-anugerah telah disampaikan oleh YBhg. Puan Sri Datuk Rohani Abdullah, Yang DiPertua PUSPANITA Kebangsaan. PUSPANITA KKR telah berjaya merangkul kesemua Anugerah Cemerlang seperti kategori berikut:

I. Anugerah Cawangan Berprestasi Peringkat Cawangan.

II. Anugerah Ahli PUSPANITA Cemerlang di Peringkat Kebangsaan dianugerahkan kepada YBhg. Datin Sri Norita binti Ibrahim, Pengerusi PUSPANITA KKR.

III. Anugerah Ahli PUSPANITA Cemerlang di Peringkat Cawangan dianugerahkan kepada Puan Sabariah binti Bachik, Setiausaha PUSPANITA KKR.

Syabas dan tahniah diucapkan. Semoga komitmen cemerlang yang diberikan ini dijadikan contoh, ikutan serta memberi pengaruh positif ke arah kecemerlangan PUSPANITA Cawangan Kementerian Kerja Raya.

1

KOTA KINABALU, 24 April 2016 - Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini melancarkan majlis pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) di Papar, Sabah.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Y.A.B Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah, YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia dan Yang Berhormat Tan Sri Datuk Sri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Tmbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Infrustruktur Sabah.

Pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini membuktikan komitmen Kerajaan untuk memperkukuhkan lagi pembangunan infrastruktur di negara ini. Secara holistiknya, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini merupakan pelengkap usaha melengkapkan jaringan lebuhraya Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk pembinaan jalan raya yang lebih selamat dan selesa.

Apabila siap kelak, Projek Pan Borneo Sabah ini berupaya merubah lanskap infrastruktur dan menjadi jaringan perhubungan bandar-bandar utama Sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Kudat hinggalah ke Tawau. Selain itu, projek bernilai RM12.86 billion dan dijangka siap sebelum 31 Disember 2021 ini berupaya menjadi pemacu ekonomi setempat serta menyokong pertumbuhan industri-industri sedia ada dan baru. Sektor pelancongan termasuklah agro-pelancongan dijangka akan turut memperolehi spill over effect memandangkan produk-produk pelancongan ini akan dapat dihubungi dengan mudah oleh pelancong.

Sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini, projek ini akan dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui oleh tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP. Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) telah dilantik sebagai PDP untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan sokongan pakar industri, UEM MMC Joint Venture Sdn Bhd. Pihak PDP akan bertindak sebagai single point of accountability yang bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuhraya.

1

AMPANG, 19 April 2016 – Sebagai usaha mempromosikan Asean Skills Competition (ASC) ke-11 (ASC 2016) yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur, Malaysia bermula 23 hingga 28 September 2016, satu majlis Pelancaran dan Flag Off Promosi ASC 2016 telah diadakan bertempat di Stesen LRT Ampang.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang turut menyampaikan penghargaan kepada para penaja pertandingan. Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Richard Riot anak Jaem.

Pelbagai aktiviti promosi giat dijalankan dan pada hari ini ia melibatkan penampalan pelekat pada keretapi Transit Aliran Ringan (LRT) dan pada kereta promosi tajaan PROTON.

Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 September 2014 telah meluluskan Malaysia untuk menganjurkan ASC 2016, pertandingan kemahiran peringkat ASEAN yang dianjurkan setiap dua tahun bermula pada 1995 di mana Malaysia merupakan tuan rumah ketika itu.

ASC 2016 akan dianjurkan bersama dengan Karnival & Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK) dengan pengisian seperti demonstrasi kemahiran, konvokesyen, TVET International Conference, carian kerja, pameran dari Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta, jualan dan lain-lain. Sebanyak 25 bidang kemahiran bakal dipertandingkan pada ASC 2016 dan tujuh daripadanya yang berkait industri pembinaan akan dikelolakan oleh Kementerian Kerja Raya.

Sebanyak 10 Negara Asean termasuk Malaysia akan menyertai pertandingan ini dengan jumlah peserta seramai 266 orang yang terdiri daripada belia dibawah umur 22 tahun.

Penganjuran acara kemahiran terbesar ini merupakan kerjasama daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

1

SIBU, 17 April 2016 – Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak melalui model Project Delivery Partner (PDP) kini diteruskan dengan Pelancaran Fasa Keempat iaitu Jajaran dari Simpang Bintangor ke Simpang Julau dan Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua (Termasuk Jambatan Batang Rajang).

Perasmian pelaksanaannya telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak dengan disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof dan para pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri.

Pakej sepanjang 76.2 kilometer ini melibatkan naiktaraf jalan sedia ada dari dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) termasuklah pembinaan 2 persimpangan bertingkat, 79 hentian bas, 7 jejantas dan 46 pusingan-P atau U-turn dan satu hentian sebelah yang akan dibina di Julau. Jambatan Batang Rajang yang juga dikenali sebagai Jambatan Durin sepanjang 1.708 kilometer akan turut dinaiktaraf kepada 4 lorong untuk keselesaan pengguna jalan raya.

Jambatan ini merupakan antara jambatan yang terpanjang di Sarawak. Masalah kesesakan lalulintas oleh penduduk di bandar Sibu akan dapat diatasi dengan naiktaraf jalan sedia ada ini. Selain itu, persimpangan bertingkat akan dibina berdekatan Lapangan Terbang Sibu dan di Simpang Julau. Jajaran ini dijangka siap dibina sepenuhnya pada hujung tahun 2020.

Pembinaan jajaran ini akan meneruskan usaha kerajaan dalam mendokong legasi mantan pemimpin terdahulu dalam pelaksanaan Projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau lebih dikenali sebagai SCORE. Jajaran ini akan menyediakan kemudahan infrastruktur yang efisyen kepada daerah Tanjung Manis yang dibangunkan sebagai Bandar Raya Pelabuhan Industri Hab Halal yang dijangka dapat menjana pulangan ekonomi yang lebih baik.

Dalam majlis pelancaran pembinaan jajaran ini juga menyaksikan syarikat-syarikat milik anak jati Sarawak diberikan penganugerahan untuk melaksanakan kerja pembinaan jajaran ini. Sejak dilancarkan tahun lepas, sebanyak 75 syarikat konsultan Sarawak telah terlibat dengan projek ini.

Selain itu, Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU) yang dimiliki oleh warga Sarawak secara majoriti telah dilantik bagi menguruskan, melaksanakan proses tender bagi pakej-pakej dalam projek ini dan bertanggungjawab memastikan projek lebuhraya ini disiapkan pada jangka masa yang ditetapkan.

1

KUALA LUMPUR, 14 April 2016 – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) julung kalinya menganjurkan Konvensyen Usahanita Binaan (KUBINA) 2016 kali Ke-3 bertempat di MATRADE Kuala Lumpur bertemakan “Wanita Pemacu Kelestarian Negara”. Konvensyen telah berjaya menarik minat 600 penyertaan terdiri daripada usahanita dan wanita profesional.

Konvensyen ini adalah anjuran bersama Kementerian Kerja Raya dan LLM dengan usahasama rakan-rakan strategik iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Persatuan Syarikat- syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dan Pertubuhan Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM).

KUBINA 2016 menyediakan platform terbaik yang menghimpunkan usahanita dan wanita profesional bagi membuka ruang intelek dan diskusi yang aktif dan proaktif. Ia juga membuka peluang dan potensi perniagaan, mengembangkan budaya penerokaan ilmu serta menjadi tapak peserta bertukar idea dan rangkaian hubungan.

Antara penceramah yang dijemput adalah YB. Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Dato’ Noorizah Hj. Abdul Hamid, Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Berhad dan Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi Air Asia X Bhd.

Pada konvensyen ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin selaku Penaung KUBINA, telah membentangkan cadangan resolusi KUBINA 2016 yang menyentuh pengiktirafan kepada wanita dengan memberi markah bonus semasa penilaian tender kerja dan firma perundingan yang diterajui oleh wanita jika lulus semua peringkat penilaian, peruntukan dana bagi pelaksanaan resolusi dan mewujudkan anugerah khas bagi kontraktor binaan wanita terbaik yang berjaya mengekalkan kelestarian di dalam bisnes.

Majlis penutupan KUBINA 2016 telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof yang turut melawat pameran yang diadakan sempena KUBINA 2016 .