Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI 2016 – Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mendapat pendedahan tentang gaya amalan hidup sihat untuk menjaga keseimbangan kesihatan minda dan fizikal melalui program Well for Life KKR. Pengurusan dari segi aspek pemakanan juga turut diserapkan untuk memberi pendedahan yang serius kepada warga KKR akan kebaikan mengurangkan tahap kalori dalam pemakanan harian.

Sesi program dimulakan dengan penyampaian ceramah yang bertajuk “Mental Health” oleh Dr Yasmeen Farouk Mohamed, seorang pemegang PHD Sains Bioteknologi berkelulusan dari New Zealand dan juga seorang penulis buku kesihatan tempatan. Sesi kedua diteruskan dengan pendedahan tentang cara pemakanan yang lebih berkesan oleh seorang konsultan diet online yang pertama di Malaysia, Mohd Hisyammudin Lois yang memulakan sesi ceramah beliau dengan bermain ukulele secara bersahaja.

Aktiviti diteruskan lagi dengan aktiviti kecergasan yang dikendalikan oleh Qhal Isnariah dan Gillian yang merupakan antara konsultan yang terlibat dengan program kecergasan “ Jom Kurus” yang mendapat sambutan ramai di seluruh negara.

Selain itu, warga KKR turut berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta mendapat urutan refleksologi di samping mendapat khidmat nasihat perlindungan insurans dari CIMB serta menyertai kempen derma darah. Pelbagai booth pameran produk kesihatan turut dibuka. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) turut mengadakan pameran barangan tiruan yang terdapat di dalam pasaran negara.

1

KUCHING, 4 Februari 2016 : Satu program Jelajah Pan Borneo Sarawak (LPBS) Menteri Kerja Raya bersama pasukan Media Sarawak telah diadakan selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Februari 2016.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pihak Media mengenai cabaran dan realiti pembinaan jajaran Pan Borneo Sarawak agar persepsi sebenar dapat diwujudkan melalui peranan media sebagai penyalur maklumat kepada rakyat.

Jelajah ini bermula dari Sematan hingga ke Miri dengan jarak sejauh 746 kilometer dimana sepanjang jelajah ini pihak media turut dibawa melihat kemajuan kerja projek LPBS ini melalui taklimat di beberapa lokasi terpilih antaranya, Jalan Kuching-Serian, Mile 10-15, KM 591-3 (Batang Mukah – Sungai Buluh) serta tapak projek Persimpangan Nyabau – Bakun yang merupakan tapak kick off project yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 31 Mac 2015.

Pembinaan LPBS ini bakal memberikan kesan dan impak positif kepada tahap sosial dan ekonomi rakyat Sarawak.  Ia bakal menaiktaraf jalan raya persekutuan di Sarawak kepada 4 lorong dua hala dalam fasa satu pembikinannya bermula tahun 2016 hingga 2021.

1

SEREMBAN, 2 FEBRUARI 2016 – Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, menyertai Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia yang telah merasmikan pelancaran Kempen Kesedaran Kalori di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Lebuh Raya Malaysia, (arah selatan), Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam ucapan aluan sempena pelancaran kempen itu Fadillah menyatakan bahawa KKR sentiasa bersedia untuk mengadakan kerjasama strategik dengan KKM khususnya dalam usaha untuk membawa rakyat Malaysia ke arah taraf kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera. Kesedaran pengguna lebuhraya ketika menikmati makanan di R&R sepanjang lebuhraya mengenai kandungan kalori makanan dan minuman merupakan satu langkah proaktif untuk mendidik rakyat memberi keutamaan terhadap kesihatan mereka.

Kempen ini bertemakan slogan “Kawal Kalori,Cegah Obesiti” mendapat kerjasasama pelbagai pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan beberapa syarikat konsesi yang lain dengan memaparkan slogan ini di Variable Message System (VMS) di lebuhraya-lebuhraya di Malaysia.

Dengan kempen kesedaran seperti ini, para pengunjung di R&R akan mendapat informasi kalori yang lebih lanjut sebelum memilih makanan dan minuman mereka di mana kalori yang diperlukan bagi seorang lelaki dewasa adalah sebanyak 2000 kalori manakala bagi seorang perempuan dewasa pula adalah sebanyak 1500 kalori untuk sehari.

Dalam sidang media selepas itu, Fadillah memberi nasihat kepada semua pengguna lebuh raya semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina (TBC) agar sentiasa mengikuti makluman dan arahan daripada LLM dan Syarikat Konsesi lebuhraya mengenai jadual perjalanan untuk mengelakkan kesesakan semasa cuti TBC pada 8hb dan 9hb Februari ini.

1

SEREMBAN, 1 Februari 2016 : Pengguna Lebuhraya LEKAS kini boleh menikmati perjalanan yang lebih selesa apabila keseluruhan jajaran lebuh raya sepanjang 44.3 kilometer (km) diterangi cahaya lampu bermula dari Kajang dan berakhir di Paroi. Ini kerana projek pemasangan lampu untuk baki 25 km telah berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, iaitu pada 31 Disember 2015.

Majlis perasmian penyempurnaan lampu jalan ini telah dirasmikan bersama oleh YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia dalam satu majlis ringkas di Plaza Tol Setul, Lebuhraya LEKAS malam tadi.

Projek pemasangan lampu jalan bernilai RM16 juta ini melibatkan 549 batang tiang lampu LED yang jimat tenaga dan mesra alam. Kos pemasangan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi Lebuhraya LEKAS. Syarikat konsesi IJM turut mengumumkan pemberian ‘ang pow’ berupa diskaun tol dan pemberian kad Touch ‘n Go’ di lebuh raya kendalian sempena perayaan Tahun Baru Cina 2016.

Dalam majlis yang sama, tetamu kehormat turut melancarkan kempen keselamatan sempena Tahun Baru Cina 2016. Dijangkakan akan berlaku peningkatan trafik semasa musim cuti ini, umpamanya di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 1 di mana kadar peningkatan trafik adalah dianggarkan sebanyak 30%.

Dalam ucapan YB Menteri Kerja Raya yang dibacakan Timbalan Menteri Kerja Raya, beliau turut mengumumkan arahan henti kerja (stop order work) di semua lebuh raya kecuali bagi kerja-kerja kritikal sahaja bermula dari 1 Februari 2016 sehingga 14 Februari 2016. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama empat (4) hari iaitu pada 6 Februari dan 7 Februari 2016 serta 13 Februari dan 14 Februari 2016.

1

SAMARIANG, KUCHING, 30 Januari 2016 : Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama CIDB, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Negeri Sarawak, PKMM, PERKOBF Sarawak telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat (CSR) Samariang, Kuching dan Latihan Kemahiran Personel Binaan.

Seramai kira-kira 500 orang gabungan kontraktor Bumiputera (Gred G1-G7) dan penduduk Kampung Samariang, Kuching telah menjalani latihan praktikal membaikpulih dan menaiktaraf TASKA dan Balai Raya. Antara pembaikan kecil yang dibuat adalah membaiki kebocoran dan kerosakan-kerosakan kecil, menggantikan peralatan asas yang rosak serta disusuli dengan latihan praktikal mengecat bangunan TASKA.

Program ini merupakan satu pendekatan serampang dua mata dalam melaksanakan Program Pembangunan Kapasiti Kontraktor Bumiputera dan pada masa yang sama dapat melaksanakan satu bentuk khidmat sosial (CSR) daripada kontraktor Bumiputera kepada masyarakat. Ia juga merupakan satu pendekatan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) di antara BPKU dan ABM serta agensi-agensi Kerajaan lain dalam mengoptimumkan penggunaan sumber aset dan peruntukan kerajaan.

Perasmian program telah disempurnakan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya yang mewakili Menteri Kerja Raya. Turut hadir ialah YB Puan Hajah Sharifah Hasidah bte Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri N.7 Samariang. Program ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Residen Kuching, Pejabat Daerah Kuching, Pusat Khidmat DUN N.7 Samariang, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk Kampung Samariang, Kuching.

1

MELAKA, 27 Januari 2016 – Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa telah membuat lawatan kerja ke tapak Projek Pusat Kecemerlangan Teknologi Nasional Malaysia, Jabatan Kerja Raya (PKTNM) bertempat di Lot PT3287, Mukim Taboh Naning, Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka. Lawatan itu turut disertai oleh Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan beberapa tetamu jemputan khas yang lain.

Sempena lawatan ini, KSN telah diberikan taklimat mengenai kemajuan projek oleh Dato' Ir. Dr. Hasnul bin Mohamad Salleh,Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan).

Projek bernilai RM 240 juta yang masih dalam pembinaan namun telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 19% lebih awal dari jadual sebenar yang ditetapkan. Projek yang mempunyai keluasan sebesar 462,683 kaki per segi ini akan menjadi pusat latihan kemahiran bagi anggota-anggota Jabatan Kerja Raya. Projek pembinaan pusat ini merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, perpustakaan, pusat pengajian, makmal penyelidik inovasi, makmal latihan dan simulasi, infrastruktur ICT dan komunikasi, dewan serbaguna, pusat pengurusan fasiliti yang mempunyai kemudahan penginapan, kemudahan am serta kemudahan sukan dan rekreasi. PKTNM dijangka mampu melatih seramai 30 ribu orang pegawai dan kakitangan teknikal JKR dari seluruh negara.

1

KUALA LUMPUR, 20 Januari 2016 : Sesi Interaksi Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dengan pegawai kumpulan pelaksana Kementerian Kerja Raya telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Sesi perjumpaan dan interaksi pada hari ini merupakan salah satu platform yang disediakan oleh Kementerian untuk membolehkan warga KKR membincangkan secara terus bersama pihak pengurusan berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan kumpulan pelaksana dan membolehkan pihak pengurusan berkongsi pandangan dan pengalaman dengan kumpulan pelaksana.

Terdahulu dalam ucapannya, Dato’ Sri Zohari Haji Akob menyeru agar warga KKR dapat membudayakan sense of urgency dalam pelaksanaan tugasan masing-masing dan dapat bertindak pantas serta sentiasa memperbaiki sistem penyampaian kepada pelanggan supaya lebih diyakini dan dihormati.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa setiap penjawat awam adalah ejen transformasi perkhidmatan dan perlu memberikan fokus kepada lima kriteria berikut; Pertama ialah Berilmu iaitu sentiasa berilmu pengetahuan, kreatif dan inovatif dan menjadi contoh kepada masyarakat. Kedua, Kebolehpercayaan iaitu jujur, amanah, integriti, diyakini dan mempunyai nilai murni sejagat yang dipercayai rakyat.

Ketiga, Amalan Kerja Terbaik iaitu budaya yang menjadi cerminan kewibawaan penjawat awam. Keempat, Semangat Patriotik, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara dan Kelima, Budaya Keberhasilan, iaitu peningkatan kualiti kerja berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI).

1

KUALA TERENGGANU, 18 Januari 2016 - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu terus berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik kepada pengguna jalan raya di negeri ini dengan menaiktaraf Jalan dari Bulatan Sultan Mansur ke Kuala Berang, dari Padang Mengkuang ke Durian Guling, Terengganu. 

Justeru, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof telah meninjau kemajuan kerja projek menaiktaraf yang dijadualkan siap pada Julai 2016 ini dan projek yang bernilai RM34 juta ini telah dimulakan pada 23 Julai 2014 yang lalu.

Projek ini merupakan projek pelengkap kepada jaringan jalan raya Persekutuan yang menghubungkan Jalan Jerangau – Jabor (FT014) dan Jalan Simpang Pulai (Perak) – Lojing (Kelantan) – Gua Musang – Kuala Berang (Terengganu).

Skop kerja bagi projek ini adalah kerja menaiktaraf jalan raya ini daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala mengikut piawaian standard JKR R5 sepanjang 3.8 kilometer bermula daripada Bulatan Sultan Mansur ke Bandar Kuala Berang, Terengganu.

Projek ini juga dilaksanakan untuk menampung keadaan lalulintas yang semakin meningkat setiap hari selain menyelesaikan masalah kesesakan yang disebabkan oleh keadaan ’bottle neck ’ memandangkan sebahagian besar daripada jajaran jalan ini telah pun dinaiktaraf kepada jalan empat lorong.

Dengan terdapatnya kemudahan ini maka pertumbuhan ekonomi akan lebih pesat lagi terutamanya dalam sektor pelancongan, perindustrian dan pertanian khususnya bagi Negeri Terengganu.

1

JOHOR BAHRU, 17 Januari 2016 - Bersempena Program Lawatan Kerja Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Kerja Raya (KKR) ke Projek KKR di Kawasan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, Johor, satu majlis ramah mesra bersama Rakan KKR Johor telah diadakan di Hotel M Suites, Johor Bahru yang dihadiri seramai 80 orang ahli, terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat dan NGO.

Dalam ucapan perasmian, KSU KKR melahirkan harapan agar Rakan KKR Johor dapat memainkan peranan aktif dalam membantu KKR menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai projek dan aktiviti KKR khususnya melalui media sosial. Sebagai pihak ketiga, Rakan KKR dilihat mampu meyakinkan masyarakat mengenai maklumat dan berita yang disalurkan oleh kumpulan ini.

1

PENGERANG, JOHOR 17 Januari 2016 - YBhg Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob,Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Kerja Raya (KKR), telah melakukan tinjauan di beberapa projek dalam kawasan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, Johor untuk menilai status pembinaan di kawasan berkenaan. Antara projek yang dilawati ialah projek pembinaan jalan baru dari FT092 ke Pularek, Kota Tinggi.

Aturcara lawatan dimulakan dengan sesi taklimat oleh Pengurus Besar Kanan Projek. Taklimat juga turut dihadiri oleh anggota pasukan projek yang terlibat. Selesai taklimat, KSU telah dibawa melawat kawasan tapak projek.

Projek ini adalah pembinaan jalan baru yang mempunyai 4 lorong 2 hala sepanjang 14 kilometer dari Bandar Penawar ke Sungai Rengit. Selain itu, KSU meneruskan lawatan dengan meninjau dua persimpangan lampu isyarat, tiga bulatan serta dua jejantas pejalan kaki dan perhentian bas. Projek ini dijangka siap pada awal tahun hadapan.