Langkau ke kandungan utama
1

600 usahanita berhimpun berkongsi ilmu di KUBINA 2016

KUALA LUMPUR, 14 April 2016 – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) julung kalinya menganjurkan Konvensyen Usahanita Binaan (KUBINA) 2016 kali Ke-3 bertempat di MATRADE Kuala Lumpur bertemakan “Wanita Pemacu Kelestarian Negara”. Konvensyen telah berjaya menarik minat 600 penyertaan terdiri daripada usahanita dan wanita profesional.

Konvensyen ini adalah anjuran bersama Kementerian Kerja Raya dan LLM dengan usahasama rakan-rakan strategik iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Persatuan Syarikat- syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dan Pertubuhan Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM).

KUBINA 2016 menyediakan platform terbaik yang menghimpunkan usahanita dan wanita profesional bagi membuka ruang intelek dan diskusi yang aktif dan proaktif. Ia juga membuka peluang dan potensi perniagaan, mengembangkan budaya penerokaan ilmu serta menjadi tapak peserta bertukar idea dan rangkaian hubungan.

Antara penceramah yang dijemput adalah YB. Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Dato’ Noorizah Hj. Abdul Hamid, Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Berhad dan Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi Air Asia X Bhd.

Pada konvensyen ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin selaku Penaung KUBINA, telah membentangkan cadangan resolusi KUBINA 2016 yang menyentuh pengiktirafan kepada wanita dengan memberi markah bonus semasa penilaian tender kerja dan firma perundingan yang diterajui oleh wanita jika lulus semua peringkat penilaian, peruntukan dana bagi pelaksanaan resolusi dan mewujudkan anugerah khas bagi kontraktor binaan wanita terbaik yang berjaya mengekalkan kelestarian di dalam bisnes.

Majlis penutupan KUBINA 2016 telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof yang turut melawat pameran yang diadakan sempena KUBINA 2016 .

Tarikh Dan Waktu Acara