Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 15 Januari 2016 – Sambutan Majlis Maulidur Rasul peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) 1437H/2016M telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dan dihadiri lebih 600 warga Kerja Raya dan Agensi.

Majlis dimulakan dengan perarakan warga Kerja Raya yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bermula dari perkarangan Kompleks Kerja Raya menuju ke dalam dewan. Perarakan turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Bin Hj Akob bersama-sama pengurusan tertinggi Kementerian dan Agensi.

Hadirin kemudian diperdengarkan bacaan Al-Quran oleh Ustaz Haji Hassan Alfadhli Abdul Rahman, dendangan nasyid oleh kumpulan DG-WA, ceramah oleh Ustaz Mohd Meeftah Anuar daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diakhiri dengan selawat beramai-ramai.

1

KUALA LUMPUR, 12 Januari 2016 – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Bin Hj Akob telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Students Accomodation Complex di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak.

Lawatan ini bertujuan untuk meninjau penggunaan Industrial Build System (IBS) dalam struktur pembinaan di sini. Projek ini menghasilkan 750 unit bilik dan terdiri daripada 4 blok yang mempunyai 22 aras tingkat. Tempoh pembinaan bangunan ini bermula pada 22 Julai 2013 dan dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap didiami.

Pengoptimaan penggunaan IBS dalam pembinaan di negara ini mampu menjimatkan pelbagai kos dan ianya telah dibuktikan dalam projek ini. Tahap pembinaan negara telah melangkah ke suatu tahap yang lebih baik dengan penggunaan sistem IBS ini.

1

KUALA LUMPUR, 12 Januari 2016: Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada 20 kontraktor yang berjaya memperolehi kerja di bawah projek-projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) telah diadakan di Kompleks Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya (KKR).

SST tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Bin Yusof melibatkan 20 projek yang terdiri daripada projek bangunan, projek infrastruktur dan perkhidmatan yang dipelawa oleh pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Kerja Raya mengingatkan tanggungjawab yang bakal diharungi oleh kontraktor, iaitu menjelmakan apa yang disyaratkan oleh Kerajaan di dalam tender kepada bentuk fisikal, memenuhi Syarat Kontrak, mematuhi setiap spesifikasi serta memberikan kepuasan kepada penerima fasiliti.

Menjelang tahun 2018, semua bangunan kerajaan akan dibina menggunakan piawaian daripada Pentaksir Kualiti Dalam Sistem Pembinaan (QLASSIC) yang dapat menjamin kualiti sesebuah projek pembinaan bangunan selain boleh mengelakkan pembaziran wang rakyat selain mampu meningkatkan kualiti dalam sesuatu projek.

Para kontraktor turut diseru untuk menggunakan sistem dan teknologi terkini seperti BIM (Building Information Modeling) dan IBS (Industrialized Building System) dalam sektor pembinaan seperti digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) sebagai langkah meningkatkan kualiti kerja serta mempercepatkan masa.

1

KUALA LUMPUR, 17 Disember 2015 - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan taklimat Dasar Pemisah bagi Penjawat Awam berprestasi rendah dan Kadar Kelayakan Kemudahan Cuti Rehat Tahunan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Program yang dihadiri lebih seribu penjawat awam sekitar Kuala Lumpur ini dimulakan dengan penyampaian amanat oleh YBhg. Dato’ Jalil Marzuki, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan).

Taklimat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2015 – Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) Bagi Pegawai Berprestasi Rendah dalam Perkhidmatan Awam pula telah disampaikan oleh YBhg Dato’ Mohtar Mohd Abd. Rahman, Pengarah Bahagian Perkhidmatan JPA.

Seterusnya, acara diteruskan dengan penyampaian taklimat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2015 – Kadar Kelayakan Kemudahan Cuti Rehat bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan oleh Encik Lim Eng Hock, Pengarah Kanan Bahagian Saraan.

Penjawat awam yang hadir diberi peluang untuk menyuarakan pandangan, soalan dan cadangan kepada semua ahli panel daripada JPA di akhir program sewaktu sesi soal jawab.  Majlis ini turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Sri Zohari Akob, Pengurusan tertinggi KKR dan Pengarah-pengarah Bahagian JPA.

1

KUCHING, 10 Disember 2015 - Kelangsungan aliran trafik yang lancar untuk penduduk di Sarawak diteruskan dengan perasmian projek naiktaraf jalan dari Batu 10 ke Batu 15 Jalan Kuching-Serian yang merupakan missing link Lebuhraya Pan Borneo Sarawak hari ini. Projek kerjasama antara Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak ini telah dirasmikan oleh Menteri Kerya Raya, YB Dato’ Si Fadillah Yusof dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, YB Dato Sri Michael Manyin Anak Jawong.

Pada 2005, Jalan Kuching-Serian dari Batu 15 hingga Bandar Serian telah dinaiktaraf kepada 4 lorong 2 hala. Namun, disebabkan jajaran dari Batu 10 ke Batu 15 ini masih 2 lorong 2 hala, maka ia menyebabkan “bottleneck” yang membawa kepada kesesakan trafik dengan Level of Service (LOS) peringkat ‘F’. Projek naiktaraf jalan ini, bakal membantu melancarkan aliran trafik ini dan ia telah diluluskan pelaksanaannya oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2014 dalam Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

Skop Projek ini ialah menaiktaraf jalan sedia ada daripada 2 lorong 2 hala kepada 4, lorong 2 hala dengan piawaian U5 sepanjang 9.2 kilometer(km), membina 4 jambatan baru dan Mengganti 1 jambatan lama, menaiktaraf 5 persimpangan utama, menyediakan kemudahan 5 U-turns di persimpangan dan 1 Roundabout – WD50. Selain itu, skop projek turut menyediakan 1 right turn lane, menyediakan 10 lokasi bus lay-by, pengalihan utiliti dan pengambilan balik tanah, pemasangan lampu jalan dan perabot jalan.

1

KUALA LUMPUR, 10 Disember 2015- Satu Program Dialog Isu Semasa Negara telah dilangsungkan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini. Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan), YBrs. Tuan Haji Sarani bin Dollah.

Objektif utama program ini adalah sebagai platform untuk penjawat awam mendapatkan maklumat terus daripada panel yang arif atau pakar dalam bidang atau topik yang disampaikan.

Antara tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam program satu hari ini ialah keselamatan dan kestabilan Negara tanggungjawab bersama, isu-isu Perlembangaan Persekutuan dalam konteks rukun Negara dan bajet 2016 dan TPPA dalam mendepani cabaran dan hala tuju pembangunan Negara.

Program ini adalah anjuran Kementerian Kerja Raya bersama dengan Biro Tata Negara (BTN), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Bahagian Strategik Pejabat Perdana Menteri.

1

SERI KEMBANGAN, 8 Disember 2015 – YB. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau persiapan akhir pembukaan Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Projek yang dimulakan pada 2 Disember 2013 ini akan menyediakan akses terus dari kawasan Seri Kembangan, Serdang dan Puchong untuk memasuki Lebuhraya MEX bagi mengatasi kesesakan trafik yang kritikal terutamanya pada waktu puncak. Dengan pembukaan persimpangan bertingkat ini, ianya dapat memberi pilihan kepada pengguna terutamanya di Jalan Putra Permai (FT3215) serta kawasan sekitar Seri Kembangan terutamanya di Taman Universiti Indah, Taman Puncak Jalil dan Taman Equine seterusnya perjalanan ke Kuala Lumpur pada waktu puncak dapat disingkatkan dari 1 jam kepada 20 minit.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi dengan kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM112 juta dijangka dapat dibuka kepada pengguna selepas beberapa pemeriksaan akhir oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurut YB. Menteri juga, laluan persimpangan ini akan dibuka secara rasmi pada 13 Disember 2015 dan laluan ini tidak akan dikenakan tol sepanjang tempoh satu bulan.

1

KUALA LUMPUR, 3 Disember 2015 – YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya telah mengadakan lawatan kerja ke tapak konsep Sistem Aliran Tol Tanpa Henti atau Multi Lane Free Flow (MLFF) di Taman Teknologi Malaysia di sini hari ini.

Sepanjang program tersebut, Dato’ Sri KSU telah dibawa melawat ke tapak gantri serta diberi taklimat berhubung simulasi pelaksanaan MLFF ini oleh pihak Quatriz System Sdn. Bhd.

Konsep MLFF merupakan hasil pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Kementerian Sains, Tek­no­logi dan Inovasi (MOSTI) yang berjumlah RM19.59 juta dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2018.

Inisiatif terbabit telah diselaraskan oleh Taman Technology Park Malaysia Sdn. Bhd. (TPM) dan dibangunkan dengan kerja­sa­ma Quatriz System Sdn. Bhd., Touch ‘n Go Sdn. Bhd. dan Mitsubishi Heavy Industries, Jepun sejak 2013.

Sistem teknologi terkini tersebut menawarkan kaedah penyelesaian yang terbaik kepada masalah kesesakan lalu-lintas terutamanya ketika waktu puncak di plaza-plaza tol serta menggantikan plaza tol konvensional melalui pembayaran fleksibel dan pelepas pantas melalui gantri elektronik.

1

KUALA LUMPUR, 1 Disember 2015 - Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kementerian Kerja Raya 2015 telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid sebagai mencerminkan iltizam KKR untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Majlis yang dianjurkan pihak Kementerian dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya diikuti ceramah oleh Tokoh Bahasa, Puan Ratna Inzab Mohd Asri. Tahun 2015 merupakan tahun kedua KKR terlibat dalam pelaksanaan Bahasa Kebangsaan.

KKR diletakkan di bawah Sektor Kerja Raya, Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 30 November 2010 dan berperanan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelaksanaan dan pengurusan projek dan tadbir urus kementerian. Berbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang tahun 2015 yang melibatkan kursus-kursus di KKR serta pelaksanaan program “Eksplorasi Bahasa Budaya Bangsa” yang melibatkan seramai 40 orang yang terdiri daripada warga KKR dan JKR pada 16 dan 17 Oktober 2015. Jabatan Kerja Raya (JKR) pula telah melaksanakan Bengkel Apresiasi Puisi bersama dengan Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin yang telah berlangsung pada 10 dan 11 September 2015. Manakala Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula telah menganjurkan program memartabatkan Bahasa Kebangsaan peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 16 Oktober 2015 dengan aktiviti seperti pertandingan pantun, sajak, pidato dan lagu puisi.

1

KUALA LUMPUR, 30 November 2015 – Pemain industri pembinaan yang terdiri daripada syarikat kontraktor, pembangunan hartanah dan perancang bandar yang mempamerkan prestasi unggul sepanjang tahun 2014 telah dirai dalam satu majlis khas iaitu Hari QLASSIC anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Majlis yang berlangsung di Hotel Royale Chulan ini menampilkan tiga anugerah kecemerlangan Quality Assessment System in Construction atau QLASSIC iaitu High QLASSIC, untuk syarikat yang memperolehi markah 80 dan ke atas, Best QLASSIC, untuk syarikat terbaik kategori kediaman dan bukan kediaman serta anugerah Penghargaan Khas kepada satu syarikat pemaju, satu syarikat kontraktor dan satu agensi kerajaan.

Kesemua anugerah telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya dan terdahulu, dalam ucapan perasmiannya beliau berkata penganugerahan QLASSIC ini merupakan tanda penghargaan di atas komitmen dan dedikasi berkualiti para pemain industri binaan dan pembudayaannya adalah perlu sejajar dengan teras strategik pertama Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang baharu dilancarkan Perdana Menteri.