Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Pelancaran Promosi ASC 2016

AMPANG, 19 April 2016 – Sebagai usaha mempromosikan Asean Skills Competition (ASC) ke-11 (ASC 2016) yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur, Malaysia bermula 23 hingga 28 September 2016, satu majlis Pelancaran dan Flag Off Promosi ASC 2016 telah diadakan bertempat di Stesen LRT Ampang.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang turut menyampaikan penghargaan kepada para penaja pertandingan. Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Richard Riot anak Jaem.

Pelbagai aktiviti promosi giat dijalankan dan pada hari ini ia melibatkan penampalan pelekat pada keretapi Transit Aliran Ringan (LRT) dan pada kereta promosi tajaan PROTON.

Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 September 2014 telah meluluskan Malaysia untuk menganjurkan ASC 2016, pertandingan kemahiran peringkat ASEAN yang dianjurkan setiap dua tahun bermula pada 1995 di mana Malaysia merupakan tuan rumah ketika itu.

ASC 2016 akan dianjurkan bersama dengan Karnival & Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK) dengan pengisian seperti demonstrasi kemahiran, konvokesyen, TVET International Conference, carian kerja, pameran dari Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta, jualan dan lain-lain. Sebanyak 25 bidang kemahiran bakal dipertandingkan pada ASC 2016 dan tujuh daripadanya yang berkait industri pembinaan akan dikelolakan oleh Kementerian Kerja Raya.

Sebanyak 10 Negara Asean termasuk Malaysia akan menyertai pertandingan ini dengan jumlah peserta seramai 266 orang yang terdiri daripada belia dibawah umur 22 tahun.

Penganjuran acara kemahiran terbesar ini merupakan kerjasama daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Tarikh Dan Waktu Acara