Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

KUALA TERENGGANU, TERENGGANU, 28 MEI 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad, telah dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKMMT kali ke-47 pada Ahad lalu. Turut hadir dalam mesyuarat, Yang Dipertua PKMMT, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Nasir Bin Tan Sri Ibrahim Fikri dan Presiden PKMM, Yang Berbahagia Dato’ Seri Haji Mohamed Fadzill Bin Hassan.  Mesyuarat ini telah berlangsung dari 10 pagi hingga 1 tengah hari bertempat di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu.

Mesyuarat ini juga melibatkan agensi-agensi bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Lebih daripada 200 kontraktor-kontraktor yang merupakan ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia turut serta dalam mesyuarat ini.

Pelbagai isu dan saranan telah diutarakan dalam mesyuarat ini, antaranya ialah saranan bagi pihak KKR mengehadkan pemberian lesen baharu kepada kontraktor pelbagai kelas. Timbalan Menteri KKR, Dato’ Sri Abdul Rahman juga menyambut baik saranan PKMM berkaitan isu lambakan persaingan sedia ada dalam kalangan pemain industri.

Prihatin dengan bebanan yang dihadapi oleh kontraktor, kerajaan juga telah meluluskan Jadual Kadar Kejuruteraan Awam dan Bangunan yang terkini bagi menggantikan Jadual Kadar Harga yang sudah tidak lagi relevan.

0

SIBU, SARAWAK, 28 MEI 2023 - Persimpangan Bertingkat, Seksyen Sibu Pakej WPC07 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah mula beroperasi pada 28 Mei 2023. Pembukaan persimpangan bertingkat ini merupakan berita baik buat penduduk Sibu khasnya menjelang sambutan Perayaan Hari Gawai 2023 yang lalu.

Pengumuman tersebut dikongsikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia ketika melakukan lawatan ke jejambat berkenaan sebentar tadi.

Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Encik Hashim Sahari, Pengurus Zon Tengah Cawangan Lebuhraya Pan Borneo (CLPB) JKR Sarawak; Sahrein Maloh, Pengurus Komunikasi Korporat dan Isu Tanah CLPB JKRS; wakil pihak konsultan dan kontraktor.

0

MIRI, SARAWAK, 27 MEI 2023 - YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya meninjau tapak Projek Pan Borneo Pakej WPC 11 Sg Tangap - Pujut Link pada 27 Mei 2023.

Lokasi lawatan adalah di CH 49+600, di mana sebuah Viaduct sepanjang 400 meter akan dibina.

Hal ini kerana semasa kerja kerja pembinaan tambakan jalan, tanah yang ditambak telah mengalami masalah mendapan sehingga 0.5 meter. Pasukan Projek Pan Borneo telah mengesyorkan supaya struktur viaduct dibina di atas jajaran laluan yang mengalami masalah mendapan tanah.

Rekabentuk viaduct juga telah disiapkan. Kerja-kerja pembinaan viaduct berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2025.

Kerja kerja pembinaan viaduct tidak akan mengganggu trafik, kerana pengguna masih boleh menggunakan jalan sedia ada di bersebelahan.

Lokasi lawatan juga tertumpu di CH29+000, Jejambat Simpang Bekenu, Seksyen Lambir di mana kerja-kerja pembinaan turapan sedang dijalankan.

Secara keseluruhan, peratus kemajuan fizikal sebenar pakej WPC 11 ini adalah 89% ( tidak termasuk pembinaan viaduct dan pengalihan utiliti paip bekalan air sepanjang 4.5 km).

Pakej WPC 11 ini dijangka siap secara berperingkat pada tahun 2023 hingga 2026.

0

TANJUNG MALIM, PERAK, 18 MEI 2023 – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam memberikan khidmat yang terbaik dalam mengatasi isu berkaitan penyenggaraan di Jalan Persekutuan. Selepas laluan Jalan Persekutuan di negeri Kedah, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi meneruskan sesi tinjauan di Jalan Persekutuan di negeri Perak Darul Ridzuan.  Laluan yang terlibat dalam tinjauan kali ini adalah FT001 – Jalan Ipoh – Tanjung Malim dan FT058 – Jalan Bidor – Teluk Intan. 

Jumlah panjang Jalan Persekutuan di negeri Perak adalah 1,514.05 kilometer.  Sehingga bulan Mei 2023, Kementerian Kerja Raya telah memperuntukkan sebanyak RM42,468,311.38 bagi penyenggaraan Jalan Persekutuan di negeri Perak. Peruntukan ini adalah bagi kerja – kerja penyenggaraan rutin, berkala pavemen, bukan berkala pavemen dan lain –lain termasuk untuk kerja penyenggaraan kecemasan.

Terdapat empat projek menggantikan jambatan di laluan Jalan Persekutuan yang sedang dilaksanakan iaitu Jambatan Sg. Bogak, Kerian (Jangkaan siap Jun 2025), Jambatan Sg. Air Puteh, Larut, Matang dan Selama (Jangkaan siap Jun 2023), Jambatan Manjung (Jangkaan Siap Februari 2025) dan Jambatan Sg, Kinchap, Kampar (Jangkaan siap Januari 2025).

Manakala bagi laluan Jalan Raya Timur Barat (FT004) Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan, kerja-kerja penyenggaraan melibatkan kerja berkala pavemen sedang giat dilaksanakan secara berperingkat.  Sebanyak RM7,440,000.00 telah diperuntukan untuk kerja-kerja penyenggaraan di laluan tersebut. Menteri Kerja Raya turut mengumumkan peruntukan khas tambahan sebanyak RM30juta untuk melaksanakan naiktaraf dan penambahbaikan Jalan Raya Timur Barat (FT004) yang telah uzur kerana berusia lebih 40 tahun.

Menteri Kerja Raya turut meninjau kerja-kerja akhir projek Jambatan Bagan Datuk, Daerah Hilir Perak yang menghubungkan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop, Daerah Perak Tengah, Perak dengan panjang keseluruhan jambatan ialah 1.5 km.

0

LANGKAWI, KEDAH, 16 MEI 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi telah membuat tinjauan kondisi Jalan Persekutuan di Daerah Langkawi, Kedah bagi memastikan keadaan jalan yang selamat, selesa dan terbaik sebelum berlangsungnya acara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023.

Kementerian Kerja Raya (KKR) juga telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan jalan berkala pavemen. Manakala, kerja-kerja penyenggaraan jalan berkala bukan pavemen yang merangkumi skop kerja – kerja mengecat garisan jalan telah siap dilaksanakan di lapan (8) lokasi Jalan Persekutuan dengan jumlah kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000.

Antara lokasi tinjauan adalah melibatkan laluan berikut iaitu Jalan FT117 (Jalan Kampung Padang Putih – Pantai Tengah) sepanjang 300 meter, Jalan FT116 (Jalan Simpang Chandek Kura – Temoyong) sepanjang 1 km dan Jalan FT120 (Jalan Ulu Melaka – Makam Mahsuri) sepanjang 1.5 km.

Jumlah panjang keseluruhan Jalan Persekutuan yang di senggara di Langkawi adalah sepanjang 193.264 km. KKR adalah bertanggungjawab untuk menyenggara Jalan Persekutuan menerusi syarikat konsesi yang dilantik secara rasmi. 

Jumlah peruntukan penyenggaraan yang telah disalurkan bagi daerah Langkawi adalah sebanyak RM3.8 juta merangkumi kerja penyenggaraan rutin dan juga kerja penyenggaraan kecemasan.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya turut meninjau projek Cadangan Membina Jambatan Baharu Sungai Perangin, Oriental Village, Langkawi.  Projek ini diluluskan didalam Senarai Projek Rolling Plan 4, RMKe-11 di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).  Projek yang mencapai 76% kemajuan kerja ini bakal memberikan kemudahan yang lebih selesa untuk penduduk setempat dan kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

0

JOHOR BAHRU, 8 MEI 2023 - Kementerian Kerja Raya mengambil berat terhadap isu keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) yang telah mendapat perhatian baru-baru ini.  Menteri Kerja Raya, YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi telah meninjau sendiri perkembangan kerja naik taraf dan penyenggaraan jalan tersebut.

Terdapat dua (2) projek menaik taraf di laluan tersebut telah diluluskan di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia secara berfasa iaitu Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) Johor daripada Empat (4) Lorong kepada Enam (6) Lorong, Fasa 2B dan Fasa 3.

Fasa 2B iaitu dari Persimpangan Bandar Seri Alam / Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang berada di dalam peringkat pembinaan, projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina dijangka siap pada Oktober 2025.  Manakala bagi Fasa 3, iaitu dari Persimpangan Bertingkat Perling hingga ke susur naik Lebuhraya Utara Selatan pula telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMKe-12) dan kini berada di peringkat perancangan bagi pengesahan skop dan kos projek.

Bagi memastikan pelaksanaan projek ini mengambil kira pandangan dan kepentingan semua pihak berkaitan, maka pengesahan skop dan kos projek akan melalui proses Pengurusan Nilai (Value Management) bersama pihak Kementerian Ekonomi serta melibatkan pelbagai Agensi dan stakeholder termasuk Agensi di peringkat Negeri serta syarikat utiliti. Makmal Pengurusan Nilai peringkat Kajian Nilai bagi projek Fasa 3 dijangka akan dilaksanakan pada Ogos 2023.

Kerja-kerja menaik taraf laluan FT17 bagi kedua-dua Fasa 2B dan Fasa 3 ini akan melibatkan pelebaran jalan sepanjang 12.5 kilometer termasuk membaik pulih dan menaik taraf struktur flyover, jambatan dan jejantas sedia ada. Projek ini juga merupakan kesinambungan daripada projek menaik taraf Fasa 1 yang telah siap pada 2016 dan Fasa 2A yang siap pada 2018.

Pelaksanaan projek menaiktaraf FT17 secara keseluruhan akan membantu penyuraian trafik terutama pada waktu puncak, di samping memberi manfaat kepada pengguna jalan raya yang berulang-alik ke kawasan perindustrian, pusat pentadbiran Kota Iskandar serta penduduk di taman-taman perumahan di sepanjang laluan tersebut.

Selain itu, kerja-kerja penyenggaraan jalan yang merangkumi skop kerja penyenggaraan rutin serta pembaikan berkala pavemen dan jambatan turut dilaksanakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya. Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM107.34 juta untuk kerja-kerja penyenggaraan jalan bagi keseluruhan laluan persekutuan di Negeri Johor bagi tahun 2023 dan kira-kira RM5.24juta daripadanya adalah khusus untuk kerja-kerja senggaraan di laluan FT17.

0

Bandar Baru Bangi, Selangor, 5 Mei 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi telah diundang oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada Jumaat yang lalu bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Personel Industri Lebuh Raya (APKIL) 2022 di Dewan Tan Sri M. Yusuff.

Majlis ini adalah suatu pengiktirafan dan penghargaan yang relevan untuk menghargai dan memberi semangat kepada warga kerja industri lebuh raya yang berprestasi cemerlang. Beliau juga telah menyatakan harapan bahawa dengan pengiktirafan anugerah ini, ia dapat memacu motivasi dan semangat para petugas untuk terus bekerja dengan lebih efisien dan berinovasi dalam membantu memaju dan meningkatkan industri ini dalam pelbagai aspek seperti pengurusan, pembangunan, dan perkhidmatan lebuh raya.

Sebanyak tujuh kategori anugerah telah disampaikan oleh YB Menteri Kerja Raya dan diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad dan Ketua Pengarah LLM Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Bin Hassan kepada 76 orang penerima anugerah.

Diantara kategori anugerah yang diterima adalah Anugerah Pencapaian Memeterai Perjanjian Pajakan Tanah, Anugerah Khas Kecemerlangan Personel Industri Lebuh Raya dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Kategori Syarikat Konsesi Lebuh Raya).

YB Dato Seri Alexander juga sempat berucap berkaitan usaha membina industri lebuh raya yang lebih mampan dan berdaya saing dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.  Untuk tujuan ini, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow (MLFF). Penggunaan teknologi MLFF akan memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mempercepatkan waktu perjalanan, selain meningkatkan kecekapan pengurusan dan pungutan tol bagi syarikat konsesi.

LLM bersama pihak yang berkaitan akan melaksanakan Proof of Concept (POC) MLFF di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) menggunapakai gabungan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) selewat-lewatnya pada penghujung Oktober 2023. Pelaksanaan POC bertujuan menentusahkan kecekapan sistem front end gantry MLFF terhadap Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan dalam operasi lebuh raya dan memberikan keyakinan kepada pengendali lebuh raya bahawa teknologi ini akan berfungsi dengan berkesan dan efisien dalam situasi trafik sebenar.

Keperluan dan kehendak pengguna lebuh raya adalah menjadi keutamaan industri lebuh raya.  Mereka adalah fokus dalam setiap inisiatif dan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan bersama LLM dan syarikat konsesi. Ini termasuklah memastikan kualiti dan kebolehpercayaan lebuh raya, menyediakan kemudahan asas seperti kawasan rehat dan rawat, bantuan kecemasan, serta memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

0

KUALA LUMPUR, 13 APRIL 2023 – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memeterai Perjanjian Pajakan Antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dengan Syarikat Konsesi Lebuhraya dibawah seliaan KKR iaitu PROLINTAS dan IJM Corporation.

Majlis turut disaksikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi.  Pelaksanaan Perjanjian Pajakan ini adalah selaras dengan Seksyen 221, Kanun Tanah Negara 1965 [AKTA 828].

Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa pihak KKR akan sentiasa memantau prosedur dan isu pengurusan tanah di semua 36 lebuh raya yang beroperasi di Malaysia.

Pajakan ini penting supaya kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Syarikat Konsesi terjamin melalui adanya hak kepentingan eksklusif untuk mengawal selia, merancang pembangunan komersil dan menguruskan operasi harian lebuhraya dan ini akhirnya akan memastikan pengguna lebuhraya mendapat perkhidmatan yang cekap dan bermutu tinggi semasa menggunakan lebuhraya.

Kerajaan sentiasa cakna dan komited dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh pengguna lebuh raya. Pelaksanaan ini merupakan satu inisiatif bagi mengoptimumkan penggunaan dan menjana pembentukan ekonomi yang lebih dinamik.

0

BATU PAHAT, JOHOR, 21 MAC 2023 - Susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia, Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bil. 8 Tahun 2023 bertarikh 17 Mac 2023 telah memutuskan untuk menggerakkan semula Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam dari semua kementerian/ jabatan/ agensi bagi pengurusan pasca banjir.

Seramai 12 orang sukarelawan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan 19 orang sukarelawan daripada Ibu Pejabat JKR yang diketuai oleh Encik Muhamaad Murthada Bin Rosli telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas sekitar Batu Pahat.

Pasukan ini telah membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Tenaga Setia, Klinik Kesihatan Desa Sembrong, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Dewan Futsal Sembrong di Batu Pahat, Johor selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 Mac 2023.

0

GENEVA, 15 MAC 2023 - Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah berjaya dinobatkan sebagai Champion sempena World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2023, di bawah kategori e-Science anjuran International Telecommunication Union (ITU), United Nations (UN).

Majlis anugerah tersebut diadakan sempena WSIS Forum 2023 di ITU UN, Geneva pada 13-17 Mac 2023. World Summit on the Information Prizes 2023 adalah platform bagi menilai projek serta aktiviti yang memberi impak besar kepada pengaplikasian teknologi ICTs dalam memacu pembangunan yang lestari. WSIS juga merupakan satu platform global dalam mengenalpasti dan mempamerkan kejayaan pengaplikasian WSIS Action Lines dan Sustainability Development Goals (SDGs).

Pemilihan ini adalah hasil penilaian pakar serta undian secara dalam talian dari serata dunia. Sebanyak 900 projek dari seluruh dunia telah menyertai pertandingan WSIS Prizes 2023.  JKR Malaysia melalui Cawangan Kejuruteraan Elektrik telah menghantar penyertaan yang bertajuk ‘Intelligent Project Supervision and Monitoring System 2.0’ atau lebih dikenali sebagai i-Supervision 2.0.

Ia merupakan inisiatif kolaborasi bersama JKR Malaysia dengan syarikat teknologi tempatan OFOTech Sdn. Bhd, tanpa melibatkan sebarang kos di pihak kerajaan. Sistem ini telah didaftarkan sebagai Harta Intelek dengan pemilikan bersama antara JKR Malaysia dan OFOTech Sdn Bhd.

i-Supervision 2.0 berupaya memantau projek pembinaan secara komprehensif menggunapakai teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT) serta Augmented Reality (AR) dan telah diimplementasikan ke atas beberapa buah projek iaitu Hospital Petrajaya, Kuching, Sarawak, Hospital Lawas, Sarawak dan Pusat Kawalan Penyakit Negara, Nilai.  i-Supervision 2.0 dijangka mampu merancakkan industri pembinaan negara ke satu tahap baharu, seiring dengan Revolusi Industri (IR4.0).