Langkau ke kandungan utama
0

Tinjauan Menteri Kerja Raya Terhadap Kerja Penyenggaraan Jalan Persekutuan Di Langkawi

LANGKAWI, KEDAH, 16 MEI 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi telah membuat tinjauan kondisi Jalan Persekutuan di Daerah Langkawi, Kedah bagi memastikan keadaan jalan yang selamat, selesa dan terbaik sebelum berlangsungnya acara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023.

Kementerian Kerja Raya (KKR) juga telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan jalan berkala pavemen. Manakala, kerja-kerja penyenggaraan jalan berkala bukan pavemen yang merangkumi skop kerja – kerja mengecat garisan jalan telah siap dilaksanakan di lapan (8) lokasi Jalan Persekutuan dengan jumlah kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000.

Antara lokasi tinjauan adalah melibatkan laluan berikut iaitu Jalan FT117 (Jalan Kampung Padang Putih – Pantai Tengah) sepanjang 300 meter, Jalan FT116 (Jalan Simpang Chandek Kura – Temoyong) sepanjang 1 km dan Jalan FT120 (Jalan Ulu Melaka – Makam Mahsuri) sepanjang 1.5 km.

Jumlah panjang keseluruhan Jalan Persekutuan yang di senggara di Langkawi adalah sepanjang 193.264 km. KKR adalah bertanggungjawab untuk menyenggara Jalan Persekutuan menerusi syarikat konsesi yang dilantik secara rasmi. 

Jumlah peruntukan penyenggaraan yang telah disalurkan bagi daerah Langkawi adalah sebanyak RM3.8 juta merangkumi kerja penyenggaraan rutin dan juga kerja penyenggaraan kecemasan.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya turut meninjau projek Cadangan Membina Jambatan Baharu Sungai Perangin, Oriental Village, Langkawi.  Projek ini diluluskan didalam Senarai Projek Rolling Plan 4, RMKe-11 di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).  Projek yang mencapai 76% kemajuan kerja ini bakal memberikan kemudahan yang lebih selesa untuk penduduk setempat dan kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

Tarikh Dan Waktu Acara