Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 18 OKTOBER 2022 - Sambutan Hari Psikologi Kementerian Kerja Raya (KKR) 2022, telah berjaya memupuk semangat kebersamaan dalam pencaknaan dan usaha menjaga kestabilan minda. Perasmiannya disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Haji Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR bertempat di Dewan Tanjung, Kompleks Kerja Raya.

Sambutan Hari Psikologi KKR disambut setiap tahun bersempena dengan Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Bulan Kesedaran Kesihatan Mental Sedunia, bagi meningkatkan kesedaran dan kepentingan penjagaan kesihatan mental serta kesejahteraan psikologi diri. Ini juga usaha KKR dalam memastikan setiap warga kerja raya cakna akan kepentingan kesejahteraan psikologi itu sendiri.

Sambutan kali ini telah melibatkan kerjasama antara KKR dengan 15 agensi kerajaan dan swasta dalam merealisasikan tema sambutan pada tahun ini iaitu "Simfoni Keluarga KKR" yang memfokuskan kepada kesinambungan komposisi organisasi dan individu. Kejayaan kerjasama ini membuktikan iltizam KKR dalam menyemai semangat kerjasama dan menggembleng tenaga dalam mencapai satu cita-cita.

Sambutan kali ini juga telah melibatkan lebih 600 pengunjung terdiri dari warga Kerja Raya Malaysia dan agensi berdekatan KKR. Kempen derma darah yang dijalankan oleh Pusat Darah Negara juga telah berjaya mengumpulkan sebanyak 63 beg darah untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang pada Hari Psikologi bagi tahun 2022 ini seperti “Corporate Social Responsibility” (CSR) oleh BPSM dan AKRAB KKR di Rumah Seri Kenangan Seremban pada 19 September 2022 bagi menyantuni insan-insan yang memerlukan bantuan dan sokongan. Semua progam yang diadakan merupakan asas penerapan kepada pembentukan nilai-nilai murni dalam meningkatkan produktiviti diri untuk jangka masa yang panjang.

1

KUALA LUMPUR, 13 OKTOBER 2022 - Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah melancarkan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) melibatkan jajaran sepanjang 20.1 kilometer bermula dari Puncak Perdana ke Penchala. Hadir sama ke majlis perasmian ini ialah YB Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.

Sejurus pelancaran itu, Lebuhraya DASH mula beroperasi dan dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula 12.01 tengah malam 14 Oktober 2022 dengan tol diberikan secara percuma selama sebulan. Lebuhraya DASH adalah lebuh raya bertingkat tiga lorong dua hala melibatkan 13 persimpangan, tiga plaza tol dan dua hentian sebelah.

Lebuh raya ini merupakan laluan alternatif kepada pengguna dari Shah Alam di barat untuk ke Kuala Lumpur di timur bagi mengurangkan kesesakan, masa perjalanan dan menyuraikan trafik yang lebih berkesan bagi kawasan-kawasan di antara dua bandar tersebut. Ia dijangka mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40% pada waktu puncak.

Lebuhraya ini menghubungkan beberapa rangkaian lebuh raya seperti Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Lebuhraya DASH dijangka mampu merangsang pembangunan dan pertumbuhan kawasankawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan Kwasa Damansara. Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn. Bhd, anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) telah membangunkan lebuh raya ini bermula Ogos 2016.

1

KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER 2022 – Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah hadir bagi merasmikan 11th Malaysian Road Conference & Exhibition 2022 dan 4th International Road Federation Asia – Pacific Regional Congress yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. 

Tema Malaysian Road Conference (MRC) pada kali ini ialah “Towards Resilient Road Infrastructure” yang bermaksud “Ke Arah Infrastruktur Jalan Raya Yang Berdaya Tahan”. Seramai 1,000 peserta telah menghadiri persidangan ini dari dua puluh negara. Terdapat juga lebih 100 ruang pameran disediakan. 

Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya telah menekankan perlunya industri pembinaan menghayati Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) di dalam melaksanakan kerja-kerja mereka dan juga mengamalkan kriteria-kriteria sustainable development goals (SDG) bagi setiap proses pembangunan. 

Infrastruktur jalan yang berdaya tahan juga perlu disediakan bermula dari peringkat perancangan, rekabentuk, pembinaan, penyenggaraan dan pengoperasian bagi mengatasi kesan-kesan dari perubahan iklim.  Beberapa inisiatif dan bahan binaan baharu yang telah diperkenalkan semasa Persidangan ke-10 pada tahun 2018, telah dijadikan amalan dan digunapakai pada hari ini. 

Pada persidangan kali ini, beberapa syarikat telah menerima Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan Raya 2022 yang disampaiakn oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya yang kemudiannya melawat beberapa ruang pameran bahan-bahan binaan berinovatif dan juga sistem dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan.

1

KUALA LUMPUR, 6 OKTOBER 2022 – Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya , Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menghadiri dan menyempurnakan Sesi Dialog Kementerian Kerja Raya (KKR) Bersama Pemain Industri Pembinaan di Bilik Tanjung, Kompleks Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Sesi Dialog Kementerian Kerja Raya (KKR) Bersama Pemain Industri Pembinaan diadakan bagi memenuhi aspirasi kerajaan mengukuhkan sinergi kerjasama antara kerajaan, penggiat industri dan pelbagai pihak berkepentingan. 

Objektif utama penganjuran sesi dialog ini adalah untuk menyediakan satu platform yang membolehkan penggiat industri pembinaan dan agensi kerajaan berbincang agar industri ini terus kekal mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi, perubahan teknologi, cabaran tenaga kerja dan perubahan persekitaran yang pantas.

Seramai 102 peserta yang mewakili persatuan-persatuan penggiat indusri pembinaan, kontraktor-kontraktor utama  pembinaan,  wakil kementerian dan agensi Kerajaan yang berkaitan telah menghadiri program ini. 

Sesi dialog ini telah di mulakan dengan ucapan YBhg. Dato' Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR. Dialog diteruskan dengan dua (2) pembentangan  oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bertajuk Construction 4.0 Strategic Plan (2021-2025) dan Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) bertajuk Proses Penggajian Pekerja Asing.

Pelbagai pandangan dan cadangan dari penggiat industri pembinaan antaranya, permohonan dan kemasukan pekerja asing industri pembinaan, harga bahan binaan, cabaran dalam pembinaan jalan konkrit dan keperluan pekerja mahir concrete pavement, Pendaftaran kontraktor G1, Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

Turut disuarakan ialah insentif, geran dan soft loan untuk pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0 dalam sektor pembinaan dan perolehan kerajaan berorientasikan teknologi.  Segala input ini dirumuskan supaya diangkat ke platform/saluran yang sewajarnya untuk tindakan susulan.

1

BANGI, 5 OKTOBER 2022 - Pertandingan World Skills Malaysia Belia (WSMB) 2022 meneruskan objektifnya mencungkil bakat kemahiran belia negara untuk pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa iaitu Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASEAN Skills Competition – ASC), World Skills Asia (WSA) dan Pertandingan Kemahiran Sedunia (World Skills Competition – WSC).

Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Arthur Joseph Kurup telah merasmikan pertandingan peringkat akhir acara tahunan ini yang dianjurkan bersama-sama Jabatan Pembangunan Kemahiran  (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) sejak tahun 2010.  Sebanyak 12 bidang kemahiran pembinaan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dipertandingkan untuk tahun ini. 

Penyertaan kali ini merupakan penyertaan yang teramai sejak pertandingan ini mula dianjurkan pada tahun 1989. Seramai 359 belia daripada Institut Latihan Kemahiran Awam dan Institut Latihan Kemahiran Swasta telah menyertai sesi pra-kelayakan dan daripada jumlah tersebut seramai 82 peserta telah berjaya mara ke peringkat akhir.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyifatkan peningkatan penyertaan ini membuktikan negara tidak lokek dengan bakat-bakat muda dalam TVET pembinaan selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk menjadikan bidang kemahiran sebagai pilihan utama kerjaya anak-anak muda Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, YB Datuk Arthur Joseph Kurup berkata sebagai Kementerian yang bertanggungjawab kepada industri pembinaan negara, KKR akan memberikan kerjasama yang sebaiknya  kepada agenda memperkasakan TVET Negara memandangkan TVET adalah pelaburan dan bukan kos, dengan pulangan yang signifikan kepada negara dan masyarakat.

Bagi mendepani teknologi megatrend yang sedang mengubah landskap sektor pembinaan di seluruh dunia, KKR menerapkan teknologi megatrend ke dalam industri pembinaan antaranya Industrialised Building System (IBS), Building Information Modelling (BIM), Blockchain, Artificial Inteligence dan 3D Printing. 

Usaha-usaha ini memerlukan profesional dan graduan TVET yang berkemampuan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan teknologi yang pantas serta kemunculan pelbagai teknologi baharu dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

1

PUNCAK ALAM, 29 SEPTEMBER 2022 – Kerajaan telah meluluskan RM130 juta peruntukan tambahan perbelanjaan pembangunan bagi kerja-kerja penyenggaraan berkala pavemen di Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia. Sebanyak RM113 juta ditawarkan kepada kontraktor di Semenanjung Malaysia menerusi 180 kerja, manakala bagi negeri Sabah, Sarawak dan Labuan adalah sebanyak RM17 Juta melalui 17 kerja.

Cabutan Kerja Undi telah diadakan di setiap negeri dan bagi pelaksanaan kerja undi di daerah Kuala Selangor, majlis telah diadakan di Dewan Kuliah 500, UiTM Cawangan Puncak Alam. Proses cabutan undi disempurnakan oleh YB Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof bersama-sama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia.

Sebanyak 10 syarikat kontraktor dari Gred 1 hingga Gred 4 telah berjaya dipilih dan perlu mengikut Jadual Perancangan yang telah ditetapkan dan mematuhi aspek keselamatan, jaminan kualiti kerja di tapak bina dan memastikan setiap skop kerja siap sepenuhnya pada tahun 2022. dalam acara tersebut.

Inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan dalam memperkasa penyenggaraan infrastruktur negara bagi memastikan kualiti Jalan Persekutuan diselenggara dengan baik, disamping memberi peluang ekonomi kepada kontraktor kecil dalam menghadapi cabaran ekonomi pasca pandemik.

307094977_456213903211490_8652915868053887600_n

SUNGAI BESI, 15 SEPTEMBER 2022 - Fasa Pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) melibatkan jajaran sepanjang 16.6 kilometer bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang dan berakhir di Persimpangan Bukit Antarabangsa telah dibuka secara rasminya oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya yang turut mengumumkan pemberian tol secara percuma selama sebulan, bermula jam 12 tengahari, 16 September 2022.

Jajaran ini melibatkan dua tol plaza iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang serta 11 persimpangan keluar dan masuk. Pada masa sama, pengguna juga masih boleh memilih untuk menggunakan laluan alternatif tanpa tol sedia ada iaitu Jalan Loke Yew untuk ke Pusat Bandar / Segambut / Selayang dan menggunakan MRR2 bagi destinasi ke Pusat Bandar / Gombak dan ke Pantai Timur.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) dan anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd merupakan pihak yang merealisasikan pembinaan SUKE ini secara Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) dengan kerajaan.

Secara keseluruhannya, Lebuhraya SUKE merupakan lebuh raya tiga lorong dua hala yang dibina dengan kos bernilai RM5.7 bilion dengan jumlah jajaran utamanya adalah sepanjang 24.4 kilometer melibatkan 14 persimpangan, 1 Kawasan Rehat dan Rawat serta dua hentian sebelah.

Lebuhraya SUKE akan menjadi lebuh raya alternatif utama kepada salah satu laluan paling sesak di Lembah Klang iaitu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dijangka mampu menyuraikan trafik untuk beberapa lokasi strategik iaitu di sepanjang MRR2, Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew sehingga 36% pada waktu puncak. Masa perjalanan juga dijangka mampu dijimatkan kepada 25 minit berbanding 75 minit menerusi laluan sedia ada.

Projek ini juga telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila dua ciri uniknya telah berjaya mendapat tempat dalam Malaysia Book of Records iaitu Tanjakan ikonik ‘helikoidal’ pertama di Malaysia berbentuk lingkaran dua tingkat, Jejambat Galang Kekotak Bersegmen (SBG) tertinggi berukuran 56.4 meter daripada paras tanah yang melintasi di atas Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).

SUKE menghubungkan beberapa rangkaian lebuh raya di Lembah Klang seperti Lebuhraya Shah-Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), MRR2, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) serta Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang masih dalam pembinaan.

SUKE adalah satu daripada 53 projek berimpak tinggi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bermatlamat untuk mencipta pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta mencipta aktiviti-aktiviti ekonomi lebih besar.

1

KUALA LUMPUR, 15 SEPTEMBER 2022 - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melaksanakan Kajian Semula Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia bagi menggantikan edisi Tahun 2010. Hasil akhir daripada Kajian tersebut ialah dokumen dan sistem web portal Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia (Malaysian Trip Generation Manual) atau dikenali sebagai MyTripGen 2020.

Manual edisi Ke-5 tersebut merupakan dokumen rujukan penting kepada para pengamal kejuruteraan trafik, agensi-agensi teknikal di peringkat negeri dan persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli akademik di negara ini di dalam membuat perancangan unjuran penjanaan trafik berdasarkan kepada sesuatu cadangan pembangunan guna tanah di sesuatu kawasan.

Majlis Pelancaran Dokumen dan Sistem Web Portal MyTripGen 2020 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR bertempat di Kompleks Kerja Raya.

Terdahulu, satu sesi taklimat ringkas oleh perunding MT Transport Consult Sdn Bhd berhubung Sistem Web Portal MyTripGen 2020 telah diadakan sebagai inisiatif hebahan awal kepada peserta. Turut diadakan adalah sesi menandatangani sijil oleh Perunding MT Transport Sdn Bhd bersama Setiausaha Bahagian Perancang Jalan, YBrs. Ir. Mohd Fairuz Bin Mamat@Muhamad.

1

KUALA LUMPUR, 15 SEPTEMBER 2022 - Majlis Kemuncak Sambutan Bulan Kebangsaan, Dekad Bahasa Dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) Tahun 2022 telah berlangsung meriah di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid Kompleks Kerja Raya.

Majlis yang mendapat kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan KKR dan PUSPANITA KKR ini dihadiri YB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, YBhg. Dato' Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha (KSU) KKR dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sempena sambutan program ini, pelbagai aktiviti telah diadakan oleh kementerian untuk semua warga seperti Kuiz Bahasa dan Kemerdekaan, Pertandingan Deklamasi Puisi, Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik, Pertandingan Berbalas Pantun dan Pertandingan Video Tiktok Resensi Buku yang telah disertai oleh warga KKR, JKR, LLM dan CIDB.

Pada majlis ini, para pemenang telah diraikan dan hadiah telah disampaikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya. Mona Mariana Mohd Nur dari JKR menjadi johan Pertandingan Deklamasi Puisi, manakala pemenang Nyanyian Lagu Patriotik dijuarai Nur Annisa Kasim juga dari JKR. Kumpulan Anta Permana JKR pula merangkul johan Pertandingan Berbalas Pantun dan lima pemenang telah dipilih sebagai video terbaik Tiktok Resensi Buku.

Warga Kerja Raya turut menyertai pelbagai program Bulan Kebangsaan yang diaturkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia seperti Program ‘Berjalan Teguh Bersama, Majlis Pelancaran Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022, Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 dan Acara Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Pada tahun ini Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2022 Peringkat Kementerian Kerja Raya diadakan serentak dengan Sambutan Dekad Bahasa dan Dekad Membaca Kebangsaan Tahun 2022 sebagai usaha untuk mengukuhkan semangat patriotik di samping menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan dalam meneguhkan ikatan perpaduan dan mengeratkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Jati diri Keluarga Malaysia dan citra bangsa Malaysia terserlah apabila berkomunikasi dalam bahasa yang sama.

1

SUNGAI BESI, 15 SEPTEMBER 2022 - Fasa Pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) melibatkan jajaran sepanjang 16.6 kilometer bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang dan berakhir di Persimpangan Bukit Antarabangsa telah dibuka secara rasminya oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya yang turut mengumumkan pemberian tol secara percuma selama sebulan, bermula jam 12 tengahari, 16 September 2022.

Jajaran ini melibatkan dua tol plaza iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang serta 11 persimpangan keluar dan masuk. Pada masa sama, pengguna juga masih boleh memilih untuk menggunakan laluan alternatif tanpa tol sedia ada iaitu Jalan Loke Yew untuk ke Pusat Bandar / Segambut / Selayang dan menggunakan MRR2 bagi destinasi ke Pusat Bandar / Gombak dan ke Pantai Timur.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) dan anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd merupakan pihak yang merealisasikan pembinaan SUKE ini secara Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) dengan kerajaan.

Secara keseluruhannya, Lebuhraya SUKE merupakan lebuh raya tiga lorong dua hala yang dibina dengan kos bernilai RM5.7 bilion dengan jumlah jajaran utamanya adalah sepanjang 24.4 kilometer melibatkan 14 persimpangan, 1 Kawasan Rehat dan Rawat serta dua hentian sebelah.

Lebuhraya SUKE akan menjadi lebuh raya alternatif utama kepada salah satu laluan paling sesak di Lembah Klang iaitu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dijangka mampu menyuraikan trafik untuk beberapa lokasi strategik iaitu di sepanjang MRR2, Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew sehingga 36% pada waktu puncak. Masa perjalanan juga dijangka mampu dijimatkan kepada 25 minit berbanding 75 minit menerusi laluan sedia ada.

Projek ini juga telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila dua ciri uniknya telah berjaya mendapat tempat dalam Malaysia Book of Records iaitu Tanjakan ikonik ‘helikoidal’ pertama di Malaysia berbentuk lingkaran dua tingkat, Jejambat Galang Kekotak Bersegmen (SBG) tertinggi berukuran 56.4 meter daripada paras tanah yang melintasi di atas Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).

SUKE menghubungkan beberapa rangkaian lebuh raya di Lembah Klang seperti Lebuhraya Shah-Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), MRR2, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) serta Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang masih dalam pembinaan.

SUKE adalah satu daripada 53 projek berimpak tinggi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bermatlamat untuk mencipta pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta mencipta aktiviti-aktiviti ekonomi lebih besar.