Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER 2022 - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kerja Raya bagi Tahun 2021 (APC JKR 2021) meraikan seramai 712 orang penerima dari JKR seluruh Malaysia.

Penyampaian anugerah dan perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya. Turut menyampaikan anugerah ialah YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato' Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YBhg. Dato' Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia.

Anugerah ini merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi perkhidmatan dan dedikasi yang tinggi kepada jabatan.

Dengan bertemakan ‘Prestasi Unggul Pemangkin Kecemerlangan’, anugerah ini diharapkan dapat menyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan demi menjadikan JKR sebagai sebuah organisasi penyampaian perkhidmatan organisasi yang berkesan, berkualiti dan memenuhi ekspektasi rakyat.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Kanan menekankan kepentingan Big Data yang merupakan evolusi teknologi dalam negara. Melaluinya aspek kualiti perkhidmatan mampu berdaya saing dan melangkaui ekspektasi.

Beliau turut menyeru warga JKR untuk berfikiran luar kotak, mampu merancang pelan tindakan serta berupaya mencari solusi di dalam menempuhi setiap halangan, tidak kira sama ada di luar atau di dalam sesebuah organisasi. Pengukuhan sesebuah organisasi juga boleh dicapai sekiranya seluruh warga kerja berupaya menjadi pemikir strategik dan berbudaya inovasi.

1

PULAU LANGKAWI, KEDAH, 12 SEPTEMBER 2022 – Perasmian pecah tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Kedah Darul Aman diiringi oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, YB Tuan Khairy Bin Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia serta YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor, Menteri Besar Kedah.

Projek ini dilaksanakan untuk menaiktaraf perkhidmatan perubatan sedia ada di Hospital Sultanah Maliha demi kemudahaan dan manfaat kepada penduduk di Pulau Langkawi khususnya dan negeri Kedah amnya kepada persekitaran yang lebih kondusif, moden dan selesa. Projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini akan memuatkan sebanyak dua ratus dua puluh (220) katil pesakit, menjadikan kapasiti keseluruhan bilangan katil di Hospital Sultanah Maliha sebanyak tiga ratus tiga puluh (330) katil.

Ini sekaligus menjadikan Hospital Sultanah Maliha bertaraf Hospital Pakar Major. Kos kontrak semasa bagi projek ini adalah RM425 juta meliputi skop Kerja Bangunan Blok Hospital baharu 220 katil termasuk enam (6) buah dewan bedah yang lengkap; Kerja-kerja infrastruktur; Pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan; Pembelian Peralatan ICT dan Pembinaan 40 unit kuarters Kelas G untuk kakitangan hospital. Blok parkir bertingkat Bangunan hospital sedia ada akan diintegrasikan dengan Bangunan tambahan hospital baharu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan efektif.

Kerja - kerja pembinaan telah bermula pada 20 Januari 2022 (Tarikh Milik Tapak) dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 16 Julai 2025 dengan tempoh pelaksanaan selama 182 minggu. Projek ini juga akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System -IBS) dan menggabungkan Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling- BIM). Kaedah ini adalah bertepatan dengan usaha Kementerian untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

1

KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 11 SEPTEMBER 2022 — Projek Membina Jalan Dari 2 Lorong Kepada 4 Lorong Dari Permatang Pak Elong Hingga Jambatan Merdeka Seberang Perai Utara, Pulau Pinang diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR). Pelaksanaan projek ini akan meningkatkan taraf perkhidmatan jalan ini daripada Level of Service (LOS) F kepada LOS C seterusnya mengurangkan kesesakan serta turut mengurangkan tempoh perjalanan pengguna.

Majlis Perasmian penyiapan projek disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof bersama YB Dato’ Sri Reezal Merican Bin Naina Merican, Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga merupakan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan. Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Ketua Pengarah Kerja Raya dan Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Rolling Plan 1 dengan nilai sebanyak RM340,390,000 kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia selaku Kementerian Pelanggan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sebagai Agensi Pelaksana.

Dengan pelebaran jalan ini ia dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat disamping menyusun semula pembangunan di tepi jalan sedia ada. Penyiapan projek ini telah memberi jaringan prasarana jalan raya yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna jalan raya yang berulang-alik dari Pulau Pinang dan Kedah.

JKR Malaysia telah melaksanakan projek ini secara Konvensional Perunding melalui Cawangan Jalan sebagai Pengurus Projek. Pihak Perunding yang dilantik adalah Kastri Engineers Sdn. Bhd. manakala syarikat Sinar Mec Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama bagi projek ini.

Projek ini telah mula dilaksanakan pada 19 Disember 2017 dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 20 April 2022 iaitu 15 hari lebih awal daripada tarikh siap sebenar. Projek ini juga telah berjaya diserahkan kepada pihak KKR dengan pencapaian “13 dalam 1” iaitu melibatkan aspek-aspek antaranya seperti Penjimatan kos dari kos kontrak asal, Zero Lost Time Injuries (LTI), sifar kemalangan, Pematuhan sepenuhnya Kualiti Alam Sekitar, Pematuhan sepenuhnya Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Pematuhan penuh SOP Covid-19.

1

SINTOK KEDAH, 10 SEPTEMBER 2022 - Kejohanan Sukan Kerja Raya Kali Ke-13 Tahun 2022 ditutup dengan rasminya oleh YBhg Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Haji Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bertempat di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia.

Juara keseluruhan pada kejohanan kali ini dimenangi oleh PLUS Malaysia yang merangkul 4 emas, 7 perak dan 1 gangsa. Pada majlis tersebut juga, Johan bagi setiap 18 acara yang dipertandingkan menerima Piala Pusingan sebagai simbolik juara bertahan.

Kejohanan Sukan Kerja Raya Kali Ke-13 telah berlangsung selama 4 hari dari 7 hingga 11 September 2022 dan mendapat kerjasama JKR Negeri Kedah, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia dan Universiti Utara Malaysia selaku tuan rumah lokasi penganjuran. Kejohanan dwitahunan ini melibatkan 24 kontinjen dengan seramai 1,687 orang atlet.

Pada akhir majlis telah diadakan acara menurunkan bendera kejohanan dan diserahkan kepada Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan KKR (KSKKKR), YBrs Izamael Zamzuri bin Ismail untuk dikibarkan pada kejohanan akan datang.

1

SINTOK, KEDAH, 08 SEPTEMBER 2022 – Kejohanan Sukan Kerja Raya 2022 kali ke-13 telah dibuka secara rasmi oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya bertempat di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kejohanan anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Kerja Raya (KSKKKR), Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia ini melibatkan24 kontinjen yang terdiri daripada 1,819 orang atlet. Para atlet akan berkampung selama 5 hari bermula 07 September hingga 11 September 2022.

Terdapat 18 acara sukan dipertandingkan pada tahun 2022 berbanding 16 acara sukan yang dipertandingkan pada kejohanan Sukan Kerja Raya 2018 di negeri Perak Darul Ridzuan. Dua (2) acara sukan baharu yang dipertandingkan tahun ini ialah acara sukan Trail Run dan Road Bike.

Penganjuran acara sukan sebegini dapat memupuk semangat kesukanan seperti rasa hormat terhadap pihak lawan, rakan sepasukan serta pengadil, memupuk semangat berpasukan dan mengamalkan sikap bertoleransi. Semangat dan sikap ini boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian termasuklah semasa menjalankan tugasan di pejabat masing – masing.

1

KUALA LUMPUR, 06 SEPTEMBER 2022 – Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof telah menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran 11th Malaysian Road Conference & Exhibition 2022 yang bakal diadakan bersama dengan 4th International Road Federation Asia – Pacific Regional Congress selama tiga (3) hari bermula 11 hingga 13 Oktober 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Malaysian Road Conference (MRC) merupakan platform di peringkat kebangsaan dan rantau Asia Tenggara bagi tujuan pembentangan penyelidikan dan juga pertukaran idea mengenai teknologi dan inovasi terkini berkaitan jalan raya dengan mengetengahkan agenda berkaitan pembangunan, pembinaan, pengurusan dan penyenggaraan jalan raya, lebuh raya serta infrastruktur berkaitan dengannya. MRC merupakan acara dwi tahunan yang kini memasuki edisi kesebelas dengan edisi pertama telah diadakan pada tahun 1994.

Persidangan ini anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) dengan Kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan juga Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta beberapa agensilain. Tema persidangan pada kali ini adalah “Towards Resilient Road Infrastructure” atau “Ke Arah Infrastruktur Jalan Raya Yang Berdaya Tahan”. Dianggarkan 1,000 peserta dari dalam dan luar negara bakal menghadiri persidangan ini bersama 111 ruang pameran mempromosikan berkaitan infrastruktur jalan raya.

1

SRI AMAN, 4 SEPTEMBER 2022 – Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo sepanjang lebih 786 kilometer (km) merentasi bahagian utara Sarawak hampir siap sepenuhnya. Hari ini satu lagi persimpangan bertingkat di bawah projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu Persimpangan Bertingkat Sri Aman dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof dan turut dihadiri oleh YB. Ir Aidel Bin Lariwoo, Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur). Kos keseluruhan bagi pembinaan persimpangan bertingkat Sri Aman ini adalah RM28.8 juta dengan keluasan 19.4 hektar sepanjang 1 km.

Persimpangan bertingkat Sri Aman ini mula dibina pada 1 September 2016 dan telah dibuka untuk kegunaan pengguna jalan raya pada 30 Ogos 2022. Projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan ini mampu membantu menyuraikan trafik dari Serian ke Sri Aman dan Betong untuk bergerak dengan lebih selesa dan selamat.

Selain itu, ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya contohnya Lachau, Temudok, Sri Aman, Engkilili dan Skrang dengan akses jalan raya yang lebih baik. Pelaksanaan projek ini juga merupakan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ia juga dilakukan bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.

1

KUCHING, 3 SEPTEMBER 2022 – YB Dato Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya telah mengadakan sesi libat urus bersama 250 pengamal media di Sarawak bagi berkongsi visi dan misi Kementerian dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga pembangunan infrastruktur kepada Keluarga Malaysia di negeri Sarawak khususnya.

Turut hadir ialah YBhg. Dato' Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya dan Ketua-ketua Pengarah Agensi. Dato’ Wira KSU juga telah menyampaikan taklimat kepada tetamu yang hadir dalam majlis yang berlangsung di Hotel Waterfront, Kuching.

Antara intipati taklimat adalah berhubung pembangunan infrastruktur di negeri Sarawak seperti status kemajuan kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB). Anggaran kos projek pembangunan di Sarawak di bawah KKR adalah sebanyak RM1.636 bilion.

Turut dikongsikan adalah kerja-kerja penyenggaraan jalan persekutuan di Sarawak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM88.3 juta untuk kerja-kerja Penyenggaraan rutin, penyenggaraan berkala pavemen, penyenggaran berkala bukan pavemen, penyenggaraan jambatan, penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat.

Berkenaan Kempen Zeropothole KKR atau Kempen Sifar Lubang KKR yang bermula pada tahun2016, untuk rekod sehingga Ogos 2022 sejumlah 3,467 bilangan pothole atau lubang jalan raya di Jalan Persekutuan negeri Sarawak telah ditampal dalam tempoh masa 24 jam selepas ditemui.

1

KUALA LUMPUR, 29 OGOS 2022 - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) hari ini ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti industri pembinaan. MoU ini merangkumi tiga aspek utama, iaitu Pembangunan Modal Insan, Kaedah dan Teknologi Pembinaan, dan Sistem Penilaian Kualiti, Keselamatan dan Kemampanan.

MoU ini ditandatangani oleh Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, mewakili CIDB, dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, mewakili MRT Corp. Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia. MoU ini menetapkan bidang kerjasama CIDB serta MRT Corp di dalam membangunkan modul latihan pembinaan infrastruktur untuk menghasilkan personel binaan kompeten yang akan memenuhi keperluan projek-projek MRT Corp serta industri pembinaan keseluruhannya.

MoU ini juga akan melihat kedua-dua pihak bekerjasama untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi baharu seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling (BIM) di dalam pembinaan projek MRT Corp. Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelbagai program untuk membangunkan rantaian nilai teknologi pembinaan termasuk peningkatan kesedaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembangunan vendor.

Pelaksanaan amalan terbaik di dalam keselamatan dan kesihatan, kualiti serta kelestarian di dalam projek-projek pembinaan juga ditekankan di dalam MoU ini. CIDB akan memberi latihan dalam penggunaan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan di Tapak Bina (SHASSIC), Sistem penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC), Skim Penarafan Pengurangan Karbon dan Kemampan Alam Sekitar Malaysia (MyCREST) dan Sistem penilaian Kemampanan Alam Sekitar untuk projek-projek pembinaan infrastruktur (Sustainable INFRASTAR).

Sistem-sistem penilaian ini membantu para penggiat industri dalam menilai keberkesanan mereka dalam mengikuti amalan terbaik dalam keselamatan dan kesihatan, kualiti dan kelestarian sesuatu projek yang dilaksanakan. Ini bukan sahaja akan meningkatkan imej dan reputasi sesebuah syarikat pembinaan. Ia juga akan meningkatkan imej industri pembinaan secara keseluruhannya dan sekaligus menarik minat lebih ramai tenaga kerja tempatan untuk terlibat di dalam industri pembinaan.

Melalui kerjasama ini juga, MRT Corp berperanan untuk menyokong objektif pihak CIDB dan juga Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dalam merealisasikan Pelan Strategik Pembinaan 4.0, yang akan menjadi asas bagi merangka program untuk meningkatkan keupayaan industri pembinaan dalam alaf industri 4.0.

1

KLUANG, JOHOR, 20 OGOS 2022 – Penutup bagi siri Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan ahli jelajah telah meneruskan perjalanan bagi tinjauan projek cadangan menaik taraf jalan di Jalan Persekutuan FT050 dari Ayer Hitam ke Kluang di Seksyen 33.8 hingga ke persimpangan stadium Kluang di Seksyen 49.1.

Jalan ini merupakan laluan utama tanpa tol yang menghubungkan daerah Batu Pahat, Kluang dan Mersing. Lokasi tinjauan adalah projek Fasa 3B yang melibatkan skop projek membina bahu jalan, median, pusingan U dan juga kerja-kerja berkaitan. Projek ini adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan maut sepanjang jajaran ini.

Projek ini merupakan kesinambungan daripada projek Fasa 3A yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2024. Anggaran kos bagi fasa 3A adalah sebanyak RM219 juta. Lokasi ini telah direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia akibat ketiadaan bahu jalan, median dan pusingan U. Sebanyak 52 kemalangan dicatatkan dari tahun 2020 sehingga Jun 2022. Selain itu, laluan ini juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi terutama pada waktu musim cuti perayaan.

Secara keseluruhan, anggaran kos projek bagi menaik taraf FT050, Fasa 3B ini adalah sebanyak RM385.13 juta. Sebagai peneraju infrastruktur negara, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah semestinya akan sentiasa komited dan memberi perhatian dalam pelbagai aspek terutama aspek keselamatan bagi memastikan infrastruktur negara sentiasa dalam keadaan baik demi kesejahteraan dan keselesaan Keluarga Malaysia.