Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

PENDANG, KEDAH, 12 JANUARI 2023 – Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya hari ini bersama-sama YB Dr. Zaliha Binti Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia. Hadir sama bagi menyaksikan majlis penyerahan projek tersebut adalah Duli Yang Amat Mulia, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah.

Objektif utama pembinaan Projek Hospital Pendang adalah untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat setempat serta kawasan sekitarnya. Projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini memuatkan sebanyak 126 katil pesakit dan empat (4) dewan bedah. Ini sekaligus menjadikan Hospital Pendang dikategorikan sebagai hospital pakar minor.  Projek Pembinaan Hospital Pendang, Kedah telah diluluskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM255.27 juta melibatkan kos pembinaan dan perolehan peralatan perubatan serta bukan perubatan.

Kos kontrak pembinaan adalah sebanyak RM210.64 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 214 minggu.  Kerja - kerja pembinaan telah bermula pada 7 Mei 2018 (Tarikh Milik Tapak) dan siap sepenuhnya pada13 Oktober 2022 (Sijil Perakuan Siap Kerja, CPC) iaitu lebih awal dari tarikh penyiapan asal mengikut kontrak.  Projek ini juga menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System) dan menggabungkan Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling). Kaedah ini adalah bertepatan dengan usaha Kementerian untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing.

Selaras dengan konsep hospital kluster, Hospital Pendang akan menjadi hospital sokongan kepada hospital-hospital pakar major yang lain iaitu Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.  Hospital Pendang ini juga akan menjadi pusat rujukan kepada klinik kesihatan dan klinik desa di sekitar kawasan Daerah Pendang seperti Klinik Kesihatan Pendang, Klinik Kesihatan Sungai Tiang dan Klinik Kesihatan Kubur Panjang yang menerima pertambahan bilangan pesakit harian yang tinggi setiap tahun. 

Hospital ini akan mula beroperasi pada 15 Februari 2023 dengan 11 bidang kepakaran seperti Kecemasan, Orthopedik, Perubatan Am, Anestesiologi, Pembedahanan Am, Radiologi, Obstetrik dan Ginekologi, Patologi, Paediatrik dan Psikiatri.  Hospital ini akan dilengkapkan dengan satu unit mesin CT Scan bagi membolehkan proses diagnostik dan rawatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa memerlukan pesakit dirujuk ke hospital-hospital pakar major dan untuk itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM4.5 juta bagi melaksanakan perolehan mesin tersebut pada tahun ini.

0

KUALA LUMPUR, 10 JANUARI 2023 - Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Menteri Kerja Raya bersama warga Kerja Raya telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR).

YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi berbesar hati bertemu dengan semua Warga Kerja Raya buat pertama kalinya dan telah menyampaikan beberapa amanat sebagai panduan pembuka tirai awal tahun.

Rentetan daripada tinjauan di beberapa lokasi yang terlibat dalam bencana Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini, beliau meminta warga memberikan komitmen padu dalam agenda membaik pulih aset yang terjejas akibat bencana alam terutamanya yang melibatkan infrastruktur jalan raya.

Katanya lagi, KKR akan terus mengambil inisiatif yang selari dengan hasrat Kerajaan untuk mengimbangi pertumbuhan dgn konsolidasi fiskal yang mempunyai impak secara langsung kepada rakyat, penggiat industri dan pembangunan sektor pembinaan itu sendiri bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau turut menyeru penjawat awam supaya bekerjasama dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim yang meletakkan komitmen tinggi bagi memantapkan elemen integriti dalam pentadbirannya, menghentikan budaya lama seperti meluluskan projek tanpa tender serta kebocoran dan ketirisan yang berleluasa.

Antara intipati lain yang diselitkan di dalam amanat sebentar tadi ialah Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo dan Sarawak-Sabah Link Road yang diteruskan, Pelan Strategik Pendigitalan KKR, mengkaji gaji permulaan para jurutera dan halatuju Dasar Pembinaan Negara.

0

KUALA LUMPUR, 5 JANUARI 2023 – YBhg Dato' Ir Ahmad Redza bin Ghulam Rasool telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya berkuatkuasa pada 5 Januari 2023.  Penyerahan Watikah Pemangkuan telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan turut disaksikan Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Hj. Wan Sulaiman bersama Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan, YBhg. Datuk Ahmad Nadzri Embong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, pelantikan YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas beliau dalam bidang kejuruteraan, pengurusan projek pembangunan, pengurusan aset serta sebagai Pengarah Negeri di beberapa negeri dan juga sebagai Pengarah Kanan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE).

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 39 tahun sebagai Jurutera Awam bermula pada 21 Disember 1984 dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari Universiti Missouri, Amerika Syarikat.

Latihan Menghadapi Kebakaran Di Kompleks KKR

KUALA LUMPUR, 28 DISEMBER 2022 – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan Latihan Pengungsian Bangunan iaitu latihan persediaan menghadapi situasi kebakaran di premis pejabat iaitu Bangunan Kompleks Kerja Raya.

Objektik utama latihan ini ialah untuk menambah pengetahuan dan kemahiran warga KKR tentang kaedah menyelamatkan diri ketika berlakunya kebakaran dan kecemasan, melatih pegawai dan petugas-petugas kebakaran yang dilantik supaya dapat merancang dan menjalankan tugas-tugas dengan sistematik dan betul.

Latihan ini mendapat kerjasama daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Kuala Lumpur.  Turut diadakan sesi demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan peralatan pemadam kebakaran beserta kaedah yang betul yang ditunjuk ajar oleh pihak Bomba.  Ini penting untuk mengurangkan risiko kecederaan terhadap diri sendiri atau orang lain serta harta benda.

 

1

KOTA BHARU, 23 DISEMBER 2022 - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan kerja Raya (JKR) bersiap siaga susulan bencana banjir buruk yang menimpa di beberapa buah negeri. Bagi meninjau keadaan infrastruktur jalan raya, cerun dan jambatan yang terjejas akibat banjir, Menteri Kerja Raya YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi beserta pengurusan tertinggi KKR dan JKR telah turun padang ke Negeri Kelantan.

Tinjauan ini bertujuan memastikan semua infrastruktur awam seperti jalan raya dan jambatan selamat digunakan, bukan sahaja oleh orang awam tetapi juga pasukan keselamatan yang ditugaskan di kawasan terjejas.

Lokasi pertama tinjauan adalah di laluan Jalan Persekutuan FT003 di Seksyen 664.00, Laluan Kota Bharu – Kuala Terengganu yang telah ditenggelami air pada 18.12.2022, Ahad, jam 1.00 petang sedalam 0.75m dan panjang kawasan yang terlibat adalah 500m. Air surut sepenuhnya pada 20.12.2022, Selasa dan laluan telah dibuka kepada semua kenderaan. Terdapat kerosakan pada permukaan jalan yang memerlukan pembaikan segera dan melibatkan anggaran kos pembaikan sebanyak RM1juta.

Seterusnya, di lokasi kedua, Jalan Persekutuan FT004 Seksyen 281.50 Machang – Jeli telah berlaku runtuhan dan hakisan tebing pada kawasan pile cap di bawah Jambatan Kusial, Tanah Merah. Kejadian mula dikesan pada 18.12.2022, Sabtu. Panjang kawasan yang terlibat adalah 7.50m (Lebar) x 30.0m (panjang) dengan kedalaman hakisan dianggarkan 5.0m. Struktur jambatan tidak terjejas dan laluan jambatan dibuka kepada pengguna.

Pemantauan rapi dan pemeriksaan secara fizikal oleh pihak JKR dan konsesi terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna. Maklumat laluan jalan raya yang terjejas akibat banjir dan bencana sentiasa dikemaskini beserta cadangan laluan alternatif yang boleh dilalui oleh pengguna dan ia dikawal selia oleh Bilik Gerakan Bencana (BiGBen), JKR Malaysia.

Orang ramai juga boleh menyalurkan aduan kepada BiGBen yang berfungsi sebagai ‘one stop centre’ bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh, yang melibatkan jalan dibawah seliaan JKR iaitu Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh Malaysia.

BiGBen telah beroperasi pada Peringkat 3 selama 24 jam sehari. Status bencana serta cadangan laluan alternatif dilaporkan enam (6) kali sehari iaitu pada 8.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00 malam, 2.00 pagi dan 6.00 pagi. Maklumat status kejadian bencana jalan raya boleh diperolehi di portal bencana Jabatan Kerja Raya di alamat : www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui laman media sosial rasmi JKR Malaysia iaitu Facebook jkr.malaysiaTwitter @IPJKR_OfficialTwitter @CSFJ_JKRInstagram kormkorpjkr, atau boleh juga menghubungi talian Hotline BiGBen 03-26107727.

 

1

BANGI, 22 DISEMBER 2022 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Mohamad mengadakan lawatan kerja rasmi ke Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu salah satu agensi dibawah Kementerian Kerja Raya (KKR). Kehadiran para delegasi disambut Ketua Pengarah LLM, YBhg. Dato' Ir. Mohd Shuhaimi Bin Hassan.

LLM bertanggungjawab melaksanakan pembangunan, pengurusan dan pengawalseliaan lebuh raya yang meliputi perancangan, rekabentuk, pembinaan, operasi dan penyenggaraan lebuh raya tol yang berkualiti mengikut piawaian antarabangsa.

Dalam lawatan rasmi pertama ini, Menteri dan delegasi telah diberi penerangan terperinci berhubung fungsi dan isu-isu berkaitan pengurusan lebuhraya dan fokus kepada isu terkini berkaitan tindakan dan pengurusan hal luar jangka di lebuhraya seperti kemalangan dan banjir, mengambil kira pelbagai kejadian bencana alam yang berlaku di lebuhraya kebelakangan ini.

Usaha tindakan pantas ini dapat dilaksanakan dengan adanya Bilik Gerakan Bencana LLM yang mengkoordinasi penyaluran maklumat situasi di lebuhraya bersama agensi-agensi lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), syarikat konsesi lebuhraya dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR).

Delegasi turut dibawa melawat Pusat Pengurusan Trafik (TMC) LLM yang beroperasi 24 jam sehari memantau semua lebuhraya di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang 2,064 kilometer. Penyaluran maklumat terkini dari TMC ini kepada pengguna lebuhraya amat membantu terutamanya sewaktu kejadian bencana alam di lebuhraya pada ketika ini.

Menteri Kerja Raya melahirkan rasa kagum terhadap operasi TMC dan Bilik Gerakan Bencana LLM dalam memastikan aliran trafik lebuhraya lancar dan paling utama adalah keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya sentiasa diberi perhatian. Turut hadir dalam lawatan ialah Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Hj. Wan Sulaiman.

 

1

KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER 2022– Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara Tahun (HPTN) 2022 yang bermula dari 19 hingga 21 Disember 2022 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kuala Lumpur. HPTN 2022 telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia pada 20 Disember 2022.

“Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan” adalah tema sambutan HPTN tahun ini. Tema ini menjadi pilihan kerana dengan mengambilkira transformasi penggunaan teknologi terkini khususnya di dalam bidang teknikal, di samping menggalakkan golongan muda untuk menceburi profesion teknikal. Penguasaan teknologi menjadi pemangkin kepada pembangunan dan modenisasi sesebuah negara.

Golongan muda pula adalah pewaris untuk menerajui negara di masa hadapan. Oleh itu adalah amat penting untuk kita memberi pendedahan berkaitan profesion teknikal kepada anak-anak muda demi meneruskan legasi dalam landskap pembangunan negara. Lantas, menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya maju dan membangun secara mapan dalam era Revolusi Industri 4.0.

Pelbagai aktiviti telah disusun sempena Sambutan HPTN 2022 antaranya Legasi Infrastruktur 150 tahun Agensi Teknikal Negara, Pertandingan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Pertandingan eSukan (FIFA Sports), Larian Jurutera dengan kerjasama Lembaga Jurutera Malaysia, Pertandingan Fotografi, Kempen Kesihatan iaitu Derma Darah dan juga Pemeriksaan Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, sebanyak 36 pepamer teknikal dari pelbagai disiplin kejuruteraan Sambutan HPTN turut dibantu oleh rakan strategik yang terdiri daripada beberapa Kementerian, agensi – agensi kerajaan, syarikat swasta, IPTA, IPTS dan juga selebriti teknikal yang turut sama menyumbang bakti dalam menjayakan sambutan HPTN 2022.

1

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER 2022 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad memulakan tugasnya di Kementerian Kerja Raya di Jalan Sultan Salahudin, Kuala Lumpur hari ini.

Dato' Sri Abdul Rahman merupakan Ahli Parlimen Lipis kemudiannya mengimbas kad perakam waktu, sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, hari ini.

Beliau yang tiba pada jam 10. 00 pagi disambut oleh Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Hj. Wan Sulaiman dan pegawai-pegawai kanan kementerian dan diteruskan dengan sesi suai kenal bersama pegawai-pegawai di Pejabat Timbalan Menteri Kerja Raya.

Beliau akan mengadakan sesi perjumpaan dan mesyuarat bersama pegawai- pegawai kanan kementerian terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran yang lebih terperinci mengenai fungsi serta peranan kementerian ini.

Jumaat lalu, Dato' Sri Abdul Rahman antara 27 Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan yang diumum YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

1

KUCHING, SARAWAK, 12 DISEMBER 2022 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan sesi lawatan ke Pejabat CIDB Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, Kompleks CIDB Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya.

Lawatan ini bertujuan untuk memahami lebih dekat mengenai peranan dan fungsi CIDB Negeri Sarawak, ABM Wilayah Sarawak, CIDB Technologies Wilayah Sarawak dan Construction Research Institute of Malaysia (CREAM).

CIDB merupakan agensi dibawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang mengawal selia, membangun dan memudahcara industri pembinaan dengan menerapkan profesionalisme dan memanfaatkan inovasi untuk menghasilkan persekitaran binaan yang berkualiti, produktif dan mampan.

Kawasan kompleks seluas 65 ekar ini turut menempatkan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak dan CIDB Technologies yang merupakan pusat penilaian dan latihan untuk menyediakan latihan kemahiran binaan kepada tenaga kerja pembinaan. Bermula tahun 2001 sehingga 15 September 2022, jumlah statistik data pengeluaran pekerja mahir binaan bagi keseluruhan ABM dan CIDB Technologies adalah seramai 403,506 orang.

Menteri Kerja Raya turut melawat Pameran Mini ABM, Makmal Kerja Raya Malaysia Cawangan Sarawak, Makmal BIM serta mendengar taklimat pembinaan rumah contoh menggunakan teknologi 3D Printing iaitu kolaborasi antara CIDB melalui anak syarikat iaitu CIDB IBS dan ABM Sarawak bersama pemain industri iaitu SCIB untuk pembangunan teknologi baru dibawah IR 4.0.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif, CIDB Malaysia, Encik Saini Saidi, Pengarah Negeri CIDB Sarawak dan Encik Abdul Rahman Bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, ABM Wilayah Sarawak.

Majlis Serah Tugas Menteri Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER 2022 - YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi telah hadir ke Kementerian Kerja Raya bagi Sesi Serah Tugas kepada YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, yang telah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu. YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof merupakan mantan Menteri Kanan Kerja Raya dan pernah menjawat jawatan Menteri Kerja Raya pada 16 Mei 2013 hingga 10 Mei 2018, Menteri Kerja Raya pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021 sebelum dilantik semula sebagai Menteri Kanan Kerja Raya pada 30 Ogos 2021. 

Pada hari ini juga, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memulakan hari pertama beliau bertugas secara rasmi di Kementerian Kerja Raya (KKR). Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Hj. Wan Sulaiman dan pegawai-pegawai kementerian. Majlis ringkas yang diadakan dimulakan dengan upacara ‘clock-in’, diikuti sesi taklimat berkaitan kementerian yang disampaikan oleh Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir. 

Melalui sesi taklimat yang diadakan, pelbagai perkara yang melibatkan fungsi-fungsi dan dasar kementerian telah dibentangkan. Turut dibincangkan adalah persediaan dan tanggung jawab KKR dalam menghadapi situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di dalam negara pada ketika ini. KKR telah menubuhkan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) di peringkat ibu pejabat dan negeri bagi menyelaraskan tindakan yang diperlukan di kawasan terjejas dan mengkoordinasi setiap gerak kerja bagi memastikan akses jalan raya tidak terjejas. Maklumat laluan alternatif akan disediakan sekiranya terdapat laluan yang terjejas akibat banjir.

Dato Sri Alexander berkata, KKR akan sentiasa bekerjasama dengan semua jabatan dan agensi dalam menghadapi situasi bencana dan bersedia untuk menghulurkan bantuan atas kapasiti kementerian pada bila-bila masa yang diperlukan. Sementara itu, beliau berkata melangkah ke hadapan, polisi-polisi dan inisiatif KKR terdahulu yang terbukti berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan diteruskan dan dalam masa yang sama, usaha penambahbaikan yang berpaksikan kepada kebaikan kepada semua akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.