Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

12 Zon Di KKR Menerima Hadiah Audit Dalam Dan Pertandingan Mini EKSA KKR 2022

KUALA LUMPUR, 30 NOVEMBER 2022 – Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang Audit Dalam Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Pertandingan Mini EKSA KKR Tahun 2022 telah diadakan di Bilik Bunga Raya, Kompleks Kerja Raya.

Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj. Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR. Audit Dalam EKSA KKR telah dilaksanakan sebanyak dua (2) Siri iaitu Siri 1 pada 20 -21 Julai 2022 dan Siri 2 pada 10 – 11 Ogos 2022. Manakala Pertandingan Mini EKSA pula telah dilaksanakan pada 10 – 11 Ogos 2022 yang lepas.

Bagi Audit Dalam EKSA, Zon Gamelan (Bahagian Akaun) memenangi tempat pertama dan menerima Piala Pusingan Zon Terbaik EKSA. Tempat kedua ialah Zon Lavender (Unit Integriti) diikuti Zon Raflesia (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia), Zon Kesidang (Unit Audit Dalam) dan tempat kelima Zon Jasmin (Bahagian Perancangan Korporat).

Tujuh Zon turut menerima saguhati kerana mengekalkan prestasi Cemerlang markah 90 ke atas iaitu Zon Dahlia (Bahagian Kewangan), Zon Kiambang (Bahagian Pengurusan Fasiliti), Zon Melati (Unit Komunikasi Korporat), Zon Melur (Bahagian Khidmat Pengurusan), Zon Daisy (Bahagian Pengurusan Maklumat), Zon Seri Pagi (Bahagian Dasar Antarabangsa) dan Zon Kenanga (Bahagian Perancang Jalan).

Bagi Pertandingan Mini EKSA, Zon Gamelan (Bahagian Akaun) mengungguli tempat pertama diikuti Zon Melur (Bahagian Khidmat Pengurusan), dan ketiga Zon Kesidang (Unit Audit Dalam). Pemenang saguhati diberikan kepada Zon Raflesia (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia), Zon Jasmin (Bahagian Perancangan Korporat) dan Zon Dahlia (Bahagian Kewangan).

5 Syarikat Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan Menerima Anugerah Pengurusan Dan Penyenggaraan Terbaik BGP 2021

KUCHING, SARAWAK, 22 NOVEMBER 2022 – Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku agensi teknikal yang mengawalselia dan memantau kontrak perkhidmatan penyenggaraan di Bangunan Gunasama Persekutuan (BGP) seluruh negara telah menganjurkan Anugerah Pengurusan dan Penyenggaraan Terbaik BGP 2021 buat kali yang ke-5.

Sesi penyampaian Anugerah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj. Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR. Tempat Pertama diungguli syarikat penyenggara Bangunan Sultan Iskandar, diikuti syarikat penyenggara Bangunan Persekutuan Kluang, tempat ketiga syarikat penyenggara Wisma Persekutuan Kapit, tempat keempat syarikat penyenggara Wisma Persekutuan Limbang Utama dan tempat kelima syarikat penyenggara Wisma Persekutuan Kuantan.

Anugerah ini bertujuan untuk menilai dan memberi pengiktirafan kepada syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan dan penyenggaraan di BGP yang melaksanakan perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti. Anugerah ini juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat di antara syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan dan penyenggaraan BGP untuk mencapai prestasi dan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Anugerah ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Pemantauan Penswastaan Perkhidmatan Pengurusan dan Penyenggaran BGP Bil.2/2016 pada 29 Julai 2016. Penyenggaraan fasiliti merupakan satu proses perlaksanaan kerja yang berhubung kait dengan kerja mengurus, mengendali dan menyenggara semua aset dan fasiliti.

Penilaian Anugerah Pengurusan dan Penyenggaraan Terbaik BGP melibatkan dua (2) peringkat penilaian iaitu Peringkat Awal yang terdiri daripada 6 elemen dan Penilaian Peringkat Akhir yang melibatkan 10 elemen antaranya Pengurusan sisa pepejal, Kelestarian teknologi hijau, Penyediaan kemudahan untuk orang awam dan Pematuhan kepada keperluan keselamatan.

1

SELANGAU, SIBU, 14 NOVEMBER 2022 – Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang lebih 786 kilometer (km) merentasi Pulau Borneo hampir siap sepenuhnya. Hari ini satu lagi seksyen di bawah projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu Seksyen Selangau sepanjang 27 km dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg. Turut hadir pada majlis ini juga ialah Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.

Kos keseluruhan bagi pembinaan seksyen Selangau ini adalah RM588 juta melibatkan pembinaan jalan sepanjang 27 km dan satu persimpangan bertingkat. Seksyen Selangau ini mula dibina pada 1 November 2016 dan akan dibuka untuk kegunaan pengguna jalan raya pada hari ini, 14 November 2022.

Projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan ini mampu membantu menyuraikan trafik dari Sibu ke Bintulu untuk bergerak dengan lebih selesa dan selamat. Selain itu, ianya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya contohnya Sibu, Selangau, Mukah dan Balingian dengan akses jalan raya yang lebih baik.

Pelaksanaan projek ini juga merupakan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ia juga dilakukan bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.

1

BANGI, 10 NOVEMBER 2022 - Majlis Sambutan Hari Integriti 2022 peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat umum tentang pentingnya kita mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan serta bebas daripada amalan rasuah.

Majlis anjuran Unit Integriti, KKR, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) serta Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) ini disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR bertempat di Dewan Tan Sri M. Yusoff, LLM.

Turut hadir pada majlis ini ialah YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Dato' Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir. Mohd Shuhaimi bin Hassan, Ketua Pengarah LLM, YBhg. Datuk Ir. Ahmad `Asri bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB, YBhg. Dato' Tan Kang Sai, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, SPRM dan YBrs. Tuan Seng Chuan a/l Din Wan, Pengarah Unit Integriti KKR.

Berbeza dengan sambutan pada tahun-tahun sebelumnya, sambutan tahun ini dilaksanakan sebagai Sambutan Bulan Integriti KKR Tahun 2022 dengan pengisian aktiviti-aktiviti yang telah pun bermula pada 20 Oktober sehingga 15 November 2022 oleh KKR dan semua agensi di bawah KKR yang meliputi Pelancaran Kod Etika Kontraktor oleh CIDB, Pertandingan Video Integriti oleh JKR, Kuiz Integriti oleh LLM, Webinar Integriti oleh LJM, LAM dan LJBM serta Wacana Integriti serta Hari Bertemu Pelanggan oleh KKR.

Pada tahun ini, sambutan Hari dan Bulan Integriti Nasional adalah bertemakan “Integriti Teras Keluarga Malaysia”. 5 November telah diisytiharkan sebagai Hari Integriti Nasional sejak penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada April 2004 dan mulai tahun 2005, Hari Integriti Nasional (HIN) disambut setiap tahun sepanjang bulan November.

Pada majlis ini, turut diadakan pemeteraian Nota Kerjasama antara KKR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merupakan penambahbaikan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Ke Arah Pembanterasan Rasuah antara KKR dan SPRM yang telah dimeterai pada 1 Julai 2013.

Nota Kerjasama ini akan menjadi titik kesinambungan kepada MoU sebelum ini untuk membanteras jenayah rasuah serta memastikan semua perancangan dan hasil yang terbit dari usahasama ini bakal direkod, dipantau dan dikaji pada setiap tahun dan akan dinilai pencapaiannya. Ia akan turut menjamin penyaluran maklumat-maklumat berkualiti terutamanya bagi tindakan dalaman KKR atau SPRM sekiranya ada unsur jenayah rasuah.

Nota Kerjasama ini juga menumpukan kepada hal-hal peroperasian siasatan, usaha-usaha pencegahan dan pendidikan di antara kedua-dua pihak. Selain itu, Nota Kerjasama ini akan turut dijadikan satu dokumen penting untuk kedua-dua pihak berkongsi kepakaran dalam perihal siasatan dan kejuruteraan.

1

KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER 2022 – Persidangan 1st International Building Surveying Conference (IBSC) 2022 telah menghimpunkan pembentang kertas kerja dan pengamal bidang Ukur Bangunan dalam dan luar negara selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 November 2022 bertempat di Hotel Pullman, Bangsar.

Persidangan anjuran bersama Jabatan Ukur Bangunan, Universiti Malaya (UM), Cawangan Penyelenggaraan Fasiliti Bangunan, Jabatan Kerja Raya, Royal Institution of Surveyors, Malaysia (RISM) dan Malaysian Association of Registered Building Surveyors (MyRBS) ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Hj Wan Sulaiman Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya (KKR).

IBSC 2022 membawa tema ‘Embracing The Future Through A High-Performance Building’ yang mengetengahkan peranan bangunan berprestasi tinggi dalam mencorakkan masa depan negara. Juruukur Bangunan ialah pakar dalam perihal bangunan, khususnya bidang yang merangkumi Kawalan Bangunan dan Pengurusan Ruang; Kawalan Risiko dan Prestasi Bangunan; serta Penyelenggaraan dan Pemuliharaan Bangunan. Bidang-bidang ini merupakan komponen utama untuk mencapai taraf bangunan berprestasi tinggi.

Tiga bidang ini juga merupakan peranan dan tugas utama Juruukur Bangunan di Malaysia, seperti yang digariskan oleh Institusi Juruukur Diraja, Malaysia atau Royal Institution of Surveyors, Malaysia (RISM). Secara langsung, ia akan mempersiap siagakan profesion Jurukur Bangunan yang akan turut berkerjasama dengan profesion lain seperti jurutera dan arkitek untuk memajukan industri pembinaan ke arah aspirasi negara dalam menghasilkan bangunan berprestasi tinggi.

Peranan Juruukur Bangunan juga amat signifikan dengan halatuju Pelan Strategik Organisasi 2021 – 2025 KKR melalui Teras Strategik 2 yang lebih menjurus kepada inovasi, teknologi dan penyelidikan.

Pada masa ini, terdapat beberapa geran penyelidikan yang telah dianugerahkan antara JKR - CREATE dan Fakulti Alam Bina, UM. Selain itu, Fakulti Alam Bina, UM juga mempunyai kemudahan perisian berkaitan BIM untuk penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran, iaitu ArchiBUS dari Amerika Syarikat dan Cype dari Sepanyol yang mampu membentuk kolaborasi erat dengan Jabatan Kerja Raya dan CIDB.

Turut hadir ialah Yang Berbahagia Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman Ketua Pengarah Kerja Raya, Yang Berusaha Professor Sr Dr. Anuar Alias Dekan, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, Yang Berusaha Professor Ts Sr Dr. Azlan Shah Ali, Pengerusi 1, 1st IBSC dan Yang Berusaha Sr Dr Syamilah Yakob Pengerusi 2, 1st IBSC dari Jabatan Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 5 NOVEMBER 2022 – Acara larian ‘Anak Sarawak (AS) LLM DASH Penchala Link Tunnel Night Run 2022’ merupakan siri pertama bagi larian dalam terowong pada waktu malam yang telah menarik minat para peserta dalam negara dan antarabangsa. Acara larian ini telah dirasmikan oleh Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya dan Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia di Plaza Tol Kota Damansara, Lebuhraya DASH dan dihadiri oleh wakil Malaysia Book of Records (MBOR). Terdapat dua kategori jarak larian iaitu kategori Super Sonic 12 kilometer (km) dan kategori Ultra Sonic 4 km atau larian santai (Fun Run).

Seramai 5,000 peserta mengambil bahagian dalam acara penting itu yang terdiri dari beberapa negara seperti Kenya, Perancis, India, Myanmar, Afrika Selatan, Pakistan, Sepanyol, China, Rusia, Nepal, Jepun, Filipina, Thailand dan Belanda. Acara ini telah dimasukkan ke dalam MBOR iaitu larian terpanjang melalui terowong pada waktu malam sejauh kira-kira 780 meter dan larian melalui struktur halangan bunyi sepanjang 260 meter.

‘AS LLM DASH Penchala Link Tunnel Night Run 2022’ merupakan acara larian pada waktu malam yang pertama diadakan di terowong lebuh raya di Malaysia. ‘AS LLM DASH Penchala Link Tunnel Night Run’ ini dianjurkan oleh Persatuan Sukarelawan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lebuhraya Bertingkat Damansara - Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT). Penganjuran acara ini diadakan selepas negara berdepan masa sukar selama hampir tiga tahun dengan penularan COVID-19. Acara ini menawarkan hadiah wang tunai dan dibuka kepada peserta dalam dan luar negara dengan kategori istimewa untuk warga Sarawak.

1

KUALA TERENGGANU, TERENGGANU, 1 NOVEMBER 2022 – Perasmian pembukaan Jalan Pintas Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Bypass) di Negeri Terengganu telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar.

Projek pembinaan Jalan Pintas Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Bypass) telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada Rolling Plan (RP) 3 RMKe-10 dengan siling sebanyak RM250 juta. Walau bagaimana pun, kos projek telah meningkat kepada RM384.3 juta disebabkan peningkatan kos pengambilan balik tanah sebanyak 3 kali ganda. Projek ini dilaksanakan secara konvensional perunding di mana tarikh milik tapak adalah pada 27 Julai 2016 setelah pengambilan balik tanah dapat diselesaikan. Laluan ini telah diwartakan menjadi Jalan Persekutuan FT03: Jalan Pintas Tok Adis-Durian Burung pada 16 September 2022, dengan panjang jajaran yang dibuka pada hari ini ialah 5.8 kilometer (km).

Pembukaan jajaran jalan ini bakal memberikan banyak impak positif kepada rakyat. Laluan alternatif ini akan mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT03 sedia ada di bandar Kuala Terengganu terutamanya pada waktu puncak, musim perayaan utama dan cuti sekolah. Projek ini juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna Pantai Timur dan mampu menjana ekonomi di kawasan Kuala Terengganu khususnya kepada sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana.

Jajaran Jalan Pintas Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Bypass) ini bermula di Simpang Tok Molor dan berakhir melintasi Simpang Tok Ku (dahulunya dikenali sebagai Bulatan Sultan Mansor) dan bersambung di Laluan FT03 Kuala Terengganu – Kota Bharu. Panjang keseluruhan laluan yang direkabentuk adalah sepanjang 5.8km secara 4 lorong 2 hala menggunakan piawaian U5. Skop projek ini turut melibatkan persimpangan bertingkat di Simpang Tok Molor dan Simpang Tok Ku.

Pada majlis sama turut diadakan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya memperolehi pelawaan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada kali ini. SST melibatkan tiga (3) projek iaitu Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) – Kuala Krai Ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan: Kg. Rahmat Ke Kg. Sg Peria (Seksyen 1A), Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) – Jambatan Sg. Lakit Ke Gua Musang, Kelantan: Jambatan Sg. Lakit Ke Paloh 2 (Seksyen 2A), dan Projek Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK), Kelantan: Bukit Tiu Ke Kg. Berangan Mek Nab.

Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) – Kuala Krai Ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan: Kg. Rahmat Ke Kg. Sg Peria (Seksyen 1A) melibatkan pembinaan jalan sepanjang 11.05 km. Tarikh milik tapak adalah pada 26 September 2022 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM317,500,000.00.

Bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) – Jambatan Sg. Lakit Ke Gua Musang, Kelantan: Jambatan Sg. Lakit Ke Paloh 2 (Seksyen 2A) pula melibatkan pembinaan jalan sepanjang 20 km. Tarikh milik tapak adalah pada 9 Mei 2023 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM326,500,000.00.

Manakala Projek Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK), Kelantan : Bukit Tiu Ke Kg. Berangan Mek Nab yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Rakyat sepanjang 10 km merupakan sambungan jalan kepada Lingkaran Tengah Utama yang bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur di Karak. Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 22 Ogos 2022 dan tempoh kontrak adalah selama 36 bulan dengan nilai kontrak RM262,000,000.00.

1

ALOR GAJAH, MELAKA, 31 OKTOBER 2022 - Majlis Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya dan Agensi bagi Tahun 2022 berlangsung di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) dan perasmiannya disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Haji Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia.

Majlis Hari Inovasi diadakan selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda negara khususnya dalam mentransformasikan sektor awam. Selain itu, ia bertujuan untuk memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada mereka yang berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan serta memberi impak yang besar kepada perkembangan dan kemajuan organisasi termasuk dari segi aspek teknikal demi menghasilkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Bertemakan “Warga Inovatif, Aspirasi Keluarga Malaysia”, acara ini mengiktiraf mereka yang berjaya menghasilkan inovasi untuk dua (2) kategori diperingkat kementerian, tujuh (7) kategori diperingkat JKR, satu (1) kategori diperingkat CIDB dan dua (2) kategori lagi diperingkat LLM. Pada tahun ini juga KKR telah menganjurkan dua (2) pertandingan Piala Pusingan yang baharu di mana KKR dan agensi berpeluang merebut piala pusingan keseluruhan.

Bagi Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat (AIPP) Peringkat KKR dan Agensi, ia dimenangi Bahagian Akaun, KKR manakala Anugerah Inovasi Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat KKR dan Agensi pula dimenangi Kumpulan Putratech, JKR Wilayah Persekutuan, Putrajaya. Para pemenang membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.00, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Malaysia telah disasarkan untuk berada pada kedudukan 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global pada tahun 2030 serta mencapai peningkatan 30 peratus produktiviti merentas semua sektor. Berdasarkan laporan dari International Institute for Management Development (IMD) World Digital Competitiveness Ranking 2021, daripada 64 buah negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-27 dengan skor 73.29 peratus berdasarkan tiga faktor yang dinilai iaitu pengetahuan, teknologi dan kesediaan masa depan.

Bagi memastikan produk-produk inovasi yang dihasilkan KKR dan agensi tidak terhenti di peringkat konvensyen sahaja, CREaTE telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Bengkel Due Diligence JKR di mana bengkel ini merupakan satu platform untuk menilai tahap kesediaan teknologi inovasi JKR berdaya saing dan berpotensi untuk dikomersialkan.

Sebagai contoh, produk inovasi Median Night Reflector Post 2.0 dari JKR Daerah Kerian melalui Konvensyen KIK tahun 2009 telah mendapat Certificate Of Utility Innovation dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada bulan November 2021. Sebanyak 890 unit telah terjual dan dipasang di beberapa jalan utama di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak. Produk inovasi New Generation i-Supervision dari Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR pula telah dipasang di Hospital Petra Jaya, Kuching dan Hospital Lawas, Sarawak. Ini jelas menunjukkan bahawa KKR dan agensinya mampu menghasilkan produk-produk berinovasi sehingga mampu dikomersialkan dan petanda baik kemajuan negara.

1

SABAH 22 OKTOBER 2022 – Lebih 170 jawatan sedia ditawarkan kepada graduan ABM dan CIDB Tech Sabah oleh tujuh majikan di dalam bidang yang dikategorikan berimpak tinggi iaitu Pemasangan Perancah, Perpaipan Gas, Operasi Kren, Elektrikal, Penyaman Udara dan Kimpalan.

Tujuh syarikat berkenaan adalah Full Star Constructions Sdn Bhd, Pembinaan Kekal Mewah Sdn Bhd, Cahaya Dedikasi Sdn Bhd, J.S Usaha Sdn Bhd, SM Electrical Work, RM Leopad Sdn Bhd dan Kejuruteraan Stimdang Sdn Bhd yang merupakan syarikat tempatan.

Para graduan ini diraikan pada Majlis Graduasi ABM dan CIDB Tech bagi Wilayah Sabah 2022 di Kinabatangan Hall, Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah. Majlis Graduasi ini dirasmikan oleh Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya yang turut menyampaikan anugerah pelatih cemerlang dan Ikon TVET. Seramai 120 orang graduan ABM dan CIDB Technologies adalah antara yang menamatkan pengajian mereka dengan memperoleh Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) CIDB sekaligus mengiktiraf mereka sebagai tenaga pekerja mahir.

Sepuluh daripada graduan tersebut diiktiraf sebagai graduan cemerlang berdasarkan pencapaian mereka semasa tempoh latihan. Semua graduan ini berjaya memperoleh sijil tersebut melalui latihan dan penilaian yang diambil berdasarkan 12 tred dalam Program Latihan Kompetensi Kemahiran Pembinaan yang meliputi Bidang Bangunan, Jentera Berat, Pendawaian Elektrik dan Kimpalan. Tujuh daripada graduan turut menerima Perakuan Kekompetenan Pendawai (PW2) daripada Suruhanjaya Tenaga dengan menerima Sijil Kompetensi Pendawaian Fasa Tunggal (PW2).

Pada majlis hari ini, CIDB turut mengumumkan ikon TVET Pembinaan Sabah iaitu Cik Nur Ramlah Masdo, 26 tahun, penerima Wanita pertama bagi anugerah tersebut. Beliau kini bekerja sebagai Pengendali Perancah Tahap 2 dalam industri minyak dan gas.

Dalam majlis itu juga, tiga agensi kerajaan negeri Sabah juga telah menerima sijil penghargaan atas sumbangan menaja belia-belia Sabah yang belajar kemahiran di ABM iaitu, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Negeri Sabah dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA).

ABM dan CIDB Tech merupakan pusat penilaian dan latihan CIDB yang memenuhi keperluan untuk pembangunan dan peningkatan kemahiran untuk pekerja binaan. Untuk rekod, CIDB mengeluarkan 403,506 bilangan pekerja mahir bermula tahun 2001 hingga 15 September 2022 menerusi dua Program Belia dan Program Personel Binaan daripada enam ABM dan CIDB Tech di seluruh Malaysia. Dari jumlah tersebut 76,243 adalah merupakan graduan ABM Sabah, sementara 6,269 pula daripada CIDB Tech Sabah.

Turut hadir pada majlis tersebut, Datuk Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, En. Rosmen Ag Hassan, Pengarah CIDB Sabah, En. Tadzul Radim, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Sabah dan En. Mohamad Darus Taib, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Tech.

1

KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2022 - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini meraikan penggiat industri yang berjaya meraih pencapaian cemerlang di dalam keselamatan dan kesihatan, kemampanan alam sekitar dan kualiti dalam sektor pembinaan sempena Hari Safety and Health, Environment and Quality (SHEQ) 2022.

Pengiktirafan diberikan ke atas pencapaian tertinggi di dalam Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC), Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC), serta penarafan hijau MyCREST dan Sustainable INFRASTAR 2022. Penyampaian pengiktirafan ini disempurnakan oleh Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya.

Di dalam penilaian kualiti, QLASSIC, bagi tahun 2021, sebanyak 10 syarikat kontraktor berjaya mendapat markah 86% ke atas. Tahun 2021 juga telah mencatatkan markah tertinggi untuk QLASSIC sejak ia diperkenalkan, iaitu 90%. Purata penilaian QLASSIC pada tahun 2021 telah meningkat kepada 73% berbanding 71% pada tahun 2020 dan 69% pada tahun 2019. Peningkatan tahap kualiti ini adalah sesuatu yang positif dan memberangsangkan.

Bagi penilaian Keselamatan dan kesihatan, SHASSIC, 10 syarikat kontraktor telah berjaya menerima pengiktirafan kecemerlangan, sementara lapan syarikat pemilik projek berjaya menerima pengiktirafan di dalam penilaian MyCREST dan Sustainable INFRASTAR. Anugerah ini diadakan untuk menggalakkan saingan yang sihat di antara penggiat industri, serta meningkatkan kualiti, keselamatan dan kemampanan alam sekitar dalam projek pembinaan agar industri pembinaan Malaysia dapat menjadi satu industri yang bertaraf dunia, kompetitif dan mampan.

Sistem penarafan dan penilaian ini selaras dengan Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030 untuk menerapkan amalan terbaik di dalam Keselamatan dan Kesihatan, Kemampanan Alam Sekitar dan Kualiti dalam industri pembinaan. NCP 2030 telah menggariskan QLASSIC sebagai satu kaedah yang diiktiraf dalam menilai kualiti hasil kerja sesebuah projek pembinaan bangunan di bawah teras ‘Memperkasakan Kualiti dan Keselamatan Dalam Sektor Pembinaan’. SHASSIC juga digariskan di bawah teras ini untuk memperkukuhkan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak bina.

CIDB telah memperkenalkan alat penarafan kemampanan pembinaan iaitu MyCREST bagi penilaian bangunan dan ‘Sustainable INFRASTAR’ bagi penilaian infrastruktur, yang selaras dengan teras kedua NCP iaitu ‘Penerapan Persekitaran Pembinaan yang Lestari’.