Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

289675577_403384461827768_7960342113262219907_n_0.jpg

KUALA LUMPUR, 30 JUN 2022 - Majlis Perasmian Projek Rangkaian Digital Lebuhraya, telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof pada hari ini. Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan Projek Rangkaian Digital Lebuh Raya kepada syarikat MSA Resources Sdn. Bhd. (MSAR) untuk membina dan mengendalikan kabel gentian fiber optik di sepanjang lebuh raya di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Projek ini dibina di sepanjang lebuh raya di Semenanjung Malaysia secara berperingkat melalui tiga (3) fasa pembinaan. Rangkaian Fasa 1 adalah pemasangan kabel fiber optik dari Johor Bahru, Johor, ke Bukit Kayu Hitam, Perlis, yang dijangka siap pada Disember 2022. Rangkaian Fasa 2 akan melibatkan lebuh raya – lebuh raya di Lembah Klang. Manakala, rangkaian Fasa 3 akan menghubungkan negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

Infrastruktur telekomunikasi baharu dengan teknologi kependaman rendah (low latency) di sepanjang lebuh raya utama negara ini akan dapat memberikan capaian yang lancar untuk trafik jalur lebar di peringkat domestik dan juga antarabangsa. Malaysia akan menjadi hub data raya (big data) yang strategik antara Singapura, Malaysia dan Thailand di rantau ASEAN. Dengan adanya projek seumpama ini di Malaysia, pelabur-pelabur luar negara akan berminat untuk melabur dalam sektor perkhidmatan rangkaian digital yang dijangka akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara pasca pandemik.

Sebanyak 4,000 titik hubungan (Point of Interconnect - POI) akan menghubungkan bandar-bandar dan kawasan luar bandar dengan liputan jalur lebar yang tinggi bakal dinikmati oleh rakyat kelak. Ia juga menyumbang kepada peningkatan penyampaian perkhidmatan awam atas talian seperti kemudahan kesihatan awam, akses terbuka kepada pendidikan dan sistem pengangkutan lebih baik. Ketersediaan infrastruktur rangkaian digital, liputan rangkaian jalur lebar, akses terbuka dan penawaran harga yang kompetitif daripada kesemua penyedia telekomunikasi akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada masyarakat setempat, malah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perkhidmatan yang lain.

Perniagaan secara bersemuka akan beralih kepada perniagaan yang berplatformkan digital dan mengurangkan sempadan perniagaan antara satu tempat ke tempat yang lain. Secara tidak langsung, rakyat mempunyai pelbagai pilihan barangan dan perkhidmatan dengan harga yang optimum dan berkualiti tinggi.

Selain itu, kementerian dan jabatan seperti Kementerian Pertahanan dan Polis Diraja Malaysia akan diberikan akses dalam pembangunan secured networks dalam menjaga kedaulatan negara, pemantauan keselamatan negara dan penguatkuasaan undang-undang. Manakala, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi di bawah LLM turut mendapat manfaat dalam peningkatan perkhidmatan lebuh raya seperti penggunaan Radio Frequency Identification (RFID) ke atas semua pejabat tolnya dan kemudahan wi-fi di kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya bagi kegunaan pengguna-pengguna lebuh raya.

Penyediaan perkhidmatan 5G yang canggih dan berteknologi tinggi dengan harga yang berpatutan serta liputan jalur lebar di kawasan bandar dan luar bandar akan menjadikan Malaysia kekal berdaya saing dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Transformasi pendigitalan dan IR4.0 seperti penggunaan autonomous vehicles di jalan raya dan lebuh raya, Internet Benda (Internet of Things - IoT) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent - AI) dalam sistem maklumat pergerakan kenderaan di jalan raya serta lebuh raya dapat menyumbang kepada sistem pengangkutan yang lebih baik kepada rakyat dan negara pada masa hadapan.

Pelaksanaan projek ini adalah bertepatan dan selaras dengan Dasar Pendigitalan Negara dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) serta Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). MSAR juga merupakan salah satu syarikat Bumiputera yang menyumbang kepada Agenda Pemerkasaan Bumiputera di bawah Unit Peneraju Bumiputera, JPM.

KKR akan sentiasa memberikan kerjasama dalam penyediaan infrastruktur rangkaian digital dan transformasi positif seperti projek ini pada masa hadapan. Turut diadakan hari ini, majlis menandatangani perjanjian persefahaman MSAR dengan pihak PLUS Berhad, Arus Restu Sdn. Bhd., MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Ciena Corporation, Starhub Ltd. dan GDS Inc. Pte. Ltd. yang disaksikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya.

288070529_397240112442203_2236599892335417293_n.jpg

IPOH, PERAK, 21 JUN 2022 - Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menganjurkan Persidangan Pegawai Kanan JKR Tahun 2022 bertempat di Hotel Casuarina, Perak dengan bertemakan “PENDIGITALAN: Kelangsungan Perkhidmatan di Era Endemik”. Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof telah menyempurnakan majlis perasmiannya.

Objektif utama penganjuran persidangan tahunan ini adalah untuk mendengar mandat dan hala tuju kepimpinan, platform perkongsian pengalaman dan kepakaran serta ruang diskusi kepada pegawai-pegawai JKR untuk melontarkan perspektif masing-masing demi memperkasakan perkhidmatan jabatan menerusi pendigitalan khususnya di era endemik yang penuh mencabar ini.

Tema berfokuskan pendigitalan menjadi pilihan selari dengan aspirasi negara dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam. JKR sentiasa berusaha untuk memanfaatkan teknologi dalam mendigitalkan perkhidmatan Jabatan agar lebih berdaya saing.

Demi kelangsungan perkhidmatan di fasa peralihan endemik, Jabatan telah memanfaatkan teknologi dan berjaya memastikan proses perolehan Jabatan diteruskan melalui platform digital. JKR telah berjaya membangunkan sistem yang dinamakan JKR E-TENDER (JET) dan telah disempurnakan pelancarannya oleh YB Menteri Kanan Kerja Raya.

Sistem tender dalam talian (end to end) ini akan menyaksikan proses perolehan Jabatan dilaksanakan dalam talian secara menyeluruh. Antara fungsi utama sistem termasuklah pembayaran dokumen tender melalui gerbang bayaran, pembelian tender melalui sistem,pengemukaan dokumen tender secara digital, serta pengumuman tender melalui sistem. Jabatan menyasarkan untuk meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan supaya lebih cekap dan memenuhi keperluan semasa, seiring dengan transformasi digital IR 4.0.

Persidangan ini bermula pada 20-22 Jun 2022 yang melibatkan penyertaan lebih empat ratus (400) orang pegawai-pegawai kanan JKR, terdiri daripada Pengarah-Pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera-Jurutera Daerah, Pegawai-pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai Kader dari seluruh negara.

Antara kertas kerja yang dibentangkan sepanjang Persidangan SOC 2022 adalah Sistem Pengurusan Projek JKR - J10; Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang (1.0 & 2.0): Pengalaman dan Cabaran; IR4.0 Technologies: Opportunities, Challenges and Success Stories at Jabatan Kerja Raya; dan Strategi Pendigitalan Sektor Awam bagi Merealisasikan Whole-of-Government di Era Endemik.

Penyampaian Anugerah Kontraktor Cemerlang kepada kontraktor dan pelaksana yang berjaya melaksanakan projek JKR turut diadakan sempena SOC 2022. Selain itu, sebanyak sembilan (9) pelancaran produk keluaran JKR Malaysia dan dua (2) sesi tandatangan MoU JKR Bersama Rakan Strategik dimeterai.

Pameran Industri Pembinaan 2022 juga diadakan selama tiga (3) hari sepanjang persidangan berlangsung. Sebanyak empat puluh satu (41) pempamer gerai telah menyertai pameran ini melibatkan pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan swasta.

287450488_396396135859934_7739903141564386988_n.jpg

GERIK, 20 JUN 2022 – YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, hari ini meninjau laluan Jalan Persekutuan FT004, Lebuhraya Timur Barat Gerik – Jeli jajaran Negeri Perak.

Antara jenis kerosakan jalan raya yang telah dikenalpasti adalah kerosakan permukaan jalan, garisan cat jalan pudar, kerosakan lampu jalan dan kerosakan longkang yang mengakibatkan air bertakung. Sehingga Jun 2022, pihak Kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM 71.8 juta bagi tujuan kerja penyenggaraan dan pembaikan seluruh Jalan Persekutuan di negeri Perak. Daripada keseluruhan jumlah tersebut sebanyak RM 8.6 juta peruntukan telah diluluskan bagi tujuan penyenggaraan di laluan ini (Jalan Persekutuan Lebuhraya Timur-Barat bagi negeri Perak) melibatkan kerja penyenggaraan rutin, berkala pavemen, berkala bukan pavemen, senggara jambatan dan juga elektrik.

Laluan Persekutuan FT004 merupakan Jalan utama Timur – Barat di Zon Utara Malaysia yang menghubungkan tiga (3) negeri bermula di Kulim, Kedah melalui Gerik, Perak dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan dengan panjang keseluruhan jalan adalah 291.99 kilometer (km). Laluan FT004 di dalam Negeri Perak adalah sepanjang 114.660 km bermula di Seksyen 83.74 di sempadan Kedah dan berakhir di Seksyen 198.40 di sempadan Jeli, Kelantan. Status semasa kerja penyenggaraan berdasarkan peruntukan tersebut adalah 95% hingga 100%.

Kementerian Kerja Raya melalui agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa komited dan berusaha untuk memperbaiki serta menyelenggara setiap kerosakan jalan yang telah dikenal pasti melalui pemantauan kualiti kerja penyelenggaraan dan membuat penilaian prestasi kerja syarikat konsesi dari semasa ke semasa secara bulanan bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

287009392_390444786455069_6233927371358304788_n.jpg

Jelajah Ftroadpedia Sarawak Hari Ketiga

MIRI, 11 Jun 2022 – Kementerian Kerja Raya telah mengambil langkah proaktif untuk memantau prestasi kemajuan secara berterusan melalui lawatan berkala dan sesi libat urus bersama kontraktor dan perunding yang terbabit dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Hari ketiga Jelajah FTRoadpedia Sarawak adalah menaiki bas melalui daerah Bintulu hingga ke Miri diketuai Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof untuk meninjau perkembangan terkini pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Pakej Kerja berikut :

1) Pakej Kerja 10 : Mile 5 – Nyabau Flyover dan Persimpangan Bakun ke Sungai Tangap. Pakej ini sepanjang 77.19km melibatkan kos sebanyak RM1,642.649 juta. Satu (1) seksyen dibawah pakej kerja 10 iaitu Persimpangan Bertingkat (Flyover) Nyabau telah siap sepenuhnya dan telah dibuka pada Februari 2022. Manakala dua (2) lagi seksyen iaitu Seksyen Bakun dan Seksyen Niah dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022 dengan status siap masing masing adalah 85% dan 80%.

2) Pakej Kerja 11 : Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link sepanjang 79.98km. Pakej kerja 11 melibatkan kos sebanyak RM 1,857.79 juta untuk tiga (3) seksyen iaitu seksyen Beluru dengan status siap 69% dan dijangka siap pada Disember 2022, Seksyen Lambir dengan status siap 66% dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023 dan Seksyen Pujut dengan status siap 97% dan jangkaan siap sepenuhnya pada Julai 2022.

Bagi memastikan seluruh Keluarga Malaysia di negeri Sarawak menikmati jaringan jalan raya yang efisyen dan selesa Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan beberapa projek berimpak tinggi termasuk pelaksanaan jajaran Transborneo, merangkumi jajaran fasa dua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang dibatalkan kerajaan sebelum ini. Selain itu, fokus juga diberikan kepada Fasa dua jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) sebagai kesinambungan fasa satu SSLR adalah bagi menambahbaik jaringan jalanraya dari Miri, Limbang dan Lawas.

287458251_389736273192587_8936542569239572412_n.jpg

Jelajah FTRoadpedia Sarawak Hari Kedua

SIBU, 10 JUN 2022 - Jelajah FTRoadpedia Sarawak meneruskan misi hari kedua untuk meninjau perkembangan terkini pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan juga pemantauan penyenggaraan Jalan Persekutuan di negeri Sarawak. Perjalanan hari kedua dengan menaiki bas, merentasi daerah Sibu dan Bintulu diketuai Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.

Kerajaan Persekutuan optimis untuk memastikan keseluruhan Fasa Satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu dari Telok Melano ke Miri akan dibuka sepenuhnya pada suku tahun pertama 2023. Sehubungan itu, pemantauan kerja pembinaan dilaksanakan secara berterusan. Pada hari kedua, delegasi Jelajah FTRoadpedia di bawa meninjau perkembangan semasa Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Pakej Kerja berikut:

i. Pakej Kerja 7 – Persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua sepanjang 75.97km. Dua (2) seksyen di pakej kerja 7 ini telah siap sepenuhnya iaitu Seksyen Jambatan Batang Rajang dan Seksyen Julau. Seksyen Sibu pula telah siap 80% dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022. Kos keseluruhan Pakej 7 adalah sebanyak RM1,621.34 juta.

ii. Pakej Kerja 8 – Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 63.67km. Pakej kerja 8 melibatkan kos sebanyak RM1,250.50 juta. Terdapat dua (2) seksyen iaitu Seksyen Selangau yang akan dibuka kepada pengguna jalan raya pada Julai 2022 dengan status siap 94% dan Seksyen Balingian yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2023 dengan status siap 72%.

iii. Pakej kerja 9 – Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu sepanjang 64.53km yang melibatkan kos sebanyak RM1,236.10 juta. Dua (2) seksyen di bawah pakej kerja 9 ialah Seksyen Bintulu jangkaan siap sepenuhnya pada Disember 2022 dengan status siap 75% dan Seksyen Tatau, jangkaan siap sepenuhnya pada Mac 2023 dengan status siap 74%.

Panjang keseluruhan Jalan Persekutuan di negeri Sarawak adalah 794.106 km tidak termasuk laluan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM64.01 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan rutin, berkala pavemen, berkala bukan pavemen, pembaikan kecil jambatan, penyenggaraan bil dan lampu isyarat di Jalan Persekutuan.

Antara kerja penyenggaraan rutin yang dilaksanakan adalah memotong rumput, penampalan lubang dan kerja kecemasan kecil seperti laporan pokok tumbang. Pada kebiasaannya permasalahan tersebut akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam setelah aduan diterima. Sehingga kini, berdasarkan aduan dan pemantauan yang dilakukan konsesi, bermula Januari hingga Mei terdapat 2122 potholes telah ditampal.

Antara punca kerosakan utama di Jalan Persekutuan yang dikenalpasti adalah berpunca daripada jumlah kenderaan tinggi yang melalui jalan berkenaan selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Bagi memastikan kerja penyenggaraan dapat dilaksanakan secara optimum, KKR telah menyenaraikan program penyenggaraan turapan ini mengikut keutamaan, tahap kritikal dan keperluan mendesak untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan permohonan peruntukan yang lebih besar. Ini perlu bagi menampung perbelanjaan penyenggaraan jalan di Sarawak khususnya bagi memastikan keluarga Malaysia dapat menikmati infrastruktur yang lebih selesa.

286721058_388736693292545_8878058082514296139_n.jpg

Jelajah FTRoadpedia Sarawak Hari Pertama.

KUCHING, 9 JUN 2022 - Jelajah FTRoadpedia Sarawak kembali dengan penganjuran buat kali kedua di Bumi Kenyalang ini bermula pada 9 hingga 11 Jun 2022. Perjalanan sejauh 826km ini bermula di Kuching dan berakhir di Miri. FTRoadpedia Sarawak yang pertama diadakan pada 29 September sehingga 1 Oktober 2018. Fokus jelajah kali ini adalah bagi tinjauan terkini perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

Menerusi jelajah ini delegasi Jelajah FTRoadpedia menaiki bas diketuai Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya dan agensi di bawahnya serta pengamal media akan merasai sendiri penjalanan melalui Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang status siapnya sebanyak 83.04% peratus. Satu (1) daripada sebelas (11) pakej telah siap sepenuhnya dengan jumlah panjang keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo (LPD) Sarawak dari Telok Melano ke Pujut Link Road, Miri adalah 786km.

FTRoadpedia Sarawak pada hari pertama jelajah adalah melibatkan tinjauan beberapa pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu:

1) Pakej Kerja 2 iaitu Sematan ke Jambatan Sungai Moyan, KSR Interchanges (Batu 4 ½, Batu 6, Batu 7 dan Batu 10) sepanjang 95.43km. Terdapat tiga (3) seksyen di bawah Pakej Kerja 2 iaitu Sekyen Bau yang dijangka siap sepenuhnya November 2022 dengan status kemajuan siap 82%, Seksyen KSR yang dijangka siap sepenuhnya Ogos 2022 dengan status kemajuan siap 96% dan Seksyen Lundu yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022 dengan status kemajuan siap 83%. Kos keseluruhan bagi ketiga-tiga seksyen bagi Pakej Kerja 2 adalah sebanyak RM2,038.837 juta.

2) Pakej Kerja 3 iaitu Bulatan Serian ke Persimpangan Pantu sepanjang 75.01km. Terdapat dua (2) seksyen di bawah pakej kerja ini iaitu Seksyen Serian yang telah siap sepenuhnya pada 4 Disember 2021 yang disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada 5 Disember 2021. Manakala Seksyen Pantu dijangka siap Ogos 2022 dengan status kemajuan terkini 97% melibatkan anggaran kos projek sebanyak RM1,348.973 juta.

3) Pakej Kerja 4, Persimpangan Pantu ke Batang Skrang sepanjang 89.43km adalah lokasi tinjauan ketiga. Terdapat dua (2) seksyen di bawah pakej kerja ini iaitu Seksyen Bukit Begunan yang dijangka siap pada Julai 2023 dan Seksyen Sri Aman yang dijangka siap pada November 2022. Status kemajuan siap bagi Pakej kerja 4 adalah 80% melibatkan kos sebanyak RM1,657.47 juta.

4) Pakej Kerja 5, Persimpangan Batang Skrang ke Sungai Awik sepanjang 67.94km. Di bawah pakej kerja ini Seksyen Betong dijangka siap Disember 2022 dengan status kemajuan siap 83% dan Seksyen Spaoh dijangkan siap pada Mac 2023, status kemajuan siap 67%. Pakej kerja 5 melibatkan kos sebanyak RM1,236.5 juta.

5) Pakej Kerja 6, Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor sepanjang 64.48km. Dua (2) seksyen di bawah pakej kerja ini, iaitu Seksyen Bukit.Sebangkol yang dijangka siap pada November 2022 dengan status kemajuan siap 88% dan Seksyen Sarikei yang dijangka siap pada Disember 2022 dengan status kemajuan siap 69%. Pakej kerja ini melibatkan kos sebanyak RM1,253.86 juta.

Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini bakal menjadi nadi ekonomi kepada negeri Sarawak. Apabila siap sepenuhnya kelak bakal meningkatkan akses perhubungan jalan darat yang lebih efisyen dan sistematik, memacu pembangunan kawasan baharu, merancakkan industri pembinaan, pelancongan dan pelbagai sektor lain.

284809431_563910108635020_3391151528103394547_n.jpg

Sebahagian Jalan Persekutuan Kuala Teriang – Pantai Tengah, Pulau Langkawi Diserah Kepada Kerajaan Negeri Kedah Untuk Merancakkan Pembangunan Setempat

LANGKAWI, 4 JUN 2022– Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Sebahagian Jalan Persekutuan FT115 iaitu Jalan Kuala Teriang – Pantai Tengah, Pulau Langkawi kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri Kedah dalam merancakkan pembangunan setempat.

Susulan daripada inisiatif pihak Kerajaan Negeri Kedah melalui Blue Print Pelancongan Revitalised Chenang di bawah kelolaan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Bahagian Perancang Ekonomi Kedah Darul Aman, pihak kerajaan negeri Kedah telah merancang kerja-kerja menaik taraf sebahagian jajaran jalan ini di bawah pelaksanaan Projek Chenang Waterfront.

Bagi menyokong usaha dan dedikasi pihak Kerajaan Negeri Kedah, penyerahan sebahagian jajaran Jalan Kuala Teriang – Pantai Tengah (FT115) iaitu Jalan Pantai Chenang adalah wajar dan dijangka mampu menambah baik tahap keselesaan kepada pengguna jalan raya, penduduk setempat selain pelancong tempatan dan luar negara apabila projek ini siap kelak.

Jalan Persekutuan FT115 adalah penghubung dari Jalan Kuala Teriang ke Pantai Tengah, Pulau Langkawi sepanjang 9.26 kilometer (km). Kawasan yang terlibat untuk pembatalan warta adalah jalan dari Hotel Casa Del Mar (selepas persimpangan Jalan Bohor Tempoyak) sehingga persimpangan Jalan Pantai Tengah.

Jumlah keseluruhan Jalan Persekutuan di Pulau Langkawi adalah sepanjang 195km. Sehingga kini, KKR telah memperuntukkan sebanyak RM 2.76 juta bagi tujuan kerja pembaikan dan penyenggaraan keseluruhan Jalan Persekutuan di Pulau Langkawi bermula Januari sehingga Mei 2022.

284968045_382827323883482_3213612823835963583_n.jpg

KUALA LUMPUR, 31 MEI 2022 - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kerja Raya bagi Tahun 2021 (APC KKR 2021) anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KKR telah berlangsung dengan gemilang di Dewan ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya telah menyampaikan ucaptama seterusnya menyampaikan Sijil APC kepada para penerima yang telah dipilih melalui penilaian oleh Ketua Jabatan.

Tahun ini, jumlah penerima APC KKR 2021 adalah seramai 883 orang yang terdiri daripada 59 orang penerima dari KKR, 713 penerima dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), 28 penerima dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan 83 penerima dari Lembaga Pembangunan Indsutri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Namun begitu, selaras dengan keputusan Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia – Prestasi Bilangan 1 Tahun 2022, majlis pada hari ini diadakan secara berasingan dengan agensi di bawah KKR, dan hanya memberi fokus kepada penerima yang bertugas di KKR sahaja.

APC merupakan anugerah yang diberikan Kerajaan kepada pegawai yang telah berkhidmat dengan cemerlang, sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai berkenaan, di atas mutu kerjanya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.

Tema APC KKR 2021 ialah “Prestasi Unggul, Pemangkin Kecemerlangan”. Tema ini bersesuaian dengan warga Kementerian Kerja Raya yang sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab, komitmen dan amanah tanpa mengenal erti jemu sejajar dengan moto Kementerian iaitu “Ke Arah Kesejahteraan Rakyat”.

284727335_380866417412906_7504826170731875865_n.jpg

Jelajah FTRoadpedia Sabah

PAPAR, 28 MEI 2022 - Hari kedua, Jelajah FTRoadpedia Sabah anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) diteruskan dengan perjalanan dari Kundasang ke Kota Kinabalu bagi meninjau perkembangan semasa Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof dan delegasi jelajah memulakan tinjauan di lokasi kerja pembaikan cerun di KM 88.0 Jalan Kota Kinabalu – Sandakan (Laluan Persekutuan 22) Ranau, Sabah, berdekatan simpang masuk Taman Negara Kinabalu.

Pada 20 Januari 2021 yang lalu telah berlaku tanah runtuh di tempat letak kenderaan awam simpang masuk ke Taman Negara Kinabalu membabitkan kawasan 150 meter (panjang), 72 meter (lebar) dan 33 meter (tinggi). Kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan di zon pantai barat dan pedalaman Sabah.

Pembaikan sementara telah dilaksanakan dan siap 100 peratus dengan kos RM4.5 juta. Permohonan bagi pembaikan kekal telah dipohon dalam Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak RM36.1 juta.

Perjalanan Program FTRoadpedia Sabah diteruskan dengan tinjauan ke Pakej Kerja 8 iaitu dari Sepanggar ke bulatan Berunggis sepanjang 11.7 km, Pakej Kerja 7, Inanam ke Sepanggar sepanjang 9.9km dan Pakej Kerja 6, Putatan ke Inanam sepanjang 19.6km.

Lokasi terakhir tinjauan adalah di Pakej Kerja 5 iaitu dari Donggongon ke Simpang Jalan Spur. Pakej Kerja ini adalah pakej kerja pertama yang dilaksanakan iaitu bermula pada 31 Julai 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei 2022.

Secara keseluruhan status kemajuan terkini bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang merupakan projek Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak 57 peratus melibatkan 15 Pakej Kerja yang telah dibuat pelantikan kontraktor untuk kerja pembinaan.

Sewaktu kaedah asal pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah melalui Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner – PDP) sebanyak 35 pakej kerja telah dipersetujui. Namun begitu setelah penamatan PDP, hanya 15 Pakej Kerja diteruskan pelaksanaannya secara konvensional, di mana Jabatan Kerja Raya Sabah bertindak sebagai Pegawai Penguasa (Superintending Officer – SO) bagi memantau pelaksanaan projek.

Bagi pelaksanaan baki 19 Pakej Kerja, kelulusan prinsip telah diperolehi berdasarkan Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2022 untuk dilaksanakan dengan tempoh pembinaan selama 5 tahun, bagi melengkapkan keseluruhan 35 Pakej Kerja Fasa 1 projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

283125548_379886304177584_1733671112223135707_n.jpg

Jelajah FTRoadpedia Sabah — Tinjau Pembinaan Pan Borneo & Penyenggaraan Jalan Persekutuan #infrakeluargaMalaysia

SANDAKAN, 27 MEI 2022 - Program FTRoadpedia anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) pada kali ini memberikan tumpuan di negeri Sabah di bawah bayu. Fokus utama Jelajah FTRoadpedia Sabah adalah untuk meninjau status pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dan isu penyenggaraan Jalan Persekutuan di negeri berkenaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, bersama Pengurusan Tertinggi KKR, mengetuai Program Jelajah FTRoadpedia Sabah selama 3 hari bermula 27 hingga 29 Mei 2022. Perjalanan sejauh 333 km bermula di Sandakan dan berakhir di Kota Kinabalu ini adalah pendekatan proaktif KKR untuk meninjau sendiri dan mengumpul maklumat keadaan Jalan Persekutuan di negeri Sabah.

Pada hari pertama lokasi tinjauan yang terlibat adalah di Pakej Kerja (WP 27) – Menaiktaraf Jalan Dari Kg.Lot M ke Sandakan Mile 32, sepanjang 18.1km. Status kemajuan siap sehingga 22 April 2022 adalah 88 peratus dan dijangka siap pada 13 Julai 2022 melibatkan kos projek sebanyak RM493.15 juta.

Tiga (3) lokasi tinjauan FTRoadpedia Sabah seterusnya iaitu di Pakej Kerja (WP 28) – Menaiktaraf Jalan dari Sandakan Mile 32 ke Moynod sepanjang 21.7km, Pakej Kerja (WP 29) – Menaiktaraf Jalan dari Moynod ke Sapi Nangoh sepanjang 20km dan Pakej Kerja (WP 30) – Menaiktaraf Jalan dari Sapi Nangoh ke Sungai Baoto sepanjang 22km. Pelaksanan bagi ketiga-tiga Pakej Kerja ini akan bermula pada 11 Oktober 2021 dan dijangka siap pada 10 Oktober 2024 dengan kos projek adalah sebanyak RM955.87 juta.

KKR akan sentiasa berusaha dalam memastikan infrastruktur awam khususnya jalan raya yang rosak dibaikpulih demi kesejahteraan rakyat. Di Sabah khususnya di Jalan Persekutuan, sebanyak 47,223 jumlah potholes telah dibuat tampalan dari tahun 2019 sehingga bulan April 2022 dan jumlah ini menunjukkan trend peningkatan setiap tahun. Peningkatan jumlah tampalan potholes sebanyak 18 peratus setiap tahun menunjukkan jangka hayat jalan yang sedia ada sekarang memerlukan peruntukan penyenggaraan yang lebih besar. Terdapat juga jalan di Sabah yang telah tamat tempoh hayatnya dan perlu penurapan semula. KKR komited untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk menampung perbelanjaan penyenggaraan jalan di Sabah.

Bersempena program FTRoadpedia Sabah ini juga, Kementerian Kerja Raya turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Program jelajah ini turut disertai oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzair Wan Sulaiman.

FTRoadpedia Sabah hari kedua akan menjelajah Pakej 8, Pakej 7, Pakej 6 dan Pakej 5 dari Kundasang ke Kota Kinabalu sejauh 94 km.

Dato’ Sri Fadillah berkata, program jelajah FTRoadpedia yang diperkenalkan sejak 6 Ogos 2016 bertujuan untuk beliau dan pengurusan tertinggi Kementerian, meninjau sendiri setiap ceruk Jalan Persekutuan di seluruh negara. Sebanyak 8 FTRoadpedia telah dilaksanakan melibatkan perjalanan sejauh 3,663km daripada keseluruhan 19,950km Jalan Persekutuan di seluruh negara.