Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

Wakaf Bharu, Kelantan, 27 Jun 2023 – Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan perasmian Pembinaan Flyover dari Arah Kota Bharu Merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor.

Projek ini dilaksanakan secara Reka dan Bina dan telah meningkatkan tahap keupayaan jalan, Level of Service (LOS) dari tahap F ke tahap C yang membawa maksud kelancaran trafik berjaya ditingkatkan. Projek bernilai sebanyak RM 97.6 juta telah mula dibina pada 19 Februari 2018 dan siap pada 15 Jun 2023 melibatkan skop seperti berikut:

1.            Membina jejambat jalan berkembar empat lorong melintasi Bulatan Wakaf Bharu (Kota Bharu – Pengkalan Kubor) sepanjang 470 meter;

2.            Pelebaran dua jambatan sedia ada iaitu Jambatan Atas Rel sepanjang 26.2 meter dan Jambatan Alor Kedemit sepanjang 25 meter.

3.            Menaik taraf Bulatan Wakaf Bharu sedia ada kepada persimpangan berlampu isyarat;

4.            Pemasangan perabot jalan;

5.            Pengambilan balik tanah; dan

6.            Kerja-kerja pengalihan utiliti; dan

7.            Projek rintis bagi pelaksanaan projek jalan secara Building Information Modelling (BIM)

Antara keistimewaan projek ini adalah ia merupakan projek rintis bagi pelaksanaan BIM dalam pembinaan projek jalan dan jambatan. Kaedah penggunaan BIM dalam projek jalan mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan kerana kaedah ini menyeragamkan reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan.

Projek ini dilaksanakan bagi menyuraikan trafik di Jalan Kota Bharu – Pengkalan Kubor terutamanya di sekitar Bulatan Wakaf Bharu yang sering mengalami kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak sebelah pagi dan petang serta sewaktu musim perayaan.

0

Raub, Pahang, 24 Jun 2023 -Perasmian pembukaan Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sg. Chandan Ke Kampung Asap sepanjang 16 kilometer (km) dan sebahagian Seksyen 5A (Persimpangan Krau, Raub) sepanjang 600 meter telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad pada 24 Jun 2023 yang lalu.

Pembukaan satu lagi Seksyen Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dahulu dikenali sebagai Projek Central Spine Road (CSR) dari Kampung Orang Asli Sg. Chandan ke Kampung Asap bakal menjimatkan masa, kos bahan api serta mengurangkan kesesakan di mana pengguna yang berulang alik ke pantai timur tidak perlu melalui Bandar Bentong dan Bandar Raub terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum.

Projek LTU di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia adalah merupakan pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang hampir 299.4 km dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bentong, Pahang. LTU dibina berasaskan 4 lorong 2 hala (4-lane dual carriageway) mengikut piawaian JKR R5.

Secara umumnya, projek LTU merupakan pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang hampir 298.4 km dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bentong, Pahang.  LTU dibina berasaskan 4 lorong 2 hala (4-lane dual carriageway) mengikut piawaian JKR R5.

Jajaran LTU di Negeri Pahang melibatkan empat pakej utama iaitu Pakej 3 sehingga Pakej 6 sepanjang 169.10 km dan dipecahkan kepada 16 seksyen. Pada masa ini sebanyak tujuh seksyen sedang dalam pembinaan dan sembilan seksyen telah siap..  Status bagi 16 seksyen tersebut ialah 7 projek sedang dalam pembinaan dan 9 projek telah siap.

Sebelum ini, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur dan Bentong perlu melalui Jalan Laluan Persekutuan 8 (Lebuhraya Kuala Lumpur-Gua musang) ke Bandar Raub yang mengambil masa lebih 45 minit dengan jarak perjalanan melebihi 30 km. Dengan siapnya Lebuhraya LTU Pakej 5B dan Pakej 5A (Persimpangan Krau), ia akan memendekkan perjalanan dari Simpang Keruntung ke Simpang Krau dengan jarak perjalanan hanya 18.6 km yang mengambil masa 15 minit sahaja.

Selain itu, ia dapat mengurangkan risiko kemalangan jalanraya serta merancakkan ekonomi lokasi-lokasi pelancongan, perladangan di Pahang Barat. Pembinaan LTU Seksyen 5B ini telah dimulakan pada 14 Mac 2018 dan tarikh siap adalah pada 6 Mac 2023 dengan kos projek sebanyak RM294.6juta.

0

Kuala Lumpur, 22 Jun 2023 – Majlis Penyampaian Watikah Pemangkuan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) telah disempurnakan dengan jayanya oleh YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya yang bertempat di Bilik Tanjung, Aras 6, Kompleks Kerja pada 22 Januari yang lalu.

Seramai 16 orang penerima yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya telah menerima Watikah Pemangkuan JUSA ini. Dari 16 Pegawai-pegawai Kanan yang menerima Watikah JUSA Pemangkuan JUSA ini, seorang pegawai menerima gred Utama A, tiga orang pegawai menerima gred Utama B, dan 12 pegawai gred Utama C.

Pihak Kementerian Kerja Raya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kesemua penerima. Semoga watikah ini menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan khidmat bakti yang baik kepada rakyat.

0

Kuala Lumpur, 22 Jun 2023 –  Program Wacana Malaysia Madani Peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berlangsung bertempat di Kompleks Kerja Raya dan program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Ahmad Nadzri Embong, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KKR.

Dua sesi wacana telah dijalankan dalam program ini, Yang Berbahagia Dato’ Ismail Yucop, Timbalan Ketua Pengarah Jambatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) telah dijemput sebagai penceramah sesi pertama dan beliau telah menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Membangun Malaysia Madani’. Bagi sesi kedua, Yang Berusaha Encik Wan Rahim Wan Yunan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) juga telah dijemput dan beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Memahami Konsep Malaysia Madani’

Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik juga dijalankan sepanjang program ini berlangsung, antaranya ialah Psych-Out!, Food Truck, Pameran Madani oleh PACU dan IDE serta Coretan MADANI Bagiku. Sijil penghargaan diberikan kepada Bahagian yang mempunyai penyertaan peserta yang tertinggi.

Sebagaimana kita semua sedia maklum, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai kerangka baharu untuk negara. Program ini merupakan sebuah inisiatif KKR dalam menyambut baik gagasan Malaysia Madani supaya warga KKR dapat menghayati dan mengaplikasi konsep ini dalam budaya kerja mereka.

0

Kota Bharu, 18 Jun 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad, telah dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kelantan kali ke-46. Turut hadir dalam mesyuarat, Yang Dipertua PKMM Kelantan, Yang Berbahagia Datuk Hj. Mohd Rosdi bin Hj. Ab Aziz dan Presiden PKMM Yang Berbahagia Dato’ Seri Haji Mohamed Fadzill Bin Hassan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) turut serta dalam mesyuarat ini yang melibatkan lebih daripada 300 kontraktor-kontraktor yang merupakan ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Di dalam ucapan perasmian beliau, Timbalan Menteri Kerja Raya sedar akan jumlah kontraktor yang ramai menyebabkan persaingan yang cukup besar dan ini mengakibatkan sebahagian besar kontraktor-kontraktor tidak mendapat projek sejak sekian lama. Menurut beliau, isu ini akan diusulkan kepada Kementerian Kewangan agar satu maslahat dapat dicapai bagi kebaikan bersama.

Antara inisiatif sedia ada yang telah dilakukan oleh agensi di bawah Kementerian Kerja Raya dalam membendung isu-isu ini ialah pelaksanaan program Accelerator Programme for Construction Entrepreneurs (ACE) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang dapat membantu membangunkan kontraktor kecil dan sederhana, terutamanya usahawan muda.  Bagi isu bahan pembinaan pula, Jabatan Kerja Raya juga telah melaksanakan Kadar Jadual Kerja bagi memastikan tawaran harga terbaik dapat dilakukan sesuai dengan harga pasaran semasa.

0

Kuala Lumpur, 15 Jun 2023 -  Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah merasmikan pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang melibatkan baki jajaran utama sepanjang 7.8 kilometer bermula dari Sri Petaling, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sehingga Cheras-Kajang. Lebuhraya SUKE dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula 12:01 tengah malam, 16 Jun 2023. Pembukaan Fasa 2 ini juga memiliki satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai yang akan beroperasi secara percuma, bermula dari tarikh 16 Jun 2023, 12:01 tengah malam sehingga 29 Jun 2023, 11:59 malam.

Lebuhraya SUKE ini merupakan rangkaian lebuhraya yang menghubungkan lima (5) lebuhraya lain iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA), Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL atau Lebuhraya Salak.

Secara keseluruhan, Projek Lebuhraya SUKE telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 99.54%, setakat 4 Jun 2023. Terdapat satu lagi persimpangan iaitu Jalan Susur (Ramp) Jalan Alam Damai yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap dalam suku ketiga tahun ini.

Pembukaan fasa terbaharu ini melengkapkan objektif utama Lebuhraya SUKE iaitu menyuraikan kepadatan trafik khususnya di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Ia dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya melalui MRR2.

Selain itu, pengguna juga dapat menggunakan keseluruhan jajaran utama Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer dari Sri Petaling ke Ulu Kelang dengan masa perjalanan yang dipendekkan kepada 25 minit berbanding 75 minit melalui laluan sedia ada.

Pihak Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PROLINTAS menasihatkan semua pengguna lebuhraya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memandu secara berhemah.

Lebuhraya SUKE telah dibangun dan diuruskan oleh Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS).

0

Petaling Jaya, 8 Jun 2023 – Persidangan Pengurusan Aset dan Projek (Asset and Project Management Conference – APMC) tahun 2023 yang bertemakan ‘Mentransformasikan Budaya    Penyelenggaraan Demi Kelestarian Aset’ telah berlangsung dengan jayanya pada 8 dan 9 Jun 2023. Persidangan ini bertujuan untuk memberikan perhatian terhadap pengurusan aset yang baik setelah sesuatu projek selesai.

Persidangan ini adalah anjuran Bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pertubuhan Pengurusan Aset dan Projek Malaysia (MAPMA) dengan sokongan UEM Edgenta Berhad sebagai rakan strategik serta WMIT Group Sdn Bhd sebagai Pengurus Persidangan.

Buat julung kalinya pada persidangan ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad telah melancarkan The Global Maintenance Day peringkat nasional di bawah naungan Global Forum on The Maintenance and Asset Management (GFMAM). YB Dato’ Sri Abdul Rahman juga telah berucap bagi merasmikan persidangan ini dan beliau menekankan kepentingan setiap ahli industri merangkumi kontraktor, perunding, penggubal dasar, pengendali aset dan pemilik aset untuk saling bekerjasama dalam usaha memperkasakan pengurusan projek dan aset.

MAPMA Excellence Awards 2023 turut disampaikan bertujuan untuk mengiktiraf pasukan Pengurusan Aset dan Pengurusan Projek Terbaik Negara dengan kategori penganugerahan: Pasukan Pengurusan Projek Terbaik (Pembiayaan Kerajaan), Pasukan Pengurusan Aset Terbaik (Pembiayaan Kerajaan) dan Pasukan Pengurusan Aset Terbaik (Pembiayaan Swasta). Selain itu, terdapat juga ruang pameran bagi produk dan perkhidmatan daripada penggiat industri Pengurusan Aset dan Pengurusan Projek di Malaysia.

Pertukaran dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) antara MAPMA dengan Malaysian Association of Facility Management (MAFM), Project Management Institute Malaysia Chapter (PMIMY), Mega Jati Academy Sdn Bhd dan Agile Consultancy juga berlaku dalam persidangan ini.

APMC 2023 telah menjadi platform bagi pakar-pakar tempatan dan luar negara berkongsi idea tentang topik-topik terkini dalam bidang Pengurusan Projek dan Pengurusan Aset. Lebih dari 10 penggiat utama industri Pengurusan Aset dan Projek dari dalam dan luar negara seperti Australia dan Afrika Selatan telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja. Ahli-ahli panel juga berkesempatan untuk saling berkongsi ilmu, pengalaman dan pencapaian terkini. Para peserta persidangan pula berpeluang berbincang, menambah pengetahuan serta membina dan memperluas jalinan rangkaian masing-masing.

0

Machang, Kelantan, 3 Jun 2023 – Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7 telah berlangsung di Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang, Kelantan pada 3 Jun 2023 yang lalu. Majlis Penyerahan ini dihadiri YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi teknikal utama negara di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan projek-projek fasiliti kesihatan. Lima projek klinik kesihatan telah diserahkan iaitu Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang, Klinik Kesihatan Kerilla, Machang, Klinik Kesihatan Karangan, Kuala Krai, Klinik Kesihatan Peria, Kuala Krai dan Klinik Kesihatan Sokor, Tanah Merah.

Kelima-lima klinik kesihatan ini merupakan klinik desa berstatus daif yang telah dinaiktaraf kepada Klinik Kesihatan Jenis 7. Klinik ini bakal menawarkan perkhidmatan yang telah dinaik taraf seperti Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Pesakit Luar, Rawatan Kecemasan, Makmal Perubatan Asas dan Farmasi.

Setiap klinik turut dilengkapi empat (4) unit kuarters bagi kemudahan dan keselesaan kepada kakitangan. Projek yang diluluskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM30 juta telah mencapai kemajuan 99% dan dijangka akan siap dalam masa terdekat. YB Dr. Zaliha telah mengumumkan bahawa kesemua klinik ini akan mula beroperasi pada 2 Julai 2023.

Penaiktarafan ini dapat meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan dalam pengoperasian klinik justeru memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

0

ALOR GAJAH, MELAKA, 29 MEI 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad, telah merasmikan Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan, anjuran    Jabatan Kerja Raya Malaysia mewakili Menteri Kerja Raya Yang Berhormat Dato Seri Alexander Nanta Linggi. Kursus yang dilaksanakan buat julung kalinya ini melibatkan seramai 35 Syarikat Kontraktor Gred G7 yang telah lulus penetapan prasyarat Kementerian Kewangan Malaysia. Pada masa yang sama ia mewujudkan satu kriteria yang lebih ketat dan menyeluruh bagi pelantikan kontraktor projek-projek pembinaan hospital.

Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan yang berlangsung selama lima (5) hari ini merangkumi modul pembelajaran meliputi keseluruhan aspek teknikal, pengurusan dan pentadbiran yang menjurus kepada pelaksanaan projek fasiliti kesihatan. Selain itu, kursus ini juga memberikan pendedahan kepada pihak kontraktor berkenaan tanggungjawab dan peranan mereka dalam komunikasi bersama sub-kontraktor, perunding, pembekal serta pihak berkuasa tempatan bagi mencapai objektif kursus dalam mewujudkan kumpulan kontraktor yang berkeupayaan dan berdaya saing.

Berkuatkuasa Januari 2024, Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan menjadi syarat wajib bagi semua kontraktor yang ingin menyertai tender projek fasiliti kesihatan di bawah seliaan JKR Malaysia. Kursus ini dibangunkan khas bagi mewujudkan syarikat kontraktor yang berkepakaran dan berkeupayaan dalam melaksanakan projek pembinaan fasiliti kesihatan di samping mengurangkan masalah pelaksanaan projek, seterusnya mengurangkan risiko kepada kelewatan penyiapan projek.

Melalui inisiatif ini, ia dapat mengukuhkan keupayaan sistem kesihatan awam dari aspek pembangunan infrastruktur dan merealisasikan hasrat Kerajaan dengan menyediakan fasiliti kesihatan yang terbaik untuk rakyat. JKR Malaysia sentiasa berusaha ke arah pencapaian projek yang optimum demi merealisasikan harapan kerajaan untuk membentuk negara MADANI.

0

KUALA LUMPUR, 28 MEI 2023 – Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Penarafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Tahun 2022 melibatkan kluster Kementerian dan kluster Agensi Pusat dan Jabatan Utama (APJU) di Dewan Sri Baiduri, INTAN Bukit Kiara yang telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara pada hari ini.

MyGPI merupakan satu program untuk menilai prestasi agensi sektor awam yang memberi fokus kepada dua (2) dimensi iaitu dimensi pengurusan organisasi dan dimensi pendigitalan perkhidmatan melalui tadbir urus yang baik ke arah reformasi sektor awam. Program MyGPI ini turut menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara di peringkat global melalui pengukuhan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat dan komuniti perniagaan. Rakan strategik MAMPU ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara (JAN), Agensi Keselamatan Siber (NACSA) dan Biro Pengaduan Awam (BPA).

Dalam majlis ini, Sijil Penarafan MyGPI telah disampaikan kepada 26 kementerian, lima (5) Agensi Pusat dan Jabatan Utama serta Jabatan Wilayah Persekutuan (sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan). Sebanyak empat (4) agensi iaitu Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kerja Raya berjaya mencapai kategori Platinum dengan skor markah 90 peratus dan ke atas yang merupakan kategori penarafan tertinggi.

Adalah diharapkan dengan adanya program MyGPI ini, agensi sektor awam dapat meningkatkan lagi usaha-usaha penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam yang memenuhi ekspektasi stakeholders – rakyat, komuniti bisnes dan pengurusan tertinggi.