Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

Chukai, Terengganu, 19 Julai 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau sendiri kerja-kerja naiktaraf yang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna laluan terjamin semasa beliau hadir bagi menyempurnakan penyerahan projek menaiktaraf jalan sedia ada FT237. Setelah Jalan Persekutuan FT237 yang menghubungkan Chukai ke Air Putih dinaiktaraf Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi Jabatan Kerja Raya (JKR), masalah yang dihadapi pengguna jalan raya di Chukai yang terganggu kelancarannya setiap kali banjir kini berjaya diatasi.

Projek ini melibatkan skop menaiktaraf jalan sedia ada FT237 sepanjang 11.4 kilometer (km) yang merupakan jalan tunggal dua lorong dari piawaian R3 kepada R5. Ia melibatkan kos sebanyak RM 192.8 juta dan telah mula dibina pada 2 Mei 2017 dan siap sepenuhnya pada 13 April 2023. Selain itu, projek ini turut melibatkan skop menaiktaraf lima (5) persimpangan utama, pemasangan lampu isyarat baharu di persimpangan Jalan Pengkalan Binjai dan persimpangan Jalan T126, pemasangan lampu jalan jenis LED serta kerja-kerja pengalihan / pengukuhan utiliti.

Bagi mengatasi masalah laluan yang tidak dapat dilalui / terputus akibat banjir , aras jalan raya ini dinaikkan lebih kurang 2 meter tinggi sepanjang 3.1km di lokasi kerap berlaku banjir.  Turut dibina ialah jambatan tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang 313 m dengan menggunakan Jambatan Lengkung Pratuang (Precast Arch Structure). Keistimewaan jenis jambatan ini ianya dapat mempercepatkan proses pembinaan dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Pada majlis ini, turut diadakan penyampaian Sijil Kontraktor Penyiap KKR kepada lapan syarikat kontraktor dari Negeri Terengganu yang telah berjaya melepasi tiga (3) peringkat saringan dan dinilai berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.  Kontraktor Penyiap telah diperkenalkan melalui Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 4.5 – Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap berkuat kuasa mulai 29 Jun 2018. Syarikat yang diiktiraf sebagai Kontraktor Penyiap berpeluang untuk menyertai projek menyiapkan baki kerja bagi projek-projek kerajaan yang telah ditamatkan.

Sepanjang tahun 2022 sebanyak 17 projek di bawah seliaan JKR Malaysia terlibat dengan penamatan projek dan telah dikenakan tindakan penggantungan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) atas kesalahan gagal mematuhi obligasi kontrak. Kementerian Kerja Raya sentiasa memantau prestasi Kontraktor Penyiap melalui pematuhan kriteria yang ditetapkan selain bebas daripada sebarang projek sakit dan tindakan tatatertib. Sijil pengiktirafan yang diberikan kepada kontraktor terbabit akan ditarik balik serta-merta sekiranya didapati melanggar peraturan yang ditetapkan bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan demi ke arah kesejahteraan rakyat.

0

Kuala Lumpur, 18 Julai 2023 - Telah berlangsung Majlis flag off yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad. Majlis ini bertempat di Lobi Blok A, Kementerian Kerja Raya. Turut Bersama-sana dalam majlis ini Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri Bin Embong dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar & Pembangunan) Ybhg. Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah dan semua Ketua-ketua Agensi serta Setiausaha-setiausaha Bahagian KKR.

Sebanyak 15 kumpulan yang telah menyertai pertandingan terdiri daripada 3 kumpulan  daripada KKR, 7 kumpulan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), 2 kumpulan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaa (CIDB) dan 3 kumpulan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Pertandingan ini adalah salah satu pertandingan sempena sambutan bulan HRMIS.

Objektif Sambutan Bulan HRMIS ini adalah untuk meningkatkan tahap ketepatan data penjawat awam dalam HRMIS dan meningkatkan penggunaan HRMIS di kalangan penjawat awam. Sempena meraikan Majlis Perasmian Bulan HRMIS 2023 ini, pelbagai aktiviti menarik telah disusun dan dirancang bagi menyemarakkan sambutan Bulan HRMIS pada tahun ini.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk bengkel dan taklimat HRMIS; pertandingan Treasure Hunt secara fizikal iaitu “The HRMIS Hunters”, kuiz Kahoot HRMIS, pertandingan reka cipta infografik, pertandingan Crossword Puzzle dan juga Hari Bertemu Pelanggan. Pihak KKR agar berharap semua warga Kementerian dan Agensi mengambil peluang ini dan tidak ketinggalan untuk bersama-sama menjayakan pelaksanaan bulan HRMIS ini.

0

Setia Alam, Selangor, 16 Julai 2023 –  Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah merasmikan Pembukaan Persimpangan Eco Ardence yang bertempat di Setia Alam, Selangor.

Pembukaan persimpangan ini mampu menyediakan laluan yang lebih mudah untuk ke kawasan perumahan dan komuniti setempat. Ini mampu menyuraikan situasi trafik di kawasan tersebut dengan lebih cekap. Pengguna jalan raya boleh mengakses Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) den juga ke perbandaran Eco Ardence.

Penambahbaikan infrastruktur ini juga bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dengan menghapuskan keperluan pengguna jalan raya untuk membuat pusingan U sebelum plaza tol. Hal ini kerana situasi ini membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Projek pembinaan persimpangan ini telah bermula dari 26 Mac 2023. Projek ini menelan kos sebanyak RM 50 juta dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia).

Menyambut baik inisiatif kerjasama antara pihak kerajaan dan pihak swasta, seiring dengan konsep gagasan Malaysia MADANI, pembukaan persimpangan ini merupakan salah contoh keterjalinan antara pihak kerajaan dan pihak swasta dalam menyediakan infrastruktur yang memudahkan kehidupan seharian rakyat.

 

0

Kuala Lumpur, 13 Julai 2023 – Program Executive Talk Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Kerja Raya, Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Nadzri Bin Embong Bersama-sama Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional & Pelaksana Gred 29 hingga Gred 44 Telah berlangsung dengan tajuk Organisasi Siap Siaga ke Arah Kecemerlangan. Program ini diadakan di Bilik Mawar 1, Tingkat 12, Blok B, Kementerian Kerja Raya dan merupakan anjuran Cawangan Pembangunan Modal Insan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri menyentuh tentang wacana minda yang dilancarkan pada Jun yang lalu oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Yang Berbahagia. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali iaitu The G.R.E.A.T Civil Service yang merupakan satu usaha memperkasakan penjawat awam dengan nilai-nilai peribadi yang unggul.

Beliau menyampaikan hasrat dan aspirasi untuk melihat warga KKR menyemarakkan nilai-nilai G.R.E.A.T dalam budaya kerja seharian. G.R.E.A.T merupakan akronim kepada ‘Good Governance’ (Tadbir Urus Terbaik), ‘Responsible’ (Bertanggungjawab, Empathy (Ihsan), Accountable (Kebertanggungjawaban) and ‘Tenacity of Purpose’ (Fokus Pada Matlamat).

YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri juga berucap tentang kepentingan penjawat awam untuk memahami dan menghayati objektif, visi, misi dan moto sesebuah organisasi bagi memacu kesiapsiagaan ke arah kecemerlangan. Selain itu, beliau juga sempat berkongsi pengalaman dan juga nilai-nilai yang sering beliau amalkan daripada segi pengendalian diri di tempat kerja. Para peserta juga sempat berkongsi soalan dan pendapat bersama-sama Dato’ Ahmad Nadzri ketika sesi soal jawab.

0

Putrajaya, 13 Julai 2023 – Program Cakna Madani YAB Perdana Menteri Malaysia bersama Pegawai Penguat Kuasa tahun 2023 yang telah dijalankan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman kepada pegawai dan anggota daripada Agensi Penguatkuasaan dan Agensi Keselamatan dan Ketenteraman Awam mengenai dua konsep utama Malaysia MADANI iaitu ketelusan dan kerjasama. Pembangunan modal insan ini dapat melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai ciri-ciri insan yang berfikir dan bertindak seiring kemajuan peradaban.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad telah hadir sebagai panel jemputan bagi Forum Cakna Pembangunan Negara Madani bersama-sama Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Yang Berbahagia Dato’ Sri Khairul Dzaimee Bin Daud.

Antara perkara yang disentuh dalam forum adalah cabaran kerjasama dari penggiat industri. Wujudnya penggiat industri yang kurang rasa bertanggungjawab kepada penguasa yang menguatkuasa undang-undang kerana tahap pematuhan yang rendah dikalangan penggiat industri. Sikap kurang cakna dalam perubahan undang-undang dan peraturan terkini yang terpakai seperti yang dapat dilihat berlaku dalam antara sektor teras KKR, industri pembinaan.

Tugasan penguatkuasaan merupakan satu bidang tugasan yang boleh ditakrifkan sebagai tugasan yang amat kritikal, pelbagai kemahiran sama ada daripada segi kemahiran insaniah seperti komunikasi dan penyelesaian masalah amat diperlukan dalam mendepani para penggiat industri yang mempunyai pelbagai latar belakang. Pengetahuan teknikal dan praktikal juga diperlukan dalam memastikan setiap keputusan yang diambil selaras dengan bidang kuasa juga keperluan dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan kepada pegawai.

Menyambut baik konsep ketelusan dan kerjasama dalam teras Malaysia MADANI, pembaharuan seperti pewujudan sistem penguatkuasaan dan penyelarasan tindakan melalui penyediaan Manual Prosedur Kerja (MPK) Penguatkuasaan kini menjadi fokus dalam memastikan tindakan anggota penguatkuasaan mendepani industri di lapangan sentiasa di tahap yang terbaik. Selain itu, penguatkuasaan secara desktop atau dokumentasi telah berjaya memastikan tahap pematuhan industri berada di dalam tahap yang baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

0

Kuala Lumpur, 13 Julai 2023 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) atau yang lebih dikenali sebagai CIDB Malaysia telah melancarkan National BIM e-Submission Initiative (NBeS) yang melambangkan pencapaian signifikan ke arah mempertingkatkan penggunaan teknologi BIM di Malaysia.

Inisiatif NBeS telah dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad, di Pusat Dagangan Dunia hari ini bersempena dengan Majlis Perasmian KL BIM Day 2023. Turut hadir di dalam majlis ialah Yang Berbahagia Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad dan Yang Berbahagia Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Objektif KL BIM Day adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang penggunaan BIM dalam pembinaan. Hari BIM tahun ini merupakan sambutan ke-6 kali bagi Hari BIM yang telah dianjurkan setiap tahun sejak 2014. Sambutan ini telah terhenti selama tiga tahun kerana pandemik COVID-19.

Sistem NBeS merupakan penanda ukur bagi tahap kemajuan dalam sistem semakan dan kelulusan Pelan Bangunan oleh pihak berkuasa tempatan. Sistem ini juga berpotensi menjadi salah satu sistem Pemeriksa Auto pertama di dunia. Melalui NBeS, Pelan Bangunan boleh diserahkan dan disemak secara digital melalui Building Information Modelling (BIM).

CIDB sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan latihan dan perundingan mengenai pelaksanaan sistem NBES bagi meningkatkan kecekapan proses kelulusan Pelan Bangunan. CIDB telah berjaya menjalankan projek perintis melibatkan lima pihak berkuasa tempatan iaitu: Perbadanan Putrajaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Kangar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, and Dewan Bandaraya Kuching Utara. Ini merupakan bukti bahawa sistem ini berupaya untuk dilaksanakan.

KL BIM Day menampilkan persidangan selama dua hari dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran penceramah terkenal yang telah berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka mengenai pelaksanaan "BIM & Beyond" dalam projek masing-masing. Acara ini juga dilengkapi dengan pameran BIM selama tiga Hari, di mana pengunjung boleh melihat dan mengalami teknologi terkini dan termaju dalam BIM dan teknologi baru akan datang.

0

Melaka, 11 Julai 2023 – Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menganjurkan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR Tahun 2022 yang bertemakan “Memacu Pembangunan Malaysia Madani” bertempat di  Hotel Hatten, Melaka. Yang Berhormat Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi telah hadir untuk menyempurnakan majlis perasmian persidangan ini.

Objektif utama penganjuran persidangan ini adalah sebagai platform perkongsian hala tuju dan mandat kepimpinan, dan menjana idea baharu serta ruang diskusi pegawai-pegawai kanan JKR melalui perspektif pengalaman dan kepakaran masing-masing. Tema SOC JKR Malaysia yang dipilih tahun ini sejajar dengan teras strategik Malaysia Madani dalam membina Malaysia yang lebih maju dan makmur, serta memenuhi keperluan rakyat.

Persidangan yang bermula pada 11 Julai hingga 13 Julai 2023 ini melibatkan penyertaan seramai 420 orang pegawai-pegawai kanan JKR, yang terdiri daripada Pengarah-pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera-jurutera Daerah, Pegawai-pegawai Kanan dan Pegawai-pegawai Kader dari seluruh negara.

Antara kertas kerja yang dibentangkan sepanjang SOC 2023 adalah:

i. Pembentangan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)

ii. Bicara Inovasi : Kejayaan Daya Cipta JKR

iii. Kepentingan Pengurusan Berkesan Dalam Menjayakan Sesebuah Projek;

iv. Projek Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ): Isu dan Cabaran Menaiktaraf “Live” Hospital;

v. Kualiti Pembinaan Jalan Raya Daripada Perspektif Pengurusan Projek Semasa

Peringkat Perancangan, Rekabentuk dan Pembinaan;

vi. Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik

(Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership –

CPTPP) dan Impaknya kepada Perolehan Kerja Kerajaan;

vii.  Perkongsian Dari Jabatan Audit Negara (JAN); dan

viii.  Pembentangan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM): “Why should JKR and UTHM continue to collaborate? What are the benefits?”

Penyampaian Anugerah Kontraktor Cemerlang kepada kontraktor yang berjaya melaksanakan projek JKR serta Anugerah Inovasi JKR Malaysia turut diadakan sempena SOC 2023. Selain itu, Pameran Industri Pembinaan 20023 juga diadakan sepanjang persidangan ini berlangsung, dengan penyertaan 29 pempamer melibatkan pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan swasta.

0

Bintulu, Sarawak, 7 Julai 2023 – Keselesaan dan keselamatan pengguna bagi Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun FT803 sepanjang 128.46 kilometer terus mendapat perhatian Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang telah melakukan tinjauan turun padang keadaan semasa laluan tersebut.

KKR telah melaksanakan penyenggaraaan rutin bagi Jalan Persekutuan ini dengan anggaran peruntukan sebanyak RM 4 juta setahun. Manakala sebanyak RM 17.8 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja berkala pavemen dan berkala bukan pavemen dari tahun 2018 hingga 2023 bagi laluan ini.

Beberapa tindakan segera telah diambil oleh konsesi Jalan Persekutuan sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek bagi menangani masalah jalan berlubang iaitu dengan melaksanakan penampalan jalan di bawah kerja-kerja Penyeggaraan Rutin. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, sebanyak 762 kerja tampalan potholes telah dilaksanakan di laluan tersebut.

Kerja pembaikan turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur pavemen juga telah dilaksanakan, dan pada tahun 2023, sebanyak tiga Arahan Kerja (AK) berjumlah RM 6 juta telah dikeluarkan. KKR juga turut memperkenalkan kaedah Cold-in Place Recycling (CIPR) dalam kerja pembaikan turapan jalan ini, bagi menambah kekuatan struktur jalan dan meningkatkan hayat turapan jalan.

Terdapat beberapa cabaran dalam usaha menyenggara Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun ini dan ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Antara punca kerosakan ini berlaku adalah kenderaan lebih muatan yang kerap menggunakan laluan ini dan memerlukan penguatkuasaan dilaksanakan bagi mengatasinya. Disamping itu, terdapat juga masalah ketidakcukupan bekalan premix hot mix dan sebagai penyelesaian langkah segera, pihak JKR telah mengarahkan pihak syarikat konsesi agar tampalan dibuat menggunakan cold mix serta menambah jentera untuk mengatasi masalah kelewatan tampalan.

Selain itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak juga menghadapi kesukaran bagi memastikan tampalan yang telah dilaksanakan mampu bertahan oleh kerana usia jalan yang telah luput (ageing). Bagi mengatasi masalah ini, KKR sedang menunggu kelulusan peruntukan bagi Projek Menaiktaraf dan Pemulihan (Rehabilitation) Jalan Bakun yang dimohon dalam Rolling Plan 4, RMKe-12 (Tahun 2024). Skop utama projek ini ialah menaiktaraf jalan tunggal dua lorong dua hala sepanjang 128.46km dengan piawai R3 JKR.

Kementerian Kerja Raya melalui Agensi Teknikal iaitu JKR Sarawak sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan jalan persekutuan di Bahagian Bintulu di Sarawak sepanjang 194.46 km berada dalam keadaan selamat dan selesa melalui penyenggaraan secara berkala.

0

Kuala Lumpur, 4 Jun 2023 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menganjurkan bulan Julai sebagai bulan Sambutan Bulan HRMIS di peringkat nasional. Dalam usaha menyambut baik dan mendokong penganjuran Bulan HRMIS, telah berlangsung Majlis Perasmian Sambutan HRMIS Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama Agensi-Agensi Tahun 2023 di Dewan Tan Sri M. Yusuff, Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha KKR. Beliau juga telah memberikan ucapan perasmian bagi Sambutan Bulan HRMIS. Sambutan Bulan HRMIS 2023 adalah kali pertama diadakan secara inklusif melibatkan Kementerian dan agensi. Objektif Sambutan Bulan HRMIS ini adalah untuk meningkatkan tahap ketepatan data penjawat awam dalam HRMIS dan penggunaan HRMIS dalam kalangan penjawat awam. Sambutan Bulan HRMIS 2023 ini juga telah mengangkat tema #KetepatanDataAspirasiKita.

Turut serta hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Nadzri bin Embong, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Yang Berbahagia Dato’ Ir. Haji  Zulkipli Bin Haji Nasri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Yang Berbahagia Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), Yang Berusaha Sr. Mohd Zaid Bin Zakaria, Timbalan Ketua Eksekutif II Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dan Yang Berusaha Ir. Sazali bin Harun, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang Sambutan Bulan HRMIS di peringkat Kementerian Kerja Raya dan agensi ini, antaranya ialah:

• Pertandingan Crossword PuzzleHRMIS

• Bengkel SHARE HRMIS Siri 3/2023

• Bengkel MyPerformance

• Pertandingan Cipta Infografik HRMIS

• Bengkel SHARE HRMIS Siri 4/2023

• Pertandingan "The HRMIS Hunters"

• Pertandingan Kuiz HRMIS

• Hari Bertemu Pelanggan

HRMIS adalah aplikasi perdana Kerajaan Persekutuan yang dibangunkan khusus untuk memudahkan proses pengurusan sumber manusia di semua agensi awam seluruh Malaysia. Menerusi sistem HRMIS ini, data sumber manusia bagi sektor awam dapat disimpan dalam satu pangkalan data secara berpusat. Sistem ini juga membolehkan analisis dan perancangan strategik manusia dilakukan dengan lebih mudah di peringkat Jabatan, Kementerian, Kerajaan Negeri atau pun di peringkat nasional.

HRMIS kini sedang bergerak ke arah menyokong hasrat Kerajaan dalam melaksanakan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam. Justeru itu, bagi memperkasakan penggunaan HRMIS dalam sektor awam, pihak JPA telah menetapkan 17 kriteria Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS bagi Kementerian, Agensi dan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (termasuk agensi di bawah kawalan masing-masing). Pihak KKR telah berjaya mencapai sasaran lima bintang sejak KPI HRMIS diperkenalkan pada tahun 2009.

0

Dengkil, 28  Jun 2023 – Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau persiapan dan persediaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat  konsesi lebuh raya dalam menghadapi peningkatan trafik sempena musim Perayaan Aidil Adha. Tinjauan tersebut dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (Arah Selatan). Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Pengerusi LLM YB Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Ketua Pengarah LLM Ir. Sazali bin Harun dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

Pihak LLM telah menjangkakan jumlah purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya mampu mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan. Pertambahan jumlah kenderaan ini dijangkakan bermula 27 Jun 2023 sehingga 3 Julai 2023.

Daripada jumlah tersebut, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka akan mencapai sehingga 2 juta kenderaan, manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1, dijangkakan purata kenderaan mencecah sehingga 170 ribu dan 60 ribu kenderaan sehari.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya, yang mana syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan untuk mengambil Langkah-langkah proaktif bagi meminimumkan kesan negatif peningkatan trafik iaitu:

  1. Mengarahkan syarikat konsesi untuk memastikan tiada kerja kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun 2023 hingga 3 Julai 2023;
  2. Mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 bagi membantu pengguna merancang perjalanan;
  3. Mengaktifkan laluan ‘smart lane’ atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesusaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik
  4. Meningkatkan pengurusan pengoperasian dan menambah sehingga 20% petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota RELA;
  5. Memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain menempatkan petugas untuk memberi bantuan kepada pengguna yang bermasalah.
  6. Memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya’
  7. Menyediakan jentera seperti kembalik dan kren di beberapa lokasi terpilih untuk membantu sekiranya waktu berlaku sebarang insiden kemalangan.
  8. Menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1;
  9. Menambah bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan bekalan air di R&R serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak mencukupi; dan
  10. Memastikan Papan Tanda Elektronik atau Variable Messaging System (VMS) Kamera Keselamatan Litar Tertutup (CCTV) beroperasi dan berfungsi dengan baik.

 

Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM beroperasi 24 jam pada 28 Jun 2023 dan 2 Julai 2023 telah membantu pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat trafik terkini. Status trafik juga dikemaskini di media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Twitter @llmtrafik bagi kemudahan pengguna. Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1–800–88–7752.

Pihak KKR dan LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengikuti TTA yang dicadangkan, mematuhi segala peraturan lalulintas yang ditetapkan, memandu secara berhemah untuk sampai ke destinasi dengan selamat dan memastikan kenderaan dalam keadaan yang baik untuk perjalanan yang jauh.