Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

Assam Jawa, Selangor, 26 Julai 2023 – Menteri Kerja Raya (KKR) YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan Seksyen 6, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Beliau menjangkakan impak positif yang signifikan hasil dari pembinaan lebuh raya ini terhadap kemajuan ekonomi dan komuniti setempat.

Seksyen 6, WCE ini yang bermula dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja (Utara)/Kapar ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa (sambungan terus ke penghujung Lebuhraya LATAR) sepanjang 21.8 kilometer, dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Lebuh raya yang dibina menggunakan standard R6 dengan 2 lorong 2 hala akan dapat mengubah landskap pengangkutan di kawasan tersebut dengan penjimatan masa perjalanan antara bandar-bandar utama sekitar Klang, Shah Alam, Puncak Alam dan Kuala Selangor, yang mana masa perjalanan dari Klang ke Kuala Selangor/Ijok dijangka dapat dikurangkan sehingga 30 minit.

Lebuh raya ini juga dijangka memberi manfaat besar dalam merancakkan industri pelancongan di kawasan ini serta membantu menarik lebih ramai pelancong ke destinasi pelancongan seperti Kuala Selangor, Jeram, Bandar Warisan Batu Arang, Sky Mirror serta Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Manfaat Lebuhraya WCE ini juga akan dirasai oleh usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta peniaga tempatan sebagai jaringan hubungan pengangkutan yang lancar, aktiviti perniagaan akan menjadi lebih mudah dan dapat meningkatkan jualan serta keuntungan perniagaan selari dengan pertambahan pengunjung ke kawasan tersebut, sekaligus dapat menambah peluang pekerjaan.

Lawatan kerja Menteri Kerja Raya ke Seksyen 6, WCE menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia MADANI terhadap keperluan komuniti sekitar dengan menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik kepada rakyat.

Menteri Kerja Raya berharap LLM dan Syarikat Konsesi WCE dapat memastikan pembinaan siap mengikut jadual dan mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani sebarang masalah yang timbul agar kemudahan infrastruktur penting ini dapat dinikmati segera oleh pengguna lebuh raya sebagai pilihan.

0

Kuala Lumpur, 26 Julai 2023 – Menteri Kerja Raya (KKR), YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi telah meninjau lokasi tanah mendap (sinkhole) berhampiran Plaza Tol Bentong di KM 66.1, Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak. Tinjauan turut disertai Ir. Sazali bin Harun, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia dan YBhg. Dato’ Nik Fauzi bin Tan Sri Nik Hussein, Group Executive Chairman ANIH Berhad.

Menerusi tinjauan ini, Menteri Kerja Raya memaklumkan bahawa laluan dijangka dibuka kepada pengguna pada jam 11.00 malam, 26 Julai 2023 berdasarkan penilaian akhir jurutera Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad.

Kejadian yang berlaku pada 25 Julai 2023 sekitar jam 8.30 malam di KM 66.1 arah Barat dan Timur, di antara Persimpangan Bentong Barat ke Persimpangan Bentong Timur telah menyebabkan penutupan kedua – dua arah lebuhraya berkenaan. Namun, tiada kemalangan jiwa yang terlibat dengan kejadian ini.

Melalui laporan awalan pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), tanah mendap (sinkhole) seluas 9.5 meter lebar x 10 meter panjang x 4.3 meter telah berlaku di atas permukaan terowong di laluan arah timur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak yang berada 13 meter di atas terowong tersebut akibat daripada runtuhan terowong 2 ECRL (Tunnel 2). Pasukan ECRL telah memaklumkan kepada pihak ANIH Berhad mengenai kejadian mendapan yang berlaku di KM66.1.

Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, pasukan teknikal ANIH Berhad LPT Ronda dengan kerjasama anggota polis ditempatkan di lokasi bagi membantu mengarahkan kenderaan untuk menggunakan lencongan laluan alternatif yang disediakan. Pengguna lebuhraya dinasihati untuk mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi.

Pengguna lebuh raya juga disarankan untuk merujuk laman sosial rasmi KKR, LLM dan ANIH berhad di Twitter @moworksmy @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Kementerian Kerja Raya Malaysia @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini. Maklumat terkini juga boleh didapati dari Youtube @ANIH TV atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT - Line di 1-700- 818-700.

0

Singapura, 22 Julai 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad telah menghadiri Worldskills ASEAN 2023 yang berlangsung di Suntec Singapore Convention & Exhibition Centre. Turut hadir Bersama-sama beliau ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM), YB Tuan Mustapha @ Mohd Yunus bin Sakmud. Program Worldskills ASEAN 2023  ini terbuka kepada orang awam dan dijalankan dari 23 Julai 2023 hingga 25 Julai 2023.

Jabatan Pembangunan Kemahiran melalui KSM dan KKR telah membuat persediaan bagi penyertaan Malaysia bagi WorldSkills ASEAN 2023. Malaysia telah menyertai pertandingan kemahiran ASEAN ini sejak 1995. Pertandingan kemahiran yang dianjurkan 2 tahun sekali ini menguji kemampuan belia ASEAN daripada segi pengetahuan dan kemahiran di dalam bidang kemahiran yang disertai.

WorldSkills ASEAN ataupun dikenali sebelum ini sebagai ASEAN Skills Competition (ASC) merupakan pertandingan Kemahiran yang dianjurkan setiap dua tahun sekali dan dihoskan secara bergilir-gilir di antara 10 negara anggota ASEAN. Pertandingan ini telah dianjurkan sebanyak 12 kali dan Malaysia telah menjadi tuan rumah ASC yang pertama pada tahun 1995 dan yang terakhir pada tahun 2016.

Kumpulan sasar pertandingan ini adalan belia dan pekerja mahir dari negara anggota ASEAN yang berumur 22 tahun dan ke bawah bagi semua bidang kemahiran yang dipertandingkan kecuali bagi bidang Mechatronics dan IT Network Cabling yang hanya boleh disertai oleh golongan belia dan pekerja mahir berumur tidak melebihi 25 tahun. Penyertaan bagi setiap bidang yang dipertandingkan dihadkan kepada 2 orang peserta sahaja.

Seramai 25 bilangan peserta telah mewakili Malaysia ke WorldSkills ASEAN 2023 ini. KKR ingin merakamkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Pakar Negara, Jurulatih, Jabatan/Agensi dan industri yang telah berkerjasama bagi sesi latihan persediaan kepada para peserta yang mewakili Malaysia bagi ASC ini.

Pada edisi kali ini, kontinjen Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 8 pingat emas dan keputusan dijangka akan diumumkan pada 27 Julai 2023. Pihak KKR mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen Malaysia.

Timbalan Kerja Raya juga berkesempatan untuk melawat Institute of Technical Education Singapore bagi melihat cara pendidikan TVET di Singapura. Ini merupakan lawatan julung kali KKR dan telah disambut baik oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura TYT Dato Azfar bin Mohamad Mustafar.

0

Seremban, 20 Julai 2023 – YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad, Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) bersama-sama YBhg. Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Ir. Sazali Harun, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS serta pegawai kanan KKR, LLM dan PLUS telah mengadakan lawatan kerja ke R&R Seremban (Arah Selatan) yang dibina semula di KM274.4. Projek ini melibatkan belanja sebanyak RM45 Juta.

Dalam hal ini, KKR dan LLM akan terus memastikan supaya R&R yang dibina sepanjang lebuh raya memenuhi keperluan dan ekspektasi para pengguna lebuh raya dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang selesa dan selamat. KKR dan LLM juga komited dan seiring dengan agenda kelestarian negara, menjadikan R&R direka bentuk dengan mengambilkira aspek keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

R&R Seremban (Arah Selatan) ini telah direka bentuk dengan mengguna teknologi hijau dan mengaplikasikan amalan kitar semula yang menyumbang ke arah eko-sistem lebuh raya yang lebih lestari. Bagi menyokong industri Kenderaan Elektrik (EV) di negara ini, PLUS menyasarkan untuk menyediakan 100 Direct Current Fast Chargers (DCFC) menjelang tahun 2025, berbanding sebanyak 22 DCFC beroperasi pada ketika ini bagi semua lebuh raya di bawah kendalian PLUS Berhad.

Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama padu di antara KKR, LLM, PLUS dan syarikat-syarikat Charge Point Operator (CPO) tempatan dan antarabangsa. Selaras dengan ini juga, R&R Seremban (Arah Selatan) akan turut dilengkapi dengan 6 charge point di kawasan parkir kenderaan. Selain itu, pihak PLUS juga akan berkolaborasi dengan CPO tempatan untuk membangunkan sebuah hyperstation EV pertama di Malaysia iaitu di R&R Seremban ini.

KKR bersama-sama LLM menyokong penuh komitmen PLUS dalam merealisasikan rancangan Kerajaan melalui penyediaan infrastruktur EV di negara ini dan bersedia membantu memudahkan pelaksanaan perancangan tersebut.

R&R Seremban (Arah Selatan) yang dibina semula ini akan menjadi contoh terbaik bagi R&R moden di negara ini, dengan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan terbaik, hal ini dapat memenuhi keperluan pengguna lebuh raya. Ia juga akan memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi setempat.

KKR dan LLM bersama-sama memainkan peranan penting dalam memastikan infrastruktur yang dibina sepanjang lebuh raya memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna. Dalam usaha matlamat ini, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) adalah sebahagian daripada komponen penting yang difokuskan di dalam perjanjian konsesi lebuh raya.

0

Chukai, Terengganu, 19 Julai 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau sendiri kerja-kerja naiktaraf yang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna laluan terjamin semasa beliau hadir bagi menyempurnakan penyerahan projek menaiktaraf jalan sedia ada FT237. Setelah Jalan Persekutuan FT237 yang menghubungkan Chukai ke Air Putih dinaiktaraf Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi Jabatan Kerja Raya (JKR), masalah yang dihadapi pengguna jalan raya di Chukai yang terganggu kelancarannya setiap kali banjir kini berjaya diatasi.

Projek ini melibatkan skop menaiktaraf jalan sedia ada FT237 sepanjang 11.4 kilometer (km) yang merupakan jalan tunggal dua lorong dari piawaian R3 kepada R5. Ia melibatkan kos sebanyak RM 192.8 juta dan telah mula dibina pada 2 Mei 2017 dan siap sepenuhnya pada 13 April 2023. Selain itu, projek ini turut melibatkan skop menaiktaraf lima (5) persimpangan utama, pemasangan lampu isyarat baharu di persimpangan Jalan Pengkalan Binjai dan persimpangan Jalan T126, pemasangan lampu jalan jenis LED serta kerja-kerja pengalihan / pengukuhan utiliti.

Bagi mengatasi masalah laluan yang tidak dapat dilalui / terputus akibat banjir , aras jalan raya ini dinaikkan lebih kurang 2 meter tinggi sepanjang 3.1km di lokasi kerap berlaku banjir.  Turut dibina ialah jambatan tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang 313 m dengan menggunakan Jambatan Lengkung Pratuang (Precast Arch Structure). Keistimewaan jenis jambatan ini ianya dapat mempercepatkan proses pembinaan dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Pada majlis ini, turut diadakan penyampaian Sijil Kontraktor Penyiap KKR kepada lapan syarikat kontraktor dari Negeri Terengganu yang telah berjaya melepasi tiga (3) peringkat saringan dan dinilai berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.  Kontraktor Penyiap telah diperkenalkan melalui Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 4.5 – Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap berkuat kuasa mulai 29 Jun 2018. Syarikat yang diiktiraf sebagai Kontraktor Penyiap berpeluang untuk menyertai projek menyiapkan baki kerja bagi projek-projek kerajaan yang telah ditamatkan.

Sepanjang tahun 2022 sebanyak 17 projek di bawah seliaan JKR Malaysia terlibat dengan penamatan projek dan telah dikenakan tindakan penggantungan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) atas kesalahan gagal mematuhi obligasi kontrak. Kementerian Kerja Raya sentiasa memantau prestasi Kontraktor Penyiap melalui pematuhan kriteria yang ditetapkan selain bebas daripada sebarang projek sakit dan tindakan tatatertib. Sijil pengiktirafan yang diberikan kepada kontraktor terbabit akan ditarik balik serta-merta sekiranya didapati melanggar peraturan yang ditetapkan bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan demi ke arah kesejahteraan rakyat.

0

Kuala Lumpur, 18 Julai 2023 - Telah berlangsung Majlis flag off yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad. Majlis ini bertempat di Lobi Blok A, Kementerian Kerja Raya. Turut Bersama-sana dalam majlis ini Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri Bin Embong dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar & Pembangunan) Ybhg. Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah dan semua Ketua-ketua Agensi serta Setiausaha-setiausaha Bahagian KKR.

Sebanyak 15 kumpulan yang telah menyertai pertandingan terdiri daripada 3 kumpulan  daripada KKR, 7 kumpulan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), 2 kumpulan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaa (CIDB) dan 3 kumpulan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Pertandingan ini adalah salah satu pertandingan sempena sambutan bulan HRMIS.

Objektif Sambutan Bulan HRMIS ini adalah untuk meningkatkan tahap ketepatan data penjawat awam dalam HRMIS dan meningkatkan penggunaan HRMIS di kalangan penjawat awam. Sempena meraikan Majlis Perasmian Bulan HRMIS 2023 ini, pelbagai aktiviti menarik telah disusun dan dirancang bagi menyemarakkan sambutan Bulan HRMIS pada tahun ini.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk bengkel dan taklimat HRMIS; pertandingan Treasure Hunt secara fizikal iaitu “The HRMIS Hunters”, kuiz Kahoot HRMIS, pertandingan reka cipta infografik, pertandingan Crossword Puzzle dan juga Hari Bertemu Pelanggan. Pihak KKR agar berharap semua warga Kementerian dan Agensi mengambil peluang ini dan tidak ketinggalan untuk bersama-sama menjayakan pelaksanaan bulan HRMIS ini.

0

Setia Alam, Selangor, 16 Julai 2023 –  Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah merasmikan Pembukaan Persimpangan Eco Ardence yang bertempat di Setia Alam, Selangor.

Pembukaan persimpangan ini mampu menyediakan laluan yang lebih mudah untuk ke kawasan perumahan dan komuniti setempat. Ini mampu menyuraikan situasi trafik di kawasan tersebut dengan lebih cekap. Pengguna jalan raya boleh mengakses Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) den juga ke perbandaran Eco Ardence.

Penambahbaikan infrastruktur ini juga bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dengan menghapuskan keperluan pengguna jalan raya untuk membuat pusingan U sebelum plaza tol. Hal ini kerana situasi ini membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Projek pembinaan persimpangan ini telah bermula dari 26 Mac 2023. Projek ini menelan kos sebanyak RM 50 juta dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia).

Menyambut baik inisiatif kerjasama antara pihak kerajaan dan pihak swasta, seiring dengan konsep gagasan Malaysia MADANI, pembukaan persimpangan ini merupakan salah contoh keterjalinan antara pihak kerajaan dan pihak swasta dalam menyediakan infrastruktur yang memudahkan kehidupan seharian rakyat.

 

0

Putrajaya, 13 Julai 2023 – Program Cakna Madani YAB Perdana Menteri Malaysia bersama Pegawai Penguat Kuasa tahun 2023 yang telah dijalankan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman kepada pegawai dan anggota daripada Agensi Penguatkuasaan dan Agensi Keselamatan dan Ketenteraman Awam mengenai dua konsep utama Malaysia MADANI iaitu ketelusan dan kerjasama. Pembangunan modal insan ini dapat melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai ciri-ciri insan yang berfikir dan bertindak seiring kemajuan peradaban.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad telah hadir sebagai panel jemputan bagi Forum Cakna Pembangunan Negara Madani bersama-sama Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Yang Berbahagia Dato’ Sri Khairul Dzaimee Bin Daud.

Antara perkara yang disentuh dalam forum adalah cabaran kerjasama dari penggiat industri. Wujudnya penggiat industri yang kurang rasa bertanggungjawab kepada penguasa yang menguatkuasa undang-undang kerana tahap pematuhan yang rendah dikalangan penggiat industri. Sikap kurang cakna dalam perubahan undang-undang dan peraturan terkini yang terpakai seperti yang dapat dilihat berlaku dalam antara sektor teras KKR, industri pembinaan.

Tugasan penguatkuasaan merupakan satu bidang tugasan yang boleh ditakrifkan sebagai tugasan yang amat kritikal, pelbagai kemahiran sama ada daripada segi kemahiran insaniah seperti komunikasi dan penyelesaian masalah amat diperlukan dalam mendepani para penggiat industri yang mempunyai pelbagai latar belakang. Pengetahuan teknikal dan praktikal juga diperlukan dalam memastikan setiap keputusan yang diambil selaras dengan bidang kuasa juga keperluan dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan kepada pegawai.

Menyambut baik konsep ketelusan dan kerjasama dalam teras Malaysia MADANI, pembaharuan seperti pewujudan sistem penguatkuasaan dan penyelarasan tindakan melalui penyediaan Manual Prosedur Kerja (MPK) Penguatkuasaan kini menjadi fokus dalam memastikan tindakan anggota penguatkuasaan mendepani industri di lapangan sentiasa di tahap yang terbaik. Selain itu, penguatkuasaan secara desktop atau dokumentasi telah berjaya memastikan tahap pematuhan industri berada di dalam tahap yang baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

0

Kuala Lumpur, 13 Julai 2023 – Program Executive Talk Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Kerja Raya, Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Nadzri Bin Embong Bersama-sama Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional & Pelaksana Gred 29 hingga Gred 44 Telah berlangsung dengan tajuk Organisasi Siap Siaga ke Arah Kecemerlangan. Program ini diadakan di Bilik Mawar 1, Tingkat 12, Blok B, Kementerian Kerja Raya dan merupakan anjuran Cawangan Pembangunan Modal Insan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri menyentuh tentang wacana minda yang dilancarkan pada Jun yang lalu oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Yang Berbahagia. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali iaitu The G.R.E.A.T Civil Service yang merupakan satu usaha memperkasakan penjawat awam dengan nilai-nilai peribadi yang unggul.

Beliau menyampaikan hasrat dan aspirasi untuk melihat warga KKR menyemarakkan nilai-nilai G.R.E.A.T dalam budaya kerja seharian. G.R.E.A.T merupakan akronim kepada ‘Good Governance’ (Tadbir Urus Terbaik), ‘Responsible’ (Bertanggungjawab, Empathy (Ihsan), Accountable (Kebertanggungjawaban) and ‘Tenacity of Purpose’ (Fokus Pada Matlamat).

YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri juga berucap tentang kepentingan penjawat awam untuk memahami dan menghayati objektif, visi, misi dan moto sesebuah organisasi bagi memacu kesiapsiagaan ke arah kecemerlangan. Selain itu, beliau juga sempat berkongsi pengalaman dan juga nilai-nilai yang sering beliau amalkan daripada segi pengendalian diri di tempat kerja. Para peserta juga sempat berkongsi soalan dan pendapat bersama-sama Dato’ Ahmad Nadzri ketika sesi soal jawab.

0

Kuala Lumpur, 13 Julai 2023 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) atau yang lebih dikenali sebagai CIDB Malaysia telah melancarkan National BIM e-Submission Initiative (NBeS) yang melambangkan pencapaian signifikan ke arah mempertingkatkan penggunaan teknologi BIM di Malaysia.

Inisiatif NBeS telah dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad, di Pusat Dagangan Dunia hari ini bersempena dengan Majlis Perasmian KL BIM Day 2023. Turut hadir di dalam majlis ialah Yang Berbahagia Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad dan Yang Berbahagia Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Objektif KL BIM Day adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang penggunaan BIM dalam pembinaan. Hari BIM tahun ini merupakan sambutan ke-6 kali bagi Hari BIM yang telah dianjurkan setiap tahun sejak 2014. Sambutan ini telah terhenti selama tiga tahun kerana pandemik COVID-19.

Sistem NBeS merupakan penanda ukur bagi tahap kemajuan dalam sistem semakan dan kelulusan Pelan Bangunan oleh pihak berkuasa tempatan. Sistem ini juga berpotensi menjadi salah satu sistem Pemeriksa Auto pertama di dunia. Melalui NBeS, Pelan Bangunan boleh diserahkan dan disemak secara digital melalui Building Information Modelling (BIM).

CIDB sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan latihan dan perundingan mengenai pelaksanaan sistem NBES bagi meningkatkan kecekapan proses kelulusan Pelan Bangunan. CIDB telah berjaya menjalankan projek perintis melibatkan lima pihak berkuasa tempatan iaitu: Perbadanan Putrajaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Kangar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, and Dewan Bandaraya Kuching Utara. Ini merupakan bukti bahawa sistem ini berupaya untuk dilaksanakan.

KL BIM Day menampilkan persidangan selama dua hari dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran penceramah terkenal yang telah berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka mengenai pelaksanaan "BIM & Beyond" dalam projek masing-masing. Acara ini juga dilengkapi dengan pameran BIM selama tiga Hari, di mana pengunjung boleh melihat dan mengalami teknologi terkini dan termaju dalam BIM dan teknologi baru akan datang.