Langkau ke kandungan utama
0

Menteri Kerja Raya Tinjau Jalan Persekutuan Di Negeri Perak

TANJUNG MALIM, PERAK, 18 MEI 2023 – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam memberikan khidmat yang terbaik dalam mengatasi isu berkaitan penyenggaraan di Jalan Persekutuan. Selepas laluan Jalan Persekutuan di negeri Kedah, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi meneruskan sesi tinjauan di Jalan Persekutuan di negeri Perak Darul Ridzuan.  Laluan yang terlibat dalam tinjauan kali ini adalah FT001 – Jalan Ipoh – Tanjung Malim dan FT058 – Jalan Bidor – Teluk Intan. 

Jumlah panjang Jalan Persekutuan di negeri Perak adalah 1,514.05 kilometer.  Sehingga bulan Mei 2023, Kementerian Kerja Raya telah memperuntukkan sebanyak RM42,468,311.38 bagi penyenggaraan Jalan Persekutuan di negeri Perak. Peruntukan ini adalah bagi kerja – kerja penyenggaraan rutin, berkala pavemen, bukan berkala pavemen dan lain –lain termasuk untuk kerja penyenggaraan kecemasan.

Terdapat empat projek menggantikan jambatan di laluan Jalan Persekutuan yang sedang dilaksanakan iaitu Jambatan Sg. Bogak, Kerian (Jangkaan siap Jun 2025), Jambatan Sg. Air Puteh, Larut, Matang dan Selama (Jangkaan siap Jun 2023), Jambatan Manjung (Jangkaan Siap Februari 2025) dan Jambatan Sg, Kinchap, Kampar (Jangkaan siap Januari 2025).

Manakala bagi laluan Jalan Raya Timur Barat (FT004) Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan, kerja-kerja penyenggaraan melibatkan kerja berkala pavemen sedang giat dilaksanakan secara berperingkat.  Sebanyak RM7,440,000.00 telah diperuntukan untuk kerja-kerja penyenggaraan di laluan tersebut. Menteri Kerja Raya turut mengumumkan peruntukan khas tambahan sebanyak RM30juta untuk melaksanakan naiktaraf dan penambahbaikan Jalan Raya Timur Barat (FT004) yang telah uzur kerana berusia lebih 40 tahun.

Menteri Kerja Raya turut meninjau kerja-kerja akhir projek Jambatan Bagan Datuk, Daerah Hilir Perak yang menghubungkan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop, Daerah Perak Tengah, Perak dengan panjang keseluruhan jambatan ialah 1.5 km.

Tarikh Dan Waktu Acara