Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

LAHAD DATU, 29 OGOS 2023 : Penjara baharu berkapasiti 1,000 banduan di sini dijangka mula beroperasi pada 1 Oktober ini dalam usaha mengatasi kesesakan banduan di Penjara Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Penjara Lahad Datu itu akan memulakan operasi dengan tempoh percubaan selama sebulan melibatkan 100 banduan dan akan ditingkatkan kepada 450 banduan selepas itu, sebelum beroperasi dengan kapasiti penuh dijadual Januari tahun depan.

"Kapasiti 1,000 tambahan ini sangat membantu melegakan buat Jabatan Penjara kerana kesesakan akan datang masalah seperti jangkitan penyakit dan keadaan tidak kondusif memberikan tekanan kepada penghuni, yang boleh berakhir dengan kejadian bunuh diri, cubaan melarikan diri atau pergaduhan.

"Jadi, sebagai sebuah kerajaan, khususnya kerajaan MADANI yang mengamalkan pendekatan ihsan ini, terjemahannya mesti dilihat, sekalipun terhadap penghuni penjara iaitu dengan menambahkan ruang supaya mereka tidak bersesak," katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyaksikan penyerahan Penjara Lahad Datu daripada Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Mengenai pendekatan mengatasi kesesakan penghuni penjara, Saifuddin berkata kementeriannya melalui Jabatan Penjara melaksanakan dua lagi cara iaitu melalui perintah parol dan perintah kehadiran wajib iaitu melaporkan diri di balai polis.

Beliau berkata Jabatan Penjara juga dalam proses ke arah melaksanakan pembebasan berlesen melibatkan penahanan di rumah.

Sementara itu, Nanta memberitahu Penjara Lahad Datu, yang mula dibina pada 2017, berjaya disiapkan melalui kaedah reka dan bina dengan kos RM176 juta berbanding RM200 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, beliau berkata kementeriannya berharap baki daripada 35 pakej kerja dapat dimulakan secepat mungkin setelah lantikan kontraktor diselesaikan pada penghujung tahun ini.

"Kami nak percepatkan pembinaan Pan Borneo Sabah ini yang masih banyak lagi pakej belum bermula," katanya.

Pembinaan fasa pertama projek itu melibatkan 15 pakej kerja, kini siap 82 peratus dan dijadual siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.

0

Gerik, Perak, 24 Ogos 2023 – Kempen MyJalan telah dilancarkan oleh YAB Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang bertempat di Jeti Awam Pulau Banding, Gerik, Perak. Turut hadir bersama-sama Menteri Besar Negeri Perak, YAB Dato Seri Saarani Bin Mohamad dan YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan Kempen MYJalan hari ini bagi meningkatkan akauntabiliti dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Kempen ini adalah platform advokasi dan juga pendedahan kepada pengguna jalan raya tentang penyenggaraan jalan raya sedia ada. Pengukuhan “No Wrong Door Policy” di dalam kempen ini adalah selaras dengan pelancaran aplikasi MyJalan sebagai alternatif yang dapat meningkatkan keupayaan sistem aduan KKR. Aplikasi ini lebih bersifat mesra pelanggan dan holistik. Ia boleh didapati secara percuma dengan memuat turun daripada App Store untuk sistem operasi iOS, Play Store untuk pengguna sistem operasi Android dan Huawei App Gallery untuk pengguna Huawei. Terdapat beberapa langkah mudah dalam menggunakan aplikasi ini di mana pengguna hanya perlu menghantar foto dan lokasi aduan, memilih jenis aduan, mengisi maklumat aduan dan seterusnya menghantar aduan tersebut secara atas talian.

Lokasi yang dipilih untuk majlis ini adalah istimewa iaitu di laluan Jalan Raya Timur – Barat (FT004). Di bawah lembayung Kempen MYJalan dan bersempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke 66, KKR turut mengadakan Program Setia Bakti Jalan Raya Timur Barat (FT004). Program ini adalah bagi mengenang kembali jasa dan pengorbanan pekerja pembinaan laluan Jalan Raya Timur Barat (FT004). Pada 21 Mei 1974, satu serangan pengganas komunis telah merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai 3 orang petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) telah terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan ini dan juga ratusan dari unit keselamatan telah gugur antara tahun 1968 hingga 1989 semasa pembinaan jalan raya ini dilaksanakan. Pada majlis tersebut 37 orang bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat (FT004) telah hadir dan menerima momento kenangan yang disampaikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. YAB turut meluluskan sagu hati RM1,000 kepada 87 keluarga pekerja JKR yang terlibat dengan pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (FT004) sebagai simbolik menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan.

Bagi tahun 2023, sebanyak RM45.676 juta telah diluluskan bagi membaik pulih kerosakan jalan di laluan Jalan Raya Timur Barat (FT004) ini. Daripada jumlah tersebut, RM44.728 juta diperuntukan untuk kerja-kerja penyenggaraan berkala pavemen manakala bakinya sebanyak RM948 ribu pula adalah bagi kerja-kerja penyenggaraan berkala bukan pavemen. YAB Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan iaitu RM30 juta bagi tujuan penambahbaikan serta penyelenggaraan Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli). Ini sekali gus menjadikan peruntukan bagi tujuan baik pulih jalan raya berkenaan meningkat kepada RM75 juta.

Kempen MyJalan ini adalah satu komitmen oleh KKR dan seluruh agensi di bawahnya untuk memberikan khidmat lebih proaktif kepada rakyat. Semua pemegang taruh dan rakyat akan dilibatkan di dalam kempen ini sejajar dengan misi meningkatkan akauntabiliti semua pihak ke arah kesejahteraan rakyat.

0

Kuala Lumpur, 22 Ogos 2023 – Hari ini telah bermula Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Ia bertemakan “Engineering ESG (Environmental, Social & Governance) for the Nation” yang telah mengumpulkan lebih 400 orang peserta secara fizikal dan 1,000 orang peserta secara maya.

Konvensyen tahun ini membincangkan kepentingan faktor ESG yang semakin meningkat dalam operasi perniagaan sebagai pelabur, pengguna, pengawal selia dan pelbagai pihak berkepentingan yang semakin mengiktiraf nilai amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab. Konvensyen ini berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan termasuk badan kerajaan tentang isu-isu yang mempengaruhi komuniti kejuruteraan. Ia juga turut menonjolkan peranan penting kejuruteraan dalam kemajuan negara dan menekankan bagaimana ia sentiasa mengutamakan pertimbangan masyarakat dan persekitaran. Kerumitan pematuhan dan pengiktirafan ESG menolak sempadan pembangunan kreatif dan positif untuk negara, memupuk kemajuan dan daya saing dalam sektor kejuruteraan.

Lembaga Jurutera Malaysia yang bernaung di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagai badan berkanun walaupun tidak mencari pengiktirafan komersial untuk ESG telah menyokong dengan teguh semua usaha berkaitan ESG oleh pihak berkepentingan. Komitmen KKR meliputi usaha menyokong dalam memajukan perkembangan terkini profesion kejuruteraan.

0

SARAWAK, 15 OGOS 2023 – Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama-sama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, YB. Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah turun padang untuk menyertai Program Jelajah Explorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pada 14 Ogos dan 15 Ogos 2023.

Selain daripada memantau prestasi pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak, program tersebut turut melihat lokasi-lokasi yang akan ditelusuri oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Jelajah Kembara Borneo yang dijadualkan pada bulan September tahun ini. Bermula dari Kuching ke Sibu, lokasi-lokasi yang telah ditinjau pada hari pertama program tersebut adalah Seksyen Bukit Begunan, Kawasan Rehat Dan Rawat (Rest and Service Area – RSA) Jelukong di Sri Aman, Persimpangan Bertingkat Bintangor dan Hentian Sebelah (lay-by) di Julau. Pada hari kedua program tersebut yang berakhir di Miri, Jelajah Explorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah meninjau beberapa tapak persimpangan bertingkat di Lapangan Terbang Bintulu, Niah, Bekenu serta tapak viaduct di Lambir.

Prestasi pelaksanaan keseluruhan WPC ini sehingga bulan Julai 2023 adalah 97% dengan jangkaan siap keseluruhan pada bulan Disember 2023. Namun terdapat beberapa seksyen di Miri dijangka siap pada pertengahan tahun 2026 bagi membolehkan kerja-kerja reka bentuk semula dijalankan.

KKR bertanggungjawab untuk memastikan keberkesanan dan kemajuan pelaksanaan infrastruktur Jalan Persekutuan di Sarawak bagi memenuhi keperluan semasa rakyat di negeri Sarawak. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda jalan dan had kelajuan khususnya di sepanjang kawasan pembinaan.  Sebarang aduan serta pertanyaan berhubung kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan bagi Projek LPB Sarawak bolehlah dimajukan melalui telefon, laman web serta media sosial Kementerian Kerja Raya dan JKR Sarawak.

0

KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2023 Hari ini telah berlangsung sesi penjurian Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2023 di Kementerian Kerja Raya yang telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad bersama Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan, YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri Bin Embong.

Panel penilai bagi program ini adalah Pengarah Kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia, Dr. Noor Azizi Bin Mohd Ali, Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia, Encik Mohd Taufik Bin Abdul Jalil dan Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Encik Mohd Rizal Bin Mohd Hamdan.

Para panel telah disambut oleh warga KKR di Lobi Blok A dan seterusnya ke Bilik Tanjung untuk sesi Pembukaan Penilaian bersama-sama dengan Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan Kementerian Kerja Raya. Para panel juga telah dibawa untuk melawat aras pejabat yang terpilih iaitu Bahagian Akaun dan Sudut Merdeka di Lobi Blok A.

Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2023 bertujuan untuk memberi galakkan dan peluang kepada penjawat awam untuk mempamerkan rasa cinta dan patriotik kepada negara selain menerapkan semangat berpasukan. Setiap kementerian dinilai berdasarkan tiga aspek iaitu kreativiti, daya cipta dan nilai tambah yang digabungkan dalam hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di premis kementerian dan ruang pejabat masing-masing.

Semoga usaha yang ditunjukkan oleh warga KKR melalui program ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme untuk sambutan Hari Kebangsaan dan dapat meningkatkan nilai kerjasama semua warga di setiap peringkat.

0

Kuala Lumpur, 8 Ogos 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah hadir dalam pelancaran IBS Homes Catalogue dan pameran IBS Homes yang dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini. Ia dijangka dapat merevolusikan penggunaan IBS dalam landskap perumahan mampu milik di Malaysia. Turut hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

IBS Homes Catalogue menampilkan 46 reka bentuk piawaian rumah teres dari satu hingga dua tingkat, rumah bandar, banglo dan pangsapuri bersendirian yang boleh dibina menggunakan pelbagai jenis sistem Sistem Binaan Berindustri (IBS). Pereka bentuk, pelanggan, pemaju dan juga kontraktor boleh memilih pelbagai reka bentuk yang memenuhi garis panduan dan keperluan piawaian rumah mampu milik yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaras dengan Standard Perumahan Kebangsaan CIS 26:2019.

Rumah pameran yang dibina secara fizikal adalah sebagai bukti konsep daripada reka bentuk yang dilancarkan dalam IBS Homes Catalogue. Lima rumah sampel baharu ini dibina berasaskan Sistem IBS termasuk Interlocking Hollow Block System, Pre-cast concrete system, Metal framing system, Hollow Core Pre-cast concrete system, dan 3D Printing. Rumah pameran ini terletak di IBS Homes, Kompleks CIDB, Chan Sow Lin, Cheras. Ia boleh dilawati dengan membuat tempahan slot awal di  CIDB IBS Sdn Bhd.

Menteri Kerja Raya menyatakan IBS Homes Catalogue adalah pencapaian penting bagi menuntut penyediaan penyelesaian perumahan mampu milik untuk rakyat. Majlis penting ini meraikan kemuncak usaha dalam memacu pengkomersilan digital melalui IBS.

Selain inisiatif yang dilancarkan pada hari ini, inisiatif seperti Transformasi Industri Pembinaan Program (CITP) 2016-2020, Pelan Strategik Pembinaan 4.0 2021-2025 dan Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030 juga telah menyumbang kepada kestabilan dalam pertumbuhan Sistem Binaan Industri (IBS) di Malaysia.

Justeru, KKR dan CIDB berharap pelancaran IBS Homes Catalogue ini dapat meningkatkan kualiti dan kestabilan sistem binaan berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan di negara ini.

0

Kota Damansara, 4 Ogos 2023 – Menteri Kerja Raya (KKR), YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah membuat tinjauan di salah satu lokasi tambahan teduhan motosikal di Persimpangan Kota Damansara, Lebuhraya NKVE bagi melihat kerja-kerja penambahbaikan dan penambahan tempat berteduh penunggang motosikal di lebuh raya bertol di Malaysia. Turut hadir bersama-sama ialah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Sazali Bin Harun, Pengarah Urusan PLUS Malaysia, YBhg. Datuk Airina Nik Jaffar dan wakil Syarikat PROLINTAS Sdn. Bhd, Ir. Rostan Sharif Tami dan pegawai kanan KKR, LLM, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dan syarikat konsesi lebuh raya.

Di bawah lembayung insitatif Bitara Malaysia Madani, Kementerian Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi sempat beramah mesra bersama-sama pengguna tempat teduhan penunggang motosikal Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat konsesi lebuhraya menyahut inisiatif Bitara Malaysia Madani dengan memastikan infrastruktur yang dibina sepanjang lebuh raya dapat memberikan keselesaan dan keselamatan kepada semua kategori pengguna lebuh raya. Penambahan tempat teduhan penunggang motosikal baharu ini telah bermula sejak suku ketiga 2023.

Sebanyak 119 lokasi tambahan telah dikenal pasti untuk dibina. Dari jumlah ini, 40 lokasi pertama akan disiapkan tahun ini dan selebihnya dijangka siap pada 2024. Jumlah ini bukan jumlah yang statik dan bergantung kepada cadangan lokasi tambahan lain daripada semua syarikat konsesi lebuh raya dari masa ke semasa.

Syarikat konsesi lebuh raya diminta untuk menyegerakan penyediaan motorcycle shelter terutamanya di lokasi yang tidak memerlukan kos tinggi untuk meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya. KKR dan LLM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan syarikat konsesi kepada penunggang motosikal di lebuh raya yang merupakan pengguna yang paling vulnerable dengan sukarela menambah motorcycle shelter bagi memastikan keselamatan golongan ini ketika berteduh semasa cuaca buruk.

KKR dan LLM sentiasa komited di dalam meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat diberi keutamaan.

0

Putrajaya, 2 Ogos 2023 - Selaras dengan inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September 2023. Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini mengadakan lawatan bagi memantau pengujian sistem tersebut di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Maju Expressway Sdn Bhd (MESB), syarikat konsesi Lebuhraya MEX, merupakan antara 12 lebuh raya terawal yang akan melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka, yang mana pengujian sistem telah bermula pada Julai 2023 bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian yang telah ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Menteri Kerja Raya dalam lawatan turut melancarkan logo Sistem Pembayaran Tol Terbuka yang akan digunakan pada papan tanda di lorong tol. Beliau juga telah membuat pengujian sendiri terhadap operasi sistem berkenaan di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya MEX. Lawatan ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KKR YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR  YBhg. Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah, Ir. Sazali Harun, Ketua Pengarah LLM dan En. Mohd Faiq bin Tan Sri Abu Sahid, Pengarah Urusan MESB serta pegawai kanan KKR, LLM dan MEX.

Menteri Kerja Raya juga menyatakan bahawa Sistem Pembayaran Tol Terbuka akan membolehkan pengguna lebuh raya membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit, sekaligus memberikan alternatif baharu dan kemudahan kepada pengguna dalam proses pembayaran tol, selain dari kaedah sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Pihak KKR sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai tahap kesediaan dan perkembangan pengujian yang kini sedang dijalankan secara berperingkat oleh LLM bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya. Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan. Selain itu, pihak KKR, LLM dan juga syarikat-syarikat konsesi yang berkaitan turut menyediakan pelbagai strategi komunikasi bagi memastikan informasi pelaksanaan.

Justeru, KKR ingin menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan perkara-perkara berikut:

  • Pengguna dikehendaki memastikan baki kad debit/kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol;
  • Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna boleh menggunakan kad bank lain ataupun kad TnG;
  • Menyentuh kad pada tempat yang ditetapkan pada terminal SPT bagi memastikan kelancaran pembayaran tol secara SPT.

LLM juga telah meminta semua Syarikat Konsesi yang terlibat dengan inisiatif ini untuk menempatkan petugas di lorong tol untuk memberi panduan kepada pengguna sekiranya perlu. Untuk makluman, Lebuhraya MEX akan menyediakan kaedah sistem pembayaran terbuka di kesemua 25 lorong Touch n’ Go di ketiga-tiga plaza tol sedia ada, iaitu Plaza Tol Salak Selatan, Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Seri Kembangan.

Kerajaan berharap pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka ini dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya dengan menyediakan alternatif baharu pembayaran tol di samping membantu melancarkan operasi kutipan tol. Sebagai makluman tambahan, sistem kutipan tol secara pembayaran terbuka ini juga telah dilaksanakan di negara Asia yang lain seperti di Indonesia, Thailand dan Filipina.

0

Kuala Lumpur, 2 Ogos 2023 – Telah berlangsung Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Peringkat Kementerian Kerja Raya yang diterajui Dato’ Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya (KKR). Sesi ini telah berlangsung dari 8:30 pagi sehingga 12:30 tengahari dan dianggarkan seramai 700 peserta bagi Skim Perkhidmatan Kluster Teknikal yang terdiri daripada pelbagai Skim dan Gred Jawatan seperti Skim Perkhidmatan A (Pengangkutan), Skim Perkhidmatan H (Kemahiran) dan Skim Perkhidmatan (Kejuruteraan).

Turut hadir bersama-sama di dalam sesi ini ialah Timbalan Ketua Satiausaha (Pengurusan) KKR Ybhg. Datuk Ahmad Nadzri Embong serta Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool. Sesi taklimat juga telah disampaikan oleh Puan Nuraida Binti Manap, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri semasa Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Tahun 2023 pada 1 Mei 2023 yang lalu, satu mesyuarat penyelarasan khas berkaitan Bengkel Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam telah diadakan pada 25 Julai 2023. Terdapat keperluan untuk kajian semula bagi Sistem Saraan kerana terakhir kajian ini dilakukan adalah pada tahun 2002 (Sistem Saraan Malaysia).

Bagi tujuan ini, pihak JPA akan melaksanakan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam untuk mengumpulkan input dan maklumat daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada semua Kementerian dan Agensi Kerajaan. Pihak JPA telah menetapkan enam kluster Skim Perkhidmatan dan Kementerian Kerja Raya telah dilantik sebagai peneraju bagi kajian skim perkhidmatan kluster teknikal. Ketua Setiausaha KKR juga dilantik sebagai Ketua Kluster Teknikal bagi tujuan kajian ini.

Antara objektif Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam ini adalah:

  1. Peningkatan efisiensi agensi/pegawai awam;
  2. Pengoptimum kos pengurusan agensi Kerajaan;
  3. Peningkatan produktiviti perkhidmatan awam; dan
  4. Peningkatan kesejahteraan pegawai awam.

Sebagai langkah awal bagi memastikan pengumpulan input teratur dan bersifat terangkum, kesemua wakil kluster disarankan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan mengikut 3 skop utama yang telah ditetapkan iaitu: Perjawatan & Organisasi; Gaji & Elaun; dan Pengurusan Bakat. Hasil daripada input yang diperolehi daripada bengkel mampu menjadi input yang komprehensif yang bersifat objektif, inklusif dan relevan untuk diperhalusi oleh pihak JPA sebagai penambahbaikan serta pemantapan sistem saran perkhidmatan awam untuk masa akan datang.

0

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2023 – Telah berlangsung Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Bulan HRMIS 2023 bertempat di Bilik Tanjung, Aras 6, Kompleks Kerja Raya. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia. Sambutan Bulan HRMIS 2023 ini julung kalinya diadakan secara kolaboratif dengan semua agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), CIDB dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Sambutan Bulan HRMIS pada tahun ini meneruskan tema yang diperkenalkan oleh JPA pada tahun 2022 iaitu “Ketepatan Data Aspirasi Kita” yang bertujuan mempergiatkan lagi usaha-usaha dalam meningkatkan kesedaran dan penggunaan aplikasi HRMIS dalam kalangan penjawat awam serta ketepatan kualiti data dalam HRMIS.

Pada bulan Julai yang lalu, pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan Bulan HRMIS pada tahun ini. Ia termasuk bengkel dan taklimat HRMIS; pertandingan treasure hunt “The HRMIS Hunters”, kuiz Kahoot HRMIS, pertandingan reka cipta infografik, pertandingan Crossword Puzzle dan juga Hari Bertemu Pelanggan.

Bagi pertandingan Treasure Hunt “The HRMIS Hunters” yang diadakan secara fizikal pada 18 Julai 2023 telah berjaya dilaksanakan dengan sambutan yang sangat menggalakkan. Sebanyak 15 kumpulan yang terdiri daripada 7 kumpulan mewakili JKR; 3 kumpulan mewakili KKR; 3 kumpulan mewakili LLM dan 2 kumpulan mewakili CIDB. Johan pertandingan ini dirangkul oleh kumpulan yang mewakili KKR & JKR. Naib Johan dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan yang mewakili JKR. Sagu hati dimenangi oleh kumpulan yang mewakili LLM.

Seterusnya untuk Pertandingan Crossword Puzzle, Johan dirangkul oleh Puan Muzaiyah Binti Ahmad dari KKR. Naib Johan dimenangi oleh Puan Farhana Natasha Binti Mohamad dari JKR. Tempat ketiga dimenangi oleh Puan Faridah Binti Mohd Salleh dari JKR. Bagi sagu hati dimenangi oleh Puan Azilhatulaziah Binti Abu dari CIDB dan Puan Salfadila Binti Selamat dari JKR.

Manakala bagi pertandingan Kuiz Kahoot HRMIS, seramai 266 orang peserta telah menyertai pertandingan ini. Johan telah dirangkul oleh Puan Anita Melinda Syahirah Binti Subri dari JKR. Naib Johan dimenangi oleh Puan Nadhirah Binti Yuhany dari JKR. Tempat ketiga dimenangi oleh Puan Nur Juliana Binti Nazri dari CIDB dan sagu Hati dimenangi oleh Puan Hazwanie Natasya Binti Mohd Esa dari LLM.

Pertandingan Reka Cipta Infografik menerima 48 penyertaan. Puan Ir. Siti Hawa Binti Jaafar dari JKR telah merangkul johan pertandingan ini. Naib Johan telah dimenangi oleh Puan Nur Aisyah Binti Hamim dari JKR. Tempat ketiga dimenangi oleh Encik Muhammad Latif Bin Md Mukhtar dari CIDB. Sagu hati dimenangi oleh Zaidatun Akmam Binti Azmi dari CIDB dan Mohamad Fazrul Bin Abdul Razak dari KKR.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada warga Kementerian Kerja Raya dan Agensi yang mengambil bahagian dalam kesemua pertandingan yang dianjurkan. Diharapkan semua warga Kementerian dan agensi terus memacu citra kecemerlangan dalam memperkasakan pembudayaan penggunaan HRMIS dalam organisasi.