Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 11 September 2015 - IJM Constructions Sdn. Bhd. merangkul Anugerah Tokoh Jurubina pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2015 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental.

IJM turut memenangi Anugerah Projek Terbaik untuk kategori projek bangunan bernilai lebih RM100 juta iaitu projek pembinaan Institut Kanser Negara di Putrajaya yang dikendalikan dengan kerjasama Kiara Teratai.

MCIEA dianjurkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan menjadi platform untuk mengiktiraf kecemerlangan pemain industri pembinaan.  Ia turut diadakan sebagai salah satu acara bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2015.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Kontraktor Terbaik, Anugerah Projek Terbaik, Anugerah Pencapaian Antarabangsa, Anugerah Khas, Anugerah Individu dan Anugerah Tokoh Jurubina.

Anugerah tahun ini menyaksikan 24 syarikat termasuk penerima pengiktirafan khas telah dipilih oleh juri bagi mengiktiraf penerima terbaik dalam industri pembinaan.

Anugerah utama disampaikan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof.  Turut hadir dalam majlis penganugerahan ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim dan Ketua Setiausaha Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Akob.

1

KUALA LUMPUR, 10 September 2015 – Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2015 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), agensi Kementerian Kerja Raya (KKR).

CITP 2016-2020 menggariskan empat teras strategik dan 18 inisiatif bagi mentransformasi industri pembinaan di negara ini. Empat sasaran keberhasilan di bawah program berkenaan adalah pengurangan kadar kematian dan kecederaan di tapak pembinaan sebanyak 50 peratus, 100 peratus projek pembinaan bangunan dan infrastruktur besar melebihi keperluan kemapanan, Peningkatan produktiviti sebanyak 2.5 kali ganda atau RM61,939 setiap pekerja dan Sebanyak 10 syarikat mencapai penarafan 5 dalam piawaian SCORE dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

ICW 2015 turut dirasmikan oleh Perdana Menteri pada majlis yang sama. Penganjuran acara tahunan ini memasuki tahun kelima belas dan untuk tahun ini ia membawa tema “Building a Greener Future” sebagai usaha untuk memberi fokus kepada kepada keseimbangan antara alam sekitar dan pembangunan.

Berlangsung bermula 7 hingga 11 September 2015, ICW 2015 menjadi platform besar dan strategik kepada penggiat industri binaan tempatan dan antarabangsa bertemu dan berkongsi maklumat berkaitan produk-produk terkini, perkhidmatan dan teknologi hijau, bahan binaan, jentera dan ICT.  Pengisian sepanjang minggu tersebut adalah pameran, persidangan, seminar, padanan perniagaan, pertandingan rekabentuk dan anugerah industri.

Turut hadir pada majlis ini ialah Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid, Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Sri Zohari Akob dan Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Sri Ir. Dr. Judin Abdul Karim.

1

KUALA LUMPUR, 7 September 2015 – Lebih 500 peserta yang terdiri daripada pemain industri binaan dari dalam dan luar negara telah berkumpul bagi membincangkan berkenaan penggunaan alat terkini dalam pembinaan iaitu Building Information Modeling (BIM).

Para kontraktor, jurutera, arkitek, pembekal bahan binaan dan pemain industri binaan yang lain telah sama-sama berkongsi ilmu penggunaan BIM yang bakal memudahkan pengurusan projek binaan dan infrastruktur dimana melalui teknologi BIM rekabentuk pembangunan lebih tepat dan boleh digambarkan dalam bentuk visual. 

Sehubungan itu, satu program yang dinamakan Hari Nasional BIM 2015 dan bertemakan ‘Cradle to Cradle Construction Through Building Information Modeling’ telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2015 anjuran CIDB.  Ucapan perasmian program ini telah disampaikan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya yang mewakili Menteri Kerja Raya.

Dalam ucapan perasmian tersebut, adalah diharapkan para peserta program ini bakal menjadi agen perubahan dalam membawa penggunaan BIM ini dalam industri pembinaan. 

Turut diadakan pada sebelah petangnya adalah majlis penyampaian Anugerah Penghargaan Industri CIDB BIM kepada 20 syarikat dan individu industri binaan yang menjadi peneraju dalam pelaksanaan teknologi BIM.  Anugerah telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 7 September 2015 - Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dengan usahasama rakan-rakan strategik iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Pertubuhan Profesional JKR Malaysia (ProJKRM) dan Pertubuhan Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM) telah menganjurkan Konvensyen Usahanita Binaan 2015 (KUBINA 2015) di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC.

Konvensyen yang berlangsung selama satu hari ini dianjurkan bersempena International Construction Week (ICW) 2015.  Bertemakan ‘Pemerkasaan Wanita Dalam Pembinaan’, konvensyen ini dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Turut dilancarkan ialah Pertubuhan Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM), sebuah organisasi yang telah dizahirkan hasil resolusi KUBINA 2014 dengan matlamat untuk memperkasa dan memperjuangkan wanita agar lebih aktif dan produktif dalam industri binaan di Negara ini.

KUBINA 2015 merupakan konvensyen yang menghimpunkan ratusan usahawan serta profesional wanita yang terlibat secara langsung dalam industri pembinaan yang mana penganjurannya bertujuan meningkatkan upaya usahawan wanita dalam sektor pembinaan melalui 3 sesi perbentangan kertas kerja.

Seramai lebih 550 orang profesional wanita dan juga lelaki yang terdiri daripada kontraktor, jurutera, arkitek, juruukur bahan, pembekal, kakitangan kerajaan dan swasta, ahli akademik, pihak berkuasa tempatan, perunding, penyelidik, mahasiswa, ngo/aktivis dan ahli perniagaan menyertai konvensyen ini.

1

SUNGAI BULOH, 1 September 2015 – Majlis Penyerahan Fakulti Pergigian UiTM Kampus Sungai Buloh oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Pendidikan Tinggi telah diadakan di sini hari ini. 

Projek pembinaan kampus itu yang menelan belanja lebih RM73.8 juta yang dirancang sejak tujuh tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan menempatkan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung termasuk bahagian akademik, klinikal dan pentadbiran.

Bangunan fakulti itu turut mengandungi dewan bedah, wad, klinik, unit radiologi, kemudahan penyelidikan terkini serta sebuah pusat pensterilan dan bekalan pergigian pertama di Malaysia.  Selain menempatkan kemudahan akademik untuk penuntut universiti itu, fakulti berkenaan turut menawarkan perkhidmatan rawatan pergigian kepada orang awam.

Apabila bangunan ini mula beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi, dianggarkan seramai 205 pesakit dapat diberikan rawatan dalam satu-satu masa dengan jumlah pesakit sehari dianggarkan 400 hingga 500 orang.

Kementerian Kerja Raya diwakili oleh menterinya YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, sementara Kementerian Pendidikan Tinggi diwakili menterinya YB Datuk Seri Idris Jusoh.  Turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Adanan Mohamed Hussain dan Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

1

LENGGONG, 29 Ogos 2015 – 20 keluarga mangsa banjir di PPRT Labit dan Kota Tampan Air, Lenggong dapat menarik nafas lega selepas menerima geran rumah baharu secara rasmi.  Pembinaan rumah kekal di kampung itu merupakan projek usahasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dengan kerjasama Persatuan Pandu Puteri Perak.

Majlis perasmian Projek Penempatan Baharu kepada 20 Mangsa Banjir Kampung Padang Grus, Lenggong ini disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.  Turut berangkat pada majlis itu Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah selaku Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof,  Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Zohari Akob; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Adanan Mohammed Hussain; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sebanyak RM12,000 telah diperuntukkan oleh Pandu Puteri Perak bagi membeli kelengkapan rumah seperti perabot dan barangan elektrik untuk disumbangkan kepada semua 20 mangsa banjir terlibat.

Dalam pada itu, sebanyak 153 daripada 294 unit rumah sudah dibina di bawah Projek Pembinaan Semula Rumah Kekal untuk mangsa banjir di Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga Ogos ini.  Baki sebanyak 141 unit rumah lagi masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir November depan.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya dalam ucapannya menyatakan kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM800 juta untuk membaiki kerosakan infrastruktur seperti sekolah, hospital dan jalan raya akibat banjir akhir tahun lepas.

Daripada jumlah itu, beliau berkata kementerian diperuntukkan sebanyak RM383.6 juta bagi membaiki jalan raya, jambatan serta cerun yang rosak di seluruh negara. 

Sejumlah 1,982 unit rumah telah dikenal pasti terlibat dalam bencana banjir itu dan daripada jumlah itu, 1,409 unit rumah akan dibina semula oleh kerajaan Persekutuan manakala 573 unit pula dibina oleh kerajaan negeri masing-masing.

Beliau berkata peruntukan tambahan sebanyak RM174 juta di bawah Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara juga disediakan bagi pembinaan semula rumah mangsa banjir yang musnah dan rosak teruk akibat bencana itu.

1

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2015 - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) “Kerjasama Untuk Memajukan Penggunaan Kaedah Pengukuran Standard Kejuruteraan Awam Malaysia (MyCESMM) Dalam Perolehan Projek-projek Kejuruteraan Awam” dengan lapan organisasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ia bertujuan untuk menerapkan penyeragaman pengukuran kerja-kerja sivil mengikut standard yang sama bagi mengurangkan kekeliruan dan meningkatkan professionalisma dalam berinteraksi mengenai kaedah pengukuran.

Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof.  Turut hadir

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Akob dan Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

Turut diadakan adalah penyampaian sijil MyCESMM Trainer kepada 38 orang pelatih  terdiri daripada Juruukur Bahan dan Jurutera Sivil yang berjaya menghadiri latihan diselia CIDB.  Latihan ini bertujuan membantu penggunaan MyCESMM lebih lancar bersama-sama rakan kolaborasi CIDB.

Standard pengukuran yang dikenali sebagai MYCESMM ini memainkan peranan penting dengan menyediakan bahasa ukuran dan garis panduan seragam bagi semua pihak dalam projek pembinaan. Dengan menggunakan standard ini, semua skop kerja diterangkan dengan jelas dan seragam sekaligus menyelesaikan masalah komunikasi  yang sering berlaku dalam penyediaan harga tender.

1

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2015 - Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) telah mengadakan dua acara besar iaitu Majlis Anugerah LAM dan Pelancaran Manual Akreditasi Pendidikan Senibina bertempat di Hotel Hilton KL Sentral.  

Pada malam itu, dua Anugerah telah disampaikan sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada insan yang telah menabur jasa dan mencurah keringat dalam bidang Snibina.

Anugerah Pingat Presiden LAM telah dianugerahkan kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Ar. Haji Esa Haji Mohamed seorang arkitek dan perancang bandar.  Manakala untuk Anugerah Tokoh Akademik Pendidikan Senibina, seramai tiga orang penerima telah dirai.  Mereka ialah Dato’ Ar. Prof. Emeritus Parid Wardi bin Sudin, Ar. Ong Suan Huah dan Dato’ Ar. Prof. Emeritus Dr. Elias @ Ilias Salleh.

Majlis ini telah dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof.  Ucapan aluan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Lembaga Arkitek Malaysia, Ar. Prof. Datuk Dr. Amer Hamzah Mohd Yunus.  Kali terakhir LAM menganjurkan majlis anugerah adalah pada tahun 2000 dan usaha menghidupkan kembali penganjurannya sejajar dengan kemajuan profesion senibina serta sumbangannya terhadap negara.

1

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2015 – Confexhub Group Malaysia dan Institut Taman dan Rekreasi Singapura telah bekerjasama menganjurkan Green Buildings and Parks World (GBPW 2015) edisi kedua bertempat di Intercontinental Hotel hari ini.

Program yang berlangsung pada 4 dan 5 Ogos 2015 ini bertujuan untuk mempromosi dan menyemai budaya hijau atau mesra alam dengan menjaga kelestarian alam sekitar seiring dengan pembangunan sesebuah negara bersesuaian dengan tema konferen iaitu “Green Buildings — Building Green: The Keystone for Sustainability”.

Para peserta berpeluang untuk berkongsi dan menyaksikan pembentangan 17 kertas kerja daripada penceramah dari dalam dan luar negara.  Acara perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya melalui ucaptama perasmian.  Terdahulu, ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengerusi Confexhub Group Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Abdul Aziz S.A. Kadir disusuli ucapan khas daripada Presiden Institut Taman dan Rekreasi Singapura, Puan Maria Boey.

1

SHAH ALAM, 4 Ogos 2015 – Penyerahan Projek Hospital Shah Alam secara rasmi telah diadakan hari oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertempat di Auditorium Hospital Shah Alam, Seksyen 7, Persiaran Kayangan.

Hospital ini dijangka akan mula beroperasi secara berperingkat-peringkat mulai Oktober 2015 sehingga  dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2016. Perkhidmatan pertama yang akan dimulakan adalah perkhidmatan Klinik Pakar dan Haemodialysis.  Hospital ini akan menerima kes rujukan dari hospital dan juga klinik berdekatan.

Projek Hospital ini direkabentuk untuk 300 katil pesakit (expandable to 500 beds) bagi memberikan 14 skop perkhidmatan kepakaran hospital dan juga bangunan kuarters pelbagai kelas berjumlah 230 unit untuk kakitangan hospital, serta 42 unit hostel jururawat dan 40 unit kuarters pegawai perubatan dan juga beberapa blok bangunan sokongan dan kejuruteraan.

Di antara  kemudahan di bangunan Utama Hospital Shah Alam, ianya turut dilengkapi dengan 10 buah operation theater (OT),  Wad Diraja,  Wad VVIP, Wad-Wad lain untuk kemudahan pesakit serta sebuah auditorium yang boleh memuatkan 244 orang untuk kemudahan hospital.

Upacara Penyerahan Projek ini disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia yang menyerahkan projek ini kepada YB Datuk Seri Dr. S.Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia.  Turut hadir untuk menandatangani Perakuan Serahan Projek ialah Ketua Pengarah Kerja Raya dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.