Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

LIPIS, 13 Julai 2015 - Kerajaan telah bersetuju untuk membuka sebahagian lagi jajaran Projek Central Spine Road (CSR) dalam Pakej 3 yang telah siap kepada laluan awam iaitu Seksyen 3G dan Seksyen 3H dari Felda Chegar Perah 2 ke Kg. Kechur sepanjang 24.2km mulai 13 Julai 2015.

Sebelum ini, terdapat 2 seksyen dalam Pakej 3 iaitu Seksyen 3F1 dan Seksyen 3F2 sepanjang 13.2km yang melibatkan jajaran jalan dari Kg. Kubang Rusa ke Felda Chegar Perah 2 telah disiapkan dan dibuka kepada laluan awam masing-masing pada 10 Januari 2014 dan 5 Julai 2013. Pembukaan jajaran ini telah memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya terutamanya daripada aspek penjimatan kos, masa dan tenaga.

Dengan penyiapan keempat-empat seksyen ini,  jarak perjalanan asal sepanjang 43.4km telah dipendekkan kepada 37.4km dan tempoh masa perjalanan dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 20 minit dan jalan ini telah dinaiktaraf kepada 4 lorong 2 hala.

Projek Membina dan Menaiktaraf Laluan Persekutuan dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang ini merupakan salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang telah diluluskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Skop Projek adalah pembinaan jalan baru serta menaiktaraf jalan sedia ada kepada 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5 sepanjang 390 kilometer. Pembinaan projek CSR dilaksanakan secara berfasa sejak dari tahun 2008 lagi. Projek ini telah dibahagikan kepada 6 pakej utama.

Di atas faktor keselamatan dan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di jalan sedia ada khususnya di jalan persekutuan FT8, Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang dan Pakej 5: Bentong Bypass telah diberi keutamaan bagi pembinaannya dalam RMKe-10. Manakala pembinaan untuk pakej-pakej lain, dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11). 

1

SEREMBAN, 10 Julai 2015 – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke bandar Seremban mempunyai satu lagi opsyen ke bandar tersebut melalui Persimpangan Bertingkat Bandar Ainsdale yang telah dirasmikan pembukaannya pada hari ini oleh  YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia dan YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

 

Sebelum ini, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke bandar Seremban perlu menggunakan persimpangan Seremban yang sedia ada dan ini telah menyebabkan kesesakan yang kritikal di kawasan tersebut sehingga menjejaskan aliran trafik di laluan utama Lebuhraya Utara Selatan. Persimpangan bertingkat ini yang dilengkapi dengan sebuah plaza tol berkapasiti 12 lorong iaitu 7 lorong keluar dan 5 lorong masuk termasuk lorong elektronik turut mempunyai kemudahan surau dan tandas. Dalam majlis yang sama, YB Menteri Kerja Raya juga turut melancarkan Kempen Keselamatan Sempena Aidilfitri 2015. Beliau menyeru agar orang ramai berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri ini. Beliau menjangkakan akan berlaku peningkatan trafik yang agak ketara semasa musim cuti ini. Umpamanya di Lebuhraya Utara-Selatan di mana kadar peningkatan trafik adalah dianggarkan sebanyak 30%. Oleh itu, beliau meminta agar pemandu kenderaan memberi fokus yang lebih semasa pemanduan serta bersabar dan berhemah.

YB Menteri Kerja Raya turut mengumumkan bahawa beliau telah mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di semua lebuh raya kecuali bagi kerja-kerja kritikal sahaja bermula dari 11 Julai 2015 sehingga 26 Julai 2015. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 4 hari iaitu pada 15 dan 16 Julai 2015, serta 24 dan 25 Julai 2015. YB Menteri Kerja Raya mengharapkan agar semua pemandu kenderaan mematuhi peraturan jalan raya yang sedia ada untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan lebuh raya.

1

MACHANG, 9 Julai 2015 – Kehadiran syawal kali ini amat disyukuri penerima rumah kekal mangsa banjir apabila mereka diraikan dalam satu majlis Penyerahan Rumah Kekal Mangsa Banjir di Kampung Kerilla, Temangan, Machang.  Penerima yang dirai pada majlis ini adalah penduduk sekitar Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dan turut dihadiri Ahli Parlimen Machang, YB Datuk Ahmad Jazlan Bin Yaakub.

Pelaksanaan pembinaan rumah kekal mangsa banjir yang diterajui Kementerian Kerja Raya ini diberikan secara percuma kepada mangsa-mangsa yang rumah mereka musnah sepenuhnya atau tidak lagi boleh dibaiki.

Pembinaan penempatan kekal rumah jenis atas tanah bagi di kawasan tanah tinggi atau rumah dengan tiang konkrit yang dibina di kawasan tanah rendah ini berharga RM48 ribu sebuah berdasarkan Jadual Kadar Harga Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bagi negeri Kelantan, sebagaimana dipersetujui Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan yang dianggotai wakil Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, Kementerian Kerja Raya melalui JKR diberi tanggungjawab membina rumah kekal di empat (4) Jajahan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang. 

1

PASIR PUTEH, 9 Julai 2015 – Penduduk sekitar Pasir Puteh kini menarik nafas lega apabila jaringan Jalan Pasir Puteh – Gong Kulim – Tok Bali telah dinaiktaraf bagi kemudahan dan keselesaan mereka.

Projek Menaiktaraf ini adalah sebuah projek Kerajaan Persekutuan yang menghubungkan Pasir Puteh ke Tok Bali melalui Jalan Gong Kulim yang terputus sejak pembinaan Terusan Semerak.

Perasmian projek naiktaraf ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dalam satu majlis di tapak projek hari ini.  Dengan adanya sistem jalan raya ini, Bandar Pasir Puteh dapat dihubungkan terus ke Tok Bali yang akan dibangunkan sebagai Pelabuhan Perikanan di Asia Tenggara dan sekaligus memendekkan tempoh perjalanan.

Projek ini merangkumi pembinaan jalan baru sepanjang 10km dan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 2.5km kepada piawaian JKR R5. Terdapat dua (2) buah jambatan baru yang dibina sepanjang 400m dan 40m yang merentangi Terusan Kemasin Semerak. Projek ini bermula dari Tok Bali melalui Gong Kulim dan berakhir di Pasir Puteh.

1

GERIK, 2 Julai 2015 – Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengambil langkah proaktif dalam pembinaan Jambatan Batu 6, Gerik, apabila mengaplikasikan inovasi dan kreativiti yang berteraskan teknologi terkini dan mesra alam.

Projek pembinaan dibawah peruntukkan Kementerian Kemajuan  Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ini menggunakan kaedah pembinaan teknologi konkrit iaitu Teknologi Ultra High Performance Concrete’ (UHPC) yang sesuai dibina di lokasi-lokasi yang  strategik kerana tidak memerlukan tiang di dalam sungai sekaligus mampu mengurangkan risiko pelanggaran sampah sarap seperti kayu balak terutamanya semasa banjir besar.

Jambatan yang siap dibina pada 17 Jun 2015 ini dibina dengan panjang 100 meter dan lebar 5 meter menyeberangi Sungai Perak. Berat jambatan konkrit UHPC  telah berkurangan 50% berbanding penggunaan kaedah konvensional selain mempunyai 40% kesan karbon yang rendah, menjadikannya mesra alam.

Jambatan bernilai RM6.3 juta ini telah dinobatkan sebagai jambatan konkrit satu rentang yang terpanjang di Malaysia menggunakan UHPC oleh ’The Malaysia Book Of Records’ dan upacara penyerahan sijil telah diadakan di tapak pembinaan jambatan ini dengan YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah menerima sijil tersebut.

1

GERIK, 2 Julai 2015 - Bagi menghargai jasa dan pengorbanan Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam pembinaan projek Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (Grik, Perak – Jeli, Kelantan) ini satu Tugu Peringatan telah didirikan dan bakal menjadi monumen rujukan pelapis akan datang.

Tugu ini telah dibina pada tahun 1994 dan kini ia telah dinaiktaraf dengan infrastruktur yang lebih baik pada awal tahun 2015 dengan Kos RM 395,000.00.  Tugu ini dibina di tapak asal peristiwa serangan hendap oleh pihak komunis terhadap pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota Pegawai Keselamatan pada 23 Mei 1974.  Dalam tragedi tersebut, sebanyak 63 buah jentera JKR telah diletupkan.  Dalam satu lagi peristiwa serangan hendap pada 27 Ogos 1974, seramai 3 orang kakitangan JKR telah terkorban. 

Perasmian tugu ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dalam satu majlis yang dihadiri oleh bekas kakitangan JKR dan waris yang pernah terlibat dalam pembinaan JRTB dan mereka telah menerima sumbangan daripada Menteri atas bakti yang mereka taburkan.

Pembinaan projek Jalan Raya Timur Barat (JRTB) ini telah dilaksana sepenuhnya oleh Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terdiri dari semua lapisan jawatan. Ia merupakan satu pendedahan secara ‘hands on’ terhadap kaedah kerja yang sebenar walaupun ia berisiko tinggi keatas keselamatan mereka.

Panjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB) adalah 123 kilometer dan telah dibina dengan kos sebanyak RM205 juta.  Ia merupakan salah satu laluan utama yang menghubungkan kawasan Barat dengan kawasan Timur Semenanjung Malaysia (Negeri Perak dan Kelantan).  Pembinaanya bermula dari tahun 1967 sehingalah dibuka kepada umum pada 1 Julai 1982.  Salah satu skop yang terlibat ialah pembinaan jambatan merentasi Tasik Banding yang menggunakan teknologi yang terkini pada ketika itu.

1

PUTRAJAYA, 30 Jun 2015 – Satu Majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah diadakan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Upacara menandatangani perjanjian ini telah disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.  Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Terdahulu dalam ucapan Bajet pada 10 Oktober 2014 yang lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan projek lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer yang disasarkan akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Komponen kick-off projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang melibatkan jajaran Simpang Jalan Nyabau ke Simpang Jalan Bakun sepanjang 43 kilometer telah dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri pada 31 Mac 2015. Komponen ini merupakan sebahagian daripada 1,090 kilometer jajaran Pan Borneo Sarawak yang akan dinaiktaraf kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) dengan standard piawaian R5. Kerja-kerja menaiktaraf komponen tersebut kini sedang giat dijalankan.

Melalui Perjanjian ini, projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kelak bakal menjadi jalan penghubung strategik serta memberi keselesaan perjalanan dan selamat kepada pengguna jalan raya di Sarawak selain memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi setempat, malah ia berupaya menggalakkan lagi pembangunan ekonomi di wilayah koridor Sarawak (SCORE). 

Disamping itu, projek ini dijangka akan memberi kesan langsung kepada kepada penduduk negeri Sarawak melalui peluang-peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baru dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baru ekonomi.

1

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sempena bulan Ramadhan 1436H, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Pada majlis itu juga, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan juga ibu tunggal KKR.

Tetamu jemputan khas ialah Ustaz Zulkarnain Hamzah dan beliau turut menyampaikan tazkirah Magrib serta mengimami solat sunat terawih pada malam tersebut.

Turut hadir sama YBhg. Dato’ Zohari Akob, Ketua Setiausaha KKR, Pegawai Pengurusan Tertinggi KKR dan Agensi-agensi serta warga kementerian.

1

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2015 - Majlis Menandatangani Memorandum of Agreement (MOA) Perjanjian Kajian Usahasama Penggunaan Getah Bekuan dalam Campuran Asfalt dalam projek pembinaan Jalan di antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) agensi  Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR Malaysia) agensi Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Kompleks Kerja Raya hari ini.
Majlis ini diadakan bagi memantap dan meningkatkan kualiti pembinaan jalan di negara ini melalui penggunaan getah bekuan sebagai bahan tambah dalam campuran asfalt.
Penggunaan getah sebagai bahan tambah dalam campuran asfalt bersesuaian dengan ciri-ciri bitumen dan campuran asfalt sebagai ganti kepada bahan tambah polimer. Melalui kerjasama ini, kajian akan dilaksanakan oleh para pengkaji dan pakar daripada JKR dan LGM.


Penggunaan getah dalam campuran asfalt bukanlah satu perkara baru bagi JKR. Jalan yang dibina menggunakan asfalt bercampur getah ini telah mula dibina seawal 1950an melalui pembinaan tapak percubaan di Jalan Kota Bharu–Kuala Krai. Kemuncak penggunaan getah dalam turapan jalan pada skala besar adalah semasa pembinaan Jalan Pekeliling, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1995.
Upacara perjanjian ini telah disaksikan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dan YB Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

1

KANGAR, 16 Jun 2015 – Sebanyak 31 Kerja Sivil bernilai RM3.16 juta dan 71 Kerja Elektrikal bernilai RM3.35 juta telah ditawarkan untuk Kerja Undi Bagi Kerja Pembaikan dan Penyelenggaraan Kuarters Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2015 (One-Off) bagi Negeri Perlis.

Program Kerja Undi ini adalah sebahagian daripada program pembangunan kontraktor Bumiputera kelas G1 dan merupakan kerjasama antara KDN dan Kementerian Kerja Raya (KKR).  Ia akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memastikan kek kekayaan dalam sektor pembinaan dapat diagihkan secara adil dan saksama.

Untuk skop kerja undian kali ini, ia melibatkan kerja seperti membaiki/ mengganti lif, membaiki/ mengganti tangki air dan sistem retikulasi, membaiki/ mengganti paip sanitari, membaiki/ mengganti bumbung, membaiki/ mengganti tangga dan handrail, mengecat bangunan dan harta bersama dan juga pendawaian elektrikal bangunan kuarters.

Seramai lebih 500 kontraktor dari negeri ini telah hadir menyertai majlis ini yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Azlan bin Man, Menteri Besar Perlis.  Turut hadir menyampaikan ucapan aluan adalah YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha KKR.