Langkau ke kandungan utama
1

Pelancaran CITP 2016-2020 di Perasmian ICW 2015

KUALA LUMPUR, 10 September 2015 – Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2015 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), agensi Kementerian Kerja Raya (KKR).

CITP 2016-2020 menggariskan empat teras strategik dan 18 inisiatif bagi mentransformasi industri pembinaan di negara ini. Empat sasaran keberhasilan di bawah program berkenaan adalah pengurangan kadar kematian dan kecederaan di tapak pembinaan sebanyak 50 peratus, 100 peratus projek pembinaan bangunan dan infrastruktur besar melebihi keperluan kemapanan, Peningkatan produktiviti sebanyak 2.5 kali ganda atau RM61,939 setiap pekerja dan Sebanyak 10 syarikat mencapai penarafan 5 dalam piawaian SCORE dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

ICW 2015 turut dirasmikan oleh Perdana Menteri pada majlis yang sama. Penganjuran acara tahunan ini memasuki tahun kelima belas dan untuk tahun ini ia membawa tema “Building a Greener Future” sebagai usaha untuk memberi fokus kepada kepada keseimbangan antara alam sekitar dan pembangunan.

Berlangsung bermula 7 hingga 11 September 2015, ICW 2015 menjadi platform besar dan strategik kepada penggiat industri binaan tempatan dan antarabangsa bertemu dan berkongsi maklumat berkaitan produk-produk terkini, perkhidmatan dan teknologi hijau, bahan binaan, jentera dan ICT.  Pengisian sepanjang minggu tersebut adalah pameran, persidangan, seminar, padanan perniagaan, pertandingan rekabentuk dan anugerah industri.

Turut hadir pada majlis ini ialah Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid, Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Sri Zohari Akob dan Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Sri Ir. Dr. Judin Abdul Karim.

Tarikh Dan Waktu Acara