Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

BINTULU, 31 Mac - Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan pembinaan dan kerja menaiktaraf Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sebagai menunaikan Aku Janji Manifesto Barisan Nasional yang diumumkan pada April 2013. 

Acara bersejarah ini berlangsung di tapak kawasan rehat dan rawat (R & R) jajaran Nyabau – Bakun dengan kehadiran lebih 10,000 orang.  Turut hadir menyampaikan ucapan aluan adalah Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem.

Lebuhraya Pan Borneo (LPB) merupakan projek Kerajaan Persekutuan dan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Jaringan Lebuhraya (HNDP) 2010 Kementerian Kerja Raya.  Pelancaran ini dimulakan dengan pembinaan Fasa 1 iaitu seksyen Nyabau – Bakau sejauh 43 kilometer dan dijangka siap akhir tahun 2017.

Skop kerja projek menaiktaraf LPB Sarawak ini bakal menyaksikan peningkatan piawai jalan daripada R3 (Piawai JKR) iaitu dua lorong sua hala kepada R5, empat lorong dua hala.   Melalui jaringan efisien yang dibina ini ia mampu memberi impak positif kepada ekonomi, keselamatan, keselasaan, penjimatan masa dan bahan api, seterusnya membawa transformasi kepada rakyat Sarawak.

Panjang keseluruhan LPB Sarawak dianggarkan sejauh 1076 kilometer bermula dari Tanjung Datu ke Merapok/Sindumin (sempadan Sabah) dan kerja naiktaraf dijangka dapat disiapkan menjelang tahun 2023.

1

KUALA LUMPUR, 26 Mac- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membangunkan aplikasi saluran aduan menggunakan telefon pintar sebagai satu usaha inovasi memudahkan pengguna jalanraya menyalurkan aduan iaitu Aplikasi Mobile Aduan Jalan KKR.  Aplikasi ini merupakan alternatif kepada saluran aduan sedia ada, namun ia lebih bersifat mesra pelanggan dan holistik.

Ini kerana setiap aduan boleh disalurkan melalui telefon pintar pengguna dengan menyertakan foto lokasi aduan selain diintegrasikan dengan fungsi Geographical Information System (GIS), dimana lokasi aduan adalah lebih tepat dan seterusnya memudahkan tindakan susulan diambil pihak KKR.   

Aplikasi ini boleh didapati secara percuma dengan memuat turun daripada App Store untuk sistem operasi iOS dan Play Store untuk pengguna sistem operasi Android.  Terdapat beberapa langkah mudah dalam menggunakan aplikasi ini dimana pengguna hanya perlu menghantar foto dan lokasi aduan, memilih jenis aduan, mengisi maklumat aduan dan seterusnya menghantar aduan tersebut.

Pelancaran Aplikasi Mobile Aduan Jalan KKR ini merupakan pendekatan proaktif KKR dalam memastikan usaha aduan kerosakan infrastruktur jalanraya dapat disalurkan dengan mudah selaras perkembangan teknologi dan peningkatan penggunaan telefon pintar di Malaysia pada masa kini oleh semua demografik masyarakat.  

Disamping itu, inisiatif ini juga selari dengan misi KKR, iaitu memastikan pembangunan infrastruktur dirancang, dilaksana dan disenggara dengan cekap dan berkualiti tinggi dalam usaha menyediakan kemudahan, keselesaan dan keselamatan kepada pengguna.  

1

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2015 – YB Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, telah diwawancara dalam rancangan Soal Jawab terbitan TV3 berhubung pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LBS) yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Mac 2015.

Rancangan yang dihoskan oleh Izwan Azir Saleh ini merungkai aspek teknikal LBS serta impak positif projek bernilai RM13bilion ini kepada sosioekonomi masyarakat setempat di Negeri Sarawak khasnya. 

Menurut Menteri Kerja Raya dalam rancangan yang bersiaran selama satu jam ini, pelancaran LBS merupakan kerja naiktaraf atau peningkatan laluan sedia ada yang wujud sejak tahun 1965 sejauh 936 kilometer dan amat ditunggu-tunggu warga Sarawak kerana ia bakal melicinkan sistem perhubungan darat selain penjimatan masa dan kos bahanapi yang sememangnya amat menguntungkan pengguna jalanraya.   

Lebuhraya Pan Borneo (LPB) merupakan projek Kerajaan Persekutuan dan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Jaringan Lebuhraya (HNDP) 2010 Kementerian Kerja Raya.  Pelancaran ini dimulakan dengan pembinaan Fasa 1 iaitu seksyen Nyabau – Bakau sejauh 43 kilometer dan dijangka siap akhir tahun 2017.  Skop kerja projek menaiktaraf LPB Sarawak ini bakal menyaksikan peningkatan piawai jalan daripada R3 (Piawai JKR) iaitu dua lorong satu hala kepada R5, empat lorong dua hala

1

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Bagi mengukuhkan ukhwah atau hubungan antara kakitangan warga Kerja Raya, satu perjumpaan antara Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bersama-sama kumpulan Pelaksana telah diaturkan hari ini bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Dato’ Sri Zohari Haji Akob telah meluangkan masa selama dua jam untuk menyampaikan dan berkongsi amanat serta aspirasi pihak pengurusan atasan kepada warga Kementerian.  Selain itu sesi soal jawab yang diadakan juga merupakan platform komunikasi dua hala yang telah berjaya merungkai beberapa persoalan disamping menjadi peluang kepada kakitangan menyatakan hasrat dan harapan mereka.

Program anjuran Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) ini secara keseluruhannya dapat merapatkan lagi hubung jalin antara pihak pengurusan dengan kakitangan kumpulan pelaksana dalam usaha mewujudkan sebuah organisasi yang mempunyai kesefahaman dan perpaduan yang utuh.

1

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof telah menyempurnakan pelancaran Model Rumah Bayer di Pusat Konvensyen CIDB hari ini.  Projek rumah mampu milik ini adalah alternatif untuk membina rumah mampu milik dan selesa.  Rekaan model rumah bayer ini merupakan hasil daripada kerjasama antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Bayer MaterialScience

Model rumah Bayer adalah rekaan rumah yang menggunakan panel komposit penebat Polyurethane ringan yang mudah dan cepat dipasang. Polyurethane mempunyai sifat penebat yang baik untuk membuat rumah yang lebih cekap tenaga dengan mengurangkan suhu didalam rumah.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah YBhg Dato’ Zohari Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YBhg Dato’ Sri Ir Dr. Judin Abdul Karim, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia.

1

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) 2015 telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.  Ketibaan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin telah diiringi dengan persembahan tarian singa daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kwang Hua, Klang.

Majlis diteruskan dengan amalan menggaul makanan wajib bagi kaum Cina sempena menyambut perayaan tersebut iaitu ‘Yee Sang’.  Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan oleh pelajar-pelajar SMJKC Kwang Hua.

Turut hadir bersama pada majlis ini adalah YBrs. Tuan Haji Sarani bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Dato’ Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) serta pegawai-pegawai atasan Kementerian dan Agensi-agensi.

1

SRI AMAN, 27 Februari - Komitmen Kerajaan dalam memastikan taraf hidup dan kemudahan kesihatan yang baik bagi masyarakat sekitar Sri Aman, Sarawak diterjemahkan melalui usaha membina Hospital Baru Sri Aman yang merupakan projek Gantian kepada Hospital sediaada yang dibina 60 tahun dahulu (1954).

Perletakan Batu Asas hospital ini telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam satu majlis yang telah diadakan di tapak binaan hospital tersebut.  Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S Subramaniam dan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Projek Kementerian Pelanggan, Kementerian Kesihatan Malaysia ini dijadual bermula pada bulan April 2015 ini dan dijangka siap dalam masa 3 tahun dengan kos bernilai RM150 juta.

1

KUCHING, 6 Februari – Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Samarahan telah diadakan hari ini bakal memanfaatkan 240 ribu penduduk sekitar.  Teks ucapan perasmian Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pembinaan jambatan di hilir Batang Samarahan ini akan melengkapkan jajaran-jajaran jalan raya persisiran pantai yang berdekatan yang menghubungkan Kota Samarahan dan Asajaya. Ketika ini terdapat dua alternatif menghubungkan Kota Samarahan dengan Asajaya iaitu menggunakan pengangkutan feri di Kota Samarahan dan laluan darat melalui Jalan Meranek / Lansat yang menyeberangi hulu Batang Samarahan melalui jambatan di Kampung Melayu.

Jambatan ini direkabentuk mengikut piawai terkini British Standard, iaitu BS5400.  Jambatan sepanjang 774 meter ini, akan menyediakan laluan dua lorong dua hala, laluan pejalan kaki dan jalan tuju sepanjang 3kilometer yang menghubungkan jambatan ke jalan raya berdekatan. Lokasi Jambatan Batang Samarahan adalah di utara Kampung Tambey, sejajar dengan Lebuhraya Samarahan.

Projek ini dijangka siap pada 2018 dan setelah siap pembinaanya, ia akan memanfaatkan kira-kira 240,000 penduduk di Bahagian Samarahan dan memendekkan 30 minit masa perjalanan berbanding menaiki feri.

1

KUALA LIPIS, 5 Februari – Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan tinjauan ke beberapa lokasi yang terjejas akibat banjir sekitar Kuala Lipis, Pahang.

Lokasi pertama adalah Jambatan Sungai Tanum di Kampung Aur Gading yang runtuh akibat banjir baru-baru ini dan taklimat ringkas telah disampaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Pahang.  Jambatan ini merupakan laluan penduduk dari Kampung Aur Gading, Kampung Berkam serta Kampung Bukit Betong untuk berulang-alik ke bandar Kuala Lipis.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya melancarkan projek pembinaan rumah kekal dan projek membaik pulih rumah yang terjejas banjir yang di pantau pembinaannya oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensinya, JKR Pahang.

Tinjauan diakhiri dengan majlis penyampaian bantuan wang ihsan bertempat di Dewan Aur Gading, yang turut dibaikpulih oleh para pelatih dari Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Pusat Giat Mara. Turut serta dalam tinjauan ini ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

1

Kuala Lumpur, 30 Januari – Suasana pagi di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks KKR meriah dengan kehadiran warga KKR yang hadir bagi menyambut Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1436H/2015 Peringkat Kementerian Kerja Raya bersempena memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Turut hadir pada majlis ini adalah Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembanggunan), Dato' Zainudin Bin Zakaria dan Pengurusan atasan Kementerian dan Agensi.

Majlis dimulai dengan selawat beramai-ramai yang diketuai oleh kumpulan nasyid terkemuka Malaysia, Far-East. Disamping itu, ahli kumpulan itu juga berkesempatan menghiburkan para tetamu yang hadir dengan lagu-lagu kegemaran seperti “Syahadah”.

Acara diakhiri dengan sesi perkongsian ilmu tentang amalan Nabi Muhammad S.A.W, sejarah dan sunnah-sunnah baginda oleh penceramah jemputan, Ustaz Syed Norhisham Al-Idrus.