Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

SEBERANG JAYA, 28 April – YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Projek Naik Taraf Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini. Hospital ini telah dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-enam dan berkonsep hospital nukleus di bawah Projek Turnkey dan siap pada tahun 1994 dengan bilangan katil sebanyak 314. Ia merupakan hospital pakar major dan menjadi hospital rujukan untuk Seberang Perai.

Menurut statistik tahun 2013, hospital ini telah memberikan perkhidmatan kepada penduduk Seberang Perai berjumlah seramai 948,560 orang. Keluasan tapak projek yang dirancang adalah 3.26 ekar dan terletak di dalam kawasan hospital. Antara impak kerja naik taraf ini ialah Blok Multi-storey bakal menyediakan kemudahan rawatan perubatan dan ruangan kerja yang lebih lengkap bagi menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah berikutan peningkatan perkhidmatan rawatan perubatan yang diberikan buat masa ini di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Selain itu, ia bertujuan memberi perkhidmatan klinikal yang baru iaitu perubatan rehabilitasi (rehabilitation medicine) untuk penduduk Pulau Pinang dan memberi perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik Pediatrik serta pusat rujukan bagi zon utara bagi kedua-dua disiplin ini. Turut hadir pada majlis pelancaran ini ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. S.Subramaniam.

1

MIRI, 26 April - Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan, Kementerian Kerja Raya (BPKU) dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Negeri Sarawak telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat (CSR) dan Latihan Kemahiran Personel Binaan bertempat di Kampung Keluru Jaya, Lambir, Miri, Sarawak.

Aktiviti utama program adalah kerja membaikpulih dan mengecat bangunan tamu serta membersihkan kawasan sekitar tamu. Perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya. Turut diadakan adalah sesi taklimat kepada 100 Kontraktor Bumiputera (Gred G1 – G7).

Antara objektif program ini adalah Memberi pendedahan serta latihan praktikal kepada kontraktor Bumiputera dan penduduk setempat dalam aspek teknikal membaikpulih dan mengecat bangunan dan melaksanakan satu bentuk khidmat masyarakat (CSR) para kontraktor Bumiputera kepada masyarakat. Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.62 Lambir, YB Ripin Lamat dan Pemimpin penduduk setempat.

1

KUALA LUMPUR, 24 April – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menghasilkan Pelan Transformasi KKR dimana Kerangka Pelan ini telah mula dibangunkan pada awal tahun 2014 yang turut melibatkan agensi-agensi di bawah KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Beberapa siri bengkel telah diadakan dan Kerangka Pelan Transformasi KKR ini telah dibentangkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 4 September 2014. Pelancarannya telah diadakan sewaktu Perhimpunan Bulanan KKR dengan simbolik penyerahan Pelan Transformasi KKR oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kepada Ketua Jabatan dan Agensi. Pelan ini mengandungi 5 Teras Strategik yang terdiri daripada 17 Langkah Strategik.

Bagi melaksanakan Pelan Transformasi KKR, Kementerian dan Agensi telah mengenal pasti 25 Inisiatif Strategik yang mampu memacu usaha Kementerian ke arah visi Kementerian iaitu “Kementerian sebagai peneraju pembangunan infrastruktur dan industri pembinaan negara yang unggul menjelang 2020”.

1

KUANTAN, 23 April - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenalpasti dan melaksanakan projek perintis transformasi Papan Tanda dan Tanda Arah di permukaan jalan di Kuantan, Pahang.  Projek inovasi ini merupakan salah satu projek di bawah program Public Service Delivery Transformation Programme (PSDT) yang  merupakan cetusan idea dari YAB Perdana Menteri, iaitu program transformasi penyampaian perkhidmatan awam yang memberikan impak yang besar kepada rakyat dalam masa yang singkat (fast track with big impact). 

Ia adalah satu projek perintis bertujuan untuk menyelesaikan masalah aduan yang seringkali disuarakan oleh pengguna jalan, iaitu berkaitan kelemahan papan tanda arah diseluruh negara.

Projek ini menggunakan kaedah “Adopt and Adapt” dan telah menggabungkan  Arahan Teknik Jalan JKR dengan “UK Traffic Signs Manual” . Ia berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat iaitu 6 bulan.  Kos merekabentuk dan memasang papan tanda bagi projek ini adalah lebih murah kerana rekabentuk papan tanda mengoptimumkan penggunaan ruang dan seterusnya menghasilkan papan tanda yang bersaiz lebih kecil.

Turut diadakan hari ini adalah kerja undi penyenggaraan jalan meliputi kerja berkala bukan pavemen seperti kerja mengecat garisan jalan, membaiki penghadang jalan, pembaikan longkang, perabot jalan dan papan tanda jalan.

Untuk pelaksanaan kerja undi pada kali ini, Kementerian Kerja Raya telah mengambil pendekatan sejajar dengan tatacara perolehan semasa dimana kerja undi yang ditawarkan bernilai RM50 ribu dan kebawah.

Sebanyak 613 projek dengan kos berjumlah RM28 juta akan dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia pada hari ini dan daripada jumlah tersebut sebanyak 441 projek dengan kos RM20 juta di Semenanjung, 172 projek di Sarawak dan di Sabah dengan kos yang bernilai RM8 juta.

Disamping kerja undi jalan persekutuan, hari ini juga turut diadakan kerja undi penyenggaraan bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan dan ia merupakan projek National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang melibatkan beberapa kementerian. Sebanyak 105 projek akan dilaksanakan secara kerja undi di seluruh Negara menggunakan peruntukan daripada Kementerian pelanggan dan pelaksanaan oleh JKR. 

Berhubung bencana banjir yang melanda Negara akhir tahun 2014, terdapat 484 orang kakitangan JKR telah menjadi mangsa di mana rumah-rumah dan harta benda telah mengalami kerosakan. Dari jumlah tersebut seramai 18 orang telah mengalami kemusnahan rumah sama sekali. Untuk itu, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terlibat, satu usaha melalui kutipan derma daripada seluruh anggota KKR dan agensi di bawahnya telah dilancarkan sejak Januari 2015 yang lalu untuk disumbangkan kepada mangsa.

Selain daripada kutipan yang dibuat oleh Kementerian, satu lagi agensi dalam Kementerian iaitu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengambil inisiatif yang sama. LLM  bersama Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) juga telah mengadakan kutipan berbentuk wang tunai, makanan dan pakaian . Sebanyak RM300 ribu telah berjaya dikutip dan pada hari ini sebanyak RM50 ribu disalurkan kepada mangsa banjir di negeri Pahang.

1

SHAH ALAM, 21 April – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof telah mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat pelaksanaan Projek Hospital Shah Alam bersama-sama Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. S.Subramaniam di Bilik Auditorium Hospital Shah Alam.

Pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia telah menyampaikan taklimat pelaksanaan projek ini.  Delegasi kemudiannya telah mengadakan lawatan tapak ke sekitar bangunan hospital tersebut.

1

NEGERI SEMBILAN, 17 April – Bengkel Penyediaan Pelan Strategik 2016 – 2020 Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berlangsung selama tiga (3) hari di sini. Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof telah merasmikan bengkel tersebut serta menyampaikan amanat kepada para peserta yang hadir.

Objektif penganjuran bengkel tersebut adalah untuk membincangkan hala tuju Pelan Strategik 2016 – 2020 KKR, visi dan misi KKR serta untuk membincangkan mengenai Teras Strategik serta strategik.

Bengkel ini telah melibatkan seramai 93 orang perserta dari Pengurusan Atasan Kementerian dan agensi-agensi.

1

KUALA LUMPUR, 16 April – Persatuan Kontraktor Jentera Melayu Malaysia (PKJMM) telah mengadakan Malam Gala 2015 bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu yang ke-9 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.  Turut hadir sama ialah YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya sebagai tetamu khas.

Pada majlis itu juga, YB Dato’ Sri telah melancarkan produk lif baru jenama SWORD hasil kerjasama strategik syarikat Rasma Sales dan syarikat dari China serta penyampaian Mock Cheque Penaja.

1

KUALA LUMPUR, 16 April - YB Dato’ Sri Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya bersama-sama 25 orang Pegawai Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan lawatan dan sesi ramah mesra ke Ibu Pejabat Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin.  Delegasi KKR telah disambut oleh Ketua Pengarang Kumpulan, Utusan Melayu (M) Berhad, YBhg. Dato’ Abdul Aziz Ishak.

Sesi lawatan dan ramah mesra ini adalah merupakan aktiviti tahunan kementerian yang telah dirancang dalam usaha membina hubungan baik dan dan aktiviti pemupukan jalinan mesra yang berterusan antara kementerian dengan pihak media.

Menyedari akan kepentingan pihak media dalam membantu kementerian menjayakan visi dan misi serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, sesi ini dilihat sebagai satu tanda penghargaan dan terima kasih kementerian kepada pihak Utusan Malaysia yang telah banyak membantu memberi hebahan dan publisiti kepada semua aktiviti serta program kementerian selama ini.

1

KUCHING, 13 April - Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini melancarkan Projek Membina Jalan Empat Lorong dari Bulatan E-Mart, Matang ke Stapok, Batu Kawa, Kuching dan Jambatan Baharu Merentasi Sungai Sarawak.  Tujuan utama projek ini adalah untuk menampung peningkatan pesat jumlah trafik di Bandaraya Kuching dan menyediakan akses aliran trafik yang lebih lancar terutama di Matang Jaya, Petra Jaya dan kawasan sekitar.

Perasmian pelancarannya telah disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Bin Haji Satem, Ketua Menteri Negeri Sarawak dan disaksikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof.

Projek pembinaan empat lorong dua hala ini menggunakan piawaian jalan JKR U5 bermula daripada bulatan sedia ada di E-mart, menghubung kembali ke pusat Bandaraya Kuching melalui Jalan Stapok dengan jumlah panjang jalan dianggarkan sejauh 4.4 kilometer.

Turut disenarai dalam skop kerja projek ini ialah pembinaan dua bulatan baharu iaitu di Jalan Matang dan Jalan Temenggong Tan Meng Chong serta pembinaan jambatan konkrit bertetulang menyeberangi Sungai Sarawak berukuran 320 meter panjang yang menghubungkan kedua-dua bulatan tersebut.  Jambatan ini turut direkabentuk untuk membolehkan kerja pelebaran jalanraya dilaksanakan kepada enam lorong dua hala pada masa akan datang.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diberi tanggungjawab memantau pelaksanaan projek ini dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan dan dijangka siap pada bulan Oktober 2017.  Dengan siapnya pembinaan projek jalanraya ini kelak, ia bakal menyuraikan kesesakan kenderaan dari kawasan Kuching Utara ke pusat Bandaraya Kuching.

1

SUBANG, 7 April – Impak perubahan iklim bumi telah membawa kesan kepada sistem geologi, biologi dan sosial di seluruh dunia.  Malaysia tidak terkecuali dalam mendepani kesan perubahan ini dan usaha mengekalkan kemampanan pembangunan infrastruktur negara adalah perlu agar negara lebih bersedia.

Justeru, satu seminar telah diadakan bagi membincangkan isu ini iaitu “Seminar on Ensuring Climate Resilience of Buildings and Infrastructure dengan bertemakan “Towards Sustainable Infrastructurebertempat di Hotel Saujana Kuala Lumpur. 

Seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini menghimpunkan pembentang kertas kerja dari syarikat dalam dan luar negara untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dan pengetahuan berhubung kaedah dan amalan terbaik menghadapi perubahan iklim dunia dan kesannya kepada pembangunan infrastruktur.

YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah hadir merasmikan seminar ini serta menyaksikan upacara menandatangai plak kerjasama perkongsian awam swasta (PPP) antara pihak CIDB dan rakan strategiknya.