Langkau ke kandungan utama
1

Projek Transformasi Papan Tanda dan Tanda Arah Jalan, Kerja Pengundian Penyenggaraan Jalan dan Sumbangan Mangsa Banjir Kementerian Kerja Raya

KUANTAN, 23 April - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenalpasti dan melaksanakan projek perintis transformasi Papan Tanda dan Tanda Arah di permukaan jalan di Kuantan, Pahang.  Projek inovasi ini merupakan salah satu projek di bawah program Public Service Delivery Transformation Programme (PSDT) yang  merupakan cetusan idea dari YAB Perdana Menteri, iaitu program transformasi penyampaian perkhidmatan awam yang memberikan impak yang besar kepada rakyat dalam masa yang singkat (fast track with big impact). 

Ia adalah satu projek perintis bertujuan untuk menyelesaikan masalah aduan yang seringkali disuarakan oleh pengguna jalan, iaitu berkaitan kelemahan papan tanda arah diseluruh negara.

Projek ini menggunakan kaedah “Adopt and Adapt” dan telah menggabungkan  Arahan Teknik Jalan JKR dengan “UK Traffic Signs Manual” . Ia berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat iaitu 6 bulan.  Kos merekabentuk dan memasang papan tanda bagi projek ini adalah lebih murah kerana rekabentuk papan tanda mengoptimumkan penggunaan ruang dan seterusnya menghasilkan papan tanda yang bersaiz lebih kecil.

Turut diadakan hari ini adalah kerja undi penyenggaraan jalan meliputi kerja berkala bukan pavemen seperti kerja mengecat garisan jalan, membaiki penghadang jalan, pembaikan longkang, perabot jalan dan papan tanda jalan.

Untuk pelaksanaan kerja undi pada kali ini, Kementerian Kerja Raya telah mengambil pendekatan sejajar dengan tatacara perolehan semasa dimana kerja undi yang ditawarkan bernilai RM50 ribu dan kebawah.

Sebanyak 613 projek dengan kos berjumlah RM28 juta akan dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia pada hari ini dan daripada jumlah tersebut sebanyak 441 projek dengan kos RM20 juta di Semenanjung, 172 projek di Sarawak dan di Sabah dengan kos yang bernilai RM8 juta.

Disamping kerja undi jalan persekutuan, hari ini juga turut diadakan kerja undi penyenggaraan bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan dan ia merupakan projek National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang melibatkan beberapa kementerian. Sebanyak 105 projek akan dilaksanakan secara kerja undi di seluruh Negara menggunakan peruntukan daripada Kementerian pelanggan dan pelaksanaan oleh JKR. 

Berhubung bencana banjir yang melanda Negara akhir tahun 2014, terdapat 484 orang kakitangan JKR telah menjadi mangsa di mana rumah-rumah dan harta benda telah mengalami kerosakan. Dari jumlah tersebut seramai 18 orang telah mengalami kemusnahan rumah sama sekali. Untuk itu, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terlibat, satu usaha melalui kutipan derma daripada seluruh anggota KKR dan agensi di bawahnya telah dilancarkan sejak Januari 2015 yang lalu untuk disumbangkan kepada mangsa.

Selain daripada kutipan yang dibuat oleh Kementerian, satu lagi agensi dalam Kementerian iaitu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengambil inisiatif yang sama. LLM  bersama Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) juga telah mengadakan kutipan berbentuk wang tunai, makanan dan pakaian . Sebanyak RM300 ribu telah berjaya dikutip dan pada hari ini sebanyak RM50 ribu disalurkan kepada mangsa banjir di negeri Pahang.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita