Langkau ke kandungan utama
1

Pelancaran Projek Jalan Empat Lorong Kuching

KUCHING, 13 April - Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini melancarkan Projek Membina Jalan Empat Lorong dari Bulatan E-Mart, Matang ke Stapok, Batu Kawa, Kuching dan Jambatan Baharu Merentasi Sungai Sarawak.  Tujuan utama projek ini adalah untuk menampung peningkatan pesat jumlah trafik di Bandaraya Kuching dan menyediakan akses aliran trafik yang lebih lancar terutama di Matang Jaya, Petra Jaya dan kawasan sekitar.

Perasmian pelancarannya telah disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Bin Haji Satem, Ketua Menteri Negeri Sarawak dan disaksikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof.

Projek pembinaan empat lorong dua hala ini menggunakan piawaian jalan JKR U5 bermula daripada bulatan sedia ada di E-mart, menghubung kembali ke pusat Bandaraya Kuching melalui Jalan Stapok dengan jumlah panjang jalan dianggarkan sejauh 4.4 kilometer.

Turut disenarai dalam skop kerja projek ini ialah pembinaan dua bulatan baharu iaitu di Jalan Matang dan Jalan Temenggong Tan Meng Chong serta pembinaan jambatan konkrit bertetulang menyeberangi Sungai Sarawak berukuran 320 meter panjang yang menghubungkan kedua-dua bulatan tersebut.  Jambatan ini turut direkabentuk untuk membolehkan kerja pelebaran jalanraya dilaksanakan kepada enam lorong dua hala pada masa akan datang.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diberi tanggungjawab memantau pelaksanaan projek ini dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan dan dijangka siap pada bulan Oktober 2017.  Dengan siapnya pembinaan projek jalanraya ini kelak, ia bakal menyuraikan kesesakan kenderaan dari kawasan Kuching Utara ke pusat Bandaraya Kuching.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita