Langkau ke kandungan utama
1

20 Mangsa Banjir Kampung Padang Grus, Lenggong menerima rumah baharu

LENGGONG, 29 Ogos 2015 – 20 keluarga mangsa banjir di PPRT Labit dan Kota Tampan Air, Lenggong dapat menarik nafas lega selepas menerima geran rumah baharu secara rasmi.  Pembinaan rumah kekal di kampung itu merupakan projek usahasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dengan kerjasama Persatuan Pandu Puteri Perak.

Majlis perasmian Projek Penempatan Baharu kepada 20 Mangsa Banjir Kampung Padang Grus, Lenggong ini disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.  Turut berangkat pada majlis itu Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah selaku Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof,  Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Zohari Akob; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Adanan Mohammed Hussain; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sebanyak RM12,000 telah diperuntukkan oleh Pandu Puteri Perak bagi membeli kelengkapan rumah seperti perabot dan barangan elektrik untuk disumbangkan kepada semua 20 mangsa banjir terlibat.

Dalam pada itu, sebanyak 153 daripada 294 unit rumah sudah dibina di bawah Projek Pembinaan Semula Rumah Kekal untuk mangsa banjir di Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga Ogos ini.  Baki sebanyak 141 unit rumah lagi masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir November depan.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya dalam ucapannya menyatakan kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM800 juta untuk membaiki kerosakan infrastruktur seperti sekolah, hospital dan jalan raya akibat banjir akhir tahun lepas.

Daripada jumlah itu, beliau berkata kementerian diperuntukkan sebanyak RM383.6 juta bagi membaiki jalan raya, jambatan serta cerun yang rosak di seluruh negara. 

Sejumlah 1,982 unit rumah telah dikenal pasti terlibat dalam bencana banjir itu dan daripada jumlah itu, 1,409 unit rumah akan dibina semula oleh kerajaan Persekutuan manakala 573 unit pula dibina oleh kerajaan negeri masing-masing.

Beliau berkata peruntukan tambahan sebanyak RM174 juta di bawah Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara juga disediakan bagi pembinaan semula rumah mangsa banjir yang musnah dan rosak teruk akibat bencana itu.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita