Berita KKR
Kuala Lumpur, 18 Oktober 2023 - Hari ini telah berlangsung Majlis Pra Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN 2023) yang telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.
Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBrs. Ir Sazali Harun serta Pengerusi Hari Profesion Teknikal Negara, YBhg. Dato' Ir Haji Badiozaman Ab Khalik.
HPTN merupakan sambutan tahunan anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinan Malaysia (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta badan profesional di bawah KKR iaitu Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia.
Sambutan HPTN ini adalah simbolik penghargaan kepada jasa warga teknikal atas sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur dan landskap pembangunan dan permodenan negara yang meliputi pelbagai bidang teknikal antaranya kejuruteraan, astronomi, sains, teknologi, pembinaan, senibina, ukur dan sebagainya.
“Profesion Teknikal Pemacu Pembangunan Malaysia MADANI” adalah tema bagi HPTN tahun ini. HPTN diharap akan terus menjadi pemacu bukan sahaja dalam mengiktiraf profesion teknikal, malah menjadi ’catalyst’ dalam memperjuangkan pembukaan lebih banyak peluang profesion teknikal di dalam negara.
Sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan Malaysia MADANI, HPTN turut menjadi platform untuk memupuk minat generasi muda menceburi profesion teknikal sebagai pilihan kerjaya.
Sambutan kemuncak HPTN 2023 akan berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada
4 Disember sehingga 5 Disember 2023 (Isnin-Selasa). YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bakal menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara yang dijadualkan pada 4 Disember 2023 (Isnin) bertempat di Dewan Damar Sari, Putrajaya.
Pelbagai aktiviti menarik, pameran ilmiah dan peluang kerjaya turut didedahkan kepada semua peringkat umur sepanjang program ini berlangsung. Antara aktiviti yang akan diadakan adalah webinar, Program CSR, BIM Day, Car Free Day, Anugerah Tokoh Teknikal dan pameran kerjaya serta pelbagai aktiviti lain yang akan diumumkan dan dipromosikan di laman web sehingga ke hari kemuncak HPTN pada Disember nanti.
Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan HPTN 2023, orang ramai boleh melayari dan mendaftarkan diri di laman sesawang rasmi iaitu https://hptn-my.com/. Pelbagai maklumat terperinci mengenai sambutan ini boleh didapati melalui laman web tersebut. Pelbagai pengisian menarik disediakan dan orang ramai adalah dijemput untuk menyertai Sambutan HPTN 2023.
Kuala Lumpur, 14 Oktober 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama-sama Ketua Setiausaha Negara YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) serta YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool Ketua Pengarah Kerja Raya (JKR) telah melakukan tinjauan kerja di sebuah lokasi rentetan aduan jalan berlubang (Potholes) pada Expansion Joint jejambat di KM8.2 (MRR2) Batu Caves Arah Kepong.
Dari tinjauan tersebut, didapati telah berlaku kerosakan pada Expansion Joint jejambat yang menyebabkan berlakunya jalan berlubang. Selain itu, terdapat juga kerosakan pada struktur jambatan seperti Deck Slab dan Bearing Pad melalui pemeriksaan di tapak oleh pemaju/JKR Daerah Gombak
Kawasan tersebut telah diserahkan kepada pemaju Tetuan Inter Sky Development Sdn Bhd (Jejambat Bulatan Batu Caves) sebahagian dari syarat kelulusan Pembangunan Tepi Jalan (RSD). Pemaju juga disyaratkan untuk melakukan kerja penyenggaraan sahaja.
Hasil daripada tinjauan kerja ini, pembaikan sementara Potholes Patching serta merta telah dilaksanakan oleh pihak pemaju pada 13/10/2023 (Jumaat) jam 4:30 petang. JKR Gombak juga telah mengarahkan pemaju untuk mengambil tindakan dengan membuat tampalan kekal pada 13/10/2023 (Jumaat).
Pemaju telah memaklumkan bahawa pelaksanaan kerja-kerja pembaikan tampalan kekal akan dilakukan dalam tempoh segera selepas pihak mereka menerima pengesahan daripada pihak 'Specialist Supplier'. Bagi jangka masa panjang, kerosakan ini memerlukan penggantian Expansion Point dan pembaikan kerosakan struktur jambatan pada Deck Slab. Pihak pemaju komited untuk melaksanakan pebaikan tersebut dalam tempoh dua minggu sebaik sahaja mendapat pengesahan daripada Ibu Pejabat JKR Malaysia. Pemeriksaan struktur jambatan akan dilaksanakan oleh Bahagian Forensik Jambatan bersama CSFJ dan JKR Gombak pada 15 Oktober 2023.
KKR tidak mengambil enteng masalah jalan berlubang atau sebarang gangguan kelancaran melibatkan nyawa dan keselamatan manusia. Selari aspirasi Kempen MYJalan, KKR akan memastikan tindakan pantas diambil bagi mencapai kemaslahatan bersama dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.