Langkau ke kandungan utama
0

Pelancaran Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik Mudah Alih di Lebuhraya PLUS Hentian Sebelah Behrang Arah Utara

Behrang, Perak, 17 Oktober 2023 - Pagi ini telah berlangsung Majlis Pelancaran Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik Modular Mudah Alih di Lebuhraya PLUS bertempat di Hentian Sebelah Behrang Arah Utara yang telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengarah Urusan UEM Group Berhad dan Ahli Lembaga PLUS, Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengerusi PLUS, Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli dan Pengarah Urusan, EV Connection, Ir Lee Yuen How.

Kementerian Kerja Raya mensasarkan pembangunan 20 poin pengecas pantas untuk dilaksanakan dalam tahun 2023. Pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik yang komprehensif adalah penting untuk menjadi pemangkin penerimaan kenderaan elektrik yang lebih meluas, menjadikan e-mobiliti lebih mudah dan menyediakan kemudahan nilai tambah untuk pengalaman yang lebih baik bagi pengguna EV di lebuh raya secara amnya.

Selain daripada 20 poin pengecasan kekal, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah meluluskan projek rintis pengecas bersepadu yang dilengkapi dengan Sistem Simpanan Kuasa Bateri (BESS) serta penggunaan tenaga solar di empat tapak Lebuhraya PLUS melibatkan 16 poin pengecas pantas BESS untuk disiapkan dalam tahun 2023.

Empat tapak yang akan menggunakan BESS dan beroperasi pada 2023 adalah di Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Perak serta Hentian Sebelah Senawang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Negeri Sembilan. Setiap tapak akan mempunyai kapasiti pengecasan DC 300kW yang menyediakan empat poin pengecasan.

Penilaian keberkesanan ke atas pengecas bersepadu yang dilengkapi dengan BESS serta penggunaan tenaga solar di 4 lokasi rintis ini akan diteliti sebelum perlaksanaannya diperluaskan lagi pada tahun 2024 di tiga tapak tambahan iaitu R&R Ajil (Arah Utara dan Selatan) dan Perasing, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

KKR komited untuk mencapai matlamat kelestarian Malaysia dan percaya kolaborasi antara KKR, LLM, PLUS Berhad, Gentari Sdn Bhd dan EV Connection Sdn Bhd akan memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menyokong penyelesaian pengangkutan rendah karbon, selari dengan objektif yang terkandung dalam Pelan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Pelan Hala Tuju Teknologi Hijau Malaysia (GTMP) dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB).

Sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI menuju negara neutral karbon, membangunkan infrastruktur pengecas pantas kenderaan elektrik (DCFC) di rangkaian lebuh raya utama negara, merupakan antara inisiatif yang giat diteroka oleh KKR.

Tarikh Dan Waktu Acara