Langkau ke kandungan utama
0

Penyenggaraan Lebuhraya Pasir Gudang FT017 Telah Berjaya Disempurnakan Sepenuhnya

Pasir Gudang, Johor, 11 Oktober 2023 – Sejurus selesai menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor pagi ini, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkesempatan untuk meninjau perkembangan kerja naik taraf dan penyenggaraan jalan di laluan Lebuhraya Pasir Gudang FT017 yang juga disertai oleh Pengarah JKR Johor, YBrs. Ir. Abu Bakar bin Abd Aziz.

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil berat terhadap isu keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) dan dua projek menaik taraf di laluan tersebut telah diluluskan di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia secara berfasa iaitu Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) Johor daripada Empat (4) Lorong kepada Enam (6) Lorong, Fasa 2B dan Fasa 3.

Laluan bagi Fasa 2B iaitu dari Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang sedang dalam fasa pembinaan, projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini dijangka siap pada Oktober 2025.  Manakala bagi Fasa 3, iaitu dari Persimpangan Bertingkat Perling hingga ke susur naik Lebuhraya Utara Selatan pula telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMKe-12) dan kini berada di peringkat perancangan bagi pengesahan skop dan kos projek.

Kerja-kerja menaik taraf laluan FT17 bagi kedua-dua fasa melibatkan pelebaran jalan sepanjang 5 kilometer bagi Fasa 2B dan baki 7 kilometer bagi Fasa 3 termasuk membaik pulih dan menaik taraf struktur jambatan dan jejantas sedia ada. Pelaksanaan projek menaiktaraf FT17 secara keseluruhan akan membantu penyuraian trafik terutama pada waktu puncak.

Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM107.34 juta untuk kerja-kerja penyenggaraan jalan bagi keseluruhan laluan persekutuan di Negeri Johor bagi 2023 dan kira-kira RM5.24juta daripadanya adalah khusus untuk penyenggaraan jalan di laluan FT17.

Tarikh Dan Waktu Acara