Langkau ke kandungan utama
Penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan 64 Jalan Benta - Jerantut - Maran Fasa 1 Segmen 7, Pahang

Penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan 64 Jalan Benta - Jerantut - Maran Fasa 1 Segmen 7, Pahang

Jerantut, 5 Oktober 2023 - Telah berlangsung majlis penyerahan projek Menaik Taraf Laluan 64 Jalan Benta- Jerantut - Maran Fasa 1 Segmen 7(Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut - Kampung Lata Kasah, Jerantut), Pahang yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad, Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR).

Projek yang memakan kos sebanyak RM 71.02 juta ini telah mula dibina pada 27 Disember 2017 dan siap pada 25 Mei 2023 melibatkan skop seperti berikut:

1. Menaik taraf jalan tunggal 2 lorong sedia ada sepanjang 6.7 km termasuk menyediakan bahu jalan berturap selebar 2.0m mengikut piawaian JKR R5

2. Pengalihan utiliti

3. Menaiktaraf 7 Persimpangan

4. Pengambilan tanah

5. Pemasangan lampu isyarat, lampu jalan dan lampu isyarat pejalan kaki.

Pelaksanaan projek ini juga turut melibatkan membaik pulih jambatan yang telah dibina dan menaik taraf persimpangan di Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut dan persimpangan SMK Inderapura. Tahap keselamatan jalan raya di FT64 dapat dipertingkatkan dengan ketara setelah selesainya projek ini dengan pemasangan perabot keselamatan jalan dan pengurangan selekoh di sepanjang jalan sekaligus mengurangkan risiko berlakunya kemalangan jalan raya.

Impak positif daripada pelaksanaan projek ini, rakyat di sekitar Jerantut dapat menikmati kelebihan infrastruktur yang selamat dan selesa untuk digunakan selaras dengan matlamat Kerajaan untuk sejahterakan kehidupan seharian rakyat Malaysia di samping menyokong pembangunan Malaysia Madani yang mampan dan holistik walaupun di luar bandar.

Laluan Persekutuan 64 (FT64) merupakan jalan persekutuan yang menghubungkan tiga (3) daerah di Pahang iaitu Daerah Benta, Jerantut dan Maran. Jalan ini telah lama dibina dan sering digunakan oleh penduduk tempatan. Jalan ini mempunyai beberapa elemen yang perlu ditambah baik atas faktor keselamatan seperti keadaan geometri jalan raya yang bengkang-bengkok dan sempit.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan kini dalam proses menaik taraf FT64 di mana sebanyak tiga (3) fasa dari daerah Benta hingga ke Maran telah dirancang dan kini dalam pelaksanaan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai Agensi Pelaksana. Fasa 1 dari Benta ke Jerantut dan Fasa 3 dari Simpang Jengka ke Simpang Maran kini sedang dalam pelaksanaan manakala Fasa 2 yang melibatkan jalan sepanjang 21km dari Jerantut ke Simpang Jengka telah siap dibina sepenuhnya.

KKR sentiasa komited dalam menggiatkan usaha-usaha menaiktaraf infrastruktur bagi kemudahan rakyat. Semua pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui jalan ini dan mengamalkan sikap berhati-hati semasa memandu bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Tarikh Dan Waktu Acara