Langkau ke kandungan utama
Dymm Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Merasmikan Jambatan Sultan Nazrin Shah, Perak

Dymm Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Merasmikan Jambatan Sultan Nazrin Shah, Perak

Perak, 7 Oktober 2023 - Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli menyempurnakan perasmian jambatan yang kini dikenali dengan nama Jambatan Sultan Nazrin Shah pada 7 Oktober yang lalu.

Majlis Perasmian ini turut dihadiri YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya.

Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Objektif utama projek ini adalah untuk menyediakan rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti melalui penyediaan infrastruktur berkualiti.

Sebelum ini, pengguna jalan raya dari Sitiawan perlu melalui Jalan Hutan Melintang ke Bagan Datuk yang mengambil masa lebih 1 jam dengan jarak perjalanan melebihi 50 km. Dengan siapnya Jambatan ini, ia akan memendekkan perjalanan dari Sitiawan ke Bagan Datuk dengan jarak perjalanan hanya 10.5 km yang mengambil masa 15 minit sahaja. Jambatan ini turut menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan bandar-bandar utama seperti Lumut, Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Selain itu, pengguna jalan raya dari kawasan Lembah Klang yang berulang-alik ke utara Perak khususnya melalui Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) akan turut menikmati penjimatan masa perjalanan.

Dianggarkan juga seramai 70,300 orang penduduk sekitar termasuk kakitangan dan para pelajar institusi pendidikan berdekatan turut menerima manfaat dan melengkapkan lagi hab institusi pendidikan yang telah tersedia di Bagan Datuk seperti Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh (SABDA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Politeknik Bagan Datuk.

Dari aspek teknikal Jambatan Sultan Nazrin Shah ini melibatkan pembinaan satu (1) jambatan merentasi Sungai Perak sepanjang 1.5 kilometer mengikut piawaian JKR R5 dengan kelebaran 14 meter (2 lorong, 2 hala). Jambatan ini mempunyai 26 pier dan 27 span dengan panjang box girder 340 meter.

Reka bentuk jambatan ini juga mengambil kira ruang utiliti seperti paip air Lembaga Air Perak (LAP) bagi bekalan air ke Bagan Datuk. Selain itu, Elevated Piled Slab (EPS) turut digunakan sebagai road structure sepanjang 8.27 kilometer bagi mengatasi masalah banjir. Skop kerja lain adalah pembinaan sistem pembentungan dan saliran di sepanjang jalan tuju, pemasangan perabot jalan, kerja-kerja elektrik (lampu isyarat dan lampu jalan), pengambilan balik tanah (PBT) dan pengalihan utiliti.

Projek ini turut menerima pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records (2023) sebagai Laluan Papak Bertingkat atas Cerucuk yang Terpanjang (Longest Elevated Pile Slab Carriageway) dan Bilangan Titik Cerucuk Terbanyak bagi Laluan Papak Bertingkat atas Cerucuk (Most Pile Points on Elevated Pile Slab Carriageway). Selain itu, projek ini mencatat rekod skor 95% dalam Audit Silang Pelan Pengurusan Trafik (TMP) Projek Cawangan Jalan (2022), pencapaian Empat Bintang dalam Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) (2020) dan 1,000,000 Jam Kerja Tanpa Kecederaan (2020).

Selaras dengan Kempen MYJalan iaitu inisiatif KKR yang bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti dan menggalakkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama, diharapkan semua pengguna dapat bersama-sama memupuk rasa tanggungjawab menjaga dan menyayangi infrastruktur awam yang signifikan ini agar manfaat dan impak positifnya berterusan.

KKR dan JKR amat komited dalam membangunkan landskap infrastruktur awam negara demi memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang awam, khususnya kepada penduduk sekitar Jambatan Sultan Nazrin Shah ke arah kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara