Langkau ke kandungan utama
Malaysia, Arab Saudi Dan Kazakhtan Tekad Perkukuh Kerjasama Dalam Sektor Infrastruktur, Keselamatan Dan Penyelenggaraan Jalan Raya

Malaysia, Arab Saudi Dan Kazakhtan Tekad Perkukuh Kerjasama Dalam Sektor Infrastruktur, Keselamatan Dan Penyelenggaraan Jalan Raya

Prague, 4 Oktober 2023Hari ini Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pengangkutan bagi Hal Ehwal Jalan Raya Arab Saudi, TYT Badr Bin Abdullah Al-Dulami dan Menteri Pengangkutan Kazakhstan, TYT Marat Karabayev sempena Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 yang telah bermula pada 2 Oktober lalu dan akan berakhir pada 6 Oktober ini di Prague, Republik Czech.

Dalam pertemuan bersama delegasi Arab Saudi, kedua-dua buah negara telah bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara serta bertekad untuk memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk terus berhubung lanjut bagi meneroka ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan demi kebaikan bersama.

Delegasi Arab Saudi telah menyatakan minat untuk mempelajari usaha Kerajaan Malaysia berhubung inisiatif keselamatan jalan raya yang ditekankan terutamanya melalui kempen MYJalan yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara. Perbincangan lanjut berhubung usaha ini akan diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya turut menyatakan sokongan Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Arab Saudi dalam usaha membida sebagai penganjur Ekspo Dunia 2030.

Dalam pertemuan bersama delegasi Kazakhstan pula, TYT Marat telah menyatakan hasrat dan minat untuk membawa masuk kepakaran Malaysia dalam membina, membangun dan menguruskan infrastruktur pelabuhan di Republik itu.

YB Menteri amat mengalu-alukan cadangan ini yang sekaligus membuktikan kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan infrastruktur turut menarik perhatian luar. Beliau akan membawa cadangan ini untuk dibincangkan di peringkat kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dipertimbangkan di peringkat kabinet. Harapan beliau agar kerjasama ini dapat direalisasikan dan akan membuka peluang pelaburan kepada kedua-dua buah negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita