Langkau ke kandungan utama
0

Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) Peringkat Kementerian Kerja Raya Dan Agensi

Kuala Lumpur, 18 Oktober 2023 - Hari ini telah berlangsung Majlis Pra Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN 2023) yang telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBrs. Ir Sazali Harun serta Pengerusi Hari Profesion Teknikal Negara, YBhg. Dato' Ir Haji Badiozaman Ab Khalik.

HPTN merupakan sambutan tahunan anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinan Malaysia (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta badan profesional di bawah KKR iaitu Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia.

Sambutan HPTN ini adalah simbolik penghargaan kepada jasa warga teknikal atas sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur dan landskap pembangunan dan permodenan negara yang meliputi pelbagai bidang teknikal antaranya kejuruteraan, astronomi, sains, teknologi, pembinaan, senibina, ukur dan sebagainya.

“Profesion Teknikal Pemacu Pembangunan Malaysia MADANI” adalah tema bagi HPTN tahun ini. HPTN diharap akan terus menjadi pemacu bukan sahaja dalam mengiktiraf profesion teknikal, malah menjadi ’catalyst’ dalam memperjuangkan pembukaan lebih banyak peluang profesion teknikal di dalam negara.

Sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan Malaysia MADANI, HPTN turut menjadi platform untuk memupuk minat generasi muda menceburi profesion teknikal sebagai pilihan kerjaya.

Sambutan kemuncak HPTN 2023 akan berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada
4 Disember sehingga 5 Disember 2023 (Isnin-Selasa). YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bakal menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara yang dijadualkan pada 4 Disember 2023 (Isnin) bertempat di Dewan Damar Sari, Putrajaya.

Pelbagai aktiviti menarik, pameran ilmiah dan peluang kerjaya turut didedahkan kepada semua peringkat umur sepanjang program ini berlangsung. Antara aktiviti yang akan diadakan adalah webinar, Program CSR, BIM Day, Car Free Day, Anugerah Tokoh Teknikal dan pameran kerjaya serta pelbagai aktiviti lain yang akan diumumkan dan dipromosikan di laman web sehingga ke hari kemuncak HPTN pada Disember nanti.

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan HPTN 2023, orang ramai boleh melayari dan mendaftarkan diri di laman sesawang rasmi iaitu https://hptn-my.com/. Pelbagai maklumat terperinci mengenai sambutan ini boleh didapati melalui laman web tersebut. Pelbagai pengisian menarik disediakan dan orang ramai adalah dijemput untuk menyertai Sambutan HPTN 2023.

Tarikh Dan Waktu Acara