Langkau ke kandungan utama
0

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan Di Tambak Johor

Johor Bahru, 11 Oktober 2023 – Isu kesesakan jalan merupakan antara isu yang sentiasa diberi keutamaan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) selain isu jalan rosak dan berlubang. Hari ini Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof secara atas talian di Johor Bahru.

Turut hadir bersama-sama adalah Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi dan Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha, Ketua-Ketua Jabatan yang terdiri daripada Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi yang beroperasi di BSI dan KSAB.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini membincangkan status inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan dalam menangani isu kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor. Inisiatif yang perlu diteliti oleh ahli mesyuarat adalah melibatkan Fasa 1 - 21 inisiatif dan Fasa 2 - 5 inisiatif.

Keputusan mesyuarat pada pagi ini telah bersetuju untuk melaksanakan 4 inisiatif baharu di Fasa 3 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM168.7 juta merangkumi 3 projek fizikal dan pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.93 juta setahun kepada anggota yang terlibat.

Empat inisiatif baharu di Fasa 3 adalah seperti berikut:

  1. Tambahan 77 MBIKE dengan kos keseluruhan sebanyak RM61.7 juta merangkumi 44 MBIKE di BSI dan 33 MBIKE di KSAB. Tambahan bilangan MBIKE ini adalah sebagai langkah ke hadapan bagi mengimbangi peningkatan pengguna motosikal.
  2. Penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB yang berjumlah RM106.9 juta.
  3. Pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor dengan anggaran kos yang akan diperincikan kemudian.
  4. Pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk di BSI, KSAB, KLIA1 dan KLIA2 dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.9 juta setahun.

KKR sentiasa komited menghulurkan bantuan dan kepakaran teknikal dalam usaha memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna sentiasa diberi keutamaan seiring dengan matlamat MYJalan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita