Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

Image removed.Image removed.KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia ke-55 Peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR), Majlis Diambang Merdeka telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya hari ini.

Pelbagai acara berteraskan perpaduan dan semangat kenegaraan telah diatur pada majlis tersebut seperti pertandingan lagu dan pendeklamasian sajak patriotik. YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya telah menyampaikan perutusan YAB. Perdana Menteri Malaysia sewaktu pelancaran Jalur Gemilang secara serentak di seluruh negara pada Julai 2012 yang lalu. Majlis ini telah dihadiri ribuan pegawai daripada Jabatan dan Agensi dibawah Kementerian yang turut bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda nasionalisme kepada negara.

Image removed.Image removed.KUNDANG, 10 Ogos – Satu lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya Latar ke Jalan B149, Kundang, Selangor telah diadakan oleh YB Dato’ Seri Shaziman bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya hari ini.

Taklimat projek ini telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), YBhg. Dato' IR Haji Ismail bin Md. Salleh. Turut hadir bersama di majlis ini ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, YB. Datuk Seri Haji Noh bin Omar.

Image removed.Image removed.PETALING JAYA, 9 Ogos – Majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah diadakan di Tropicana Golf and Country Resort hari ini.

Majlis ini telah dihadiri Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor. Antara acara majlis adalah majlis penyerahan sumbangan kepada Rumah Pengasih melalui presiden Persatuan Pengasih, YBhg. Datuk Yunus Pathi dan juga sumbangan kepada Pusat Jagaan Lambaian Kasih. Majlis turut dihadiri pegawai kanan Kementerian dan pengurusan atasan syarikat-syarikat konsesi.

Image removed.Image removed.KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini bersama-sama para tetamu yang terdiri daripada warga Kementerian dan agensi.

Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Yong Khoon Seng. Ketibaan para tetamu kehormat telah disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Himmat Singh bersama-sama pengarah-pengarah jabatan dan agensi.

Pada majlis ini, YB. Menteri telah sudi untuk menyampaikan sumbangan kementerian kepada 57 penerima yang terdiri daripada 21 orang ibu tunggal dan 36 anak yatim dari kementerian dan jabatan. Para tetamu telah disajikan dengan menu masakan melayu untuk santapan berbuka puasa. Majlis ini diakhiri dengan para tetamu bersolat Maghrib, Isyak dan Tarawih di surau Jabatan Kerja Raya, tingkat 2, Blok F.

Image removed.ALOR SETAR 16 Julai - Sebanyak 204 kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai RM37.36 juta diagihkan menerusi sistem cabutan undi kepada kontraktor kelas D, E dan F di seluruh Semenanjung hari ini. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 19 kerja ditawarkan kepada kontraktor kelas D dan 22 kerja kepada pemegang lesen kelas E melalui sistem yang pertama kali dilaksanakan ke atas mereka manakala kontraktor kelas F sebanyak 163 kerja.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, pelaksanaan sistem cabutan undi itu dilakukan berikutan keputusan kerajaan menawarkan kerja-kerja kecil Persekutuan kepada kontraktor kecil bagi memberi peluang kepada mereka menguruskan projek berkenaan. Beliau berkata, kebanyakan kerja yang ditawarkan itu boleh dilaksanakan oleh syarikat kecil iaitu kelas D, E dan F, yang sebelum ini sama ada ditender atau dianugerahkan terus kepada syarikat konsesi.

"Setelah mendapat banyak permintaan daripada kontraktor kecil dari seluruh negara termasuk Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan proses pengundian untuk ketiga-tiga kelas kontraktor itu. "Ia tertakluk pada jadual kadar harga yang telah ditentukan dan tidak melibatkan penambahan kos kepada kerja ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses cabutan undi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bagi negeri ini di Bangunan Persekutuan Alor Setar, di sini hari ini. 

Pada majlis itu, sebanyak 37 kontraktor kelas D dan 96 kelas E hadir mencabut undi bagi pelaksanaan enam kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai kira-kira RM4 juta. 

Shaziman berharap kontraktor yang terpilih dapat melaksanakan kerja yang diberikan itu dengan sebaik mungkin supaya sistem cabutan undi tersebut dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Ini kerana, kata beliau, jika berlaku kekurangan dari segi kualiti kerja yang dilaksanakan maka kerajaan perlu mempertimbangkannya pada masa akan datang, sekali gus boleh mengurangkan peluang kepada kontraktor lain.

 

 

 

Image removed.Kuala Terengganu, 14 Julai – Karnival Sukan Kerja Raya 2012 telah berlangsung dengan jayanya selama 4 hari bermula dari 11 hingga 14 Julai 2012 di beberapa lokasi sekitar Kuala Terengganu, Terengganu dengan Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu sebagai Jawatankuasa Pengelola/ Tuan Rumah Bersama.

Sebanyak 30 kontinjen yang terdiri daripada pasukan-pasukan di bawah Kementerian Kerja Raya dan Syarikat-syarikat Konsesi telah mengambil bahagian. Sebanyak 16 acara sukan telah dipertandingkan iaitu bola sepak, bola jaring, bola tampar lelaki, badminton, ping pong, sepak takraw, karom, futsal lelaki, bowling, dart, tarik tali, catur, golf dan boling padang beserta 2 acara yang baru diperkenalkan pada karnival kali ini iaitu bola tampar perempuan dan futsal perempuan. Dari keseluruhan acara ini, PLUS Expressway Berhad telah mengungguli kejohanan dengan 9 emas, diikuti KKR dengan 3 emas dan HCM Eng. Sdn. Bhd., Belati Wangsa (M) Sdn. Bhd., Kesas dan JKR dengan masing-masing memperolehi 1 emas.

Majlis perasmian pembukaan karnival ini telah berlangsung di Mini Stadium Universiti Malaysia Terengganu pada malam 11 Julai 2012 dan telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Himmat Singh, KSU Kementerian Kerja Raya (KKR). YBhg. Datuk KSU juga telah sudi hadir pada Majlis Makan Malam yang telah diadakan pada malam 13 Julai 2012 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu. Majlis Penutup karnival pula telah diadakan pada 14 Julai 2012 dan disempurnakan oleh YB. Dato’ Seri Shaziman bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya. Pada majlis penutup ini, YB. Menteri telah sudi menyampaikan anugerah kepada kesemua ketua pasukan yang menang bagi setiap acara serta kepada Olahragawan kejohanan iaitu Encik Md Obaidah bin Md Dasuki dari KKR, Olahragawati Cik Patil Humu binti Harun dari PLUS Expressway Berhad, Ketua Kontinjen PLUS Expressway Berhad selaku Johan Keseluruhan serta Ketua Kontinjen Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selaku Johan Perbarisan.

Bermula tahun 2012, kejohanan ini dikenali sebagai Karnival Sukan Kerja Raya 2012 dan kejohanan ini pada asalnya dikenali sebagai Highway Games yang merupakan sukan tahunan dan mula dianjurkan pada tahun 1999. Ia kemudian ditukar kepada Kejohanan Sukan Kerja Raya pada tahun 2002 dan berlangsung dua tahun sekali. Karnival ini terus mengekalkan format dan konsep daripada Highway Games dan merupakan satu usaha berterusan untuk memupuk dan merapatkan lagi hubungan antara warga Kerja Raya dengan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya. Berikut adalah keputusan Karnival Sukan Kerja Raya 2012:

JOHAN KESELURUHAN :PLUS EXPRESSWAY BERHAD

OLAHRAGAWAN : MD OBAIDAH BIN MD DASUKI - KKR

OLAHRAGAWATI : PATIL HUMU BINTI HARUN – PLUS

JOHAN PERBARISAN : LEMBAGA LEBUHRAYA MALAYSIA

Image removed.Putrajaya, 10 Julai - Kemuncak bagi pertandingan ini, Perhimpunan Perdana Warga Kemahiran 2012 telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan bertujuan meraikan para penerima dan pemenang pertandingan. Ucaptamanya disampaikan oleh YAB. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM). Pemenang Tangan Emas Perdana Menteri bagi Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) ialah Cik Nor Suriyani binti Musa, peserta Bidang Fashion Technology dari INPENS International College, Kuala Selangor, Selangor, manakala bagi Pertandingan Myskills ialah Puan Normaziah binti Kamaruzaman, pengajar Bidang Batik dari Institut Kraf Negara, Rawang, Selangor.

Para pemenang akan dibawa ke Kem Motivasi di Kem Bina Negara Kuala Lipis sebagai persediaan untuk mewakili Malaysia di ASEAN Skills Competition tahun 2012 (ASC 2012) yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada 10 hingga 18 November 2012. Perhimpunan ini diakhiri dengan Pelancaran Projek Road to Leipzig Gold 2013 oleh YAB. TPM dimana Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) pada 2013 akan diadakan iaitu di Leipzig, Jerman. Ini merupakan pentas tertinggi bagi dunia kemahiran diperingkat antarabangsa. Turut hadir pada perhimpunan ini ialah YB. Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia, YBhg. Datuk Himmat Singh, KSU KKR serta pegawai kanan dari Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya dan pelbagai agensi terlibat.

Penganjuran pertandingan ini adalah satu usaha gigih untuk mentransformasikan bidang kemahiran vokasional disamping mencungkil dan memajukan tahap kemahiran pelatih-pelatih teknikal dalam bidang industri binaan seterusnya meningkatkan bilangan tenaga mahir terlatih dikalangan warga negara tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing. Malaysia masih memerlukan sekurang-kurangnya 33% tenaga kerja mahir yang berkemahiran tinggi menjelang 2015 dan 50% menjelang 2020 bagi menampung keperluan tenaga kerja negara.

Image removed.Johor Bahru, 7 Julai - Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) dan Myskills Kali Ke-21 telah berlangsung pada 2 hingga 8 Julai 2012 di beberapa lokasi seperti di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan, Pusat Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam, WISDEC Banting, dan Universiti Putra Malaysia (UPM). PKM merupakan satu inisiatif yang diletakkan di bawah program Skills Malaysia yang merupakan satu teras dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), iaitu membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui CIDB, Akademi Binaan Malaysia (ABM) (Wilayah Selatan),dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia. KKR bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sembilan (9) bidang kemahiran berkaitan industri pembinaan dan Peringkat Akhir PKM dan Myskills 2012 Bidang Binaan telah diadakan pada 5 hingga 7 Julai 2012 di Kompleks Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Johor, Johor Bahru, Johor. YBhg. Datuk Ir. Hamzah Hasan, Pengerusi CIDB mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Himmat Singh, telah merasmikan pertandingan ini. Seramai 144 orang peserta telah layak bertanding ke peringkat akhir ini. Seramai 44 peserta dari 22 bidang kemahiran akan dipilih mewakili Malaysia di ASEAN Skills Competition tahun 2012 (ASC 2012) yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada 10 hingga 18 November 2012.

Image removed.Kuala Lumpur, 3 Julai - Majlis menandatangani perjanjian tambahan kedua dan ketiga berkaitan Perjanjian Penswastaan Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia telah diadakan bertarikh 3 Julai 2012 di bilik Mesyuarat Seroja, Kementerian Kerja Raya antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat konsesi swasta.

Untuk perjanjian tambahan kedua, perjanjian dimeterai antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat konsesi Roadcare (M) Sdn. Bhd. dan Belati Wangsa (M) Sdn. Bhd., manakala perjanjian tambahan ketiga dengan syarikat Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd. Wakil Kerajaan ialah YBhg. Datuk Himmat Singh, KSU Kementerian. 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Dato' Haji Nasir bin Mat Dam, TKSU(P) bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan kementerian dan syarikat konsesi.

[Galeri Foto]

Image removed.Seri Kembangan, 2 Julai – YB Dato’ Seri Shaziman bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya telah mengadakan satu lawatan kerja ke tapak Pembinaan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Maju Expressway di Seri Kembangan yang akan dibina dalam tempoh dua tahun dan kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan pada Januari 2013 dan dijangka siap pada Januari 2015.

YB. Menteri memberitahu projek tersebut diyakini akan memberi manfaat kepada 68,000 orang penduduk kawasan berkenaan kerana pada masa ini penduduk perlu memandu sejauh 17 kilometer untuk menggunakan Lebuhraya MEX dengan melalui jalan B15 (Seri Kembangan ke Dengkil) dan jalan B16 (Serdang ke Seri Kembangan) hingga ke Persimpangan Bertingkat Putrajaya. Selain itu, faktor lain kepada pembinaan projek ini adalah tahap kesesakan trafik yang tinggi di jalan B16 yang mencapai tahap F pada waktu puncak iaitu sebanyak 14,600 kenderaan untuk setiap jam.

Pada ketika ini, Lembaga Lebuhraya  Malaysia (LLM) sedang dalam proses pengambilan tanah dan penyediaan rekabentuk. Pembinaan persimpangan ini melibatkan tanah seluas hampir 60 ekar. Disamping permohonan penduduk, Persimpangan Bertingkat ini turut dipohon oleh Kerajaan Negeri Selangor, Majlis perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Alice Smith International School dan IOI Corporation Berhad. Dengan adanya pembinaan ini, kesulitan akses untuk keluar dan masuk ke/dari Lebuhraya MEX akan dapat diatasi dan menambah keselesaan para pengguna serta penduduk sekitar.

[Galeri Foto]